Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,307
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16
PERLAHAN-LAHAN Aneesa menjengukkan kepalanya. Kemudian liar saja dia memandang kiri dan kanan. Beberapa kali juga dia membuat tinjauan seperti itu. Mahu memastikan keadaan di luar sana sebelum dia membuat langkah seterusnya. 

Senyuman lebar terukir di wajahnya. Langkahnya diatur perlahan-lahan supaya tiada satu bunyi pun terhasil daripada gerakannya itu. Baru sahaja dia hendak menutup pintu bilik, dia sudah dikejutkan dengan suara seseorang. 

“Tak tidur lagi ke?”

Gara-gara terkejut dengan sapaan itu, dahi Aneesa secara tak sengaja terhantuk pada pintu bilik. Dia terjerit kecil. Cepat-cepat dia menggosok-gosok dahinya yang mula terasa sakit.

Dzaquan yang turut terkejut dengan insiden itu hanya mampu menutup mulut dengan tapak tangan kanan sambil dahinya turut berkerut apabila memikirkan Aneesa yang pastinya berasa sakit dengan kejadian itu. 

Apabila rasa sakit pada dahinya mula menghilang, Aneesa pantas mengangkat wajah. Mahu melihat siapa yang menjadi penyebab dia terhantuk sebentar tadi. Saat anak matanya melihat wajah Dzaquan, darah merah mula menyirap ke wajahnya. Kedua-dua belah tangannya juga sudah tergenggam erat.

“Kau ni kenapa, hah? Sengaja nak cari fasal dengan aku,kan?” bentak Aneesa geram.

Namun nadanya dikawal agar tidak terlalu kuat. Dia tidak mahu gara-gara suaranya, akan mengejutkan penghuni banglo mewah itu yang pastinya sedang lena pada ketika ini.

Pantas Dzaquan menafikan tuduhan Aneesa dengan gerakan kedua-dua tangannya ke kiri dan kanan. Kepalanya juga turut digeleng-gelengkan.

“Tak...tak...aku tak sangka kau boleh terkejut sampai macam tu.” Entah mengapa pasti ada yang tak kena jika dia mahu menegur Aneesa. Kalau dia tahu ini yang akan berlaku, pasti dia tidak akan menegur gadis itu.

“Sakit ke?” tanya Dzaquan apabila melihat Aneesa masih lagi menggosok-gosok dahinya yang ‘tercium’ pintu.

“Tak! Sedap...sangat,” jawab Aneesa sinis. Dah terhantuk, pastilah sakit. Lagi mahu tanya.

Dzaquan hanya terdiam dengan jawapan sinis Aneesa itu. Dipandang sekilas wajah tegang Aneesa. Sedar yang gadis itu menyalahkan dirinya di atas insiden yang berlaku sebentar tadi. 

Seketika kemudian kening Dzaquan berkerut tebal apabila melihat ada sesuatu di hidung Aneesa.

“Neesa, kenapa dengan hidung kau?” Seraya dengan itu dia menunjukkan hidung Aneesa dengan hujung jari. Namun gerakannya itu pantas ditepis Aneesa.

Aneesa mendengus kasar.

“Apa?” bentak Aneesa lagi.

“Hidung kau berdarahlah!” ujar Dzaquan separuh menjerit. Darah merah mula mengalir keluar daripada hidung Aneesa.

“Hah? Darah? Mana?”

Aneesa yang mendengar terus jadi panik. Terus saja dia melangkah ke kiri dan kanan berulang-ulang kali. Dia memang tidak boleh mendengar perkataan ‘darah’. Terus kepalanya jadi ‘kosong’ dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Kau buat apa ni?” soal Dzaquan yang berasa pelik dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa. Sedangkan warna darah di hidungnya sudah semakin pekat.

“Aku...aku...”Aneesa tidak menghabiskan kata-katanya. Pasti Dzaquan akan mentertawakan dirinya jika dia mengaku yang dia sebenarnya takut dengan darah.

“Sini,” arah Dzaquan pula. Seraya dengan itu dia menyentuh kedua-dua pipi Aneesa.

Aneesa jadi kaget buat seketika. Kemudian dia menepis tangan Dzaquan yang sedang melekat di wajahnya.

“Kau...kau nak buat apa?” soal Aneesa dalam getarnya. Langsung dia tidak menyangka yang Dzaquan akan memegang wajahnya.

“Nak tolong kaulah. Darah makin banyak tu.”

Dengar saja perkataan darah, Aneesa jadi panik buat kali kedua. Namun Dzaquan lebih pantas bertindak. Sempat dicapai lengan Aneesa yang mahu melarikan diri daripadanya. Kemudian dia memegang batang leher Aneesa lalu ditundukkan ke bawah.

Aneesa yang sekali lagi terkejut dengan tindakan Dzaquan itu terus memegang lengan Dzaquan. Mahu menghalang tindakan lelaki itu. Seakan-akan memahami apa yang sedang bermain di benak Aneesa, Dzaquan segera bersuara.

“Jangan bernafas dengan hidung, tapi guna mulut,” kata Dzaquan lagi. Tangannya sudah memicit hidung Aneesa dengan lembut. Sebelah tangannya lagi berada di batang leher Aneesa.

“Kuat jugak kau terhantuk sampai berdarah macam ni,” komen Dzaquan pula.

Getar pada dada Aneesa semakin kuat dirasakan apabila terasa jari-jemari Dzaquan menyentuh lembut batang lehernya. Jarak mereka yang begitu dekat membuatkan dia mendengar dengan jelas deru nafas Dzaquan. Dia menelan liur dengan begitu payah.

Dalam diam, perlahan-lahan Aneesa mengangkat wajahnya. Mahu melihat wajah Dzaquan. Buat pertama kalinya dia menatap wajah itu dari jarak dekat. Lama dia memerhatikan wajah itu. Tanpa sedar pegangannya pada lengan Dzaquan semakin dieratkan.

“Sakit ke?” soal Dzaquan apabila berasa pegangan tangan Aneesa semakin erat pada lengannya. Dan seraya dengan itu, dia mengalihkan pandangan pada anak mata Aneesa.

Buat seketika anak mata mereka bersatu. Bagaikan baru tersedar daripada lamunan yang panjang, Dzaquan cepat-cepat melepaskan pegangan pada hidung Aneesa dan terus menjarakkan diri daripada gadis itu.

Tiba-tiba sahaja dia jadi kekok untuk berhadapan dengan Aneesa. Sedangkan sebelum ini mereka sentiasa bertekak tak kira di mana mereka berada. Untuk menutup rasa gugup, Dzaquan berdeham kecil.

“Kau...kau duduk dulu. Jangan lupa picit hidung kau macam yang aku buat tadi. Aku nak pergi ambil kain,” arah Dzaquan dengan suara yang tersekat-sekat. Kemudian dia terus melangkah dan meninggalkan Aneesa sendirian di situ.

Aneesa yang melihat Dzaquan yang sudah pun jauh melangkah, mengeluh perlahan. Kecewa dengan sikapnya sendiri yang seakan-akan menyerah dengan tindak-tanduk Dzaquan sebentar tadi.

Namun buat seketika dia berasa terharu dan bahagia dengan sikap ambil berat yang ditunjukkan Dzaquan.

Ah, gila! Aku dah jadi gila agaknya gara-gara terhantuk pada pintu! Jerit hati Aneesa. Cepat-cepat mengusir perasaan aneh yang mula dirasainya.

Tidak lama kemudian Dzaquan kembali mendapatkan Aneesa yang berada sendirian di ruang tamu.

“Nah!” Dzaquan menghulurkan ice pack pada Aneesa.

Huluran Dzaquan itu tidak disambut Aneesa. Sebaliknya dia hanya memandang sepi pada ice pack yang berada di tangan Dzaquan. Kemudian pandangannya teralih pula pada wajah Dzaquan.

“Ambil ni, letak kat belakang leher kau,” ujar Dzaquan lagi apabila tiada reaksi yang ditunjukkan Aneesa. Sebaliknya gadis itu hanya memandang ke arahnya.

Aneesa tetap teragak-agak untuk menyambut huluran Dzaquan. Terasa aneh apabila melihat lelaki itu mengambil berat padanya.

Namun huluran Dzaquan tetap disambut. Ice pack sudah bertukar tangan. Kemudian diletakkan di belakang lehernya seperti yang diberitahu Dzaquan.

Dzaquan tersenyum tipis apabila melihat Aneesa yang begitu patuh dengan kata-katanya. Dan tidak melawan seperti biasa. Nampak comellah pulak. Namun senyumannya segera mati apabila anak mata Aneesa memandang padanya.

“Mana kau belajar semua ni?” soal Aneesa. Tiba-tiba sahaja dia terasa ingin tahu dari mana lelaki itu tahu menguruskan hidung yang berdarah.

Anak matanya kini terarah pada Dzaquan yang masih lagi berdiri di hadapannya. Wajah lelaki itu yang tenang sewaktu hidungnya berdarah sebentar tadi membuatkan dia tertanya-tanya sendirian.

Seolah-olah itu bukan kali pertama Dzaquan berhadapan dengan darah. Lain pula dengan dirinya yang sentiasa panik dengan darah.

Pertanyaan Aneesa itu membuatkan Dzaquan terdiam seketika. Belajar? Seingatnya dia tidak belajar dari mana-mana.

Tapi mungkin juga disebabkan sejarahnya dulu. Membuatkan dia tahu apa yang harus dilakukan untuk menghentikan hidung yang berdarah. Kerana itulah yang selalu berlaku padanya setiap kali dia terlibat dalam pergaduhan.

“Pengalaman,” jawab Dzaquan ringkas. Kemudian dia melabuhkan punggung di hadapan Aneesa.

“Pengalaman?” soal Aneesa berkerut dahi.

“Aku dulu kaki ponteng, kaki lepak, kaki gaduh. Selalu bergaduh sana sini. Malah, hidung berdarah dah jadi benda biasa pada aku,” akui Dzaquan dengan jujur.

Dia tersenyum kelat apabila mengingati perangainya yang dulu. Namun ia bukanlah sesuatu yang dibanggakannya kerana sikapnya itu telah mengecewakan hati ayahnya. Malah, kerana kesilapannya itulah dia juga hampir-hampir kehilangan adik-adiknya.

Samseng kampung? Hidung berdarah tu benda biasa aje? Jadi benarlah khabar angin yang pernah aku dengar tempoh hari?

Gulp! Aneesa menelan liur dengan begitu payah. Tak kan papa ambil samseng untuk dijadikan tunang aku? Papa tak siasat dulu ke? Bertubi-tubi persoalan itu bermain di benak Aneesa.

“Takut?” duga Dzaquan dengan kebisuan Aneesa itu. 

“Ta...takut? Siapa cakap aku takut?” balas Aneesa pantas. Perasaan takut yang dirasainya sebentar tadi cepat-cepat diusir jauh. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Dzaquan.

Dzaquan yang melihat reaksi Aneesa itu hanya tersenyum tipis. Dia akui Aneesa memang keras kepala dan degil. Seketika kemudian dia condongkan badannya ke hadapan. Mahu mendekati Aneesa.

Aneesa tersentak. Terkejut dengan tindakan lelaki itu yang seakan-akan mahu mendekatinya.

“Kau...kau nak buat apa ni?” Kedengarannya suara Aneesa hampir terputus-putus.

“Kata tadi tak takut?” sindir Dzaquan pula. Tubuh Aneesa masih lagi didekatinya.

“Kau jangan...aku jerit nanti...” ugut Aneesa. Dia sudah mati akal untuk berhadapan dengan Dzaquan.

Bimbang jika lelaki itu mula berkasar dengannya. Apatah lagi dengan gelaran yang pernah disandang Dzaquan. Semua itu tidak mustahil. Debaran di dada Aneesa semakin kuat dirasainya apabila melihat Dzaquan yang sudah pun mengangkat tangan. Matilah aku...matilah aku...

Dzaquan yang melihat wajah pucat Aneesa terus tergelak kecil.

“Kau fikir apa? Aku nak lap darah kat muka kau aje.”

Anak mata Aneesa terus membulat. Hah? Aneesa rasa tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya itu. Tanpa sedar mulutnya juga sudah melopong.

Aneesa cuma tersedar daripada rasa terkejutnya apabila terasa ada sesuatu menyentuh wajahnya. Terus anak matanya teralih pada Dzaquan yang berada begitu hampir padanya. Spontan dengan itu tangannya terus memegang lengan Dzaquan.

“Kau buat apa?” soal Aneesa lagi. Anak matanya terarah tepat pada anak mata Dzaquan.

Giliran wajah Dzaquan pula yang berkerut tebal. Seingatnya dia sudah memberitahu hal itu pada Aneesa, tetapi kenapa gadis itu masih menyoal perkara yang sama? Tidak dengarkah dia?

“Aku nak lapkan darah kat muka kau,” jawab Dzaquan teragak-agak. Bimbang juga dia jika Aneesa melenting dengan tindakannya itu. Mungkin juga gadis itu menyangka yang dia mahu mengambil kesempatan ke atasnya.

Tanpa membalas kata-kata Dzaquan, perlahan-lahan Aneesa melepaskan pegangan pada lengan lelaki itu. Namun anak matanya masih lagi menatap wajah Dzaquan. Daripada tindak-tanduknya seolah-olah dia membenarkan Dzaquan mengelap wajahnya yang terkena darah sebentar tadi.

Dzaquan jadi keliru dengan reaksi yang ditunjukkanAneesa. Lama dia membalas pandang dengan gadis itu. Sebelum kembali meneruskan kerjanya yang sebentar tadi dihalang Aneesa. Fikirnya, mungkin Aneesa mengizinkan dia berbuat demikian dan sebab itulah pegangan Aneesa pada lengannya terlerai.

Perlahan-lahan Dzaquan mengelap wajah Aneesa dengan kain lembap. Tanpa disedari, tangannya mula terketar-ketar. Dia perasan anak mata Aneesa masih lagi menatap wajahnya. Dadanya juga mula berdebar-debar.

Aneh! Kenapa dia mesti berasa seperti ini? Sedangkan ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan Aneesa?
Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.