Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,370
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20
"BENAR Datin, saya tak tahu. Bukan saya yang ambil,” kata Qisya lagi.

Beria-ria dia menafikan tuduhan yang dilemparkan Datin Fatimah padanya. Dan berkali-kali jugalah Datin Fatimah menuduhnya. Memang dia miskin tetapi dia tidak pernah mencuri. Apatah lagi untuk mencuri barang perhiasan milik Datin Fatimah yang tentunya mahal.

“Hei! Jangan tipu aku! Kalau bukan kau, siapa lagi yang ambil rantai berlian aku tu?” marah Datin Fatimah.

Inilah padahnya kalau terlalu beri muka pada budak kampung. Menyesal betul dia kerana tidak berupaya mengubah keputusan Datuk Zaman yang nekad mahukan Dzaquan serta adik-adiknya tinggal di rumah mereka.

Dia sendiri tidak tahu sejak bila rumahnya sudah bertukar status sebagai ‘rumah kebajikan’.

“Benar Datin, saya tak ambil,” ujar Qisya mula sebak. Begitu sukar rasanya untuk membela diri yang dituduh mencuri. Terasa dirinya benar-benar kerdil di mata Datin Fatimah sehinggakan setiap butir bicaranya hanya dipandang sepi insan itu.

Qisya masih ingat lagi akan pandangan tajam yang dihadiahkan Datin Fatimah dan Kartini saat kakinya melangkah masuk ke dalam banglo besar milik Datuk Zaman. Sejak itu hidupnya sudah tidak sebahagia dulu.

Mana mungkin dia boleh bahagia seperti dulu jika setiap perbuatannya ada saja yang tidak kena di mata Datin Fatimah. Begitu juga dengan Kartini yang sentiasa mencari silapnya.

Pernah dia mengadu pada abangnya, Dzaquan. Namun tiada apa yang mampu dilakukan Dzaquan kerana mereka hanyalah menumpang di rumah orang. Cuma satu sahaja yang mampu dia lakukan, iaitu bersabar.

Ditambah pula dengan layanan baik daripada Datuk Zaman dan Aneesa membuatkan dia semakin kuat untuk menahan segala sindiran dan caci maki daripada Datin Fatimah padanya.

“Hei! Kau jangan nak berlakon air mata dengan aku ya. Kau ingat aku percaya dengan air mata kau ni?” bentak Datin Fatimah sambil hujung jarinya menolak kepala Qisya beberapa kali. Dia benar-benar menyampah melihat wajah Qisya yang mula dibasahi dengan air mata.

Dia fikir dengan air matanya itu boleh meraih simpati aku? Huh! Dia tak kenal dengan Datin Fatimah agaknya? Menangislah air mata darah sekalipun, aku tetap takkan percaya, getus Datin Fatimah.

“Kau tak dengar ke aku tanya tadi? Mana kau simpan rantai berlian aku? Ingat dengan air mata kau tu boleh kembalikan rantai berlian aku ke? Dasar budak kampung! Tahu nak mencuri aje kerjanya!” bentak Datin Fatimah lagi. Kali ini rambut Qisya pula yang menjadi mangsanya.

Qisya cuma mampu menjerit dan merayu pada Datin Fatimah agar tidak terus menyakitinya. Namun langsung tidak diendahkan Datin Fatimah.

Seketika kemudian dia menolak pula tubuh Qisya. Qisya yang hampir terjatuh sempat berpaut pada meja yang berada di sebelahnya. Kata-kata kasar Datin Fatimah langsung tidak dibalasnya.

“Benar, Datin. Saya tak ambil,” kata Qisya lagi. Wajah tegang Datin Fatimah dipandang sekilas. Apa lagi yang harus dilakukan agar dirinya dipercayai?

“Kalau Datin tak percaya pada saya, Datin boleh cari kat bilik saya,” usul Qisya dengan tiba-tiba.

Dalam waktu yang sama dia amat berharap agar Datuk Zaman, Aneesa ataupun Dzaquan akan muncul untuk membela nasibnya. Kerana dia sudah tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya sendiri.

Tak cukup dengan itu, setiap patah katanya langsung tidak dihiraukan Datin Fatimah. Walaupun sudah berkali-kali dia menafikannya, Datin Fatimah tetap menuduhnya. Dia sendiri hairan dengan sikap Datin Fatimah yang terlalu membenci mereka adik-beradik.

Apa salah mereka sehinggakan mereka dibenci sebegitu sekali? Adakah disebabkan pertunangan Dzaquan dan Aneesa? Tak mungkin! Kerana dia yakin hubungan Datin Fatimah dengan Aneesa juga tidak sehaluan. Ataupun mungkin juga disebabkan mereka yang menumpang teduh di rumah besar itu? Lalu Datin Fatimah mula membuat helah untuk menghalau mereka adik-beradik?

“Dah mencuri memanglah tak nak mengaku.”

“Macam mana saya nak mencuri kalau rantai berlian tu saya tak pernah tengok?” soal Qisya pantas. Dia sudah mula berasa penat dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Datin Fatimah. Sampai bila dia harus menahan semua itu?

Pang!!!

Tamparan kuat hinggap di pipi Qisya sehinggakan dia jatuh terduduk. Darah merah mula kelihatan pada luka di dahinya gara-gara terhantuk kuat pada meja sebentar tadi. Qisya yang mula terasa pedih segera menyentuh luka itu. Anak matanya terus membulat saat terpandang darah merah yang melekat pada jarinya itu.

Ya ALLAH! Darah...

“Aku tak nak dengar alasan-alasan bodoh tu keluar daripada mulut kau! Kalau dah mencuri tu mengaku ajelah. Cakap banyak pun tak gunalah!” Keras sekali kata-kata Datin Fatimah itu.

Malah, riak bersalah langsung tidak terlukis pada wajahnya meskipun dia melihat dengan jelas darah merah mula kelihatan pada luka di dahi Qisya.

Langkah Datuk Zaman terhenti apabila anak matanya melihat darah merah pada dahi Qisya.

“Qis! Apa yang dah berlaku? Kenapa sampai berdarah macam ni?” soal Datuk Zaman bertalu-talu. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang dilihatnya itu. Apa yang telah berlaku sehinggakan dahi Qisya berdarah macam tu sekali?

Tanpa membuang masa dia terus merapati anak gadis itu. Sempat dijeling sekilas pada isterinya yang berdiri tidak jauh daripada Qisya.

“You buat apa pada Qis sampai berdarah macam ni?”soal Datuk Zaman lagi. Kali ini ia ditujukan pada isterinya yang langsung tidak bergerak daripada tempatnya berada.

Langsung tidak ada tanda-tanda yang isterinya itu akan memberikan bantuan pada Qisya. Kesal melihat sikap Datin Fatimah yang langsung tidak menunjukkan rasa simpati meskipun darah merah jelas kelihatan pada dahi Qisya. Tidak adakah rasa belas pada isterinya itu?

Datin Fatimah yang mendengar tuduhan suaminya itu, mendengus kasar.

“Hei, apa pulak I? Salah dia sebab mencuri rantai berlian I, tahu tak?” balas Datin Fatimah kasar.

Geram kerana suaminya itu menuduh dirinya. Walhal lelaki itu tidak tahu apa-apa. Kadangkala dia sendiri berasa pelik dengan sikap suaminya itu yang ternyata terlalu mengambil berat akan Qisya. Sedangkan mereka berdua langsung tiada hubungan kekeluargaan.

“You cederakan Qisya sebab rantai berlian you hilang? You dah gila ke?” bentak Datuk Zaman kuat.

Padanya, Datin Fatimah benar-benar sudah melampau. Takkanlah disebabkan benda kecil macam tu sampaikan sanggup mencederakan orang pula?

“Yang you ambil berat sangat fasal budak ni kenapa?” soal Datin Fatimah pula.

Soalan berbalas soalan. Hatinya mula berasa cuak dengan sikap suaminya itu yang begitu mengambil berat akan keadaan Qisya.

“Jangan-jangan budak ni memang anak you tak?” tuduh Datin Fatimah dengan tiba-tiba. Gusar juga dia jika Datuk Zaman dan Qisya memang berkongsi darah yang sama.

Akalnya sudah terlalu penatd alam memikirkan rancangan untuk menyingkirkan Aneesa daripada hidup Datuk Zaman. Sekarang masalahnya semakin bertambah dengan kehadiran Qisya.

Terus dia menatap wajah Datuk Zaman. Seketika kemudian bersilih ganti dengan wajah Qisya. Beberapa kali juga dia berkeadaan begitu hanya semata-mata mahu melihat persamaan pada wajah mereka berdua.

Anak mata Datuk Zaman membulat dengan tuduhan isterinya yang langsung tidak berasas. Nak tergelak pun ada. Entah dari mana datangnya benda merepek seperti itu.

Qisya yang tersepit di tengah-tengah mula berasa serba salah. Kerana dirinya, pasangan suami isteri itu pula yang bertengkar. Sudahlah tadi dituduh sebagai pencuri dan sekarang dituduh pula sebagai anak Datuk Zaman pula? Gila! Benar-benar gila!

“You jangan mengarut boleh tak, Timah?” ujar Datuk Zaman.  Seboleh mungkin dia cuba mengawal agar ketawanya tidak meletus.

“Dah, pergi ambilkan first aids kit. I nak letak ubat pada luka Qis ni,” arah Datuk Zaman pula.

Datin Fatimah yang mendengar terus tarik muka. Timah lagi. Walhal sudah beberapa kali dia memberitahu pada suaminya yang dia tidak suka dipanggil dengan nama itu. Langsung tidak diendahkan suaminya.

“Siapa Timah? I Fattylah. F.A.T.T.Y, Fatty!” Seraya dengan itu dia mengeja nama panggilan yang biasa dipanggil oleh rakannya itu. Biar jelas pada pendengaran suaminya itu. Biar ini adalah kali terakhir dia mendengar panggilan sebegitu daripada suaminya.

“Huh, you ambillah sendiri,” sambung Datin Fatimah sebelum berlalu meninggalkan Datuk Zaman dan Qisya sendirian.

Sudahnya, Datuk Zaman hanya mampu menggeleng-geleng dengan jawapan isterinya itu. Jauh di sudut hati, dia berasa sangat malu pada Qisya. Malu kerana dia gagal mendidik isterinya sendiri.

“Eh, tak apalah, Datuk. Saya boleh sapu sendiri.” Cepat-cepat Qisya bersuara. Baru saja dia berkira-kira untuk bangkit, suara Datuk Zaman pula kedengaran.

“Ani! Ooo...Ani! Sini kejap!” jerit Datuk Zaman pada Mak Ani, pembantu rumahnya pula.

Qisya yang mendengar hanya mampu tersenyum kelat. Sudahnya terpaksa juga dia menanti kehadiran Mak Ani.




ps: InsyaALLAH, kalau sempat DTA bakal berada di PBAKL 27 april-5 mei. Kalau tak sabar untuk mengetahui penghujung kisah Dzaquan dan Aneesa bolehlah dapatkannya nanti.
Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.