BAB 1 (CURIGA)
AINUL TIHANI kaget. Kelibat lelaki yang dilihat baru menapak keluar dari pintu rumah sebelah menyebabkan dia tidak jadi meneruskan langkah. Cepat-cepat dia berpatah arah. Sejurus memasuki semula rumah sewanya, Tihani menutup pintu. Sekali gus menyelak kunci.
Degupan jantungnya serta-merta menjadi laju. Bukan sahaja ibarat kompang, tapi umpama gendang yang diketuk bertalu-talu. TUHAN sahaja yang tahu betapa gementar tubuhnya tika itu.
"Eh, apa hal kau ni?"
Entah bila masa Bariah muncul lalu melempar pertanyaan kepadanya. Riak kakaknya itu nampak terpinga-pinga. Tidak faham dengan situasi yang terjadi.
Tihani yang sedang berdiri di belakang pintu rumah, spontan meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Memberi isyarat supaya Bariah tidak mengeluarkan sebarang suara.
Situasi itu membuatkan dahi Bariah berkerut. Terus dia mendekati Tihani. Menjongket-jongketkan kening tanda ingin tahu.
Pelik! Baru sekejap tadi Tihani memberitahunya ingin turun ke tingkat bawah. Tihani mahu mengambil barang yang tertinggal di dalam kereta. Tapi, mengapa Tihani masih berada di situ? Apa yang telah berlaku? Kenapa adiknya itu berpeluh-peluh?
Dalam Bariah sibuk memikirkan jawapan, Tihani dilihat masih membeku di belakang pintu. Diam tidak berketik. Ralit melekapkan lubang telinga ke papan pintu rumah jenis apartmen yang didiami mereka sejak enam tahun lalu. Bergolek-golek biji mata Tihani sambil terkebil-kebil. Lagak adik kandungnya itu tampak seperti sedang mendengar sesuatu dari arah luar. Tapi, apakah ia?
"Hani, kenapa dengan kau ni?" soal Bariah lagi. Dia rasa tak puas hati kerana masih tak faham apa yang terjadi.
"Syhhh!" Tihani tangkas memberikan respons.
Bariah terpaku semula. Hendak tak hendak, dia mengikut rentak Tihani. Terpaksa!
Suasana sepi dibiarkan sahaja berlegar-legar di sekitar tatkala cuping telinga Bariah turut dihalakan ke arah pintu rumah. Walaupun tidak tahu apa yang sedang dibuat, Bariah sekadar meniru aksi adiknya.
"Okey, dia dah pergi kut!" Akhirnya, Tihani menoktahkan kebisuan.
"Siapa?" Bariah yang masih pelik, kembali bertanya.
"Siapa lagi?"
Langkah Tihani terus dibawa menuju ke ruang tamu rumah. Tudung jenis syria yang tersarung di kepalanya, dicabut lalu disidai di sisi kerusi. Sekelip mata tubuhnya dihenyakkan ke kerusi itu.
"Maksud kau, orang sebelah rumah kita tu ke?" Bariah yang mengekori gerakan kaki adiknya lantas meneka.
"Yalah."
"Kau terserempak dengan dia?" Bariah pantas melabuhkan punggung di kerusi berhadapan Tihani.
"Kami sikit lagi nak bertembung tadi. Hampir-hampir! Tapi, nasib baik aku bertindak cepat. Aku patah balik lepas tu terus tutup pintu sebelum dia nampak aku. Kalau tak, mesti aku terpaksa guna lif yang sama dengan dia. Fuh, nasib baik!" Tihani mengurut dada sambil menghela nafas lega. Teramat lega!
"Laa... kenapa tak masuk aje lif dengan dia? Patutnya, kau berlakonlah. Berpura-pura! Buat macam takde apa-apa. Masa tulah kau boleh intip gerak-geri dia. Baru boleh nampak memang bahaya ke tak orangnya!" Bariah tiba-tiba memberi cadangan.
Membulat biji mata Tihani mendengar cadangan kakaknya.
"Kau dah gila ke? Dibuatnya dia apa-apakan aku kat dalam lif tu, macam mana?"
Bariah terdiam. Betul juga!
"Aku ni masih waras, tahu tak? Orang macam dia tu, jangan dibuat main-main!" kata Tihani sungguh-sungguh.
Dia membidas sekeras-kerasnya cadangan Bariah supaya mengintip gerak-geri jiran mereka yang sudah hampir sebulan berpindah di rumah sebelah.
Kalau betul Bariah mahu menyuruh dia mengintip jiran mereka sekalipun, sekurang-kurangnya biarlah dia membuat persediaan terlebih dahulu. Mana boleh bertindak tanpa sebarang rancangan. Jika tersilap langkah, itu ibarat menggantung diri sampai mati!
Panorama jam 11.00 malam di unit tingkat enam Apartmen Baiduri Alam yang terletak di Seksyen 2, Shah Alam itu terasa hangat tiba-tiba. Tihani mencapai senaskhah majalah di atas meja. Kemudian mengipas wajahnya.
Seluruh tubuhnya kini berpeluh sakan. Mungkin disebabkan tindakannya melarikan diri daripada bertembung dengan jiran baharu mereka di hadapan pintu tadi, dia rasa kehangatan.
"Tapi kan, Hani..."
Kedengaran suara Bariah berbaur musykil.
"Kau memang yakin ke pasal lelaki tu? Entah-entah dia tak macam yang kau fikirkan?" Bariah ragu-ragu.
Pandangan Tihani serentak menembak ke wajah kakaknya. Walaupun jarak usia mereka berbeza lima tahun, disebabkan hubungan yang akrab sedari kecil, mereka telah terbiasa 'beraku-kau' bila berkomunikasi. Apatah lagi di dalam keluarga, mereka hanya dua orang beradik perempuan.
"Habis tu, kau ingat aku reka cerita ke? Bariah, mata aku sendiri nampak barang-barang yang dia bawa masa pindah sini hari tu. Memang mencurigakan. Sumpah! Sekali pandang pun, dah boleh tahu dia tu jenis orang yang bahaya!"
"Mungkin itu cuma perasaan syak wasangka kau aje!"
"Syak wasangka sekalipun, perasaan aku ni bertempat. Cuba kau fikir! Masa dia pindah pun, waktu dah tengah malam buta. Macam dia nak sembunyikan identiti. Tak nak orang tahu pasal dia." Tihani menguatkan alasan. Tak ingin langsung kalah berhujah.
Kelihatan Bariah merapatkan bibir.
"Kau pun perasan, kan? Sejak dia pindah sini boleh dikatakan setiap hari dia keluar rumah waktu tengah-tengah malam macam ni. Dengan pakai jaket hitam, kasut kulit jenis but dia tu, rambut panjang lagi. Tengok penampilan pun, dah boleh nampak dia tu buat kerja jenis macam mana. Aku yakin sangatlah dia tu ada kaitan dengan ahli kongsi gelap," tambah Tihani lagi.
Otaknya sekali gus membayangkan figura jiran lelaki yang tinggal di sebelah rumah mereka. Biarpun tidak pernah berjumpa secara empat mata mahupun berbual-bual, tapi Tihani sudah beberapa kali terserempak dengan lelaki mencurigakan itu dari jarak jauh.
Maka, setiap kali itulah hati kecilnya akan terdetik sesuatu. Dia akan berfikiran negatif dan penuh prasangka terhadap lelaki itu. Tak habis-habis dia memikirkan kehidupan sebenar lelaki Melayu yang mungkin berusia dalam lingkungan awal 30-an itu.
Entah kenapa, Tihani rasa tak selamat. Kewujudan lelaki itu secara tiba-tiba dalam kehidupan sehariannya kebelakangan ini, membuatkan dia gelisah. Malah, ada masanya dia dilanda ketakutan. Kalau boleh, dia tak mahu langsung melihat lelaki itu berlegar-legar di sekitarnya. Biar fikirannya tenteram seperti sebelum ini.
"Entah-entah... lelaki tu sebenarnya pengedar dadah!" Tanpa sedar, Tihani menggumam.
"Tak pun, dia bekerja dengan kumpulan mafia. Pembunuh upahan ke? Ada kemungkinan juga tu!"
Tihani yang masih mengomel seorang diri tiba-tiba membulatkan biji mata. Bagaikan terkejut dengan tekaan sendiri.
"Hisy, kau ni!" Bariah turut terkejut mendengar kenyataan berani yang terkeluar daripada mulut adiknya.
"Jangan nak merepeklah!"
"Kalau betul tekaan aku, macam mana?"
"Jangan paranoid tak tentu pasal. Mungkin luaran aje lelaki tu nampak macam gengster, tapi dia buat kerja halal. Tak ke berdosa kita nanti sebab fitnah bukan-bukan?"
Tihani merengus. Dia kenal benar sifat Bariah. Selalu teragak-agak dan tak pernah jemu berfikiran terbuka serta bersangka baik. Bak kata orang Arab, husnuzon! Mungkin juga sebab Bariah seorang guru dan mempunyai peribadi yang lebih lembut daripada dirinya.
Tapi, itu bukan alasan untuk mereka sentiasa positif! Firasatnya kali ini memang kuat. Sangat kuat! Lelaki di sebelah rumah mereka itu memang ada menyembunyikan sesuatu. Tihani pasti!
"Okeylah, kalau betul apa yang kau fikirkan pasal dia... apa yang patut kita buat sekarang ni? Patut ke kita buat report kat balai polis?" Sekonyong-konyong Bariah menyoal.
"Eh, jangan!" Laju sekali Tihani membalas selepas khayalannya mati.
"Jangan? Kenapa pula? Tadi kau juga yang beria-ia kata dia tu bahaya? Mafialah, gengsterlah, ahli kongsi gelaplah. Kau buat aku rasa tak tenteram! Senang-senang aje sebut pasal pengedar dadah dan pembunuh upahan, macam kau tak takut langsung!"
"Bariah, kalau kita nak buat report... kita nak cakap apa kat depan polis tu nanti? Ada gengster? Pengedar dadah? Ataupun pembunuh upahan tinggal kat sebelah rumah kita?" Tihani mempertikaikan.
Bariah kembali terdiam. Sedikit sebanyak bersetuju dengan pertikaian yang baru dicetuskan adiknya.
"Kita tak boleh pakai redah aje. Sebelum buat report, sekurang-kurangnya kita kena ada bukti. Barulah polis boleh buat siasatan. Kalau betul, barulah lelaki tu boleh kena tangkap," jelas Tihani dengan lagak yang tak ubah seperti seorang detektif handalan.
"Tapi, mana pula kita nak dapatkan bukti tu?"
Tihani tidak terus menjawab. Sekadar membeku sambil memikirkan sesuatu.
Bariah yang memerhati gelagat adiknya lama-kelamaan mula merasakan sesuatu. Serta-merta dia membuntangkan biji mata. Otaknya seolah-olah dapat menangkap riak wajah yang sedang dipamerkan oleh Tihani.
"Hani... jangan cakap kau nak..."
Tihani sepantas kilat mengangguk.
"Aku rasa... aku nak masuk rumah dia!"
Terbeliak bola mata Bariah.
"Hei, kau dah gila ke?!"
"Jangan risau. Aku ada idea. Dah beberapa hari aku fikir pasal ni. Ini aje cara kita nak cari bukti yang menunjukkan lelaki tu orang yang bahaya."
"Tapi ini kerja gila! Tak... tak... aku tak setuju!" Bariah nekad menyatakan pendapat. Dia menggoyang-goyangkan jari telunjuknya sebelum bingkas daripada duduk.
"Bariah, aku mungkin akan jadi lebih gila kalau tak bertindak dan tak buat apa-apa."
"Hani..."
"Tak apa, kau duduk diam-diam. Serahkan hal ni 100% kat aku. Biar aku yang uruskan." Tihani bangun.
"Jangan!"
"Tahulah aku nak buat macam mana nanti." Tihani berkata lagi, lalu menepuk bahu kakaknya beberapa kali.
Bariah sudah terpaku. Terus kehilangan kata-kata.
[Bersambung...]
** Macam mana bab satu? Hopefully korang puas hati dengan bab pengenalan watak-watak. Sudi-sudilah tinggalkan komen. Bab seterusnya on the way.