Mira menyemak
beberapa fail di atas mejanya. Nampaknya ada beberapa fail baru yang telah
diletak di situ semalam. Sesekali Mira memegang perutnya yang masih rasa
berbisa. Kalau tak elok lagi hari ni, nampaknya kena pergi klinik ni...rungut
Mira sendiri. Dia ingat semalam sakit perutnya sudah sembuh tetapi pada waktu
malam, ia kembali memulas. Tetapi pagi ini dia terpaksa juga datang bekerja
kerana dia bimbang akan semakin banyak kerja yang tertunggak. Lagipun ada
beberapa perkara penting yang perlu diuruskannya berkaitan dengan kes-kes yang
telah ditetapkan untuk perbicaraan di mahkamah.
“Mira, boss baru dah sampai, pergilah
perkenalkan diri,” sapa ASP Ramli yang tiba-tiba sahaja terjengul di cubiclenya.
Lelaki berkulit sawo matang dan bermisai melintang itu memandang Mira dengan
wajah yang serius tetapi bukannya marah. Wajahnya sahaja yang bengis tetapi
hatinya baik.
“Eh tuan...ok
ok. Saya memang nak pergi jumpa dia. Baik tuan, saya pergi sekarang,” jawab
Mira kemudian dia terus berdiri tanda bersedia untuk berjumpa dengan ketua
jabatan mereka yang baru mendaftarkan diri semalam.
“Dah okey ke
perut tu?” ASP Ramli bertanya lagi apabila dilihatnya Mira sudah bersedia untuk
melangkah.
“Petang
semalam dah okey tuan, tapi malam tadi dia buat hal balik. Pagi ni sakit balik.
Tuan, kalau tak okey, saya mintak balik ya,” pinta Mira dengan wajah kesian.
Kalau badannya bulat sudah tentu wajahnya comel macam kucing Puss In Boots yang
cuba memancing simpati orang.
“Ya
lah...kalau dah sakit macam tu macam mana nak kerja,” ujar ASP Ramli.
“Terima kasih
tuan.” Mira sangat bersyukur kerana ASP Ramli sangat bertimbangrasa dengan
semua anak buahnya. Sikapnya yang ramah sangat disenangi oleh pegawai dan
anggota yang berkhidmat di situ.
ASP Ramli
meninggalkan Mira lalu berjalan menuju ke biliknya. Mira membetulkan pakaian
seragamnya agar nampak kemas. Dengan penuh berhati-hati dia melangkah menuju ke
pejabat ASP Faizal, iaitu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ipoh yang baru.
Sesekali apabila bertembung dengan anggota polis yang lain, Mira akan menegur
dan melemparkan senyuman tanda hormat.
Mira kini
telah tiba di hadapan pintu bilik ASP Faizal. Semakin hampir, semakin kuat
degupan jantungnya. Dia berdoa berkali kali supaya ASP Faizal tersebut bukanlah
Faizal yang berada di dalam fikirannya kini. Mira menarik nafas panjang
kemudian menghembusnya perlahan-lahan. Dia cuba menghilangkan kekalutan yang
sedang beperang di dalam dirinya. Sebelum mengetuk pintu, dia membetulkan
sekali lagi pakaiannya. Dia berdehem beberapa kali dan melihat ke arah kasut
hitam berkilat yang tersarung di kakinya. Setelah pasti semuanya sempurna, Mira
sekali lagi menarik nafas panjang. Cuba mencari kekuatan dan mengarang
kata-kata yang baik untuk diucapkan kepada ketua barunya. Dengan dimulai bacaan
bismillah, dia mengetuk pintu bilik beberapa kali. Tanpa menunggu jawapan, dia
memulas tombol pintu dan menolaknya ke dalam.
Daun pintu
telah terbuka luas. Ketua Jabatannya sedang membelakangkan pintu. Mira
memberikan salam dan kini menunggu untuk melihat wajah Ketua Jabatan yang
dikatakan sangat kacak oleh Zuha semalam. Entah kenapa dada Mira berdebar
kencang saat menunggu lelaki itu memusingkan kerusinya. Bagai cerita drama
televisyen apabila kerusi yang diduduki oleh ASP Faizal perlahan-lahan
berpusing menghadap ke hadapan.
“Ya ALLAH....dugaan apakah ini......,” jerit
hati Mira. Lidahnya serta merta kelu. Masa seakan terhenti buat seketika.
Mira
terpempan apabila wajah lelaki itu sudah jelas dipandangannya. Mira hampir
pitam apabila dikejutkan sekali lagi dengan keadaan yang sama di AEON
tempohari. Di kala ini dia benar-benar mengharapkan agar matanya sedang menipu
pemikirannya tetapi walau beberapa kali dia mengelipkan matanya, wajah itu juga
yang masih terpampang di hadapannya. Mira rasa ingin lari dari situ tetapi
kakinya rasa bagai dipaku ke lantai. Tangannya ingin memberi tabik hormat
seperti yang sering dilakukannya apabila berhadapan dengan pegawai atasan,
tetapi dia rasa seperti sedang memakai gelang besi yang beratnya bertan-tan.
Senyuman manis yang tadinya terukir di bibirnya serta merta hilang, segala
kata-kata aluan yang telah dikarang dan dirancangnya sebentar tadi lesap dari
fikirannya apabila lelaki itu telah berhadapan dengan Mira.
Rasa hendak
luruh jantung Mira apabila senyuman kelihatan begitu sinis terukir di bibir
lelaki itu. Bermimpikah aku atau sememangnya keadaan ini adalah realiti yang
mana memang lelaki itu lah yang sedang duduk di kerusi itu?
Mira cuba
memandang ke arah lain namun anak matanya masih degil terpaku ke hadapan.
Kakinya tidak mampu untuk melangkah lebih jauh ke hadapan dan senyuman lelaki
itu dirasakan bagai mengejek-ngejeknya di waktu itu. Mira hanya mampu memandang
lelaki itu dengan pandangan yang sukar dijelaskan. Marah, benci, hormat, malu?
Perkara yang
paling dibimbanginya malam tadi kini menjadi satu kenyataan yang begitu payah
untuk diterima. Berkali-kali dia cuba menyakinkan dirinya sepanjang malam
bahawa ASP Faizal itu adalah Faizal yang lain, yang tiada kena mengena dengan
sejarah silam yang telah menyebabkan dia menjadi seorang pendendam sehingga
kini. Tetapi.....dia adalah dia. Memang dia adalah lelaki yang sama yang pernah
dikenalinya dulu.
“Masuklah
Inspektor Mira, kenapa tercegat sahaja di pintu.” ASP Faizal memulakan perkenalan baru mereka.
Pen yang dipegang diletakkan di atas meja. Matanya memandang tajam tubuh gadis
yang berada di hadapannya.
Mira memejamkan matanya sebentar, menarik
nafas panjang kemudian menguatkan semangatnya. Dia memaksa kakinya melangkah
walau rasa seperti menyeret rantai besi yang dirantai ke kakinya.
“Duduk,” arah
lelaki itu lagi.
Mira hanya mengikut.
Reaksi wajahnya sukar diduga. Tiada senyuman dan tidak juga bermasam muka. Dia
duduk menghadap ASP Faizal atau dahulunya hanya dipanggil Faizal sahaja. Ahh!!
Rasanya mahu sahaja dia bangun dari situ, berlari keluar dan menjerit
sekuat-kuat hatinya. Dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki itu. Tidak! Dia
bencikan lelaki itu, bukan sahaja sekarang malah sejak dahulu lagi.
“Amira Saira
binti Badrul......” Suara lelaki itu kedengaran bagai halilintar yang menjunam
ke dalam jantung Mira. Sesak nafasnya dengan keadaan ini.
“Tak sangka
kita berjumpa lagi kan...,” ujar lelaki tersebut. Anehnya bunyi nada suara
lelaki itu di gegendang telinga Mira. Adakah dia kini dalam perancangan
untuk cuba membalas dendam terhadap
Mira?
“Kenapa awak
tidak tabik hormat pada saya? Macam ini kah cara awak mengalu-alukan kedatangan
pegawai awak?” bidas lelaki itu lagi. Pandangan matanya sangat tajam memandang
Mira. Jika pandangan itu adalah pedang, ia telah menusuk hati Mira sehingga
melukakan semula luka yang hampir sembuh.
Bagi Mira, ASP
Faizal seakan-akan cuba memancing kemarahannya dengan kata-kata yang kurang
senang didengari. Kata-katanya bagai
halilintar yang memanah hati Mira. Mira mendongakkan wajahnya yang merah
padam. Serentak dia terus berdiri dan memberi tabik hormat walaupun hatinya
meronta-meronta dan melarang dia dari berbuat demikian. Demi kerja yang kau
suka Mira, kau kena bertahan...berkali-kali hati Mira cuba memujuk hatinya.
“Maafkan saya
tuan. Saya Amira Saira binti Badrul mengucapkan selamat datang kepada tuan,”
ucap Mira tegas kemudian dia tunduk semula. Tiba-tiba hati Mira sebak. Dia
terasa bodoh berdiri tegak di hadapan lelaki ini. Mira rasa mahu menangis.
Tahanlah Mira, jangan menangis di hadapan lelaki jahat ini...pujuk Mira
sendiri.
Ada senyuman
sinis terukir di bibir lelaki itu.
“Kan bagus
jika awak dulu pun begini....,” ujar lelaki itu lagi. Sekali lagi ASP Faizal
merujuk kepada yang “dulu”.
Jantung Mira
tersentap apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Kenapa dia masih mahu merujuk
kepada perkara yang dulu? Adakah memang benar dia masih menyimpan dendam
sepertimana aku masih membencinya? Ya
ALLAH....apakah yang akan terjadi kepada diriku mulai dari saat ini?
“Kenapa awak
menjadi sebegini senyap Mira? Kenapa tidak ada kata-kata yang awak hamburkan
dari mulut awak setiap kali awak bertembung dengan saya?” tanya ASP Faizal
dengan senyuman sinis melatari bibirnya.
Mira pula
semakin lemas. Sekali lagi lelaki itu mengungkit permasalahan yang wujud
diantara mereka dahulu. Ahh!!! Sukarnya hendak berdepan dengan lelaki ini walau
seminit lagi. Mira nekad. Perasaan yang bercelaru di hatinya tidak mampu lagi
ditahan. Jika dia masih berada lebih lama lagi di dalam bilik ini, pasti perang
mulut akan berlaku. Secara mengejut Mira bangun dan dengan nada tegas dia
berkata.
“Tuan, kalau
tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,” bidas Mira geram. Tanpa menunggu
jawapan dari lelaki itu, dia terus melangkah keluar. Biarlah jika lelaki itu
mahu melaporkan kepada orang atasan kebiadapannya. Dia tidak peduli. Paling
kurang pun dia akan ditukarkan ke tempat lain dan itu lebih baik daripada dia
terpaksa berhadapan dengan lelaki tersebut pada setiap hari. Atau jika sangat susah....ya, untuk kali
pertama dia akan mengorbankan prinsipnya dengan menggunakan pengaruh ayahnya
supaya masalah ini dapat diselesaikan.