BAB 13 (VIRUS)
JIHAD tidak sedar bibirnya tersenyum sendiri. Benaknya asyik terbayang-bayang sikap dan gelagat Tihani. Malah, suara dan riak wajah gadis itu bagai tak henti-henti terlayang di ruangan minda. Benar-benar menceriakan harinya.
Jika difikir-fikir, bukan hari itu sahaja Jihad merasakan begitu. Tapi sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dia menyedari hidupnya agak berbeza daripada selalu. Rasanya Tihani tidak perasan pun yang dia sudah mula memerhati gerak-geri gadis itu semenjak hari pertama dia berpindah di Apartmen Baiduri Alam lagi. Oleh sebab itu, dia amat terkejut ketika Tihani muncul di hadapannya semalam.
Sebelum ini, bukanlah dia tidak mahu bertegur sapa bila mengetahui Tihani tinggal berjiran dengannya. Tetapi gadis itu yang sering melarikan diri bila mereka hampir bertembung.
Tidak langsung dia menduga rupa-rupanya Tihani syak wasangka terhadap identitinya. Segala persoalan tentang kelakuan aneh gadis itu akhirnya terjawab petang semalam sewaktu dia tiba-tiba diserang dan dituduh cuba meragut seseorang.
Patutlah dia selalu ternampak Tihani terhendap-hendap di kejauhan bagai ada sesuatu yang tidak kena. Rupa-rupanya Tihani dalam diam mengintip kelakuannya.
Jihad tiba-tiba menggenggam jari-jemari kanannya. Entah kenapa, ada rasa kebas yang tak semena-mena menyerang urat sarafnya.
'Apa hal pulak ni?'
Jihad mengomel sambil memandang hairan jari-jemarinya. Terfikir-fikir mengapa tangan kanannya merasa begitu.
'Pelik betul!'
Tadi, dia ternampak Tihani asyik menggenggam jari-jemari sendiri. Kini, dia pula yang bertindak begitu! Takkan dia sudah dijangkiti? Virus apa? Cepat betul merebak pada tubuhnya!
"Ad, telefon kau berbunyi tu. Tak dengar ke?"
Lamunan panjang Jihad pecah berderai bila dia ditegur oleh Ehsan, teman sekerjanya.
Lelaki yang berkulit kuning langsat dengan potongan rambut pendek dan terpacak itu dilihat memuncungkan mulut ke arah telefon bimbitnya yang sedang nyaring berdering.
Jihad cepat-cepat mencapainya.
"Helo," jawabnya saat terpandangkan nombor telefon yang sedang terpancar di permukaan skrin.
"Dia dah datang? Okey, kau tolong tengok kalau ada apa-apa yang tak kena kat kereta dia macam yang aku beritahu tadi," beritahu Jihad.
"Tapi kalau ada barang nak kena ganti, telefon aku dulu sebelum beritahu dia apa-apa," tambahnya selepas itu.
"Tak adalah, bukan aku tak percayakan kau. Tapi manalah tahu, kau cuba ambil kesempatan. Mentang-mentang dia tu perempuan." Jihad berhujah.
Kali ini, dia perasan Ehsan yang duduk di sebelah mengerling ke arahnya, namun tidak diendahkan.
"Jangan nak mengarutlah! Dia jiran aku. Takkan nak tolong jiran pun tak boleh? Dahlah, aku tengah kerja ni. Apa-apa contact aku." Jihad sekali gus mematikan panggilan.
Tak semena-mena dia tersengih. Dia turut menggeleng beberapa kali sambil menatap telefon bimbitnya. Terasa hati kecilnya bagai digeletek.
Ada ke patut mekanik yang bernama Fahmi itu membuat andaian yang tak masuk dek akal berkenaan dirinya dan Tihani? Konon-kononnya mereka mempunyai hubungan istimewa. Langsung tak terfikir dek mindanya!
"Ehem..."
Sekonyong-konyong suara dehaman Ehsan menjengah ke lubang telinga.
Jihad tersedar. Sengihannya terus termati. Teringat yang dia tidak bersendirian tika itu. Dia dan Ehsan sedang dalam tugas penyamaran untuk operasi memburu seorang suspek bagi kes kecurian dan pecah rumah yang baru dilaporkan malam tadi.
"Kau dengan Fahmi bercakap pasal perempuan mana?" tanya Ehsan ingin tahu.
Tangannya sempat mencapai beberapa ketul kacang rebus dalam bungkusan kertas yang dikepit dicelah pahanya. Lalu dikopek dan disumbat ke dalam mulut.
Sesaat kemudian, Ehsan meliarkan pandangan. Memerhati ke kawasan sekitar.
"Jiran baru kau ke?" soalnya lagi.
Tiada jawapan yang Jihad berikan. Lelaki itu lebih senang membisukan diri.
Ehsan kembali mengerling Jihad.
"Perempuan tu ke yang serang kau tengah hari semalam? Sampai kecoh satu jabatan. Ceritalah kat aku apa sebenarnya yang jadi?" Ehsan berminat mahu tahu.
"Alah, kau ni... takkan itupun nak berahsia? Teruk betul! Dahlah masa pindah hari tu pun, kau senyap-senyap aje. Kalau kau cakap kat aku, sekurang-kurangnya boleh jugak aku tolong angkat-angkat barang." Ehsan masih memancing supaya Jihad membuka mulut.
Apakan daya Jihad tetap tidak berkata apa-apa.
"Ad, kau dengar tak aku cakap ni?"
"Tak payah sibuklah!" balas Jihad.
"Haa, dengar pulak! Ingatkan tak dengar." Ehsan sengaja menyindir.
Jihad hanya beriak selamba. Tak terkesan langsung dengan kata-kata berbunyi sinis yang diucapkan oleh lelaki sebaya dengannya itu.
"Yalah! Okey! Kalau kau tak nak cerita kat aku pun tak apa. Aku sedar aku bukannya siapa-siapa." Ehsan kembali bersuara.
Jihad tidak bercadang mahu memberi apa-apa komen. Dia kembali menalakan pandangan ke hadapan. Membiarkan fokusnya melekat pada pintu masuk sebuah rumah kedai.
Rasanya, sudah lebih sejam dia dan Ehsan duduk melepak di dalam kereta yang diparkir di satu selekoh. Lokasi itu agak tersorok dan terletak berhampiran dengan rumah kedai yang sedang mereka perhatikan.
Jika diukur-ukur mungkin perbezaan jarak kenderaan yang mereka naiki sejak dari IPD Klang, tempat mereka bekerja dengan rumah kedai itu lebih kurang 20 meter.
Dan kini, mereka masih ternanti-nanti kemunculan seorang lelaki berbangsa asing yang disyaki suspek utama dalam kes pecah rumah dan kecurian berdasarkan laporan risikan yang diterima pasukan mereka semalam.
Selain mereka, terdapat beberapa orang lagi anggota penyiasat dan pegawai polis di kawasan sekitar yang berada dalam operasi memburu suspek yang sama.
Suasana tiba-tiba berubah sunyi. Biarpun di sekeliling tampak sibuk dengan orang lalu-lalang, ruang di dalam kereta itu terasa suram.
Jihad sedang leka memberi tumpuan pada rumah kedai di hadapan bila telinganya tak semena-mena disapa dengan bunyi keluhan kecil yang dimuntahkan oleh Ehsan.
"Agaknya sampai bila kita nak macam ni, Ad?" Soalan itu turut dipaculkan.
Jihad terus membeku di tempat duduknya sejurus mendengar pertanyaan tak diduga yang diajukan Ehsan itu.
"Dah bertahun-tahun, susah sangat ke kau nak maafkan aku?" Ehsan bertanya lagi dengan oktaf suara yang perlahan.
Jihad masih diam. Tiada jawapan.
"Aku dah terima balasan pun sebab pentingkan diri. Jadi apa lagi yang kau nak? Apa yang patut aku buat supaya perasaan marah kau tu boleh hilang?" Tak jemu-jemu Ehsan bersuara bagai melepaskan apa yang terpendam.
Jihad menarik nafas panjang lalu menoleh ke arah Ehsan.
"Berapa kali aku nak cakap, jangan sebut lagi pasal hal lepas! Aku tak suka!" tukasnya.
Ehsan membalas pandangan Jihad. Untuk seketika tenungan mereka bersatu.
Tiba-tiba Ehsan tersengih.
"Aku dah agak mesti kau akan cakap macam tu!" ujarnya kemudian.
Jihad merapatkan bibir saat memandang sengihan Ehsan yang makin melebar. Dia mula menyedari yang Ehsan sebenarnya tidak serius pun seketika tadi. Geram pula Jihad jadinya.
Bagaimana Ehsan boleh selalu bersikap begitu? Berlagak ceria dan tersengih-sengih umpama kerang busuk di hadapannya sedangkan lelaki itu pernah membuatkan hatinya kecewa dan parah terluka?
Entahlah. Kadang-kadang Jihad tidak pasti bila masanya Ehsan benar-benar serius membicarakan sesuatu perkara dan memaksudkan apa yang diucapkan. Selama ini pun, Ehsan memang terkenal dengan peribadi yang suka bergurau dan sentiasa ceria tak kira masa dalam kalangan rakan-rakan sekerja.
Jihad sendiri tidak menafikan perkara itu kerana sejujurnya, disebabkan sifat Ehsan itulah dia senang berkawan dengan lelaki itu dahulu, malah kerananya juga mereka pernah menjadi rapat. Sebenarnya Jihad mengenali Ehsan bukannya setahun dua, tetapi mereka sudah menjalin persahabatan semenjak masih kanak-kanak.
Selain berasal dari kampung yang sama, mereka membesar bersama kerana tinggal berjiran. Mereka juga menuntut di satu sekolah yang sama membuatkan mereka melalui fasa hidup yang tidak jauh beza.
Usia mereka yang sebaya pula menjadi pendorong kepada perkongsian minat dan cita-cita yang sama. Betapa akrabnya hubungan mereka dahulu sehingga sering digelar pasangan belangkas semasa di kampung. Di mana adanya Jihad, di situlah adanya Ehsan dan begitu jugalah sebaliknya.
Jihad masih ingat, walaupun Ehsan mempunyai taraf hidup dan kelulusan pendidikan yang lebih baik daripadanya, lelaki itu sanggup menolak tawaran ke universiti. Ehsan berkeras mahu mendaftarkan nama ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) bersama-samanya supaya mereka dapat meneruskan cita-cita untuk bergelar detektif polis seperti yang pernah mereka angankan sedari kecil.
Tak disangka, rezeki berpihak kepada mereka. Segala-galanya berjalan begitu lancar. Mereka berjaya juga menamatkan latihan. Buat pertama kali dalam hidup, mereka terpaksa tinggal berjauhan bila masing-masing ditugaskan ke lokasi balai yang berbeza.
Tetapi, mereka tidak pernah putus berhubung dan sering berjumpa apabila mempunyai kelapangan waktu. Apakan daya, semua itu tidak bertahan lama. Kesibukan tugas dan jarak yang memisahkan, akhirnya menjadi penyebab keakraban mereka mulai renggang dari sehari ke sehari.
Lantas persahabatan yang dijalin sejak sekian lama tiba-tiba retak gara-gara satu kejadian yang menguji kejujuran. Terasa sakitnya perasaan Jihad bila dia kembali mengenang peristiwa lalu.
Walaupun sudah lama terjadi, parut yang tertinggal di hatinya masih pedih menghiris akibat perbuatan Ehsan, teman yang paling dipercayainya selama ini.
"Keras hati betul kau ni, Ad. Yalah, buatlah sesuka hati kau. Marahlah aku sampai bila-bila pun. Memang aku sedar aku yang bersalah. Tapi, aku nak kau tahu yang aku takkan putus asa minta maaf daripada kau. Nak tahu kenapa?" Ehsan bertanya.
"Sebab kau kawan baik aku. Sampai bila-bila. Dunia dan akhirat!" sambungnya sambil melebarkan senyuman.
Jihad merengus. Bengkak pula rasa jiwanya melihat riak penuh keceriaan yang terpamer pada wajah Ehsan itu.
'Kawan baik dunia dan akhirat konon. Agaknya dia dah lupa apa yang dia pernah buat kat aku dulu!' cela Jihad dalam hatinya.
"Oh, aku baru teringat! Aku terjumpa Suraya tadi. Dia ada kirim dokumen kat aku suruh pass pada kau."
Ehsan pantas mengambil sehelai sampul surat berwarna putih bersaiz A4 dari dashboard kereta lalu dihulurkan kepada Jihad.
"Dokumen apa ni?" Ehsan mengorek, ingin tahu.
Namun, Jihad tidak menjawab soalan itu sebaliknya terus mencapai sampul surat yang berkepil dengan besi kokot itu daripada tangan Ehsan.
Cepat pula Suraya mendapatkan maklumat yang dimintanya itu, padahal baru petang semalam dia memberitahu gadis yang bertugas sebagai pengendali sistem di jabatan teknologi maklumat.
"Kau tengah siasat kes apa pulak ni? Diam-diam kau suruh Suraya cari maklumat orang tu dalam sistem? Biasanya hal-hal macam ni, kau akan minta tolong Aizat aje? Kau cuba rahsiakan apa-apa ke?" tanya Ehsan.
Jihad membatu.
"Ad, kau bukan siasat pasal kes jenayah seksual dan pelacuran tu lagi, kan? Ingat, Tuan Ramli dah suruh kita hentikan siasatan kes tu buat sementara waktu. Lepas apa yang jadi kat kau semalam, kita kena relaks dulu. Kau jangan memandai-mandai pulak siasat kes tu lagi tanpa kebenaran. Bahaya! Takut kes tu ada kaitan dengan sindiket dadah." Panjang lebar Ehsan mengomel.
Jihad masih membisukan diri di tempat duduknya.
"Hei, kau dengar tak ni?"
Bisu lagi.
"Ad! Kau dengar tak?"
"Yalah, aku dengar. Tak payahlah sibuk nak membebel lagi. Rimas betul!" Jihad mendengus.
Sambil itu jarinya laju membuka sampul surat yang berada di tangannya.
"Aku bukan saja-saja nak membebel. Aku ni cuma bagi nasihat. Jadi apa-apa nanti, bukan kau seorang aje yang kena tapi semua orang kat jabatan terjejas sekali."
Jihad kembali mendiamkan diri. Malas mahu mendengar ucapan yang dilontarkan oleh Ehsan. Dia hanya memberi fokus pada sampul surat di tangannya.
Namun baru sahaja Jihad ingin mengeluarkan beberapa helai kertas yang terkandung di dalam sampul surat dalam genggamannya itu, anak matanya tiba-tiba terlempar pada cermin hadapan kereta.
Sepantas kilat Jihad mencampakkan sampul surat di tangannya itu ke tempat duduk belakang lalu mencapai walkie-talkie.
"Subjek dah muncul," ujarnya apabila ternampak kelibat seorang lelaki berbangsa asing yang baru terpacul di muka pintu sebuah rumah kedai.
Ehsan spontan mengalihkan tumpuan ke situ.
"Okey semua, bersedia. Pastikan subjek tak terlepas dan yang penting, hati-hati." Kedengaran suara ketua mereka membalas.
Dalam seminit, Jihad menapak keluar dari kereta dan tindakannya turut diekori oleh Ehsan.
[Bersambung...]
** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.
*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :
1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna
2. Instagram : @Damya_Hanna.