Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
100,123
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Faizal tersenyum panjang apabila Inspektor Mira melangkah keluar begitu sahaja dari biliknya. Faizal memusing musingkan kerusinya dua tiga kali. Hatinya kembang dengan perasaan bangga dan gembira. Kalau hatinya belon, sudah pasti ia hampir pecah kerana udara panas yang memenuhinya. Dia telah menang. Ya, dia telah menang hari ini. Beberapa kali dia mengulang ayat yang sama. “Aku telah menang.”

‘Amira Saira......, dah lama aku menanti pertemuan ini dan tak sangka kita akan bertemu jua akhirnya. Walau telah lama, namun bukan mudah kenangan antara kita dulu itu dicungkil keluar dari kotak fikiranku,’ bisik Faizal sendiri. Senyuman lebar terlukis di bibirnya. Faizal mengetuk-ngetuk pen yang dipegang ke meja. Wajah Mira semasa zaman persekolahan terbayang-bayang di ruangan matanya. Seorang gadis yang bertubuh tinggi, agak berisi tetapi tidak dinafikan gadis itu memiliki senyuman yang begitu manis, dilengkapi pula dengan dua lesung pipit di pipinya. Dengan mengikat rambut tocang satu ke belakang, Amira Saira tiada apa kurangnya malah telah mencuri perhatiannya sejak kehadirannya kali pertama lagi. Pada masa itu, dia masih terlalu mentah mahu menilai mengenai hati dan perasaan. Apa yang dirasakannya pada waktu itu adalah, dia sentiasa rasa mahu mengusik pelajar baru itu. Sangkanya usik mengusik akan mungkin mendekatkan mereka tetapi tiada siapa yang dapat menyangka, mereka menjadi semakin jauh sehingga akhirnya bermusuhan. Yang memeritkan adalah kesudahannya mereka perlu dipisahkan terus akibat keterlanjuran sikap Faizal sendiri.

‘Ah...kalaulah masa dapat diputarkan kembali, pasti aku akan........’ Bisikan hati Faizal hanya setakat itu sahaja. Tergantung tiada kesudahannya.

Faizal mengimbas kembali kehidupannya beberapa bulan yang lepas iaitu sebelum dia bertukar ke Ipoh. Dia sebenarnya memang sengaja membuat permohonan untuk bertukar ke balai polis ini. Selama lima bulan dia menunggu, akhirnya dia menjerit kegembiraan apabila menerima panggilan telefon yang menyatakan bahawa permohonannya untuk bertukar ke Ipoh telah diluluskan. Ramai yang bertanya kenapa dia mahu bertukar ke Ipoh sedangkan dia bukan berasal dari sana malah dia juga tiada langsung saudara mara di negeri tersebut. Jawapan yang meniti di bibirnya adalah klise, hanya mahu menimba pengalaman di negeri orang. Tiada siapa yang tahu alasannya yang sebenar.

‘Semua ini kerana mu Amira Saira,’ bisik Faizal di dalam hati.

Faizal tahu bahawa Amira bertugas di Ipoh setelah terlihat gambarnya di PULAPOL semasa dia mahu berjumpa dengan salah seorang kawannya yang baru bertukar ke pusat latihan itu sebagai tenaga pengajar. Semasa matanya melilau memerhatikan gambar-gambar pegawai yang telah berjaya menamatkan latihan di situ dan membaca nama-nama yang tercatit di kaki gambar, tiba-tiba sahaja matanya terpaku kepada sekeping gambar. Lama dia membaca satu nama itu berkali-kali. Inspektor Amira Saira binti Badrul.....

Memang dialah...tidak salah lagi. Bukan mudah untuk dia melupakan nama itu. Terus Faizal menatap gambar di bahagian atas, cuba mencari-cari budak gemuk yang sering diusiknya dahulu. Mana dia ni......berkali-kali mata Faizal memerhati namun sukar untuk dia mencari pemilik nama itu. Faizal membaca semula nama itu dan melihat kepada kedudukan barisan yang dicatit.

“Dua dari kanan, di barisan tengah....,” bisik Faizal sendirian kemudian dia cuba mencari semula. Apabila terjumpa.....“Dia dah kurus,” bisik Faizal sendirian. Terpegun sebentar Faizal apabila melihatkan perubahan bentuk fizikal Amira Saira. Beberapa kali dia memerhatikan gambar itu untuk memastikan bahawa gadis di dalam gambar itu adalah Amira Saira yang pernah dikenalinya. Memang dia.....akhirnya Faizal nekad. Memang dia...walaupun bentuk fizikalnya telah berubah namun senyuman itu masih sama.

“Siapa yang kau tengok tu? Siap cakap sorang-sorang lagi....,” tegur Sufian yang secara tiba-tiba sahaja terjengul di sebelahnya.

“Eh, engkau ni Sufian...terkejut aku. Tak adalah....ingatkan aku kenal budak tu, tapi salah orang lah....” Faizal cuba berdalih.

“Mana?” tanya Sufian lagi tetap ingin tahu. Sufian terus memerhatikan gambar yang ditenung oleh Faizal tadi.

“Ah, tak apalah...jomlah. Kata nak belanja aku makan tadi.” Faizal terus menarik Sufian dari gambar tersebut kerana dia tidak mahu menjawab pelbagai lagi persoalan yang bakal ditanya oleh kawannya itu.

“Issh, kau ni kalau bab belanja makan, tak pernah lupa,” bebel Sufian kemudian terus menepuk bahu Faizal.

“Mana boleh lupa bro. Masa ni lah aku nak kikis elaun-elaun engkau yang banyak tu kan,” usik Sufian lagi.

“Hahahaa....mana ada banyak bro. Sama je gaji kita ni,” jawab Faizal sambil menepuk bahu Sufian.

“Lain lah bro. Engkau bujang, aku ni dah ada family. Anak nak masuk dua dah pun. Banyak komitmen. Tapi tak apa, yang penting aku happy. Aku bersyukur. Best ada keluarga dan anak-anak tau. Kau ni bila lagi? Nak tunggu bidadari syurga ke? Aku dengar ramai awek-awek dalam kem yang nak kat kau tapi kau reject awal-awal. Apahal?” tanya Sufian apabila mereka telah duduk di kafeteria kem.

“Tak de lah sampai aku nak cari bidadari syurga. Belum sampai seru bro. Jodoh aku tak de kat sini kot,” jawab Faizal pendek.

Mereka berdua ketawa tetapi dalam masa yang sama fikiran Faizal masih tetap memikirkan mengenai Amira Saira. Dia mahu bertemu semula dengan gadis itu dan menunjukkan kejayaan yang diperolehinya sekarang. Dia mahu Amira melihat bahawa dia kini dia bukan lagi budak nakal, kurus dan samseng di sekolah malah dia adalah ASP Faizal yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi dari Inspektor Amira Saira.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.