KHADEJA ternampak dua ekor ketam yang sedang mengerumuni
umpan pada batang kayu sepanjang dua kaki yang dipacak pada gigi air. Dia
tangkas mencapai ketam-ketam itu lalu dimasukkan ke dalam bakul.“Kak Jah, ni lagi seekor!” Intan muncul lalu mencampakkan
seekor ketam di tangannya ke dalam bakul di sisi Khadeja.
Kerana sudah terbiasa, mereka tidak gentar langsung
semasa memegang haiwan laut yang mempunyai pengepit yang berbisa itu. Mereka
tahu cara-cara untuk mengendalikannya.
Khadeja tersenyum tatkala mendapati perut bakulnya
bersaiz sederhana itu semakin penuh.
“Dahlah, Intan. Terima kasih!” Khadeja berkata sebelum
bangun bersama bakul tersebut.
“Eh, bakul dah penuh ke Kak Jah?” tanya Fatimah. Dia
bersama beberapa wanita termasuk Kak Doyah dan Kak Ani baru lepas mencari siput
di kawasan pantai paya bakau tidak jauh dari situ.
“Hmm, bakul Kak Jah lagi sikit nak penuh. Hari ni kita
dapat banyak ketam. Siput macam mana?”
Fatimah mengerling bakulnya. “Tak sampai dua kilo pun,
Kak Jah!”
“Takpelah. Cukuplah tu. Kita masak apa yang ada.
Ikan-ikan yang Abang Man hang bawa tadi pun Kak Jah tak tengok lagi.”
“Ni, Kak Jah dah habis cari ketam ke?”
Khadeja mengangguk. “Rasanya dah cukup untuk hari ni.
Lepas ni, Kak Jah nak terus ke warung.”
“Intan nak ikut Kak Jah tau!” Intan tiba-tiba mencelah.
“Hisy, sibuk ajelah budak ni!” Khadeja mengomel.
Intan hanya tersengih.
“Kalau macam tu, Kak Jah pergilah dulu. Nanti Timah
datang. Timah nak cari siput lagi sikit. Nak penuhkan bakul.”
Mendengar kata-kata Fatimah, Khadeja sekadar mengangguk.
Selepas meminta diri dari semua yang ada di situ, dia berlalu sambil diekori
oleh Intan.
Kedengaran suara kanak-kanak lain yang seronok
berkejar-kejaran sambil bermain air. Jeritan mereka berlagu-lagu dibawa angin
bayu.
“Intan, hang pi lah main dengan kawan-kawan tu. Kenapa
nak ikut Kak Jah? Kat gerai tu bukannya ada siapa-siapa.” Khadeja berkata
kepada Intan yang masih membuntutinya.
“Tak naklah. Hari ni Intan nak main dengan Manja.” Intan
berkata.
“Hmm, suka hati hanglah. Tapi, jangan kacau Kak Jah nak
buat kerja. Duduk diam-diam aje dengan Manja tau?”
Intan menganggukkan kepala. Dia melihat Khadeja
mengangkat bakul berisi ketam seberat 3 kilogram, lalu diletakkan di belakang
basikal yang dibiarkan terparkir di sebatang pokok.
“Jom!” Khadeja mengajak.
“Kak Jah naiklah basikal tu. Biar Intan tolak.”
“Hanglah naik, biar Kak Jah yang tolak!”
“Alaa, Kak Jah dah selalu tolak. Hari ni biar Intan pulak
yang tolak!” Intan memberikan cadangan.
Khadeja mengerling ke arah kanak-kanak perempuan yang
comel dan petah berbicara itu. Keletah Intan yang ceria sering kali mencuit
hatinya.
“Cepatlah!” Intan berkata.
Khadeja tersenyum.
“Okey. Tapi hang jangan tolak laju-laju.” Dia berpesan
lantas meletakkan punggungnya di atas tempat duduk.
Intan mula menolak basikal yang dikayuh perlahan oleh
Khadeja. Mereka menelusuri jalan kecil yang menghala ke arah gerai makannya
yang berada tidak jauh dari kawasan mencari ketam dan siput.
“Kak Jah... Kak Jah!” Intan tiba-tiba memanggil. Suaranya
sengaja dijeritkan agar dapat didengari oleh Khadeja.
“Apa dia?”
“Intan rasa kan, Abang Man tu suka kat Kak Jah lah.”
Tanpa diduga Intan memuntahkan andaian.
“Hisy, apa yang hang merepek ni?” Khadeja terkejut
mendengar ucapan kanak-kanak berusia 7 tahun itu. Benaknya terus terbayangkan
raut Budiman.
“Yelah, Abang Man tu tak habis-habis usik Kak Jah. Jadi
Intan rasa kan...”
“Dah... dah... hang jangan nak melalut. Mulut murai
sungguhlah hang ni, Intan!” Khadeja segera memintas.
“Mana ada melalut? Intan cuma cakap aje...”
“Eh... eh, Intan... janganlah tolak laju sangat!” Khadeja
terasa basikal yang sedang bergerak itu semakin meluncur laju.
Selendang yang menutupi rambutnya terus terbuai-buai bila
disapa angin. Khadeja pantas menahan selendang di kepalanya yang berwarna biru
dan berbunga halus itu agar tidak terlucut dengan menggunakan sebelah tangan,
manakala sebelah tangannya lagi sedang mengawal basikal.
“Intan... kan tadi Kak Jah dah kata jangan tolak
laju-laju! Dah, berhenti! Berhenti! Jangan tolak lagi!” Khadeja hampir
terjerit. Kecut perutnya bila basikal tersebut terus bergerak melebihi kelajuan
biasa.
Apakan daya, tayar basikalnya sudah tidak dapat dikawal.
Khadeja pantas menurunkan kedua-dua belah kakinya. Dia mahu segera menghentikan
basikal itu bila menyedari yang ia sudah mula terhuyung-hayang. Entah kenapa,
otaknya seolah-olah terlupa fungsi brek tangan di bahagian pemegang.
Di saat keadaan semakin kelam-kabut, tiba-tiba Khadeja
ternampak satu kelibat yang semakin mendekati. Dia tersentak.
“Tepi... tepi!” Dia
terus bersuara. Dia tidak mahu merempuh kelibat di hadapannya itu.
Tetapi situasi itu berlaku bagaikan sekelip mata sehingga kelibat tersebut
tidak berjaya ke mana-mana.
Khadeja sepantas kilat menyerengkan haluan basikalnya dan
tahu-tahu saja tubuhnya hampir terjelepok ke tanah. Untuk beberapa detik, dunia
Khadeja seakan-akan berhenti dari berputar. Segala-galanya sepi.
“Eh... eh... awak tak apa-apa ke?” Tidak lama selepas
itu, ada suara seorang lelaki yang bertanya.
Khadeja tersedar. Lantas dia terkejut bila terasa
tangannya dipegang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Dia cepat-cepat
menarik tangannya.
“Sorry.Saya
cuma nak halang awak dari terjatuh,” kata lelaki yang memakai baju t-shirt
berwarna putih dan seluar slack berwarna coklat itu kepadanya.
“Yang awak duduk kat tengah-tengah jalan ni, kenapa? Kan
saya dah suruh ke tepi!” Khadeja terus melontarkan bebelan. Dia membetulkan
selendangnya. Waktu itu dia sudah pun berdiri tegak.
“Saya tengah tengok beruk tu petik buah kelapa. Awak pun
muncul tiba-tiba aje. Saya tak sempat nak elak!” Lelaki itu pantas menjawab.
Pandangannya dibiarkan terlekap ke raut gadis yang ayu berselendang menutupi
rambut itu.
“Bahaya tau awak berdiri tengah-tengah macam tu! Kalau
saya tak sempat alihkan handlebasikal
tadi, mesti awak dah kena langgar.”
Lelaki itu hanya tersengih.
“Saya tak tahu pulak jalan kat kampung ni bahaya macam
kat KL. Masa sampai tadi saya diberitahu yang kampung ni cuma ada kenderaan
yang kecil-kecil aje. Tak sangka betul yang rupa-rupanya basikal pun boleh jadi
alat pengangkutan yang bahaya!” balas lelaki itu sekadar berseloroh.
Matanya masih tidak dialihkan ke mana-mana. Tak tahu
kenapa, sudut hatinya bagai terpesona melihat raut gadis itu buat pertama kali.
Ya, Aliff memang terpesona! Kecantikan gadis kampung yang
disolek nipis itu benar-benar menarik pandangannya.
“Oh my
god! She’s so gorgoes!” Aliff tidak sedar yang bibirnya menyebut ayat itu
dengan tidak semena-mena.
Khadeja berpaling. “Apa dia? Gojah? Nama saya bukan
Gojah. Nama saya Khadeja. K. H. A. D. E. J. A,” ujarnya sambil mengeja huruf
pada namanya.
Dia baru saja mengangkat bakul berisi ketam yang terlepas
dari ikatan pada basikal. Hampir semua ketam berselerakan. Namun segera
dikutip.
Dunia Aliff kembali ke titik sebenar. Dia terus tersenyum.
Tidak sempat dia bertanya, gadis itu sudah memberitahu sendiri apa yang
terlintas di benaknya.
Khadeja! Cantik nama tu! bisik Aliff.
“Apa-apapun, minta maaf ya encik...”
“Aliff! Nama saya Aliff. Aliff Zukarnain.”
“Haaa Encik Aliff Zulkarnain. Saya hampir terlanggar
encik tadi. Ada cedera kat mana-mana ke?”
Sambil mengutip ketam, Khadeja sempat meneliti Aliff.
Risau juga jika lelaki itu terluka di mana-mana gara-gara kejadian tadi. Apatah
lagi dia tahu Aliff merupakan tetamu yang baru tiba di kampung itu. Melihat
dari penampilan pakaian pun dia sudah boleh mengagak.
“Eh, takpe. Saya okey. Don’t worry.” Aliff berkata.
“Ni semua Intan punya pasal!” Khadeja seakan-akan
mengadu.
“Intan?”
Khadeja tidak mempedulikan kekeliruan yang melanda benak
Aliff. Dia terus mencari-cari kelibat Intan yang hilang entah ke mana.
Tahu-tahu saja, dia ternampak kanak-kanak perempuan itu yang baru mendekati.
“Intan! Awat hang ni? Kan, Kak Jah kata jangan tolak
laju-laju?” Khadeja meleter.
Intan tersengih sambil tergaru-garu kepalanya.
“Dah, mai sini tolong Kak Jah kutip ketam-ketam ni!”
Intan menurut.
Aliff cuba membantu. Tetapi lelaki itu nampak
teragak-agak mahu memegang ketam yang bergerak-gerak. Khadeja hendak tergelak.
“Eh, encik tak payahlah tolong! Bahaya kalau terkena sepit.
Ketam ni berbisa sampai boleh demam tau.” Dia memberitahu.
Waktu itu, Budiman tiba-tiba muncul. Lelaki itu sedang
membawa sebiji buah kelapa. Khadeja baru tersedar yang dia sudah berada di
hadapan Warung Perindu. Suasana di situ kelihatan agak meriah.
“Ya ALLAH, Jah! Hang ni tak habis-habis kalut. Kan dah
habis berterabur.” Budiman menggeleng.
Selepas itu dia menghulurkan buah kelapa muda yang sudah
dikopek hujungnya ke arah Aliff.
“Bukan aku yang kalut. Si Intan ni yang tolak basikal
laju sangat. Tak sempat aku nak tekan brek.” Khadeja mengerling Intan yang
tersipu-sipu.
“Sorrylah Kak
Jah. Intan tak sengaja. Tadi tak nampak ada orang kat depan. Kak Jah lindung!”
Kanak-kanak perempuan itu bijak memberikan alasan.
Budiman menggelengkan kepala. Dia menoleh ke arah Aliff
yang sedang menghirup buah kelapa muda.
“Tuan Aliff betul-betul okey ke ni?” soal Budiman.
“It’s alright. I’m
fine.” Aliff mengangkat tangan tanda dirinya baik-baik saja. Pandangannya
kemudian dihalakan ke arah Khadeja.
“Awak pulak okey ke, Cik Khadeja?” tanya Aliff.
Khadeja mengangguk.
“Saya pun okey. Ketam ni saja tak okey.” Gadis itu
spontan membalas.
Aliff tergelak. Melihatkan situasi itu, Khadeja tergelak
sama.
Pandai juga dia bergurau! Aliff berbisik.
Budiman memerhati keadaan itu. Entah kenapa, ada rasa
kurang enak yang terbit secara tiba-tiba di sudut hatinya.
“So,Encik
Budiman... kita nak ke mana lepas ni?” Datuk Affendi tiba-tiba muncul di situ
lalu bertanya.
“Hah, datuk, kalau dah takde apa-apa... jomlah saya bawak
pusing-pusing pulau ni. Kalau sayup nanti, hujan.” Budiman segera berkata. Dia
menuju ke arah motor teksi.
“Sayup?” Aliff kurang mengerti maksud perkataan yang
digunakan oleh Budiman.
“Sayup tu maksudnya... lewat ataupun lambat.” Khadeja
pantas menjelaskan. Dia baru selesai mengutip ketam yang bertaburan sambil
dibantu oleh Intan. Dia langsung tidak mempedulikan gerangan lelaki bergelar
datuk yang baru muncul itu.
“Oh...” Aliff terangguk-angguk.
“Jom, Tuan Aliff!” celah Budiman.
“Kejap, saya nak habiskan air kelapa ni lagi sikit.”
Aliff berkata. Dia bagai sengaja mahu berlama-lama di Warung Perindu.
“Takpelah, Tuan Aliff bawaklah buah kelapa tu sekali. Boleh
minum dalam motor teksi ni.” Budiman menyuruh.
“Ubi, hang pun ikut Abang Man. Hang bawak Encik Yus dan
Encik Kamil guna motor yang ni.” Dia memberikan arahannya kepada Kelubi.
Aliff mengerling Khadeja. Gadis itu sedang mengangkat
bakul yang berisi ketam untuk dibawa ke dalam gerai.
“Saya pergi dulu, ya?” Aliff bersuara.
Khadeja hanya tersenyum sambil mengangguk. Budiman dalam
diam menyaksikan situasi itu.
Lambat-lambat Aliff melangkah ke arah motor teksi bila
enjin mula dihidupkan. Datuk Affendi, Yus dan Kamil turut mengambil tempat
duduk masing-masing.
Di saat motor teksi mula bergerak, Khadeja perlahan-lahan
berpaling. Di waktu sama, dia ternampak pandangan Aliff yang terpanah ke
arahnya.
Khadeja pantas melarikan wajah lalu berpura-pura sibuk
dengan urusannya.
LEBIH kurang sejam kemudian, Khadeja selesai memasak.
Seperti biasa, dia dibantu oleh Fatimah di dapur manakala Abu Hanifah sejak
tadi leka menguruskan buah kelapa muda bersama Manja di luar gerai.
Semasa Khadeja sedang sibuk menghidangkan lauk-pauk di
ruangan khas, tiba-tiba dia terpandang kelibat Kak Ani dan Kak Doyah yang
sedang mengayuh basikal. Dua orang wanita itu nampak terkocoh-kocoh melintasi
jalan di hadapan gerainya.
“Amboi, Kak Ani... Kak Doyah! Nampak kalut aje. Nak ke
mana tu?” tegur Khadeja.
“Haa, Jah! Kami nak ke balai raya. Hang tak pergi ke?”
soal Kak Doyah. Dia dan Kak Ani menghentikan basikal seketika.
“Ada apa kat balai raya?”
“Eh, hari ni kan ada perjumpaan dengan orang dari
syarikat pemaju. Man takde beritahu hang ke?” Kak Ani bertanya.
Khadeja mengerutkan dahi. Dia mengorek minda.
Terfikir-fikir sama ada Budiman ada memberitahu perkara itu ataupun tidak
kepadanya.
“Jomlah, kalau hang nak pi sekali! Lambat nanti tak
dengar pulak apa yang orang tu nak cakap.” Kak Ani mengajaknya.
Khadeja tersedar. Dia tersenyum sambil mengawal riak
wajah.
“Takpelah. Kak Ani dan Kak Doyah pergilah dulu.” Dia
akhirnya membuat keputusan.
Dua orang wanita itu mengangguk lalu kembali mengayuh
basikal. Dalam beberapa detik, tubuh mereka menghilang ditelan kejauhan.
Khadeja lantas termenung. Terkebil-kebil memikirkan
semula pertanyaan Kak Ani.
Memang dia ada mendengar ura-ura tentang kunjungan orang
dari syarikat pemaju pada minggu itu. Tapi dia tidak pasti apakah Budiman ada
memberitahunya tentang pertemuan dengan pihak tersebut pada hari itu. Sungguh,
dia tidak ingat!
“Errr... Abu! Betul ke hari ni orang kampung kita ada
perjumpaan dengan orang dari syarikat pemaju?” soal Khadeja tatkala dia
terpandangkan kelibat Abu Hanifah.
Anak muda itu kebetulan muncul di situ sambil membawa
beberapa biji buah kelapa muda untuk diletakkan di satu sudut gerai.
“Ada tak Abang Man hang beritahu apa-apa pasal perjumpaan
tu? Kak Jah tak ingat pulak,” beritahu Khadeja lagi.
Abu Hanifah nampak terpaku selepas kata-kata Khadeja
kedengaran.
“Err...” Dia tergagap kerana tiada jawapan untuk
diberikan.
Di waktu sama Fatimah datang dari arah dapur untuk
menghantar bekas berisi nasi. Fatimah ternampak kerlingan Abu Hanifah terlempar
ke arahnya.
“Awat hang pandang-pandang aku?” omel Fatimah tidak
senang.
“Kak Jah tanya tentang perjumpaan dengan orang dari
syarikat pemaju tu!” Abu Hanifah berkata.
“Hah?” Fatimah terus menoleh ke arah Khadeja.
“Timah, Abang Man hang ada cakap apa-apa tak pasal tu?”
Khadeja inginkan kepastian.
Fatimah kelu lidah. Dia mengerling Abu Hanifah semula.
Masing-masing memberikan isyarat mata. Tindakan itu menyebabkan Khadeja mengerutkan
dahi.
“Hang pa ni memang dah tahu ke?” Dia terus membuang
soalan.
“Sebenarnya...” Fatimah ingin berkata sesuatu.
“Ni mesti kerja Abang Man hang, kan? Dia sengaja tak nak
beritahu Kak Jah supaya Kak Jah tak pergi perjumpaan tu!” Khadeja terus membebel.
Langkahnya mula dihayun untuk menuju ke arah basikalnya.
“Kak Jah!” Fatimah memanggil.
“Hang pa jaga kedai! Kak Jah nak pergi balairaya.”
Khadeja spontan berpesan.
Fatimah dan Abu Hanifah berpandangan dengan riak resah.
Namun mereka tidak sempat berkata apa-apa kerana
dalam sekelip mata, Khadeja sudah mengayuh basikal meninggalkan mereka di gerai
makan itu.