SEDAR tidak
sedar, hari yang dinanti telah tiba. Hari ini Ketua Jabatan mereka yang baru
akan datang mendaftarkan diri di balai polis di mana Mira dan Zuha bertugas.
Sejak semalam lagi Mira rasa dadanya sentiasa berdebar-debar. Tetapi dalam masa
yang sama dia tidak sabar hendak berjumpa dengan Ketua Jabatannya yang baru dan
dia juga berharap agar Ketua Jabatannya ini akan lebih adil dan
bertanggungjawab dalam mentadbir jabatan mereka.
Jam telah
menunjukkan pukul 7.20 pagi. Mira telah lama mandi. Tetapi dia masih lagi duduk
di birai katil, hanya memakai T-shirt dan kain batik. Sejak pukul 6.30 pagi
tadi perutnya terasa memulas-mulas. Sudah dua kali dia masuk ke tandas.
Sakitnya seolah-olah tali perutnya dipintal-pintal. Dan dia juga muntah dua
tiga kali sehingga menyebabkan tubuhnya rasa
begitu lemah.
Zuha datang
ke biliknya dengan membawa sebotol minyak angin berwarna hijau. Dia telahpun
siap berpakaian seragam.
“Kau makan
apa semalam ni Mira sampai cirit birit dan muntah-muntah ni? Food poisoning
ni...,” tanya Zuha sambil tangannya menyapu minyak angin ke perut Mira.
“Mira pergi
kenduri kahwin semalam. Mak yang beria-ia sangat mengajak...,” jawab Mira
dengan wajah berkerut menahan sakit perut yang masih belum reda. Tetapi apabila tangan Zuha tersasar ke bahagian
pinggangnya terus Mira menjerit.
“Eh, apahal
kau ni Mira?” Terkejut Zuha apabila Mira tiba-tiba menepis tangannya.
“Gelilah
Zuha. Jangan lah kau urut kat pinggang.” Tersengih Mira apabila memaklumkan
sebabnya.
“Mengada-ngada
betullah kau ni Mira. Macam-macam pantang,” rungut Zuha sambil tangannya
menuang lagi miyak angin ke tapak tangan.
“Ni mesti
lauk orang kahwin dah tercemar, tak pun cili tak ditumis sampai betul-betul
masak. Itulah...lain kali dia orang ni kena panggil aku untuk ajar masak.” Sempat
lagi Zuha bergurau menyebabkan Mira ketawa juga. Kalau bab memasak dan
mengkritik makanan, memang Zuha hebat mengalahkan juri mastercheff.
“Engkau ni
Zuha...aku sakit-sakit macam ni pun nak bergurau...,” ujar Mira dalam kesakitan
yang masih berbisa.
“Hehehee....hidup
ni kan mesti sentiasa ceria...itukan ubat untuk.....”
“Aku
tahu..untuk awet muda...dah banyak kali engkau ulang benda yang sama. Tak ada
ke petua yang lain engkau nak bagi?” sampuk Mira sebelum Zuha sempat
menghabiskan kata-katanya. Sesekali wajahnya berkerut apabila perutnya ditekan
agak kuat oleh Zuha.
“Amboi...melawan
nampak cik kak kita ni? Aku tak habis cakap lagi kau dah potong,” pintas Zuha
dan dengan sengaja dia menekan-nekan perut Mira beberapa kali.
“Gelilah
Zuha.....betullah kata aku tu. Sejak aku duduk dengan engkau ni, itu je lah
yang petua yang kau bagi kat aku....” Zuha ketawa mendengar kata-kata Mira.
Memang sengaja dia berkata begitu untuk mengusik Mira.
“Zuha, aku
rasa aku ambil cuti kecemasan hari ni lah. Kau bagi tahu kat ASP Ramli ya. Tak
larat lah aku nak pergi kerja macam ni,” ujar Mira sambil membetulkan semula
ikatan kain batiknya selepas diurut oleh Zuha sebentar tadi. Bau minyak angin
gamat terawang-awang di ruangan bilik.
“Ya lah...aku pun kesian tengok kau macam ni.
Biarlah aku bawak kau pergi klinik.” Zuha meraba dahi Mira untuk memastikan
kawannya itu tidak demam.
“Tak apalah
Zuha. Aku nak rehat je. Perut aku dah lega sikit bila kau urut ni,” jawab Mira.
Memang dia malas nak bergerak ke mana-mana. Apa yang dia mahu hanya melingkar
sahaja di katil dalam keadaan yang tidak selesa begini.
“Tengoklah
tangan siapa yang urut kan....,” jawab Zuha dengan senyuman lebar.
“Tu yang aku
malas nak puji tu.....,” ujar Mira membalas usikan Zuha walaupun dalam keadaan
yang tidak sihat. Zuha hanya
tersengeh-sengeh lalu bangun melangkah ke muka pintu bilik.
“Eh Mira,
lupa pulak. Hari ini bos baru kita sampailah...rugilah engkau sebab tak dapat
tengok dia...,” beritahu Zuha setelah dia teringat tentang kedatangan Ketua
Jabatan baru mereka itu.
“Tak ada
ruginya. Lain la kalau muka dia macam Tom Cruise kan.....hehehe,” jawab Mira
sambil menayangkan gigi yang cantik tersusun.
“Eh Mira. Aku
ni musykil la. Kau ni sakit ke atau sengaja tak mau datang kerja ni. Boleh
pulak loyar buruk dengan aku,” bebel Zuha dengan mata bulat memandang Mira.
“Tak dapat
jadi lawyer, jadilah loyar buruk kan,” jawab Mira kemudian ketawa mengekeh
lagi.
“Dah lah. Kau
pergi tidur. Layan lawyer buruk ni buat aku sakit kepala je. Aku nak pergi
kerja dah ni. Apa-apa call je aku kat balai tau,” pesan Zuha sebelum melangkah
keluar bilik.
“Orait
dear....,” jawab Mira. Dia kemudian baring semula untuk tidur seketika dengan
harapan cara itu akan dapat membuatkan dia melupakan sebentar kesakitan yang
dirasainya.
PUKUL 5.30
petang, apabila Zuha balik dari pejabat, perkara pertama yang terpacul dari
mulutnya ialah...
“Eh Mira, handsome betullah boss baru kita tu,
tergoda aku tau tak...,” komen Zuha dengan senyuman yang meleret. Terus dia duduk di sebelah Mira yang sedang
membaca Majalah Wanita di ruang tamu.
Mira menggeleng kepala melihat telatah Zuha.
“Engkau ni
Zuha...pantang betul tengok orang handsome
sikit. Asal handsome je tergoda, asal
handsome je semua pakwe kau.” Memang Mira sudah cukup faham dengan sikap Zuha
yang satu ini. Kalau menonton televisyen habis semua pelakon yang handsome
semua dicanangkan sebagai “boyfriend” nya.
‘Ye lah...aku
ni kan single and available lagi. Mak
aku kat kampung pun dah bising bila aku nak bawak balik bakal menantu dia.
Macam lah menantu ni boleh aku pilih kat pasar ikan kan. Bestnya kalau aku dapat jadi girlfiend
dia......,” jawab Zuha sambil beberapa kali mengerdipkan mata tanda menaruh
harapan yang begitu tinggi.
Mira terus
menampar peha Zuha, cuba mengejutkannya dari angan-angan Mat Jenin yang tidak
pasti akan dapat dicapai.
“Adooiiiii...sakitlah
Mira. Tangan kau ni nampak je kurus, tapi kalau tampar orang pedih tau,” rungut
Zuha sambil menggosok pehanya.
“Tu denda
untuk orang yang kuat berangan Mat Jenin macam kau ni,” jawab Mira geram.
Dibulatkan matanya memandang Zuha yang kemudian tersengih-sengih memandangnya.
“Tapi kan
Mira........aku rasa macam pernah nampak muka dia la, tapi aku lupa kat mana.”
Zuha mengurut-ngurut dagunya dan mengangguk beberapa kali. Fikirannya seperti
sedang cuba untuk mengingati masa tersebut.
“Kat mana pulak kau jumpa dia? Kau ni
Zuha...semua orang kau kata kau pernah kenal. Okey...sekarang kau bagi tahu aku
siapa nama boss baru kita tu,” tanya Mira kemudian membetulkan duduknya
menghadap Zuha yang masih berpakaian seragam. Mug berisi milo panas yang baru
dibancuhnya sebentar tadi diangkat dan dengan perlahan Mira menghirup milo yang
masih panas.
“ASP
Faizal.....,” jawab Zuha dengan senyuman meleret di bibir. Pandangan matanya
seolah hanyut ke lautan indah.
Hampir
tersembur air milo yang masih belum habis ditelan apabila nama itu disebut.
Dengan pantas Mira menutup mulutnya dan sedaya upaya cuba menelan air yang
masih bersisa. Kemudian Mira terbatuk batuk kerana tersedak. Matanya yang
sebentar tadi telah terarah ke televisyen buntang menoleh semula ke wajah Zuha.
Serta merta itu juga wajah lelaki yang melanggarnya di Jaya Jusco tempohari
terpamer di pandangan matanya. Betul ke apa yang aku dengar atau gegendang
telinga ni dah makin rosak sebab selalu sangat diterjah putik kapas?
“Eh
eh...kenapa kau ni Mira?” tanya Zuha kerisauan. Dia terus menepuk belakang Mira berkali-kali.
“Kau kenal
dia ke?” tanya Zuha lagi inginkan kepastian kerana reaksi Mira sebentar tadi
amat memeranjatkan seolah-olah dia begitu kenal dengan lelaki bernama Faizal
itu. Merah padam muka Mira bak kulit udang yang dipanggang.
Mira
menggeleng kepala beberapa kali. Adakah Faizal itu? Ah, takkanlah si kurus
kering ular lidi itu seorang saja yang bernama Faizal di Malaysia ni? Ramai
lagi orang yang guna nama Faizal, contohnya Faizal OIAM, Faizal HotFM, Faizal
Nawawi....lagipun Faizal yang Zuha kata ni handsome,
sedangkan Faizal itu penuh dengan jerawat batu dan kurus kering....tapi.....Faizal
yang aku jumpa di Jaya Jusco tu.....dia juga sudah berubah.
“Eh Mira, kau
ni banyak menung lah. Pening aku,” tegur Zuha apabila dilihatnya Mira diam
saja, langsung tidak menjawab segala pertanyaannya.
“Err..tak ada
lah...dia ada bagi ucapan apa-apa tak?” Mira cuba berdalih dan terus bertanya
perkara lain untuk mengelakkan Zuha dari terus bertanya mengenai perubahan
sikap Mira sebentar tadi.
Zuha
menggeleng kepala.
“Tak ada pun.
Dia kata dia akan buat mesyuarat bila semua dah ada kat pejabat. Lagipun hari
ini ramai yang cuti, ada yang pergi kursus, mc lah, emergency leave lah...,” jawab Zuha sambil mengerling dan tersenyum
ke arah Mira.
“Nak kenakan
aku lah tu....,” jawab Mira yang faham maksud jelingan Zuha memandangkan dia
mengambil cuti kecemasan hari ini.
“Eh apa
pulak..takkanlah aku nak kenakan kawan baik aku sendiri pulak kan...eh, perut
kau dah okey ke?” tanya Zuha. Lupa pulak dia ingin bertanya tentang sakit perut
yang dialami oleh Mira pagi tadi.
“Alhamdulillah...lepas
aku telan panadol, lepas tu bancuh teh pekat dan tidur kejap, dia okey sikit.
Esok bolehlah aku pergi kerja,” jawab Mira.
“Baguslah.
Nanti boleh kau berkenalan pulak dengan bos kita yang handsome tu. Kalau dia bujang kau tackle lah dia. Kau pun
cantik....,” usik Zuha sambil mengusap lengan Mira dengan lembut.
“Isshh kau ni
Zuha. Ada-ada je lah. Pergilah mandi. Masam tau...,” bidas Mira. Sengaja dia
ingin Zuha pergi dari situ supaya dia dapat berfikir dengan tenang buat
seketika.
“Eh
eh....tolong sikit. Aku ni tak mandi dua hari pun wangi lagi tau...orang
berimanlah katakan...” Seperti biasa Zuha tetap ada jawapannya.
“Piiirahh...”
balas Mira kemudian mereka sama-sama ketawa.
“Eh
Mira.....” Tiba-tiba Zuha memanggil Mira.
“Kenapa ni?”
tanya Mira-hairan.
“Betullah...aku
rasa macam pernah nampak ASP Faizal tu la...tapi aku tak ingat la,” jawab Zuha
sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
Terus insiden
di AEON tempohari bermain semula di
ruang fikiran Mira. Adakah dia? Sekali
lagi pertanyaan itu menerjah fikiran Mira. Dada Mira berdebar-debar...dia
sangat bimbang.
“Isshh kau ni
Mira..asyik menung, menung.....pelik betullah aku. Kau ni kenapa? Cuba cerita
kat aku sikit,” rungut Zuha.
“Tak ada
apa-apalah Zuha...aku ok je,” jawab Mira.
“Itu je la
jawapan kau. Lepas tu menung balik. Dah la, aku nak mandi,” omel Zuha sambil
berjalan masuk ke bilik.
“Eh Zuha! aku
dah masakkan mee goreng tadi. Ada kat dapur. Kalau tak malu kau makanlah...,”
laung Mira apabila Zuha telah masuk ke dalam bilik.
Terjengul
muka Zuha di pintu bilik.
“Aku memang
kena makan mee tu sebab engkau masak guna dapur aku. Itu pun tak mintak
izin....,” bidas Zuha sambil ketawa mengekeh.
“Hantu kau
Zuha!!!..” jerit Mira sambil membaling kusyen kecil di atas kerusi ke arah
Zuha. Tetapi Zuha pantas mengelak lalu cepat-cepat menutup pintu bilik. Mereka
berdua ketawa lagi. Hilang sebentar
cerita ASP Faizal dari fikiran Mira.