Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
100,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Mira menyemak beberapa fail di atas mejanya. Nampaknya ada beberapa fail baru yang telah diletak di situ semalam. Sesekali Mira memegang perutnya yang masih rasa berbisa. Kalau tak elok lagi hari ni, nampaknya kena pergi klinik ni...rungut Mira sendiri. Dia ingat semalam sakit perutnya sudah sembuh tetapi pada waktu malam, ia kembali memulas. Tetapi pagi ini dia terpaksa juga datang bekerja kerana dia bimbang akan semakin banyak kerja yang tertunggak. Lagipun ada beberapa perkara penting yang perlu diuruskannya berkaitan dengan kes-kes yang telah ditetapkan untuk perbicaraan di mahkamah.

“Mira, boss baru dah sampai, pergilah perkenalkan diri,” sapa ASP Ramli yang tiba-tiba sahaja terjengul di cubiclenya. Lelaki berkulit sawo matang dan bermisai melintang itu memandang Mira dengan wajah yang serius tetapi bukannya marah. Wajahnya sahaja yang bengis tetapi hatinya baik.

“Eh tuan...ok ok. Saya memang nak pergi jumpa dia. Baik tuan, saya pergi sekarang,” jawab Mira kemudian dia terus berdiri tanda bersedia untuk berjumpa dengan ketua jabatan mereka yang baru mendaftarkan diri semalam.

“Dah okey ke perut tu?” ASP Ramli bertanya lagi apabila dilihatnya Mira sudah bersedia untuk melangkah.

“Petang semalam dah okey tuan, tapi malam tadi dia buat hal balik. Pagi ni sakit balik. Tuan, kalau tak okey, saya mintak balik ya,” pinta Mira dengan wajah kesian. Kalau badannya bulat sudah tentu wajahnya comel macam kucing Puss In Boots yang cuba memancing simpati orang.

“Ya lah...kalau dah sakit macam tu macam mana nak kerja,” ujar ASP Ramli.

“Terima kasih tuan.” Mira sangat bersyukur kerana ASP Ramli sangat bertimbangrasa dengan semua anak buahnya. Sikapnya yang ramah sangat disenangi oleh pegawai dan anggota yang berkhidmat di situ.

ASP Ramli meninggalkan Mira lalu berjalan menuju ke biliknya. Mira membetulkan pakaian seragamnya agar nampak kemas. Dengan penuh berhati-hati dia melangkah menuju ke pejabat ASP Faizal, iaitu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ipoh yang baru. Sesekali apabila bertembung dengan anggota polis yang lain, Mira akan menegur dan melemparkan senyuman tanda hormat.

Mira kini telah tiba di hadapan pintu bilik ASP Faizal. Semakin hampir, semakin kuat degupan jantungnya. Dia berdoa berkali kali supaya ASP Faizal tersebut bukanlah Faizal yang berada di dalam fikirannya kini. Mira menarik nafas panjang kemudian menghembusnya perlahan-lahan. Dia cuba menghilangkan kekalutan yang sedang beperang di dalam dirinya. Sebelum mengetuk pintu, dia membetulkan sekali lagi pakaiannya. Dia berdehem beberapa kali dan melihat ke arah kasut hitam berkilat yang tersarung di kakinya. Setelah pasti semuanya sempurna, Mira sekali lagi menarik nafas panjang. Cuba mencari kekuatan dan mengarang kata-kata yang baik untuk diucapkan kepada ketua barunya. Dengan dimulai bacaan bismillah, dia mengetuk pintu bilik beberapa kali. Tanpa menunggu jawapan, dia memulas tombol pintu dan menolaknya ke dalam.

Daun pintu telah terbuka luas. Ketua Jabatannya sedang membelakangkan pintu. Mira memberikan salam dan kini menunggu untuk melihat wajah Ketua Jabatan yang dikatakan sangat kacak oleh Zuha semalam. Entah kenapa dada Mira berdebar kencang saat menunggu lelaki itu memusingkan kerusinya. Bagai cerita drama televisyen apabila kerusi yang diduduki oleh ASP Faizal perlahan-lahan berpusing menghadap ke hadapan.

“Ya ALLAH....dugaan apakah ini......,” jerit hati Mira. Lidahnya serta merta kelu. Masa seakan terhenti buat seketika.

Mira terpempan apabila wajah lelaki itu sudah jelas dipandangannya. Mira hampir pitam apabila dikejutkan sekali lagi dengan keadaan yang sama di AEON tempohari. Di kala ini dia benar-benar mengharapkan agar matanya sedang menipu pemikirannya tetapi walau beberapa kali dia mengelipkan matanya, wajah itu juga yang masih terpampang di hadapannya. Mira rasa ingin lari dari situ tetapi kakinya rasa bagai dipaku ke lantai. Tangannya ingin memberi tabik hormat seperti yang sering dilakukannya apabila berhadapan dengan pegawai atasan, tetapi dia rasa seperti sedang memakai gelang besi yang beratnya bertan-tan. Senyuman manis yang tadinya terukir di bibirnya serta merta hilang, segala kata-kata aluan yang telah dikarang dan dirancangnya sebentar tadi lesap dari fikirannya apabila lelaki itu telah berhadapan dengan Mira.

Rasa hendak luruh jantung Mira apabila senyuman kelihatan begitu sinis terukir di bibir lelaki itu. Bermimpikah aku atau sememangnya keadaan ini adalah realiti yang mana memang lelaki itu lah yang sedang duduk di kerusi itu?

Mira cuba memandang ke arah lain namun anak matanya masih degil terpaku ke hadapan. Kakinya tidak mampu untuk melangkah lebih jauh ke hadapan dan senyuman lelaki itu dirasakan bagai mengejek-ngejeknya di waktu itu. Mira hanya mampu memandang lelaki itu dengan pandangan yang sukar dijelaskan. Marah, benci, hormat, malu?

Perkara yang paling dibimbanginya malam tadi kini menjadi satu kenyataan yang begitu payah untuk diterima. Berkali-kali dia cuba menyakinkan dirinya sepanjang malam bahawa ASP Faizal itu adalah Faizal yang lain, yang tiada kena mengena dengan sejarah silam yang telah menyebabkan dia menjadi seorang pendendam sehingga kini. Tetapi.....dia adalah dia. Memang dia adalah lelaki yang sama yang pernah dikenalinya dulu.

“Masuklah Inspektor Mira, kenapa tercegat sahaja di pintu.” ASP Faizal memulakan perkenalan baru mereka. Pen yang dipegang diletakkan di atas meja. Matanya memandang tajam tubuh gadis yang berada di hadapannya.

Mira memejamkan matanya sebentar, menarik nafas panjang kemudian menguatkan semangatnya. Dia memaksa kakinya melangkah walau rasa seperti menyeret rantai besi yang dirantai ke kakinya.

“Duduk,” arah lelaki itu lagi.

Mira hanya mengikut. Reaksi wajahnya sukar diduga. Tiada senyuman dan tidak juga bermasam muka. Dia duduk menghadap ASP Faizal atau dahulunya hanya dipanggil Faizal sahaja. Ahh!! Rasanya mahu sahaja dia bangun dari situ, berlari keluar dan menjerit sekuat-kuat hatinya. Dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki itu. Tidak! Dia bencikan lelaki itu, bukan sahaja sekarang malah sejak dahulu lagi.

“Amira Saira binti Badrul......” Suara lelaki itu kedengaran bagai halilintar yang menjunam ke dalam jantung Mira. Sesak nafasnya dengan keadaan ini.

“Tak sangka kita berjumpa lagi kan...,” ujar lelaki tersebut. Anehnya bunyi nada suara lelaki itu di gegendang telinga Mira. Adakah dia kini dalam perancangan untuk cuba membalas dendam terhadap Mira?

“Kenapa awak tidak tabik hormat pada saya? Macam ini kah cara awak mengalu-alukan kedatangan pegawai awak?” bidas lelaki itu lagi. Pandangan matanya sangat tajam memandang Mira. Jika pandangan itu adalah pedang, ia telah menusuk hati Mira sehingga melukakan semula luka yang hampir sembuh.

Bagi Mira, ASP Faizal seakan-akan cuba memancing kemarahannya dengan kata-kata yang kurang senang didengari. Kata-katanya bagai halilintar yang memanah hati Mira. Mira mendongakkan wajahnya yang merah padam. Serentak dia terus berdiri dan memberi tabik hormat walaupun hatinya meronta-meronta dan melarang dia dari berbuat demikian. Demi kerja yang kau suka Mira, kau kena bertahan...berkali-kali hati Mira cuba memujuk hatinya.

“Maafkan saya tuan. Saya Amira Saira binti Badrul mengucapkan selamat datang kepada tuan,” ucap Mira tegas kemudian dia tunduk semula. Tiba-tiba hati Mira sebak. Dia terasa bodoh berdiri tegak di hadapan lelaki ini. Mira rasa mahu menangis. Tahanlah Mira, jangan menangis di hadapan lelaki jahat ini...pujuk Mira sendiri.

Ada senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu.

“Kan bagus jika awak dulu pun begini....,” ujar lelaki itu lagi. Sekali lagi ASP Faizal merujuk kepada yang “dulu”.

Jantung Mira tersentap apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Kenapa dia masih mahu merujuk kepada perkara yang dulu? Adakah memang benar dia masih menyimpan dendam sepertimana aku masih membencinya? Ya ALLAH....apakah yang akan terjadi kepada diriku mulai dari saat ini?

“Kenapa awak menjadi sebegini senyap Mira? Kenapa tidak ada kata-kata yang awak hamburkan dari mulut awak setiap kali awak bertembung dengan saya?” tanya ASP Faizal dengan senyuman sinis melatari bibirnya.

Mira pula semakin lemas. Sekali lagi lelaki itu mengungkit permasalahan yang wujud diantara mereka dahulu. Ahh!!! Sukarnya hendak berdepan dengan lelaki ini walau seminit lagi. Mira nekad. Perasaan yang bercelaru di hatinya tidak mampu lagi ditahan. Jika dia masih berada lebih lama lagi di dalam bilik ini, pasti perang mulut akan berlaku. Secara mengejut Mira bangun dan dengan nada tegas dia berkata.

“Tuan, kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,” bidas Mira geram. Tanpa menunggu jawapan dari lelaki itu, dia terus melangkah keluar. Biarlah jika lelaki itu mahu melaporkan kepada orang atasan kebiadapannya. Dia tidak peduli. Paling kurang pun dia akan ditukarkan ke tempat lain dan itu lebih baik daripada dia terpaksa berhadapan dengan lelaki tersebut pada setiap hari. Atau jika sangat susah....ya, untuk kali pertama dia akan mengorbankan prinsipnya dengan menggunakan pengaruh ayahnya supaya masalah ini dapat diselesaikan.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha