Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
67,985
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4a

BAB 4 (JERKAH)


TIHANI merengus perlahan. Dari tadi, dia tidak dapat memberi sepenuh tumpuan pada pemanduan. Mindanya asyik terkenang-kenang sikap Bariah pagi tadi. Malah, dia turut terfikir-fikir, apa sebenarnya yang terjadi selepas dia kembali ke unit kediamannya sejurus menceroboh masuk ke rumah jiran sebelah?


Sejujurnya, perkara terakhir yang Tihani ingat ialah dia ternampak beberapa titis cecair yang disyaki darah di atas permukaan lantai. Selepas itu, dia langsung tidak ingat apa-apa. Kotak memorinya seolah-olah jadi kosong. Segala-galanya samar tanpa sebarang petunjuk.


'Ah, lantaklah!' getus Tihani akhirnya. 


Malas pula dia mahu memberatkan otak memikirkan persoalan yang remeh. Fokusnya kembali diletakkan ke arah jalan raya. Waktu sudah menuju ke pukul 11.30 pagi. Dia baru selesai membuat penghantaran barang kepada pelanggannya di pejabat pos. Jadi, urusan kerjanya sudah selesai untuk hari itu. Dia boleh terus pulang ke rumah. Yay!


Ketika kenderaannya melalui kawasan deretan lot kedai di tepi jalan, Tihani tersedar yang waktu makan tengah hari sudah tiba. Terus dia memperlahankan kelajuan. Kemudian melilaukan anak mata. Mahu mencari kotak parkir kosong. Kebetulan dia ternampak satu kenderaan berundur keluar. Tangannya tangkas menarik pedal untuk memberi isyarat.


'Alhamdulillah, lega!' bisiknya ketika mematikan enjin.


Kawasan lot kedai itu bukan sahaja mempunyai banyak kedai makan, tetapi terdapat juga kedai-kedai lain yang menjual pelbagai produk dan perkhidmatan.


Disebabkan itu, lokasi ini sering menjadi tumpuan penduduk di sekitar bandaraya Shah Alam terutamanya pelajar-pelajar kolej dan universiti berdekatan.


Tihani menerobos keluar. Matanya ligat memerhati kedai makan yang patut dituju. Memandangkan hari itu Bariah akan pulang lewat dan dia hanya sendirian, eloklah dia membeli hidangan yang mudah sahaja. Setakat makan seorang, malas pula dia hendak memasak di rumah. Makan malam nanti, dia akan fikirkan kemudian.


Tihani membuat keputusan untuk membeli makanan tengah hari di kedai yang hanya berjarak 20 meter. Dia terpaksa bersesak-sesak selama 15 minit di kedai itu sebelum kembali ke keretanya.


Selain nasi campur, sempat juga dia memesan sebungkus air sirap limau untuk membasahkan tekaknya yang terasa kering. Mungkin kerana cuaca tengah hari itu agak panas terik, maka dia kehausan.


Semasa Tihani kian mendekati kotak parkir, tancapan matanya tiba-tiba terfokus pada seseorang.


'Nampak macam kenal!' Dia menggumam sebelum otaknya memaksa gerakan kaki dihentikan.


'Kalau tak silap, itu lelaki yang tinggal kat sebelah rumah. Tapi, apa dia tengah buat tu?' Tihani tertanya-tanya sambil mengamati gelagat lelaki berambut panjang yang sedang terhendap-hendap tidak jauh dari keretanya.


Ruang dada Tihani terus dihunus perasaan kurang enak. Bila ternampak lelaki itu berpaling ke belakang, Tihani cepat-cepat bersembunyi di sebalik tiang.


Macamlah tubuhnya kecil sangat. Sah-sah saiz tiang itu tidak mampu melindungi kebesaran tubuhnya. Mengingatkan itu, Tihani segera berpura-pura sibuk melihat skrin telefon. Berharap lelaki itu tidak perasan dirinya di situ.


Setelah beberapa saat berlalu, Tihani memberanikan diri mengintai ke tempat tadi. Namun, dia mendapati lelaki itu sudah tiada. Pantas dia meliarkan anak mata. Tercari-cari di sekitar kawasan sambil membawa langkahnya menghala ke kereta. Kelibat lelaki itu benar-benar sudah lesap entah ke mana.


Semasa menarik pintu kereta, Tihani tiba-tiba teringat sesuatu. Pandangannya terus ditala ke setiap ceruk kawasan.


'Rasanya, inilah deretan kedai yang menjadi fokus teleskop di rumah lelaki itu semalam!' bisik hati Tihani.


'Ya, memang ini kawasannya!' 


Tihani teramat yakin kerana dari situ jelas kelihatan dua blok bangunan Apartmen Baiduri Alam terpacak di kejauhan.


'Maka tak syak lagi, ada sesuatu yang tak kena tentang lelaki itu. Jadi, betullah perasaan waswas yang dirasainya selama ini bertempat!' getus Tihani lagi sambil menghidupkan enjin kereta.


Dia memulakan pemanduan dengan perasaan yang penuh curiga. Baru sahaja beberapa meter kenderaannya bergerak, tidak semena-mena dia terpandang semula kelibat lelaki tadi.


Lelaki itu sedang berada di laluan jalan raya yang bertentangan. Seolah-olah sedang mengekori seseorang. Tihani spontan membawa keretanya ke bahu jalan. Lalu menekan pedal brek. Fokusnya dibiarkan memanah ke arah lelaki itu. Lama!


Akhirnya, dia mendapat jawapan. Nampaknya benar! Lelaki itu memang sedang memerhati gerak-geri seorang wanita.


"Tak boleh jadi ni. Aku kena selamatkan perempuan tu. Mesti lelaki tu cuba nak apa-apakan perempuan tu! Entah-entah... dia nak ragut beg tangan perempuan tu! Hisy, memang nak kena!" Tihani membuat andaian. Lantas, dia kembali memandu.


Setelah membuat pusingan U di sebuah bulatan, Tihani cepat-cepat menghentikan keretanya di hadapan lelaki berambut panjang itu. Berdecit bunyi tayarnya sewaktu brek ditekan dalam keadaan mengejut. Terpinga-pinga lelaki itu dengan tindakan drastiknya.


Bila ternampak lelaki itu masih cuba mendekati seorang wanita tanpa langsung menghiraukannya, Tihani tangkas menapak keluar. Mungkin juga lelaki itu mahu melarikan diri.


Justeru tangan Tihani deras mencapai sekaki payung dari bawah tempat duduk pemandu.


"Kau nak buat apa kat perempuan tu sebenarnya, hah?" jerkahnya tanpa menunggu.


[Bersambung...]


*** Nak lagi ke tak nak? Komen suka baru Kak Damya upload next part. ;)

Previous: Bab 3
Next: Bab 4b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna