Home Novel Cinta CINTA RAHSIA
CINTA RAHSIA
Aini Marisha Marisha
15/10/2015 00:02:13
4,505
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

“Hai Sally,” sapa Myra kepada teman serumahnya, wanita berasal dari Indonesia yang sama-sama mencari rezeki di bumi Hong Kong ini.

“Pergi ke mana tadi Myra?” Tanya Sally dalam loghat Indonesianya yang masih pekat.

“Macam biasalah, pergi survey harga hotel dan tiket-tiket semua dan deal dengan tempat-tempat yang customer nak pergi nanti,” jawab Myra kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Sally yang sedang enak mengunyah pop-corn. Jari Mira mencapai beberapa butir pop-corn kemudian terus dimasukkan ke dalam mulutnya.

“Bila customer kau nak datang sini? Berapa ramai?” Tanya Sally lagi.

“Bulan depan katanya. Tiket dah dapat. Diaorang satu family. Parents, and 2 anak umur 14 tahun dan 11 tahun,” jawab Myra. Dia menyandarkan tubuhnya ke sofa. Letih juga selepas berjalan agak jauh ke beberapa tempat pelancongan dengan menaiki subway.

“Bagus ya bisnes kau sekarang. Alhamdulillah….” Sally memberikan pendapat jujur. Myra menoleh ke arah Sally, kemudian tersenyum… “Alhamdulillah” balasnya. Dia meletakkan tapak tangannya ke atas tangan Sally, tanda mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang selama ini tidak putus-putus diberikan oleh Sally.

Sebagai teman serumah dan sama-sama merantau ke negara orang, mereka berdua memang sangat rapat. Mereka memang perlu saling bergantung kerana mereka tiada ahli keluarga lain di sini. Malah Myra dan Sally juga masing-masing adalah anak yatim. Kedua ibu bapa mereka telah meninggal dunia dan tiada adik beradik juga untuk mereka bergantung kasih.

Myra memang sangat bersyukur kerana ditemukan dengan Sally. Baginya pertemuan dengan Sally adalah satu rahmat ALLAH yang ingin membantunya disaat dia memang benar-benar tersedak dan tergapai-gapai di dalam kehidupannya. Myra bertemu Sally sewaktu dia bekerja di sebuah hotel di sini sebagai pengemas bilik. Kebetulan mereka berdua ditugaskan bersama-sama dan sejak itu mereka menjadi semakin akrab. Sally juga telah mengajak Myra tinggal bersamanya apabila dia mendapat tahu Myra hanya menyewa sebuah bilik yang kecil di sebuah flat lama. Kos hidup di negara ini memang sangat tinggi. Oleh itu Myra hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil dan rumah itu pula dikongsi dengan lima orang lagi yang datang dari pelbagai negara.

“Kau duduk saja dengan aku. Lagipun roommate aku nak kahwin hujung bulan ni dan dia akan ikut suami dia balik ke Jakarta.” Sally menoleh sekejap ke arah Myra yang sedang mengelap cermin di dalam bilik itu. Myra berhenti sekejap kemudian menoleh ke arah Sally.

“Tak apa ke? Aku tak susahkan kau nanti?” Tanya Myra dan pada masa yang sama dia menyemburkan cecair pencuci cermin ke atas tuala kecil di tangan kanannya.

“Nak susahkan apa pulak? Kau pindah masuk saja. Kita jadi housemate. Senang boleh pergi dan balik kerja sama-sama. Tapi bukanlah duduk free. Sama-sama sharela duit sewa rumah…,” balas Sally dengan sengihan panjang.

Myra tersenyum. Dia tahu Sally ikhlas mengajaknya. Lagipun memang mereka adalah kawan sekerja dan sangat rapat. Myra pun memang sebelum ini sudah berkira-kira mahu mencari bilik yang lain kerana sudah tidak tahan dengan perangai rakan serumahnya sekarang. Tinggal di negara yang tidak ada pegangan agama yang kuat memang menyesakkan jiwa Myra. Namun dia tidak ada banyak pilihan. Kesempitan wang membuatkan dia terpaksa akur dan bersabar dengan dugaan hidup yang perlu dia lalui di sini.

“Iyalah…, itu aku tahu. Alhamdulillah…, aku pun memang tengah nak cari bilik lain ni. Aku dah tak tahan la. Macam-macam perangai ada kat rumah tu. Bab bawak lelaki masuk rumah memang tak boleh nak kata apa dah…,” bebel Myra kepada Sally. Sally mengangguk.

“Iya…, bukan senang mahu mencari rakan serumah yang beraga Islam. Aku memang nak ajak kau awal-awal lagi dulu, tapi sebab rumah tu pun kecik. Bilik pun ada dua saja. Dan sekarang kebetulan pula Tila sudah mahu pindah. Itu rezeki kau Myra,” jawab Sally sambil tangannya pantas menukar sarung bantal dan mengemaskan bucu cadar katil.

“Bilik air sudah siap?” Tanya Sally kepada Myra apabila dilihatnya Myra hendak keluar mengambil tuala baru untuk digantikan. Myra hanya mengangguk tanpa balasan suara, kemudian dia masuk semula membawa dua helai tuala putih tebal. Tuala itu diletakkan di atas besi penyidai di dalam bilik air. Toiletries digantikan dengan yang baru kerana memang setiap kali mengemas bilik, semua toiletries perlu digantikan dengan yang baru kerana pelanggan hotel selalunya akan membawa pulang semua toiletries tersebut.

Myra tersenyum sendiri. Dia juga selalu melakukan perkara yang sama dulu. Setiap kali pergi ke hotel, dia pasti akan mengutip semua toiletries yang comel-comel di dalam bilik air hotel dan membawanya pulang sebagai kenangan. Malah dia membuat satu sudut yang khas untuk menyimpan semua toiletries tersebut. Tiba-tiba senyuman di bibirnya hilang apabila kenangan itu terus membawa dirinya semakin jauh sehingga menjangkau kenangan yang tidak mahu diingatinya lagi. Terus Myra keluar dari bilik air dan keluar dari bilik itu. Kerja mereka untuk bilik itu telah selesai. Sally juga sudah menunggu di luar, bersedia untuk menolak troli berisi barangan-barangan gantian serta plastik besar berisi sarung bantal, cadar dan tuala yang telah digantikan.

Oleh kerana tiada pelanggan lain yang check out pada hari itu, tugas mereka selesai dan mereka boleh terus menolak troli ke bilik yang disediakan untuk pekerja pembersihan hotel itu.

Tepukan ke peha Myra mengejutkan dirinya yang sudah mengelamun panjang. Myra menoleh ke arah Sally di sebelahnya.

“Kau sudah pergi sampai ke mana? Tersenyum-senyum sendiri…,” tegur Sally apabila sebentar tadi Myra mendiamkan diri agak lama. Sally perasan yang Myra sedang mengelamun apabila matanya merenung ke arah televisyen tetapi dia seakan-akan berada di dalam dunianya sendiri. Apabila Myra kemudiannya tersenyum sendiri, Sally pasti tekaannya adalah betul. Disebabkan itulah dia mengejutkan Myra.

“Sudah solat Zohor?” Tanya Sally lagi.

Myra menggeleng. Kelam kabut dia melihat jam di pergelangan tangan.

“Alamak, dah lambat. Myra pergi solat dulu.” Bergegas Myra bangun meninggalkan Sally. Malu dia kerana melewat-lewatkan solat sedangkan selama ini ALLAH banyak membantunya di sini.

Sally menggeleng kepala melihat reaksi Myra. Menjadi teman serumah dengan Myra hampir dua tahun membuatkan dia menjadi teman pendengar yang setia buat sahabatnya itu. Segala suka duka yang pernah dilalui oleh Myra di dalam kehidupannya berada di dalam pengetahuan Sally. Dulu dia ingatkan bahawa kehidupannya sangat susah, penuh dengan ranjau dan duri, tetapi apabila dia mendengar cerita dari Myra, dia tidak sangka rupanya kehidupan Myra jauh lagi teruk dari kehidupannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.