Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
57,942
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

BAB 11 (BEBEL)

"HISY kau ni, nasib baik tak apa-apa!" Jihad membebel-bebel setelah keadaan menjadi reda.

Tihani hanya membisu sambil sesekali menggenggam jari-jemarinya. Entah kenapa, dia terasa kebas sejurus Jihad meleraikan pegangan di tangannya.

"Apa yang kau buat tadi tu bahaya tahu tak? Kalau jadi apa-apa, macam mana?" Suara Jihad agak tinggi.

"Manalah saya tahu kalau nak cabut kabel tu kena ikut reverse order," balas Tihani.

"Lain kali kalau tak tahu, duduk diam-diam!"

Tihani mengetap bibir. Tersentap dengan teguran Jihad.

"Kalaulah aku lambat tarik tangan kau tadi, mesti banyak benda dah terbakar kat enjin kereta kau tu. Silap-silap kau pun sama-sama dah terbakar sekali."

"Yalah... yalah... terima kasih banyak-banyak sebab dah bertindak cepat dan selamatkan saya!" ujar Tihani.

"Aku bukan nak dengar kau cakap terima kasih."

"Habis tu, saya nak cakap apa? Minta maaf? Tapi, bukan salah saya pun! Saya memang tak sengaja. Bukannya saya suka-suka nak cabut kabel tu. Awak pun satu! Kenapa nak sergah saya sampai buat saya terkejut? Kalau awak tak buat macam tu, tak adalah saya kelam-kabut nak letak kabel tu balik sampai tersalah tempat!"

"Sekarang ni, kau nak salahkan aku pulak?" soal Jihad.

Serta-merta Tihani terdiam. Tersedar yang dia sedang cuba mempertahankan diri daripada mengaku salah. Padahal situasi cemas yang terjadi sah-sah silapnya sendiri.

Bagai ternampak-nampak percikan api semasa kepala kabel jumper berlaga dengan kepala bateri.

Yang peliknya, semasa berdepan situasi yang mengejutkan itu mindanya seakan-akan dibayangi sesuatu. Tapi apakah ia?

Mungkinkah percikan api itu menyebabkan kotak memorinya mengimbas kembali apa yang pernah terjadi pada masa lalu? Entahlah. Tihani kurang pasti.

Keheningan suasana mula menguasai kawasan parkir apartmen bila angin pagi bertiup perlahan. Tanpa sedar, Tihani kembali menggenggam tangan kanannya. Dia seperti terasa-rasa kebas di setiap tiang jarinya itu. Malah, tapak tangannya turut berasa hangat tiba-tiba.

Apakah itu kesan normal yang patut dirasai seseorang akibat terkena renjatan elektrik? Tapi memang wujudkah renjatan elektrik seketika tadi?

Habis tu kalau tak ada, mengapa pula jari-jemarinya boleh berasa kebas? Takkan disebabkan tindakan Jihad menarik tangannya yang tidak disangka-sangka?

"Tangan kau tu okey ke? Ada apa-apa luka tak? Kesan lecur ke?" Jihad terpanggil untuk bertanya.

Mungkin kerana sedari tadi dia asyik ternampak Tihani menggenggam jari-jemari, lalu dalam diam dia berasa risau. Manalah tahu gadis yang kurang beberapa inci ketinggian daripadanya itu mengalami kecederaan akibat kejadian cemas seketika tadi.

"Tak adalah. Saya okey." Tihani cepat-cepat menggeleng. Tangkas menyorokkan tangan di belakang.

Jihad mengerling Tihani. Cuba mencari kepastian. Walaupun tiada jawapan pasti ditemui daripada raut gadis yang sedang berdiri berhampirannya itu, dia akhirnya mengangguk.

Cukuplah setakat itu dia mengambil berat atas rasa tanggungjawab. Kalau melebih-lebih nanti takut niatnya disalah erti. Lagipun dia telah sedaya upaya bertindak pantas menarik tangan Tihani tadi, pastilah Tihani berasa terkejut.

Jihad merapatkan bonet hadapan Perodua Myvi. Tanpa sedar, dia turut menggenggam jari-jemari kanannya yang tiba-tiba diserang sesuatu.

'Argh, dah kenapa pulak dengan tangan aku ni? Tiba-tiba rasa lain macam pulak!' desisnya.

Namun, dia tangkas mengawal diri bila perasan Tihani sedang meletakkan fokus padanya.

"Kereta kau pun nampak okey buat masa ni. Tapi aku rasa, kalau nak lebih selamat elok kau singgah mana-mana bengkel dulu lepas ni. Suruh mekanik check. Takut kalau-kalau ada barang terbakar masa jumper tu berlaga dengan kepala bateri tadi." Jihad memberi cadangan.

"Singgah bengkel?"

"Kebetulan kau pun nak tukar bateri, kan? Jadi, alang-alang tu periksalah enjin sekali."

"Tapi, enjin kereta saya ni elok aje hidup?"

"Memanglah. Tapi, apa kata ambil nasihat aku sebagai langkah berjaga-jaga? Aku pun bukan arif sangat pasal kereta. Dibuatnya enjin kau tiba-tiba bermasalah masa kat tengah jalan nanti lagi susah!" Jihad berhujah.

Betul juga! Tihani menyokong.

Sambil itu benaknya tercari-cari bengkel mana yang patut dituju. Selama ini, apa jua urusan berkenaan keretanya akan terus dirujuk ke pusat servis. Itupun bila tiba masa untuk keretanya diperiksa.

'Argh, macam mana nak terangkan pada mekanik kalau aku singgah bengkel kejap lagi? Dibuatnya mekanik tu kata ada barang nak kena tukar, patut ke aku terus setuju?'

'Mungkin mekanik tu boleh tipu, padahal kereta aku sebenarnya tak ada masalah pun.'

'Bukannya perkara aneh orang perempuan senang kena kelentong jika berkaitan kereta!' Tihani bermonolog.

Fikirannya tak sempat berlayar jauh bila dia ternampak kelibat Jihad berlalu ke arah Mitsubishi Lancer.

Menyedari bantuan Jihad cuma setakat itu, Tihani melepaskan keluhan berat. Lambat-lambat dia bergerak ke arah Perodua Myvinya pula.

"Hani..."

Tiba-tiba Tihani terdengar namanya diseru. Segera dia berpaling. Lantas mendapati Jihad sedang menghampirinya.

'Eh, dia tahu nama aku?' Hati kecil Tihani berdetik, sekali gus dihunus rasa tak percaya.

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.


Previous: Bab 10b
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham