Keadaan di
kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh terutama di bahagian kaunter pertanyaan
masih sibuk seperti sediakala. Tiga orang anggota polis yang ditugaskan untuk
menerima laporan yang dibuat oleh orang awam kelihatan sedang sibuk menaip di
komputer masing-masing mengikut laporan yang diterima dari pengadu. Telefon
pula tidak henti –henti berdering dan Sarjan yang bertugas tidak menang tangan
memikul tugas harian di balai ini.
Di bahagian
belakang balai, terletak bilik-bilik yang menempatkan pegawai-pegawai penyiasat
yang bertugas. Inspektor Amira Saira binti Badrul dan Inspektor Siti Nazuha
masih belum pulang ke rumah walaupun tempoh waktu pejabat telah lama berakhir
pada pukul 5.00 petang tadi.
“Eh makcik, jomlah balik...dah nak dekat pukul
6.00 ni. Udah-udahlah tu tunjuk rajinnya. Takkan nak overtime kot...,” tiba-tiba sahaja kelibat Zuha terjengul di pintu
masuk cubicle Mira. Terkejut Mira apabila ditegur secara tiba-tiba.
“Kau ni
Zuha...kot ya pun bagilah salam. Nasib baik Mira ni tak ada sakit jantung tau.
Kalau tak dah lama kiok,” bebel Mira sambil menggeleng kepala. Nazuha mengekeh
ketawa. Memang sengal betullah minah ni......bebel Mira dalam hati tetapi masih
bersulamkan senyum di bibir kerana minah sengal itulah kawan baiknya di sini.
Sekilas, Mira
terus mengerling jam di pergelangan tangan kanannya. Memang benar sudah hampir pukul
6.00 petang. Dia langsung tidak sedar perjalanan waktu akibat terlalu sibuk
dengan tugas-tugas di pejabat.
“Iyalah kan...Mira
langsung tak sedar. Banyak sangat la kes kebelakangan ni. Tengok ni ha. Fail
bertimbun-timbun. Nak cari pen pun dah tak jumpa,” jawab Mira kemudian
menongkat dagu. Keletihan sangat ketara terlukis di wajahnya.
“Inspektor Amira
Saira....kalau nak dikejarkan kerja, sampai bila-bila pun tak akan habis tau.
Tapi...kesihatan diri kita pun kena jaga jugak. Nanti kalau sakit langsung la
tak jadi apa kerja-kerja tu. Aku jugak la yang paling susah nanti kena masak bubur
nasi untuk kau,” bebel Zuha kemudian terus melabuhkan punggungnya di kerusi di
hadapan meja Mira.
Mira ketawa
kecil mendengar kata-kata Zuha. “Kau kan kawan baik aku. Elok lah kau buat baik
dengan kawan sendiri. Banyak dapat pahala tau. Tapiii....kalau kau
merungut-rungut macam ni tak de lah lekat pahala tu nanti,” jawab Amira
kemudian mengerling Nazuha yang mencebikkan bibir mendengar usikannya.
“Kejap tau.
Nak ambil beg tangan dulu,” ujar Mira dengan nada bergurau. Dia kemudian bangun
untuk mengambil beg tangannya yang tersimpan di dalam kabinet berkunci. Nazuha macam biasa tersengih-sengih
menunjukkan barisan gigi putihnya apabila diperli begitu.
“Eh Mira, jom
kita pergi AEON dulu lah nak tak. Boring
pula nak balik rumah terus.” Zuha tiba-tiba sahaja memberi cadangan lain.
“Hisshhh...macam-macamlah
kau ni Zuha. Kot ya pun, kita baliklah rumah tukar baju dulu. Nanti kalau orang tengok kita dengan uniform ni, tak ada pula orang nak tackle engkau.” Mira cuba mengusik dan
Zuha hanya tersengih-sengih mengangguk.
“Ye lah kak
ton......,” usik Zuha pula kemudian dia terus merangkul lengan Mira dan mereka
bergandingan pulang ke rumah.
Lebih kurang
pukul 6.45 petang mereka berdua telahpun
berada di dalam perut Jaya Jusco. Agak ramai juga orang yang berada di pusat
membeli belah di situ mungkin juga kerana sekarang ini hujung bulan dan selepas
gaji. Maka ramai yang mengambil peluang untuk membeli belah barang-barang
keperluan.
Setelah
berpusing-pusing membuat window shopping,
akhirnya mereka memutuskan untuk makan malam di Food Court di tingkat atas
pasaraya tersebut.
“Eh Zuha, aku
tengok mamat tu asyik pandang engkau je,” ujar Mira separa berbisik apabila dia
perasan ada seorang lelaki bertubuh kurus dan tinggi sering mencuri pandang ke
arah mereka.
“Iya ke?
Mana? Mana?” tanya Zuha kelam kabut ingin tahu. Dia terus menoleh ke depan dan
ke belakang cuba mencari lelaki yang dimaksudkan.
“Jangan lah obvious sangat makcik oooiii...,” tegur
Mira dengan sikap kelam kabut Zuha. Malu pun ada bimbang dikatakan mereka
perasan sendiri.
“Mestilah...bukan
senang orang nak ngorat aku tau,” bisik Zuha tersengih-sengih. Mira juga tidak
dapat menahan tawa apabila melihat reaksi Zuha yang beria-ia hendak tahu siapa
lelaki tersebut.
“Tu ha...yang
pakai baju biru gelap dan seluar jeans hitam. Yang duduk kat meja belah kiri
kita ni. Aku rasa dia minat kat engkau la,” ujar Mira perlahan.
“Ooo....yang
tu. Boleh tahan jugak kan,” bisik Zuha lagi apabila dia telah nampak lelaki
yang dinyatakan oleh Mira.
“Dah,
dah...jangan nak lebih-lebih. Jangan nak perasan. Entah-entah mamat tu juling
kot. Jomlah kita balik. Dah nak dekat maghrib ni,” ajak Mira setelah mereka
selesai menikmati hidangan yang dipesan. Terlepas ketawa Zuha apabila Mira
berkata begitu.
“Ada ke patut
muka handsome macam tu kau kata juling pulak. Tak patut betul Mira ni tau.
Potong stim betullah,” bebel Zuha menyebabkan Mira tergelak besar.
Mira terus bangun
meninggalkan Zuha yang masih terkial-kial mengutip beg-beg plastik berisi hasil
belian mereka di Jaya Jusco sebentar tadi. Dia mahu cepat pulang ke rumah untuk
bersolat Maghrib. Tubuhnya juga terasa penat kerana seharian menghabiskan
kerja-kerja di pejabat.
Zuha
cepat-cepat mengambil beg-beg plastik yang terletak di tepi meja. Tetapi belum
sempat Zuha hendak melangkah, tiba-tiba dia dikejutkan dengan ucapan salam dari
seorang lelaki. Zuha pantas menoleh dan agak terkejut kerana suara itu datangnya dari lelaki yang
ditunjukkan oleh Mira sebentar tadi.
“Err...waalaikummussalam...,”
jawab Zuha agak kaget. Terus matanya mencari kelibat Mira untuk memintanya
berhenti melangkah. Mira yang kebetulan telah berhenti melangkah untuk menunggu
Zuha, tersenyum melihat gelagat Zuha yang agak panik.
“Saya Fahmi
Arshad. Kalau tak keberatan, saya nak berkenalan dengan cik. Ini kad nama saya.
Kalau cik sudi, saya harap saya akan menerima panggilan daripada cik. Maaf,
saya minta diri dulu. Dah maghrib ni,” ujar lelaki itu sehingga langsung tidak
memberi peluang untuk Zuha mencelah.
Zuha hanya
diam terpaku apabila lelaki itu menyerahkan kad namanya. Lidahnya keras macam
ketul ais dalam freezer. Huluran kad tersebut disambut tanpa sebarang kata.
Zuha juga hanya melihat sahaja lelaki itu berlalu pergi. Mulutnya seakan
terkunci dan degupan jantungnya laju bak keretapi ETS. Mira menggeleng kepala
melihat telatah Zuha. Lucu pun ada apabila Nazuha seolah-olah kaku terkena
renjatan elektrik.
“Hai...cinta
pandang pertama ke? Aku tengok tak berkelip mata kau tengok lelaki tu. Siapa
nama dia?” tanya Mira. Bahu Zuha ditepuk kuat menyebabkan Zuha tersedar.
Malu-malu kucing pula Zuha apabila Mira menjelingnya dengan pandangan mengusik.
“Isshhh....tak
adalah Mira. Ada ke cinta pandang pertama pulak. Tapi kan...dia tu gentleman lah. Bahasa dia, senyuman
dia...sopan sangat kan. Lelaki macam tu lah yang aku nak. Berani berterus
terang dan dalam masa yang sama lembut dan bersopan santun dengan wanita.”
Dalam menafikan cinta pandang pertama yang hadir di hatinya, berbunga-bunga
pula komen Zuha tentang lelaki tersebut menyebabkan Mira ketawa besar.
“Habis
tu...sukalah ni? Cepatnya....,” usik Mira lagi kemudian ketawa geli hati dengan
sikap kalut Zuha.
“Issshh, tak
adalah cepat sangat aku nak terima dia. Tengoklah dulu...hmmm.....aku rasa
macam nak cuba call dia. Kaji latar
belakang dia dulu. Mana tahu tiba-tiba dia penyangak ke..., lelaki sekarang
bukan boleh percaya sangat,” jawab Zuha
sambil jari telunjuknya diletakkan di bawah bibir seolah-olah sedang berfikir
rancangan seterusnya.
“Aik! Aku
ingat cinta tu buta,” tanya Mira lagi. Sekilas dia menoleh ke arah Zuha yang
sedang tersenyum panjang.
“Cinta tu je
yang buta. Tapi aku tak buta...aku boleh bezakan mana lelaki yang baik dan yang
buaya darat tau...,” jawab Zuha membuatkan Mira tergelak besar.
“Ye ke. Habis
tu lelaki tu buaya ke kucing? Kalau kucing tentu dia akan terlentok manja
apabila kau belai, kan. Kalau buaya, silap haribulan kau yang kena ngap tau. Heheee....Eh
eh, dah la tu. Mengarut jek. Jomlah balik cepat. Nanti terlepas maghrib,” ujar
Mira. Berkali-kali dia melihat jam di
pergelangan tangan.
Mira pantas
berjalan meninggalkan Zuha yang terkial-kial mengejarnya. Dua tiga beg plastik
terbuai-buai di tangan Zuha. Menyesal pulak aku beli barang-barang ni, dah lah
tengah bulan ni. Sila-silap aku yang kena ikat perut. Kalau rebus baju-baju ni
boleh buat perut aku kenyang tak pe jugak..... rungut Zuha.
“Mira...tunggulah
kejap. Kasut aku ni susahlah...,” laung Zuha sambil mempercepatkan langkahnya
untuk bersaing dengan Mira yang sememangnya suka berjalan laju. Agaknya sebab
itulah Mira suka sangat menyertai acara walkathon atau apa-apa sahaja larian
amal yang diadakan.
“Itulah...aku
dah kata tadi, pakai kasut biasa je. Jangan tinggi sangat, kan susah nak jalan.
Terkedek-kedek macam itik....,” omel Mira sengaja mengusik Zuha.
Walaubagaimanapun Mira berhenti melangkah dan menunggu Zuha seketika. Apabila
dirasakannya Zuha telah hampir, dia melangkah semula.
“Aduhhh!!”
Mira terjerit.
“Mintak maaf
cik.” Seorang lelaki kelam kabut meminta maaf.
Beg plastik
di tangan Mira terlepas. Tanpa sedar semasa dia ingin meneruskan langkahnya,
dia terlanggar seorang lelaki di hadapannya.
“Maaf cik.” Sekali
lagi lelaki itu meminta maaf. Lelaki itu terus tunduk untuk membantu Mira
mengambil beg plastik yang terjatuh.
Mira terus
tunduk mengutip beg plastik yang mengandungi baju dalam dan seluar dalam yang
baru dibelinya. Wajahnya merah padam menahan malu kerana sehelai pakaian
dalamnya yang berwarna merah terkeluar dari beg plastik itu. Mira cepat-cepat
menyumbatkan baju dalam tersebut ke dalam beg plastik lalu terus berdiri.
“YA
Allah.....” ucap Mira apabila dia terpandang wajah lelaki itu. Darah Mira
terasa berderau di saat itu. Mira beristighafar panjang apabila berhadapan
dengan lelaki yang melanggarnya tadi.
Tiba-tiba sahaja dunia di sekelilingnya terasa gelap gelita. Matanya
hanya terpaku pada wajah di hadapannya sahaja. Mata Mira buntang dan degupan
jantungnya tiba-tiba rasa terhenti. Mulutnya terlopong, dan tubuhnya bergetar.
Bukan Mira sahaja berkeadaan begitu tetapi lelaki itu juga memberi reaksi yang
sama. Mereka sama-sama kaget dan tergamam. Masa juga seakan-akan terhenti buat
seketika. Mira tidak dapat membawa pandangannya lari dari wajah itu. Matanya
seolah-olah memerlukan masa yang agak lama untuk benar-benar memastikan.
‘Benarkah
dia?’ Berkali-kali persoalan itu
menerjah ruang fikiran Mira.
Mira
mencongak-congak. Jika benar lelaki itu adalah “dia” ....ya....memang lama
sungguh dia tidak melihat wajah itu. Walaupun wajah itu telah banyak berubah,
tiada lagi jerawat batu dan tiada lagi tubuh yang kurus berangka.....namun dia
pasti lelaki itu adalah “dia” yang pernah dikenalinya dulu.
“Eh Mira,
laa...macammana lah kau boleh terlanggar orang ni. Sorry ya encik...,” ucap Zuha bagi pihak Mira.
Zuha pantas
menarik tangan Mira pergi dari situ.
Mira pula hanya mengikut tetapi matanya sesekali masih lagi menoleh ke
belakang memandang lelaki itu. Lelaki itu begitu juga, terus memandangnya tanpa
berkelip.
Dalam
perjalanan pulang, Mira banyak mendiamkan diri. Fikirannya melayang entah ke
mana. Adakah betul itu dia? Berkali-kali persoalan itu bermain-main di
mindanya. Gurauan-gurauan Zuha hanya disambutnya sekali sekala dan seringkali
apabila sepi menjelma, fikirannya akan segera mencari ruang untuk mengingati
lelaki itu semula. Ahh...buat apa lagi dia mengingati semua ini? Bukankah aku
sendiri yang mendesak agar segala memori itu hilang?