Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,295
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7
SEKEPING gambar lama yang sedari tadi menjadi tatapan Datuk Zaman melurut jatuh ke lantai. Datuk Zaman tersentak. Perlahan-lahan dia tunduk untuk mengambil gambar itu. 

Dapat dilihat dengan jelas senyuman mekar yang terukir di wajah Puan Zaleha. Kemudian anak matanya teralih pula pada sepasang mata yang cantik milik Puan Zaleha.

Datuk Zaman mengeluh perlahan. Tiba-tiba dia terasa rindu pada seraut wajah itu. Teringat saat cintanya pada Puan Zaleha yang begitu hangat. 

Dia tidak tahu di mana silapnya sehinggakan dia sanggup melukakan sekeping hati milik Puan Zaleha. Dia pula lebih tega untuk memilih Datin Fatimah daripada Puan Zaleha.

Kalau hendak dibandingkan di antara Datin Fatimah dan Puan Zaleha daripada mata kasar, ternyata Puan Zaleha melebihi dalam semua hal. Puan Zalehalah gadis paling cantik yang pernah ditemuinya. 

Tanpa sedar, dia tersenyum sendirian. Kecantikan yang dimiliki Puan Zaleha rupa-rupanya turut diwarisi anak gadis mereka, Aneesa.

Anaknya itu begitu mirip dengan Puan Zaleha. Memandang wajah Aneesa membuatkan dia teringatkan Puan Zaleha. Teringatkan semua kesalahan yang pernah dilakukan padanya. Disebabkan itulah dia tidak sanggup menatap wajah Aneesa. 

Malah, sikapnya juga dingin terhadap Aneesa. Dan Datuk Zaman tidak sedar tindakannya itu menyebabkan Aneesa semakin menjauhi dirinya.

Datuk Zaman masih lagi teringat akan panggilan telefon yang dibuat Aneesa padanya dua tahun yang lalu. Nada anaknya itu begitu kasar dan dingin.

“Aku nak cakap dengan Zaman,” ujar Aneesa di hujung sana.

Datuk Zaman berkerut seribu. Hatinya mula berteka-teki. Siapa pula yang mahu mencarinya? Rasanya dia tidak kenal dengan suara itu. 

Daripada nada pemanggil dia dapat mengagak yang insan itu tidak suka dirinya. Nadanya begitu kasar. Malah, hanya memanggilnya dengan nama saja. Tidak pada pangkal namanya yang mempunyai pangkat ‘Datuk’.

“Ya, Zaman bercakap. Boleh saya tahu siapa yang sedang bercakap?”

“Aneesa.” Ringkas sekali jawapan yang diberikan pemanggil itu.

Aneesa? Nama itu begitu asing pada pendengarannya.

“Ya, Cik Aneesa. Ada apa yang boleh saya bantu?” soal Datuk Zaman ramah. Sekadar mahu menjaga nama saja, fikirnya lagi.

“Aku perlukan tempat tinggal.”

Datuk Zaman tergelak perlahan dengan kata-kata pemanggil itu. Gurauan apa pula ni? Dia ingat aku ni pusat kebajikan ke?

“Maaf cik, sini bukan rumah kebajikan,” balas Datuk Zaman. Ketawanya masih lagi bersisa.

Aneesa mendengus kasar. Dia dapat mendengar dengan jelas ketawa lelaki itu di hujung sana. Rasa meluatnya pada lelaki itu semakin menjadi-jadi. Kalau tidak kerana terpaksa, sudah tentu dia tidak akan menghubungi lelaki itu.

“Aku pun tak inginlah nak menumpang dengan kau! Aku call ni pun disebabkan wasiat ibu aje,” balas Aneesa kasar.

Ketawa Datuk Zaman tiba-tiba terhenti. Dadanya mula berdebar-debar. Aneesa? Ibu? Dia cuba mengingati sebaris nama itu. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan pada isteri yang ditinggalkan bersama anak kecil dahulu. 

Ya, anak itu. Adakah anak kecil itu dan pemanggil ini adalah orang yang sama? Tak mungkin! Mana dia dapat nombor telefon aku? Seingatnya, Puan Zaleha sendiri tidak pernah menghubungi sejak dia meninggalkan wanita itu dulu.

“Wasiat ibu? Kau ni siapa?” tanya Datuk Zaman tegas.  

Seboleh yang mungkin dia cuba menolak semua anggapan yang singgah di benaknya sebentar tadi. Ataupun mungkin saja ada insan mahu mempermainkan dirinya.

“Aneesa...”

“Anis Aneesa?” Tiba-tiba saja sebaris nama itu terluah daripada mulutnya. Seraya dengan itu dia pantas menutup mulut dengan tapak tangan. Telinganya dapat mendengar dengan jelas ketawa sinis dari hujung sana. 

Datuk Zaman mendengus kecil. Terasa dirinya dipermainkan insan itu. Sedangkan dia semakin tidak sabar untuk mengetahui gerangan pemanggil itu. Dan apa mahunya?

“Tak sangka nama aku masih diingati meskipun aku dah dibuang jauh,” ujar Aneesa benar-benar tidak menyangka yang namanya masih lagi diingati lelaki itu.

Datuk Zaman terdiam. Dia teringatkan pertemuan terakhirnya dengan Puan Zaleha selepas dia mengkhianati cinta isterinya itu. Waktu itu dia sedang melayan pelanggannya di salah sebuah kelab malam terkemuka. 

Di situlah dia melihat Puan Zaleha sedang asyik menari bersama beberapa orang lelaki yang tidak dikenalinya. Tidak cukup dengan itu dia juga segera mengalihkan pandangan apabila menyedari anak mata Puan Zaleha terarah padanya. 

Itulah kali terakhir dia melihat Puan Zaleha. Apatah lagi untuk bertanyakan perihal anak kecil yang ditinggalkan dulu. Khabar Puan Zaleha juga langsung tidak ditanyanya.

Datuk Zaman menarik nafas panjang. Dadanya terasa berat. Begitu banyak dosa yang telah dilakukan pada dua beranak itu.

“Maafkan papa, Neesa,” ujar Datuk Zaman perlahan. Dia menggenggam dengan erat telefonnya itu. Cuba mencari sisa-sisa kekuatan untuk berdepan dengan anak gadisnya yang telah ditinggalkan dahulu.

“Bukan maaf yang aku nak daripada kau. Aku cuma nak tunaikan wasiat ibu aku,” ujar Aneesa tegas. Dia benci dengan lelaki itu. 

Kenapa baru sekarang lelaki itu sedar kesilapannya? Kenapa tidak dulu? Sewaktu hayat ibunya masih ada. Dan dia pula sudah tentu tidak akan kehilangan ibunya. 

Sekarang, terpaksa pula dia menunaikan wasiat ibunya yang langsung tidak masuk akal. Bukan ibu tidak tahu yang dia begitu benci pada insan yang bernama Zaman itu. Dia tidak peduli jika insan itu papanya. Pada dia, lelaki yang tidak pernah mengambil tahu akan hidupnya tidak layak bergelar bapa. 

Deringan telefon membuatkan Datuk Zaman tersentak. Segala ingatannya pada Puan Zaleha dan Aneesa melayang entah ke mana. Dia mengambil telefon yang terletak di atas meja. Nama pemanggil itu dipandang lama sebelum menekan butang hijau.

“Macam mana? Kau dah jumpa dia?” soal Datuk Zaman. Tidak sabar untuk mengetahui berita yang akan disampaikan Jimmy, orang suruhannya.

“Dah, Datuk. Tapi kita terlambat. Dia baru aje meninggal dunia.”

Datuk Zaman tergamam. Tidak sangka berita itu pula yang akan diterimanya. Anak matanya teralih pada sekeping gambar lama yang menjadi tatapannya sejak tadi. Gambar mereka bertiga itu diambil sewaktu mereka masih muda. 

Siapa sangka, dua orang temannya sudah menyahut panggilan ILAHI. Tinggal dirinya sahaja yang masih bernyawa di bumi ini. Mungkinkah TUHAN masih mahu memberikan peluang untuk dia menebus segala kesilapannya? Satu keluhan berat dilepaskan.

“Arwah meninggalkan empat orang anak yang masih lagi bersekolah,” sambung Jimmy setelah mendengar keluhan Datuk Zaman.

Mungkin kesal dengan berita yang baru disampaikannya sebentar tadi. Kerana usaha menjejaki rakannya itu berakhir dengan berita kematian.

“Tunggu aku. Aku akan menyusul ke sana,” usul Datuk Zaman sebelum memutuskan talian. Kemudian tangannya pantas mencari nombor telefon Pak Mat, pemandu peribadinya.

“Mat, siapkan kereta. Saya nak ke Kelantan.” Datuk Zaman memutuskan talian sebelum sempat Pak Mat bersuara. 

Gambar yang berada di tangan dipandang lagi. Itulah tanda persahabatan yang terjalin antara mereka bertiga suatu ketika dahulu.




ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.