Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
221,710
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12
SELESAI sahaja menunaikan Solat Subuh, Dzaquan mengatur langkah ke arah beranda bilik. Tubuhnya terasa segar dengan dingin pagi yang dirasainya itu. Jauh dia melontarkan pandangannya. Seketika kemudian anak matanya terarah pada jalan yang mula sibuk dengan kenderaan. 

Berbeza benar keadaan di sini dengan kampungnya. Kalau di kampung, belum tentu dia akan mendengar bunyi-bunyi kereta pada awal pagi sebegini. Kalau ada pun mungkin bunyi daripada enjin motosikal sahaja. 

Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat kelibat adiknya yang sedang melangkah ke arah taman mini.

“Qis,” panggil Dzaquan apabila dia merapati adiknya itu.

Qisya tersentak. Segera dia menoleh pada Dzaquan. Dapat dilihat rambut lelaki itu yang masih basah. Malah, wajah itu juga dilihatnya amat ceria. Senyuman sentiasa terukir dibibirnya.

“Abang,” balas Qisya sambil menghadiahkan senyuman yang agak hambar. Entah mengapa dia berasa begitu kecewa. Tepatkah keputusan yang mereka buat tempoh hari?

“Awal Qis bangun? Tak selesa ke tidur kat rumah ni?”duga Dzaquan.

Sebaliknya itulah yang dirasainya sejak dia melangkah kaki ke dalam rumah Datuk Zaman. Sepanjang masa dia berasa resah. Tidak cukup dengan itu, pandangan meluat yang diberikan isteri Datuk Zaman serta anak gadisnya menambahkan lagi rasa resahnya.

Qisya hanya tersenyum sebelum pandangannya diarahkan pada bunga yang begitu mekar. Begitu juga dengan senyuman yang terukir di wajah abangnya itu. 

Rasanya sudah lama dia tidak melihat senyuman itu di wajah Dzaquan. Gembira ke abang dengan apa yang baru berlaku?

“Rumah orang bang, tak sama dengan rumah sendiri.”

Dzaquan hanya mengangguk. Bersetuju benar dengan kata-kata adiknya itu sambil anak matanya memandang ke arah rumah banglo milik Datuk Zaman. Jauh di sudut hati, dia benar-benar berterima kasih dengan budi yang ditaburkan lelaki itu meskipun ada harga yang terpaksa dibayarnya.

“Abang,” panggil Qisya perlahan. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan pada abangnya itu.Tapi dia bimbang jika masanya tidak sesuai.

“Hmm?”

“Abang rasa abang boleh sayang Neesa tak?” 

Hampir tersedak Dzaquan apabila terdengar soalan itu terpacul keluar daripada bibir Qisya. Terasa aneh pula apabila membicarakan tentang hati dan perasaan dengan adiknya itu. Kerana sebelum ini dia tidak pernah membicarakan soal itu dengan Qisya.

“Soalan jenis apa ni, Qis?” tanya Dzaquan pantas. Kalau diikutkan kepalanya, dia tidak mahu menjawab soalan Qisya itu. Kerana dia sendiri tiada jawapan akan soalan adiknya itu. 

Apa tidaknya, dalam waktu yang singkat sahaja dia sudah bergelar tunangan Aneesa. Anak gadis Datuk Zaman yang langsung tidak dikenalinya itu. Bolehkah dia paksa hatinya untuk menyayangi gadis itu? Dan seterusnya mengambil gadis itu untuk dijadikan isterinya? 

Setakat ini dia masih boleh menarik nafas lega kerana mereka hanya diikatkan dengan ikatan pertunangan dan bukannya perkahwinan. Kerana dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan jika mereka benar-benar dikahwinkan.

“Tak salahkan soalan Qis?” Sekali lagi Qisya mengajukan soalan pada Dzaquan yang kelihatan gelisah dengan soalanny asebentar tadi.

Belum pun sempat Dzaquan membalas kata-kata Qisya, mereka berdua dikejutkan dengan suara Datuk Zaman dari belakang.

“Awal kau orang bangun? Inikan hujung minggu, patut tidur lama sikit.”

Datuk Zaman turut melabuhkan punggungnya di situ. Senyuman turut terukir pada wajahnya. Gembira kerana apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Meskipun pada awalnya Aneesa mahu memberontak.

Mujur juga Mak Ani dapat memujuk anak gadisnya itu sehinggakan Aneesa akhirnya akur untuk ditunangkan dengan Dzaquan. Malah, dia sendiri tidak tahu bagaimana Mak Ani melakukannya. Apa yang dia tahu, Mak Ani sudah melakukan tugasnya dengan baik. 

Tapi kalau diikutkan niat asalnya, mahu dikahwinkan terus Aneesa dengan Dzaquan. Biar rancangan jahat Datuk Fatah tersungkur di tengah jalan. Bila difikirkan balik, usia Dzaquan dan anak gadisnya terlalu mentah. Bimbang jika mereka tidak dapat mengemudi bahtera itu dengan baik dan akhirnya membuatkan mereka bercerai-berai. 

Setidak-tidaknya dengan ikatan pertunangan ini membolehkan mereka berdua mengenali di antara satu sama lain sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Err... orang kampung macam kami ni dah biasa bangun pagi, Datuk,” jawab Dzaquan. Terasa tidak selesa apabila terpaksa berdepan dengan insan itu. 

“Hisy, apa datuk-datuk ni? Mulai hari ni panggil aje papa,” ujar Datuk Zaman mesra.

Dia sedar pastinya anak muda itu berasa kekok untuk memanggilnya papa. Meskipun sudah berulang kali dia mengatakan yang dia sekarang sudah pun menjadi keluarga angkat buat Dzaquan dan adik-adiknya. 

Malah, anak muda itu juga sudah bergelar tunangan Aneesa. Sikit masa nanti akan menjadi menantunya juga. Semakin lebar senyumannya apabila memikirkan perihal itu.

“Qis pun sama. Kena panggil papa tau dan bukannya Datuk macam yang selalu kau orang panggil tu.” Seraya dengan itu dia membuang pandang pada Qisya yang berada di sebelah Dzaquan. 

Bulat anak mata gadis itu apabila mendengar kata-katanya itu.

“Saya?” soal Qisya. Rasa tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya itu.

“Yalah. Kau orang adik-beradik kan dah jadi anak angkat papa? Jadi kena panggil papalah.”

Dzaquan dan Qisya hanya mampu tersenyum kelat dengan kata-kata Datuk Zaman itu. Memang benar lelaki itu pernah berjanji untuk mengambil mereka sebagai anak angkat. Itu pun jika Dzaquan bersetuju untuk menerima pinangannya.

Pada Qisya, kata-kata Datuk Zaman itu amat kejam dan terlalu mementingkan dirinya sendiri. 

Kenapa mesti letakkan syarat sebegitu jika benar lelaki itu mahu membantu mereka? Harga yang diletakkan lelaki itu terlalu mahal buat mereka. Dan abang? Abang terpaksa berkorban demi dia dan adik-adiknya.

Datin Fatimah yang berada di beranda bilik hanya mampu mendengus kuat. Perasaan marah dan geramnya semakin membuak apabila melihat gelagat suaminya yang sedang berbual mesra dengan ‘sampah’ yang baru dikutipnya itu. 

Dulu, dikutipnya Aneesa dan sekarang ditambah pula dengan empat lagi ‘sampah’ yang baru dikutipnya. Ah, salah aku jugak, getus Datin Fatimah. Menyesal betul dia kerana bersetuju dengan rancangan suaminya yang mahu mengikat Aneesa dengan budak kampung. 

Sama sekali dia tidak menyangka yang budak kampung itu akan tinggal bersama-sama dengannya. Sudahlah dia mempunyai masalah untuk menyingkirkan Aneesa dan sekarang masalahnya sudah bertambah. 

Boleh jadi gila aku dibuatnya! Jerit Datin Fatimah dalam hati sambil anak matanya terus terarah pada suaminya yang sedang ketawa gembira bersama ‘sampah’ yang baru dikutipnya. Tangannya juga sudah digenggam erat. 

Tak guna! Aku kat sini dah nak naik gila. Dia orang kat sana sedap-sedap bergelak ketawa, getus Datin Fatimah.

Lama Aneesa memandang ke arah mereka bertiga. Hatinya tiba-tiba terusik dengan suasana itu. Apatah lagi melihat wajah papanya yang ceria bergelak ketawa bersama Dzaquan dan Qisya yang baru sahaja muncul di dalam hidup papanya. Sedangkan dengannya, papanya begitu dingin. Apatah lagi untuk bergelak ketawa sebegitu.

Adakah kerana pertunangannya dengan Dzaquan membuatkan Datuk Zaman gembira sebegitu sekali? Tidak pentingkah perasaan Aneesa buat Datuk Zaman? Hingga Datuk Zaman tegar memisahkan Aneesa dan Amsyar? 

Amsyar pula sudah menghilangkan diri. Merajuk barangkali. Ah, memang patut kekasihnya itu merajuk dengannya. Tak mungkin dia menerima berita pertunangannya dengan lelaki lain.

Aneesa mengeluh perlahan. Namun jauh di sudut hati, dia mahu sama-sama bergurau senda dengan papanya. Tapi dia sendiri tidak pasti, bila dia dapat merasai semua itu. 

Dia memandang lagi wajah papanya itu. Tanpa disedari, air matanya mula membasahi wajahnya. Dia terlalu rindu dengan belaian kasih sayang daripada insan yang bergelar ‘papa’ itu. 

Patutkah dia meneruskan pertunangannya dengan Dzaquan semata-mata untuk melihat wajah gembira papanya itu? Rasanya terlalu besar pengorbanan yang terpaksa dilakukannya.

Aneesa tergamam apabila menyedari dirinya menjadi tatapan Dzaquan. Cepat-cepat dia menyapu air matanya. Tidak mahu dilihat Dzaquan. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan lelaki itu. 

Cukuplah semalam dia tewas dengan rasa kecewanya hingga menumpahkan air mata pada majlis pertunangan mereka.

Qisya jadi pelik apabila pertanyaannya sebentar tadi tidak dijawab Dzaquan. Dilihatnya Dzaquan seperti sedang memerhati sesuatu. Terus sahaja dia mengangkat wajah. Hatinya tertanya-tanya, apa yang berjaya menarik perhatian abangnya itu.

Qisya terus kaku apabila melihat seraut wajah Aneesa berada di beranda. Dia benar-benar tidak menyangka, insan itulah yang membuatkan abangnya begitu tertarik memandang ke sana. 

Pandangannya dialihkan pula pada Dzaquan. Dia mula terasa berdebar-debar apabila melihatkan Aneesa dan abangnya saling berbalas pandangan sebelum gadis itu beredar dari situ.

Sudah berputikkah cinta di antara mereka? Ya ALLAH! Dia tidak mahu perkara itu berlaku pada mereka. Dia tidak sanggup melepaskan abangnya untuk Aneesa. 

Dia hairan dengan perasaannya sendiri. Sedangkan Dzaquan bukan orang luar, tetapi abang kandungnya sendiri. Berdosakah dia kerana berperasaan begitu pada abangnya sendiri?




ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.