Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
57,205
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

BAB 12 (MENTAL)

"KALAU kau tak kenal mana-mana mekanik, kau boleh pergi bengkel ni. Kat seksyen 13. Cakap Jihad yang suruh kau pergi sana." Jihad menghulurkan sehelai kertas kecil kepada Tihani.

Tihani memandang Jihad dan kertas di tangan lelaki itu silih berganti.

"Tapi kalau kau tak nak pun tak apa." Jihad ingin berpatah semula ke keretanya.

Tihani segera merampas kertas daripada tangan Jihad itu.

Tindakan drastik Tihani membuatkan Jihad terkejut. Pandangannya terus memanah gadis itu yang kini memandangnya tersipu-sipu.

"Err... terima kasih. Kebetulan saya memang tak kenal mana-mana mekanik pun." Tihani cepat-cepat beralasan.

Jauh di sudut hati, dia sendiri turut terkejut dengan respons agresifnya tadi. Naik malu pula dibuatnya.

Jihad tiba-tiba ketawa kecil.

"Kenapa?" Tihani pelik.

"Tak ada apa-apa."

"Tapi, awak ketawa. Kenapa? Awak gelakkan saya eh? Apa yang kelakar?"

"Taklah. Mana ada aku gelakkan kau?"

"Habis tu, apa sebabnya awak ketawa? Takkan suka-suka?"

"Kalau suka-suka pun, kenapa? Tak boleh?" bidas Jihad.

Sejujurnya, dia memang tertawa kerana merasakan sikap Tihani tadi telah mencuit hatinya.

"Bukanlah tak boleh, tapi orang yang suka-suka ketawa ni selalunya ada sesuatu tak kena kat otak dia. Senang cerita, orang panggil... mental." Tihani mendapat idea untuk berkata begitu.

"Oh, mental ya! Suka hatilah nak anggap aku macam tu. Tapi, sekurang-kurangnya mental aku ni dengan cara berhemah. Tak adalah macam orang yang aku jumpa semalam. Lagi bahaya mental dia!"

Tihani spontan merapatkan bibir. Terkedu. Tersentap. Cis!

Saat fokusnya dan Jihad bersatu, dilihatnya lelaki itu masih tersenyum simpul. Eh, geram pula Tihani dengan sikap loyar buruk Jihad yang tidak disangka-sangka itu!

Walaupun Jihad tidak menyebut nama sesiapa, tetapi Tihani tahu lelaki itu memaksudkan 'orang yang dijumpai semalam itu' adalah dirinya. Macamlah dia dungu sangat sampai tidak boleh membaca apa yang diterjemahkan oleh kata-kata Jihad.

Cis sekali lagi!

"Kau nak tahu apa yang lagi mental? Orang tu dah buat salah, tapi sikit pun dia tak minta maaf." Jihad menyambung dengan wajah selamba.

"Hei, tolong sikit ya? Kakak saya dah minta maaf kat awak bagi pihak saya semalam. Jangan nak buat-buat lupa!" Tihani segera membela dirinya.

Dan sebaik melepaskan bait-bait itu, Tihani terkedu. Senyuman di bibir Jihad yang dilihat semakin melebar telah menyedarkannya. Tihani mula mengerti apa yang Jihad cuba lakukan. Sengaja mahu serkap jaranglah tu!

'Tak guna! Cis kuasa infiniti!' detik hati Tihani.

"Laaa, kau ke orang yang aku jumpa semalam tu? Baru aku perasan." Jihad kembali berbicara.

Tihani merengus.

"Dahlah. Kalau awak setakat nak perli-perli saya, baik saya minta diri dulu."

Terlepas ketawa Jihad.

Tihani benar-benar mengorak langkah. Langsung tidak mempedulikan bunyi ketawa Jihad yang menyakitkan hatinya.

Tahulah dia memang bersalah, tapi perlukah Jihad mengungkit sampai membuatkan dia rasa malu?

'Eeeiii geramnya!'

"Hani!"

Namanya kembali kedengaran. Tihani pura-pura tidak mendengar. Malas mahu melayan Jihad lagi. Nanti ada-ada sahaja yang lelaki itu katakan untuk memperlekehkan dirinya.

"Hani!"

Tihani tetap berpura-pura tidak mendengar.

"Hani!"

"Apa dia?"

Tihani akhirnya berpaling bila Jihad seolah-olah tidak mahu mengalah.

Langkah Jihad terhenti. Dia terkejut dengan suara kuat yang baru dilontarkan oleh Tihani.

Melihat respons Jihad itu, Tihani berdeham.

"Apa dia?" Nadanya kali ini diperlahankan.

Bila difikir-fikir memang agak kuat suara yang dilepaskannya sekejap tadi. Mungkin sudah bergema ke seluruh kawasan Apartmen Baiduri Alam.

"Kat belakang kertas tu ada nombor telefon aku. Kalau ada apa-apa masalah, kau boleh telefon bila-bila masa," beritahu Jihad.

Tihani melirik kertas yang dimaksudkan. Kelihatan sebaris nombor 10 digit yang ditulis dengan pen berwarna hitam di situ.

"Manalah tahu kereta kau mati kat tengah jalan sebelum sempat sampai ke bengkel, terus telefon aku. Nanti aku contact orang kat bengkel tu untuk tolong kau." Jihad menjelaskan.

Perasaan jengkel yang berkeliaran di hati Tihani serta-merta lebur. Digantikan dengan perasaan terharu. Keprihatinan Jihad membuatkan Tihani rasa begitu.

Tiba-tiba Jihad menghulurkan sebuah telefon bimbit ke arahnya. Tihani tidak faham lalu mengerutkan dahi.

'Dia nak suruh aku buat apa? Takkan nak bagi telefon tu kat aku? Eleh, aku pun ada telefon bimbitlah!'

"Masukkan nombor telefon kau kat dalam tu," terang Jihad bila menyedari Tihani tidak memahami maksud tindakannya.

Bertambah berkerut dahi Tihani.

"Awak nak buat apa dengan nombor telefon saya?"

"Aku nak simpan dalam senarai contact. Kalau kau telefon nanti, aku tahulah tu nombor kau," jawab Jihad.

Tihani berasa curiga.

"Jangan risau! Aku bukan nak minta nombor telefon kau sebab suka-suka. Aku cuma nak simpan sebab aku jarang jawab panggilan daripada nombor yang aku tak kenal."

Tihani membuat muka. Tanpa banyak soal, dia mencapai telefon bimbit daripada tangan Jihad.

Tak sampai seminit, nombor telefonnya berjaya disimpan ke dalam senarai pemanggil.

"Okeylah, aku blah dulu." Jihad mengambil semula telefon bimbitnya sebelum mengorak langkah ke keretanya.

"Encik Jihad!"

"Kan aku kata panggil Jihad aje!" Jihad memusingkan kepala.

"Yalah, Jihad!" Tihani tangkas menyahut.

"Kenapa?"

"Hmm..." Tihani teragak-agak.

Jihad sabar menanti.

"Terima kasih sebab sudi luangkan masa awak tolong saya hari ni. Dan..."

Tihani menoktahkan bicara untuk beberapa saat. Dia menelan air liur yang seolah-olah tersekat di saluran kerongkongnya.

"Saya minta maaf sebab dah salah anggap pasal awak. Semalam, saya serang awak tanpa usul periksa. Saya tahu saya tak patut minta kakak saya yang wakilkan saya untuk minta maaf pada awak malam tadi, tapi... saya..." Benak Tihani tercari-cari ucapan yang sesuai untuk diberikan, tetapi entah kenapa otaknya tidak menemukan ayat itu.

"Saya... err..." Tihani menelan air liur.

"Saya apa?"

Tihani memandang Jihad. Sedetik kemudian, dia membuka mulut.

"Saya nak cakap tu ajelah."

Ada seulas senyuman terukir di bibir Jihad.

Kenapa semakin lama dia melihat peribadi Tihani, semakin hatinya rasa tertarik?

What is wrong with you, Jihad?

"Oh ya, ada lagi satu!" Tihani akhirnya teringat.

"Pasal CCTV kat rumah awak tu... boleh tak kalau awak tak laporkan pada polis? Sumpah, saya tak ambil apa-apa pun kat rumah awak! Saya cuma masuk sebab nak cari bukti lepas saya fikir, awak ada buat sesuatu yang mencurigakan. Tapi, saya tak jumpa apa-apa pun, jadi saya terus keluar," jelas Tihani panjang dan sungguh-sungguh.

Walaupun kurang ingat segala kejadian ketika di rumah Jihad, tapi Tihani yakin tiada apa yang diambil dari rumah lelaki itu.

"Ya tak ya, saya ada ambil gambar dan rakam video, tapi saya dah delete lepas tahu pasal identiti awak. Saya cakap betul! Kalau awak nak check telefon saya pun boleh," tekan Tihani lagi bila Jihad belum bersuara.

Dia ingin menghulurkan telefon bimbitnya kepada lelaki itu, tapi...

"Sebenarnya CCTV tu tak wujud pun!"

Tihani terasa dunianya bagai terhenti. Serentak dia mendongak memandang Jihad.

"Apa?" soalnya.

Sengihan di bibir Jihad kini tampak semakin jelas.

"CCTV tu tak wujud."

"Tapi semalam masa kat dalam lif awak sebut pasal CCTV macam awak betul-betul yakin saya masuk rumah awak! Macam mana awak boleh..."

Jihad terlepas gelak.

"Itulah hebatnya firasat seorang detektif!" ujar lelaki itu.

Tihani memejam rapat kelopak matanya sambil menarik nafas dalam-dalam. Maknanya semasa di dalam lif petang semalam Jihad cuma membuat andaian?

Jadi, Jihad sengaja sebut pasal CCTV sebab ingin melihat reaksinya dan tiba-tiba jerat itu mengena? Tihani cuba menenangkan hatinya yang kini bergelodak.

'Sabar, Hani! Sabar. Kau tak ada hak untuk marah sebab memang kau yang bersalah!

Apa yang penting kat sini bukan lagi tentang kewujudan CCTV, tapi tindakan kau yang sesuka hati ceroboh masuk rumah orang! Sekarang, kau cuma kena merayu pada Jihad supaya dia maafkan kau dan berharap dia tak ambil tindakan.

Walaupun tak ada bukti kau masuk rumah dia, tapi kau tetap kena buat macam tu sebab kau dah jelas-jelas buat pengakuan!'

"Okeylah, aku berterus terang. Sebenarnya, aku tahu ada orang ceroboh masuk rumah aku bukanlah sebab firasat aje. Tapi, aku ada jumpa satu benda."

Tihani tersedar.

"Benda apa?"

Kali ini dia nampak Jihad melangkah menuju ke Mitsubishi Lancer.

Tiba-tiba lelaki itu datang semula ke arahnya, kemudian menghulurkan sesuatu.

Tihani berkira-kira untuk menyambut.

"Aku rasa benda ni bukan aku punya."

Akhirnya, Tihani menadah tapak tangannya. Serentak, Jihad meletakkan sesuatu di situ.

Sebaik melihat seutas rantai emas bersama loket yang kini berada dalam genggamannya, Tihani bagai terkedu. Sekali gus dia meraba-raba lehernya yang terselindung di sebalik tudung.

Jelas, rantainya yang selama ini tersangkut di situ telah tiada!

Pandangannya spontan memanah ke wajah Jihad. Dia nampak ada senyuman mengejek di situ. Umpama Jihad memang menunggu reaksinya. Patutlah Jihad begitu yakin bercakap tentang CCTV di hadapan mukanya semasa di dalam kotak lif semalam.

'Ya ALLAH, cuai betul aku ni!'

Tihani tersedar bila Jihad dilihatnya kembali berpatah ke kereta. Dia cuba membuka mulutnya untuk berkata sesuatu, tetapi Jihad terlebih dulu bersuara.

"Jangan risau, aku takkan ambil apa-apa tindakan. Hal kecil aje," tutur lelaki itu sebelum masuk ke perut Mitsubishi Lancer.

"Tapi, aku rasa kau pun boleh apply jadi detektiflah. Aku diberitahu, kau masuk rumah aku hari tu melalui pintu sliding. Berani betul kau ni! Kalau kau berminat, nanti aku inform kalau ada jawatan kosong. Mana tahu kau boleh jadi macam Detektif Conan." Sempat Jihad berkata sebelum menutup pintu. Ketawanya masih kedengaran.

Tihani terasa wajahnya panas. Tersangat panas! Namun, dia tidak sempat membalas ucapan Jihad bila Mitsubishi Lancer lelaki itu dilihat bergerak pergi.

Tak sampai seminit, kereta itu kabur dari kawasan parkir apartmen.

'Apa? Detektif Conan? Aduh, sabar ajelah!'

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham