Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
67,971
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4b

BAB 4 (HEMPUK)

Lelaki itu tidak mempedulikan jerkahan Tihani sebaliknya dia kelam-kabut mengejar perempuan tadi.

"Tunggu... tunggu!" kata lelaki itu sambil memanggil seorang wanita Melayu yang sudah berjaya menahan teksi.

"Hoi, tunggulah!"

Lelaki itu masih cuba menghalang teksi daripada berlalu. Apakan daya, tidak sampai lima saat teksi terus bergerak meninggalkan kawasan itu.

"Apa hal kau ni?"

Lelaki itu terus membentak selepas melihat teksi berlalu pergi. Tetapi dia seakan terpaku bila matanya melekap di wajah Tihani. Hanya seketika, dia tersedar semula. Cepat-cepat dia menyeluk kocek seluar untuk mengambil telefon bimbitnya.

"Cepat ambik aku kat tempat tadi. Perempuan tu dah lari naik teksi."

Tihani terdengar lelaki itu berbicara di telefon. Tak tahu dengan siapa.

'Eh, biar betul! Berani dia marah aku?' getusnya bengang. Pada waktu sama, kelihatan lelaki itu ingin beredar.

"Kau nak lari ke mana?"

Tihani cepat-cepat mengekori. Teringat payung di tangannya. Sepantas kilat, dia membuka payung itu. Lalu dilayang-layangkan ke arah lelaki berambut panjang itu.

Terkejut dengan improvisasi Tihani yang spontan, lelaki itu berusaha mengelak.

"Kau ingat, aku tak tahu apa yang kau nak buat kat perempuan tadi tu?" marah Tihani.

"Eh, kau ni kenapa?" Lelaki itu menolak payung Tihani yang ditala-talakan tepat ke wajahnya. Rimas!

"Kau nak ragut perempuan tadi tu, kan?"

Tihani masih bertungkus lumus menghadang lelaki itu daripada berlalu. Payung terus-menerus diunjurkan ke hadapannya.

"Ragut? Hei, apa sebenarnya masalah kau ni? Kau kenal perempuan tadi tu ke?" tanya lelaki itu tiba-tiba.

"Kenapa? Aku perlu kenal dia ke untuk selamatkan dia?"

Lelaki itu merenung wajah Tihani. Akhirnya, dia merengus.

"Dahlah, tepi! Mengganggu betul. Buat orang buang masa aje," rungut lelaki itu sambil cuba melintas jalan. Dia tak boleh berlama-lama kerana mempunyai urusan yang lebih penting.

Tihani bertindak pantas. Dia menutup payung sambil berlari ke arah lelaki itu.

"Kau nak lari ke mana?"

"Tepilah. Aku tengah buat kerja ni!"

"Kerja? Haa... aku dah agak! Memang inilah kerja kau sebenarnya, kan? Kau nak ragut perempuan tadi tu! Lepas ni kerja apa pulak yang kau nak buat? Mesti kau nak cari mangsa lain, kan? Memang manusia tak bertamadun betul!" Tak semena-mena Tihani berasa geram.

Tidak sempat lelaki itu meneruskan perjalanan, dia terus menyerang. Entah dari mana datangnya kekuatan, laju sahaja dia menghempuk lelaki itu dengan payung. Biar lelaki itu rasa!

"Disebabkan orang macam kau yang selalu mengancam keselamatan, semua perempuan takut nak keluar rumah. Haa, rasakan!"

Tihani membebel-bebel sambil terus memukul lelaki itu dengan payungnya. Sesekali, dia turut mencucuk-cucuk tubuh lelaki itu dengan hujung payungnya yang runcing.

"Aduh, sakitlah!"

Lelaki itu gagal mengelak. Malah tak bersedia, mempertahankan diri. Dia hanya mampu mengaduh kesakitan dalam keadaan terpinga-pinga.

"Adik... adik... cepat telefon polis! Lelaki ni peragut. Penyamun. Tadi, akak baru nampak dia nak ragut seorang perempuan."

Tihani berkata ke arah sekumpulan remaja perempuan yang melalui kawasan itu. Mereka memandangnya pelik dan panik.

"Hei, apa hal pulak kau nak tuduh aku macam tu? Dik... perempuan ni gila! Dia ada masalah mental. Kalau nak telefon polis, report pasal dia aje." Lelaki itu cepat-cepat menyangkal.

"Jangan dengar cakap lelaki ni, dik. Cepat telefon polis sekarang! Cepat sebelum dia lari!" Tihani segera menyuruh.

Salah seorang daripada remaja perempuan itu menurut. Dalam pada itu, Tihani tak henti-henti membantai lelaki berambut panjang itu dengan payungnya. Tak mahu memberi ruang kepada lelaki itu datang menerpa dan menyerangnya pula.

Tidak sampai lima minit, sebuah kenderaan polis peronda berhenti di bahu jalan.

Suasana di situ serta-merta menjadi sibuk bila mana pertelingkahan Tihani dan lelaki itu menjadi tumpuan awam. Banyak kenderaan di jalan raya memperlahankan kelajuan untuk melihat apa terjadi. Tak kurang juga ada orang awam yang mengambil kesempatan merakamkan kejadian itu. Biasalah... zaman media sosial di hujung jari, segalanya cepat menjadi tular!

"Ni encik... tadi saya nampak lelaki ni cuba nak ragut seorang perempuan. Tangkap dia sekarang!"

Tihani menggamit seorang anggota polis yang baru keluar dari perut kereta.

"Okey, cik! Okey... tak payah pukul dia lagi."

Anggota polis yang lengkap berpakaian uniform itu segera mendapatkan lelaki dalam tahanan Tihani yang sudah terduduk.

"Cik boleh serahkan dia pada kami. Kami akan uruskan yang selebihnya dari sini," kata polis itu sambil menarik lelaki berambut panjang itu supaya bangun.

Tihani lega bila melihat anggota polis itu menjalankan tugas. Namun, dia tiba-tiba berasa pelik. Dia ternampak ada senyuman lucu yang terpamer di bibir polis tersebut.

"Ad, kau okey?"

Cuping telinga Tihani menangkap pula suara polis itu yang bertanya ke arah lelaki berambut panjang tadi.

'Ad?' Tihani mengerutkan dahi. Pandangannya melirik ke arah lelaki mencurigakan itu.

"Kau rasa aku okey ke?"

Lelaki yang mungkin bernama Ad itu menjawab ke arah anggota polis itu sambil mengerling Tihani dengan pandangan tajam.

'Eh, apa pulak yang berlaku ni? Mereka saling berkenalan ke?' Tihani berbisik keliru.

Tiba-tiba benaknya dicuit sesuatu.

'Entah-entah polis tu sedang menyamar?'

'Mungkinkah kedua-dua lelaki itu sebenarnya sudah berpakat dan berada dalam sindiket yang sama?'

"Cik boleh ikut kami ke balai?"

Kedengaran suara anggota polis bertanya.

Tihani tersedar.

"Saya? Ikut ke balai untuk apa?"

"Kami perlukan keterangan saksi," ujar polis itu, menjawab soalannya.

Tihani terpaku.

'Saksi? Ya tak ya, tak ada sesiapa yang nampak gerak-geri lelaki itu kecuali aku! Memang akulah saksi utama dalam kes ni! Aduhai, kenapa aku tak terfikir dari tadi?'

Saat otaknya ligat memikirkan perkara itu, Tihani tak semena-mena tersedar. Dia cepat-cepat mengangkat payung untuk menutup mukanya.

'Alamak, macam mana ni? Lelaki gila tu dah nampak seketul-seketul muka aku. Macam mana kalau dia cuba apa-apakan aku bila dia keluar penjara nanti?'

Minda Tihani ligat mencari jalan. Akhirnya, dia terfikirkan satu jawapan.

Patutkah dia meminta bantuan pihak polis supaya melindunginya di bawah Program Perlindungan Saksi?


[Bersambung...]

*** So far macam mana plot novel ni? Sudi-sudilah tekan vote ya. ;)


Previous: Bab 4a
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham