BAB 2 (CEROBOH)
SUDAH seharian Bariah memujuk, namun Tihani tidak peduli. Dia bertegas dengan keputusan yang dibuat sejak malam tadi. Dia tetap mahu meneruskan rancangan, memasuki rumah jiran mereka sebaik sahaja lelaki mencurigakan itu keluar seperti kelaziman pada malam hari.
"Hani, tolonglah dengar cakap aku! Sekali ni aje. Kenapa degil sangat? Tak payah masuk rumah dia!" Bariah tak putus-putus menghalang.
Geram pula bila Tihani tidak mahu mendengar katanya. Walhal sudah penat bibirnya berbicara demi mematahkan rencana adiknya itu. Terasa hampir berbuih mulutnya.
"Relakslah, Bariah. Kan aku dah kata jangan risau!"
"Macam mana aku tak risau? Kau sendiri kata lelaki tu bahaya. Kalau jadi apa-apa kat kau nanti, macam mana?"
"Aku dah perhatikan rutin lelaki tu nak dekat seminggu. Lepas keluar rumah, dia takkan balik sampai pagi. Aku masuk rumah dia pun bukannya nak duduk lama-lama. Kejap aje. Bila dah jumpa apa-apa barang yang boleh dijadikan bukti, aku keluarlah." Tihani menekan.
Lirikannya menuju ke arah jam dinding. Lagi lima minit jarum jam akan menghala pukul 11.00 malam. Sebentar lagi, lelaki yang tinggal berjiran dengan mereka itu akan keluar rumah seperti selalu.
"Hani, masuk rumah orang tanpa kebenaran tu namanya menceroboh. Menceroboh tu satu jenayah tahu tak?"
"Ya, aku tahu."
"Habis tu? Kenapa kau tetap nak masuk rumah dia? Lagipun macam mana kau nak masuk? Cuba cakap? Biar aku faham, apa sebenarnya rancangan kau!"
"Aku akan masuk ikut pintu sliding rumah dia. Kan aku pernah cerita... lelaki tu selalu biarkan pintu sliding dia tak tutup rapat?"
Terus Bariah membulatkan biji mata.
"Maknanya, kau nak masuk rumah dia ikut balkoni tu? Hei, kau ni betul-betul dah hilang akal ke apa?"
"Sabar... sabar... aku akan berhati-hati dan aku janji... takkan ada sesiapa yang tahu aku masuk rumah dia kecuali kau. Okey?"
"Hani..."
"Cuba bawa bertenang, Bariah."
"Aku nak bertenang macam mana? Kau baru aje beritahu aku yang kau nak bahayakan diri sendiri... ikut balkoni tu sebab nak menceroboh masuk rumah orang! Kau sedar tak ni?"
"Kau anggaplah apa yang aku buat ni untuk membasmi jenayah kat kawasan rumah kita."
"Basmi jenayah hekkk kau!" Bariah naik geram.
Tihani rasa hendak ketawa, tapi dia berlagak selamba.
"Aku cuma nak hidup tenteram. Takkan selama-lamanya kita nak biarkan hidup kita tak selesa macam ni, kan?" Tihani akhirnya memberi alasan.
"Apa pun alasan kau, aku tetap tak setuju! Kalau kau nak teruskan juga, jangan terkejut kalau aku sendiri yang telefon polis. Biar kau yang kena tangkap. Padan muka!" Bariah mengugut.
Tihani menatap raut wajah kakaknya. Dia cuba berkata sesuatu, namun perhatiannya tiba-tiba dicuri. Gegendang telinganya digigit dengan bunyi daun pintu jeriji yang berkeriuk tanda baru dibuka.
Cepat-cepat Tihani melangkah ke pintu rumah. Telinganya lantas dilekapkan ke papan pintu yang berwarna coklat.
Dapat didengari bunyi pintu gril di sebelah rumahnya yang berlaga-laga dengan engsel. Pada waktu yang sama, ada bunyi anak kunci yang sayup-sayup memecah sunyi.
Beberapa detik, Tihani membekukan diri di sebalik pintu. Sehinggalah dia mendapati derapan tapak kaki yang memakai kasut but mula bergerak melepasi unit kediaman sewanya. Akhirnya, bunyi itu menghilang dibawa angin lalu.
"Okey, dia dah pergi!" kata Tihani.
Serentak itu, langkahnya diayun tangkas ke arah balkoni.
"Aku cuma perlukan 15 minit aje," tambahnya yang sepantas kilat memanjat besi penghadang di bahagian balkoni rumah mereka.
"Ya, ALLAH... Hani!"
Bariah tersentak melihat aksi bahaya adiknya itu. Dia baru hendak mengeluarkan kata-kata, tetapi kaki Tihani sudah pun berpindah ke unit sebelah. Tidak sampai lima saat, tubuh Tihani dilihatnya sudah melesap di sebalik tembok dinding.
Bariah cepat-cepat bergerak ke situ. Setelah diintai, kelihatan Tihani sudah tiba di ruang balkoni rumah jiran mereka. Spontan dia memuntahkan nafas lega.
Tidak hairanlah adiknya itu pernah bergelar olahragawati sekolah. Sebagai seorang atlet yang aktif dalam pelbagai bidang sukan, pastilah gerak-geri Tihani begitu tangkas dan lincah.
Mungkin juga kelincahan Tihani itu disebabkan pengalaman sebagai ahli pasukan kadet yang sentiasa mengikuti program luar. Malah sehingga kini, Tihani masih rajin melaksanakan apa jua aktiviti sukan lasak bila mempunyai kelapangan masa.
"Aku janji 15 minit aje. Kejap lagi aku keluar," ujar Tihani sewaktu menoleh ke arah Bariah. Dia tahu kakaknya kerisauan.
Rengusan Bariah terhambur.
"Degil betullah kau ni, Hani. Nasihat aku tak pernah kau nak dengar. Aku ni kakak kau tau!"
Tihani hanya tersengih.
"15 minit aje. Betul!" tegasnya bersungguh-sungguh.
Bariah merengus lagi. Lebih deras. Nak tak nak, dia mengangguk. Terpaksa bersetuju.
"Hati-hati. Jangan usik satu pun barang-barang dia. Jangan tinggalkan apa-apa kesan langsung!" Bariah segera berpesan.
Dia sudah tiada jalan lagi selain akur dengan tindakan adiknya. Jika dipujuk sekarang pun, tidak mungkin sama sekali Tihani akan mendengar cakapnya.
Tihani angguk. Dalam sedetik, dia melenyapkan diri di sebalik pintu gelangsar rumah sebelah. Tidak mahu membuang masanya.
[Bersambung ...]
** Komen please! Nanti Kak Damya update lagi bahagian seterusnya. Muahhh...