Sedar tak sedar... sudah sepuluh tahun peristiwa itu berlaku. Osman telah
tiada lagi di dunia ini. Kini Salina meneruskan kehidupannya bersama Faizal.
Siapa sangka Faizal yang dahulunya banyak menimbulkan masalah di sekolah
akhirnya telah berjaya di dalam hidupnya. Salina benar-benar bersyukur kehadrat
Ilahi kerana anaknya telah
berubah dan kini berjaya menjadi seorang pegawai polis dan yang paling penting
menjadi seorang anak yang sangat baik dan sentiasa menjaga kebajikannya. Ke
mana sahaja Faizal ditukarkan, Salina pasti akan dibawanya bersama.
“Kalau Faizal berkahwin, isteri Faizal kena
terima hakikat yang mak akan sentiasa tinggal bersama Faizal. Kalau tak nak,
Faizal tak akan terima dia,” ujar Faizal apabila Salina menyuarakan
kebimbangannya lebih-lebih lagi Faizal masih lagi tidak mahu membincangkan
mengenai kahwin.
“Mak tak nak menantu mak rasa terbeban dengan
kehadiran mak nanti. Orang dah berkahwin selalunya nak privacy,” ujar
Salina sambil mengusap lembut kepala Faizal.
“Apa yang terbebannya, mak? Bukankah memelihara
orang tua kita satu kebajikan, malah mendapat pahala yang begitu besar daripada
ALLAH?” jawab Faizal.
“Itu kata Faizal,” jawab Salina lagi.
“Sebagai isteri, dia kena dengar cakap suami.
Kalau dia membantah, maka dia bukan isteri yang baik. Perempuan yang begitu,
tidak sesuai untuk dijadikan isteri mak. Lagipun, mak tak akan bebankan
sesiapa. Faizal kan dah ambil pembantu rumah. Jadi tidak ada alasan untuk
isteri Faizal nak merungut lagi,” jelas Faizal lagi. Dia mempunyai pendiriannya
sendiri tentang gadis pilihan yang akan menjadi suri hidupnya nanti. Biar
wanita itu tidak cantik di pandangan matanya tetapi cantik budi bahasanya.
Sejuk hati Salina mendengar kata-kata Faizal.
Salina mengusap lembut rambut Faizal apabila Faizal baring dan meletakkan
kepalanya atas ribaan Salina. Tidak lama, kemudian Faizal bangun memicit kaki
Salina.
“Kaki mak lenguh lagi?” tanya Faizal sambil
menuangkan beberapa titis minyak hijau ke tapak tangannya.
“Kurang sikit dah sejak Mak Lijah tu urut,”
jawab Salina sambil tersenyum.
“Ituah mak... malam-malam masa nak tidur,
pakailah selimut. Tak pun pakai stoking. Kaki mak tak tahan sejuk,” nasihat
Faizal sambil tangannya terus mengurut kaki emaknya.
“Yalah... mengalahkan doktor pula anak mak ni,”
jawab Salina kemudian ketawa kecil.
Faizal ketawa apabila diusik begitu.
“Kalau mak ada menantu kan senang. Boleh jugak
teman-temankan mak kat rumah.” Salina memancing lagi topik yang sering ditepis
oleh Faizal.
“Faizal kan ada. Kan kita sedang berbual-bual
sekarang ni,” ujar Faizal sambil mengerling wajah emaknya yang semakin dimamah
usia.
“Lelaki lain... sembang dengan perempuan lain,”
jawab Salina masih cuba untuk memujuk hati lelaki Faizal supaya kasihankan
dirinya dan memenuhi permintaannya.
“Apa yang lainnya mak? Mak tak suka ya bercakap
dengan Faizal.” Sengaja Faizal membuat nada merajuk.
Salina ketawa kecil. Diusapnya lagi rambut
Faizal sambil menggeleng.
“Ada ke macam tu. Bukan apa, kalau Faizal dah
kahwin mesti mak akan dapat cucu tak lama lagi. Nanti semakin meriahlah rumah
kita ni,” jelas Salina.
“Insya-allah,
mak. Kalau dah sampai seru, dah jumpa jodoh Faizal, dapatlah mak menantu ya,”
jawab Faizal sambil terus memicit-micit kaki Salina.
“Janganlah lama-lama sangat Faizal. Kalau dah
jumpa yang berkenan tu, bawaklah jumpa mak ni.”
“Ish... mak ni. Nak pilih isteri bukan macam
pilih baju kat pasaraya. Suka saja terus ambik. Kita kena kaji betul-betul mak,
banyak aspek kena nilai sebab kahwin ni bukan perkara main-main mak. Faizal nak
perkahwinan yang akan Faizal tempuhi, sekali sahaja dalam hidup Faizal mak
sebab Faizal tak nak sia-siakan isteri Faizal.”
Salina mengangguk. Ada getaran di dalam hatinya
kerana dia cukup faham apa yang dikatakan oleh Faizal sebentar tadi. Membesar
dengan pengalaman melihat emaknya sendiri disia-siakan oleh seorang suami
membuatkan Faizal bertekad untuk tidak melakukan perkara yang sama seperti
dilakukan oleh ayahnya.