Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,331
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19
LAMA Aneesa berdiri di hadapan pintu bilik Aniq dan Zafrul. Dia menarik nafas panjang. Teragak-agak untuk membuka pintu itu. Sejak kejadian yang menimpa Zafrul tempoh hari, dia berasa sangat bersalah. Rasa bersalah kerana tidak dapat menghulurkan bantuan yang sepatutnya.

Pernah juga dia cuba mendekati Zafrul. Tetapi tindakannya itu membuatkan Dzaquan naik angin. Terus dirinya dimarahi dan itulah pertama kali dia melihat wajah garang lelaki itu. Sedangkan sebelum ini Dzaquan selalu beralah dengannya.

Perlahan-lahan Aneesa memegang tombol pintu itu. Lalu tombol itu dipulasnya. Dilihat Qisya sedang menyuap makanan pada Zafrul. Cepat-cepat dia menutup pintu dan berkira-kira untuk beredar. Dia tidak sanggup dimarahi Qisya, sama seperti yang dilakukan Dzaquan.

Namun Qisya lagi pantas daripadanya.

“Akak,” panggil Qisya yang menyedari kedatangan Aneesa sebentar tadi.

Qisya tetap memanggil Aneesa walaupun pernah dilarang keras abangnya agar tidak membenarkan Aneesa mendekati Zafrul. Bagi Qisya, mungkin ada sebab mengapa Aneesa bertindak sedemikian. Jadi tidak wajarlah jika mereka menghukum Aneesa.

Malah, dia sendiri dapat melihat perubahan yang begitu ketara berlaku pada Aneesa. Aneesa lebih suka mengurungkan diri di dalam bilik. Lebih banyak termenung dan memandang kosong pada kolam itu. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

Langkah kaki Aneesa terhenti apabila namanya dipanggil Qisya. Segera dia menoleh. Dilihatnya gadis itu sudah pun melangkah menghampirinya.

“Err... maaf, saya tak patut ke sini,” ujar Aneesa perlahan. Terasa kekok pula apabila Qisya memanggilnya ‘akak’. Walhal mereka berdua sebaya.

“Masuklah, kak. Zaf pun pasti nak jumpa akak,” pelawa Qisya pula. Tangan Aneesa digapai lalu ditarik agar menuruti langkahnya.

“Tapi Dzaquan...dia tak benarkan saya...”Aneesa cuba menolak pelawaan Qisya itu. Bimbang pula jika lelaki itu tiba-tiba muncul.

Namun saat anak matanya melihat wajah Zafrul yang tersengih padanya, membuatkan rasa bersalahnya semakin menebal. Malah, Zafrul turut melambai-lambai padanya. Seolah-olah mengajaknya masuk ke dalam bilik itu.

“Tak ada apalah, kak. Itu kan cuma kemalangan, bukan salah akak pun. Lagipun Zaf nak sangat jumpa akak. Dia kata nak main bola dengan akak lagi,” pujuk Qisya lagi sambil tersenyum lebar pada Aneesa.

Dia tahu Aneesa pastinya takut akan Dzaquan. Marah benar abangnya itu pada Aneesa. Tidak pernah dia tengok abangnya mengamuk sebegitu rupa.

Katanya, Aneesa yang menyebabkan Zafrul jatuh ke dalam kolam. Tuduhan abangnya betul-betul keterlaluan. Dia tidak rasa yang Aneesa sanggup bertindak kejam sebegitu.

“Akak, Kak Neesa, jomlah teman Zaf makan. Tak bestlah makan seorang-seorang,” panggil Zafrul pula. Sedari tadi dia hanya melihat kedua-dua kakaknya itu sedang bersembang. Sehinggakan dirinya pula yang terabai.

Aneesa dan Qisya berpandangan sesama mereka sebelum mengalihkan pandangan pada Zafrul.

“Akak pergilah temankan Zaf, Qisya nak pergi dapur kejap,” usul Qisya dengan tiba-tiba. Dia mahu memberi peluang pada Aneesa dan Zafrul semasa ketiadaan abangnya.

“Zaf, nanti Kak Neesa suapkan Zaf ya,” ujar Qisya pada Zafrul.

Zafrul tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangguk. 

Aneesa menghadiahkan senyuman pada Qisya. Dalam diam dia amat berterima kasih dengan peluang yang diberikan Qisya. Setidak-tidaknya dia berpeluang mendekati Zafrul setelah kejadian yang berlaku tempoh hari.

Tanpa membuang masa Aneesa terus mendekati Zafrul yang seronok bermain patung Ultraman sambil mulutnya bising mengeluarkan pelbagai jenis bunyi. Seronok benar dia bermain dengan patung kegemarannya itu.

Aneesa melabuhkan punggung di hadapan Zafrul yang masih lagi leka bermain dengan patung Ultramannya. Seumur hidupnya, tidak pernah sekalipun dia melayan keletah anak kecil seperti Zafrul. Mungkin juga disebabkan statusnya sebagai anak tunggal yang membuatkan dia tidak berani mendekati kanak-kanak.

Tapi lain pula yang berlaku dengan Zafrul. Dia langsung tidak berasa kekok meskipun pertama kali melihat Zafrul. Malah, dia berasa seronok melihat aksi-aksi comel daripada Zafrul. Disebabkan itulah dia berani mendekati Zafrul tempoh hari. Tapi tidak disangka lain pula yang berlaku.

“Nak nasi,” ujar Zafrul dengan tiba-tiba. Seraya dengan itu dia membukakan mulut.

Aneesa yang tadinya mengelamun panjang terus kaget. Terpinga-pinga dengan tindakan Zafrul yang membuka mulut. Kata-kata Zafrul sebentar tadi pula langsung tidak didengarinya.

Kenapa pulak ni? Sakit gigi ke? Tadi elok aje duk main.

“Nak nasik,” ujar Zafrul lagi sambil membuka mulut sekali lagi.

Seraya dengan itu Aneesa tergelak dengan reaksi yang baru ditunjukkan Zafrul. Oh, nak nasi rupanya. Disangkakan Zafrul sakit gigi sebentar tadi. Itulah kau, berkhayal lagi.

Tanpa membuang masa, Aneesa terus mengambil pinggan nasi yang terletak di atas meja. Perlahan-lahan dia menyuakan sudu pada Zafrul yang sedari tadi menantinya. Tersenyum senang dia apabila melihat Zafrul ceria mengunyah nasi itu. Seketika kemudian Zafrul kembali bermain dengan patung Ultraman.

“Qis!”

Suara itu membuatkan senyuman di bibir Aneesa terus mati. Dia kenal dengan pemilik suara itu. Jantungnya mula berdegup kencang. Dia kaku dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Pandangannya teralih pula pada Zafrul yang masih lagi leka bermain. Sedikit pun tidak menyedari kehadiran Dzaquan.

Kenapa Dzaquan mesti muncul saat ini? Pasti lelaki itu akan mengamuk lagi jika melihat dia bersama dengan Zafrul. Sedangkan lelaki itu awal-awal lagi sudah memberi amaran agar dia tidak mendekati Zafrul.

Ah, sudah! Janganlah Dzaquan masuk ke sini, bisik Aneesa perlahan. Dia tidak mahu Dzaquan melihat dirinya di situ. Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya Dzaquan melihat dia di situ. Akan mengamuk lagikah dia?

“Qis! Mana Aniq?” soal Dzaquan lagi.

Wajahnya juga sudah berkerut. Hairan dengan kebisuan Qisya. Seolah-olah tidak mendengar panggilannya sebentar tadi.

“Qis!” panggil Dzaquan lagi.Tapi seperti tadi, Qisya hanya mendiamkan diri. Langsung tiada jawapan daripada adiknya itu.

Dia semakin pelik dengan sikap Qisya itu. Ataupun Qisya sengaja melancarkan mogok dengannya gara-gara terlalu tegas dengan Aneesa.

Tapi dia bukan sengaja bertegas dengan Aneesa. Dia cuma mahu menjaga keselamatan Zafrul. Bukan dia tidak tahu perasaan benci Aneesa padanya. Dia yakin perasaan benci itu semakin menebal sejak mereka ditunangkan.

Malah, Zafrul juga tidak terkecuali terkena tempiasnya.

Belum pun sempat Dzaquan mengatur langkah, dia disapa pula Qisya yang baru muncul di belakangnya. Apa yang jelas, Qisya tidak mengetahui keadaan yang sebenarnya.

“Eh, abang dah balik?” sapa Qisya.

Hairan melihat Dzaquan yang hanya berdiri di muka pintu itu. Sehinggakan dia terlupa kewujudan Aneesa di dalam bilik itu.

Bertambah tebal kerutan di wajah Dzaquan apabila mendengar suara Qisya yang menyapanya dari belakang. Tanpa membuang masa dia terus menoleh. Mahu memastikan dengan matanya sendiri.

Memang benar, Qisya yang menyapanya sebentar tadi. Jadi siapa pula yang bersama dengan Zafrul?

Aneesa yang mendengar suara Qisya menyapa Dzaquan, merasakan yang dunianya semakin gelap. Sudah tiada cara untuk melepaskan diri daripada Dzaquan. Dengan perlahan-lahan dia bangkit dari tempat duduk sambil anak matanya pula terus melekap pada Zafrul yang terus leka bermain tanpa mengambil peduli situasi yang sedang berlaku ketika itu.

Dzaquan yang baru mengerti keadaan yang sebenar terus berasa hangat. Geram kerana larangannya langsung tidak dipedulikan mereka berdua.

“Siapa bagi dia masuk? Qis tak ingat ke apa yang dia dah buat dengan Zaf?” soal Dzaquan geram dengan kedegilan adiknya itu.

Larangannya pula langsung tidak diendahkan Qisya. Tak ingatkah Qisya akan tindakan Aneesa pada Zafrul tempoh hari?

“Abang, tu kan kemalangan. Tak ada siapa yang nak perkara macam tu berlaku,” pujuk Qisya pula. Seboleh yang mungkin dia cuba menenangkan abangnya itu. Dalam waktu yang sama dia turut menyalahkan dirinya sendiri.

Kenapalah dia boleh terlupa kewujudan Aneesa sebentar tadi? Kalau tidak sudah tentu perkara ini tak akan berlaku. Dipandang wajah Dzaquan sekilas.

Dzaquan mendengus kuat. Geram kerana sikap degil Qisya yang terus-terusan membela Aneesa. Seolah-olah gadis itu tidak bersalah dalam kejadian yang hampir meragut nyawa Zafrul tempoh hari. Cepat benar Qisya melupakan kejadian itu.

“Apasal kau degil sangat? Cakap aku langsung tak nak dengar! Kan aku dah cakap jangan bagi dia rapat dengan Zaf. Susah sangat ke nak faham?” bentak Dzaquan kuat dan secara tak sengaja dia tertolak badan Qisya.

“Abang!” jerit Qisya kuat.

Dia benar-benar terkejut dengan tindakan agresif abangnya itu. Mujur dia sempat berpaut pada dinding. Kalau tidak kepalanya sudah tentu terhantuk pada dinding itu.

Dzaquan yang turut terkejut dengan tindakannya itu, segera menghampiri Qisya.

“Qis tak apa-apa ke? Abang mintak maaf, abang tak sengaja,” ujar Dzaquan cemas. Terus lengan Qisya dipegangnya.

Dia benar-benar tidak menyangka yang dia sanggup bertindak sejauh itu. Mujur Qisya tidak mengalami sebarang kecederaan. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak boleh memaafkan dirinya.

Aneesa yang turut terkejut dengan tindakan Dzaquan itu cepat-cepat mengatur langkah menghampiri Qisya. Wajah Dzaquan pula langsung tidak dipandangnya. Walaupun dia sedar anak mata lelaki itu sedang merenung tajam ke arahnya. Apa yang penting sekarang bukannya Dzaquan, tetapi Qisya.

“Qis tak apa-apa ke?” soal Aneesa. Seraya dengan itu dia memegang lengan Qisya.

Pertanyaan Aneesa itu tidak dijawab Qisya. Sebaliknya dia hanya menghadiahkan senyuman buat Aneesa. Tanda dia tidak apa-apa.

Dzaquan yang melihat tingkah laku Aneesa itu terus mencebik. Padanya, Aneesa hanya berlakon seolah-olah mengambil berat akan Qisya. Hakikatnya bukan begitu.

“Hei! Kau jangan nak buat dramalah, kat sini!” bentak Dzaquan keras.

Geram dengan lakonan yang sedang dipentaskan Aneesa, dia terus menarik tangan Aneesa dengan kasar. Tidak mahu tangan Aneesa itu terus melekat pada lengan adiknya. Tanpa sedar dia menggenggam erat tangan Aneesa.

“Apa ni? Sakitlah!” jerit Aneesa. Dalam waktu yang sama Aneesa cuba melepaskan pegangan Dzaquan yang mencengkam erat pada lengannya. Namun pegangan Dzaquan semakin dieratkan. Sehinggakan dia terjerit kesakitan.

“Abang! Apa ni? Lepaslah!” jerit Qisya yang turut terkejut dengan tindakan abangnya itu.

Selama ini abangnya tidak pernah berkasar dengan mana-mana perempuan. Seperti Aneesa, dia turut cuba melepaskan pegangan Dzaquan.

Namun tidak berjaya. Kemudian dia turut memukul bahu Dzaquan. Entah apa yang sedang merasuk abangnya sehinggakan bertindak gila seperti itu.

Bagaikan baru tersedar daripada mimpi, Dzaquan terus melepaskan pegangan pada lengan Aneesa. Pukulan Qisya pada bahunya membuatkan dia tersedar. Perlahan-lahan dia menapak ke belakang.

Ya ALLAH, apa yang berlaku ni? Kenapa aku sanggup bertindak sebegini rupa? Tadi dia hampir-hampir mencederakan Qisya dan sekarang Aneesa pula. 

Daripada ekor matanya, dapat dilihat Aneesa yang sedang memegang lengan yang menjadi ‘mangsa’ keganasannya sebentar tadi. Wajah gadis itu juga sudah merah padam. Mungkin sedang menahan rasa sakit. Perasaan bersalah mula dirasainya. Namun bibirnya kaku untuk mengakuinya.

“Kenapa dengan abang ni? Mengamuk tak tentu fasal,” marah Qisya.

“Apa? Salah abang ke?” balas Dzaquan pula. Nadanya masih lagi kasar.

“Aku tahu kau marahkan aku, tapi kau tak perlulah berkasar dengan Qis.” Aneesa pula yang bersuara. Tangannya masih lagi menggosok-gosok pada lengan yang digenggam erat Dzaquan sebentar tadi.

Memang dia sudah jangkakan perangai sebenar lelaki itu yang hanya tahu menggunakan kekerasan. Tapi dia langsung tidak menduga yang Dzaquan turut berkasar dengan adiknya sendiri.

“Eh, kau jangan nak banyak cakap ya. Lagipun...”

Belum pun sempat Dzaquan habis berkata-kata, Qisya lebih dulu bertindak. Dia sedar, jika dibiarkan, mereka tentu akan bertelagah sesama sendiri dan dia tidak mahu itu yang berlaku. Meskipun jauh di sudut hatinya, dia tidak bersetuju dengan pertunangan itu.

“Abang, dahlah tu,” larang Qisya lagi sambil menggeleng-geleng. Berharap benar yang Dzaquan mengalah saja. Tambahan lagi mereka sudah terlalu banyak terhutang budi dengan Datuk Zaman.

“Tapi abang...”

“Dahlah, bang. Sampai bila abang nak bergaduh dengan Kak Neesa? Dia kan bakal isteri abang.”

Dzaquan tarik muka apabila mendengar perkataan ‘isteri’ daripada mulut adiknya itu. Kalau Qisya tidak menyebutnya, pasti dia terlupa status Aneesa di sisinya.

Begitu juga dengan Aneesa, dia rasa cuak mendengar perkataan ‘bakal isteri’ daripada mulut Qisya. Bakal isteri? Tak! Dia akan pastikan perkara itu tidak akan berlaku.

Qisya perasan perubahan pada wajah Dzaquan dan Aneesa itu. Tetapi dia tidak ambil pusing dengan semua itu kerana itulah hakikatnya walaupun pahit untuk dia menerimanya.

“Akak, boleh tinggalkan kami sebentar?” pinta Qisya.

Aneesa tidak terus menjawab. Sebaliknya dia memandang pula Dzaquan. Terasa bimbang untuk meninggalkan lelaki itu berdua dengan Qisya. Takut jika Qisya akan diapa-apakan Dzaquan. Tengok sajalah apa yang berlaku sebentar tadi.

Qisya yang seakan-akan dapat memahami apa yang sedang bermain di fikiran Aneesa cepat-cepat bersuara.

“Akak tak perlu bimbang. Abang tak kan pukul Qis. Betulkan, bang?”

Dzaquan terus mendengus. Kejam sangatkah dia hingga mahu mencederakan adik sendiri?

“Akak nanti bawak Zaf turun sekali ya,” ujar Qisya lagi.

Tanpa bertanya dengan lebih lanjut, Aneesa terus melangkah menghampiri Zafrul yang sudah pun menyorok di belakang langsir. Mungkin kerana takut akan Dzaquan yang naik angin sebentar tadi.

“Zaf, jom teman akak turun bawah,” panggil Aneesa sambil menghulurkan tangan pada Zafrul.

Cepat-cepat anak kecil itu menyambut huluran Aneesa dan kemudian menyorok di belakang Aneesa. Tidak mahu bertentang muka dengan Dzaquan. Suara keras abangnya itu, benar-benar membuatkan dia takut.

Dzaquan yang melihat reaksi Zafrul itu hanya mampu mengeluh kesal. Qisya yang perasan wajah mendung abangnya itu segera menampar bahu abangnya itu.

“Itulah abang, siapa suruh garang sangat? Sampaikan Zaf pun takut pada abang.”

Dzaquan mengeluh lagi.

“Tapi abang tak marah Zaf. Abang cuma kesal sebab Qis tak ambil endah apa yang abang pesan tempoh hari.”

Wajah mendung abangnya itu menyapa pandangan Qisya lagi. Jauh di sudut hati, dia rindu pada abangnya yang dulu. Abangnya yang selalu berjenaka dengannya. Abangnya yang selalu tersenyum. Abangnya yang dulu hilang setelah emaknya melarikan diri.

“Qis tak cakap apa yang berlaku hari ni. Tapi sebelum ni pun abang macam tu jugak.”

“Apa maksud Qis?” soal Dzaquan buat-buat tidak mengerti maksud adiknya itu. Walhal dia sendiri sudah dapat mengagak apa yang mahu disampaikan Qisya.

“Sampai bila abang nak macam ni? Sebab mak, kan? Abang berubah jadi macam ni sebab mak lari tinggalkan kita, kan?” soal Qisya bertalu-talu.

Dzaquan hanya mendiamkan diri.

“Abang sedar tak yang Zaf dan Aniq dah tak rapat dengan abang? Takutkan abang? Semuanya disebabkan sikap abang macam ni!” Qisya bersuara lagi.

Sudah lama dipendamkan semua ini dan hari ini dia akan luahkan semuanya. Dia mahu abangnya yang dulu. Abangnya yang pandai berjenaka dan tidak baran seperti sekarang.

Qisya sedar sebaran-baran abangnya itu pun belum pernah tangan dan kaki abangnya singgah di badan mereka adik-beradik. Tetapi dia tetap tidak suka pada abangnya yang bersikap seperti itu.

Seolah-olah abangnya itu takut untuk‘ rapat’ dengan keluarga sendiri. Mungkin abangnya takut andai dirinya akan dikhianati. Sama seperti yang berlaku dengan emaknya.

Dzaquan menarik nafas panjang. Tidak disangka yang adiknya akan mempersoalkan emaknya yang sudah lama diusir daripada hidupnya. Emak yang sanggup meninggalkan anaknya sendiri kerana tidak tahan dengan hidup mereka yang susah.

“Kenapa tiba-tiba sebut fasal mak? Kita ada mak ke, Qis?Kita ada mak ke? Mana mak kita, Qis? Mana?” soal Dzaquan bertalu-talu.

Anak matanya mula merah, cuba menahan perasaan sedih dan marah yang mula bergabung menjadi satu. Marah kerana emaknya sanggup membuang dia dan adik-adik. Marah kerana emaknya menyebabkan adik-adiknya kehilangan kasih sayang seorang emak. Sanggup emaknya bertindak kejam sebegitu pada mereka adik-beradik.

Di hadapan Qisya dia harus kuat. Dia harus tabah dan disebabkan itulah dia tidak akan menangis di hadapan adiknya.

“Abang...”Qisya mula sebak. Perasaan rindu pada emaknya semakin dirasai.

“Dia sanggup lari tinggalkan kita, wajar ke kita panggil dia mak? Hah, Qis? Wajar ke?” soal Dzaquan lagi.

Qisya yang mendengar semakin sebak dan tanpa dipinta air mata turut membasahi wajahnya.

Dzaquan yang melihat wajah Qisya yang mula dibasahi dengan air mata terus menoleh. Mahu meninggalkan adiknya sendirian kerana dia tidak sanggup melihat Qisya menangis sebegitu.

Dalam waktu yang sama dia tidak mahu ‘tembok’ yang dibinanya musnah. Langkahan Dzaquan terhenti apabila terasa lengannya dipegang Qisya.

“Abang tak boleh cakap macam tu. Walau apa pun yang mak buat, dia tetap mak kita, bang.”

Qisya tidak sanggup melihat Dzaquan yang terus-terusan membenci emaknya.

“Qis rindukan abang Qis yang dulu. Qis nak abang Qis yang dulu,” rintih Qisya lagi.

Ya! Itulah yang dimahukannya sejak dulu lagi. Dia rindukan jenaka dan usikan nakal abangnya. Abangnya sekarang terlalu dingin dan selalu sahaja mengasingkan diri. Sehinggakan begitu sukar untuk didekati.

“Qis,” panggil Dzaquan perlahan sambil memegang tangan Qisya yang sedang melekat pada lengannya.

Perlahan-lahan dia melepaskan pegangan tangan Qisya itu. Seketika kemudian dia terus melangkah untuk meninggalkan Qisya sendirian di situ.

Maafkan abang, Qis! Maafkan abang! Abang Qis yang dulu dah lama ‘mati’...
Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.