Home Novelet Thriller/Aksi HILANG????
HILANG????
Aini Marisha Marisha
2/2/2016 14:17:32
6,677
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 3

Bab 3

Ya Allah…, Liana menjadi semakin takut. Dia terus memegang tangan Laila.

“Kenapa kak?” tanya Laila. Dia hanya menoleh sekilas kerana dia sedang menumpukan perhatian ke hadapan kerana sedang memandu. Sebentar tadi mereka baru sahaja melepasi simpang keluar ke Seremban.

“Akak risau keadaan abang Azwan. Ya Allah…, lindungilah suamiku. Akak takut kalau jadi macam kes Timbalan Pendakwaraya tu,” maklum Liana. Laila menarik nafas panjang. Dia juga tahu tentang kisah kematian tragis Timbalan Pendakwaraya itu dan dia tidak mahu keadaan yang sama berlaku ke atas abang iparnya.

“Kak… kita doa banyak-banyak semoga abang Allah melindungi dan menyelamatkan abang Azwan. Kita tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Mungkin juga kereta abang terbakar, dan dia sedang dapatkan pertolongan.” Hanya itu sahaja kemungkinan yang boleh difikirkan oleh Laila dalam keadaan cemas begini.

“Kalau dia dalam keadaan begitu, he should call. Tapi telefon dia tutup. Dia tak pernah macam ni Laila,” jelas Liana. Dia tidak dapat menerima jawapan yang diberikan oleh Laila, baginya tidak masuk akal.

“Mungkin telefon dia habis bateri kak. Apa-apa pun, kita sampai sana nanti kita tanya semua maklumat dari pegawai polis yang in charge dengan kes ni ya.”

Liana mengangguk. Dia memejamkan matanya semula. Walaupun dia kelihatan tenang, tetapi sebenarnya dia sedang memikirkan banyak perkara. Liana sedang cuba mengingati jika ada Azwan menceritakan kepadanya mengenai sesiapa yang ada berniat jahat kepadanya dan membuat ugutan berbahaya. Bekerja sebagai seorang peguam yang terlibat di dalam kes-kes berprofil tinggi seperti kes-kes rasuah yang melibatkan jumlah yang sangat besar turut membuatkan Azwan terdedah dengan keselamatan diri. Liana tahu bahawa sekarang ini firma guaman Azwan telah bersetuju untuk membela seorang VVIP yang telah dituduh di Mahkamah atas kesalahan rasuah berjumlah RM1 juta bagi melantik kontraktor sebuah projek mega yang akan dijalankan oleh kerajaan. Menurut keterangan VVIP itu, dia telah difitnah kerana dia tidak melakukan kesalahan itu.

“Kak, kita dah sampai.” Belum sempat Liana hendak memanjangkan teorinya, dia dikejutkan oleh Laila. Tubuh Liana menggeletar. Dia tidak kuat sebenarnya untuk melihat keadaan kereta Azwan, tetapi dia perlu lakukan juga untuk mengetahui keadaan sebenar.

Liana mengikut Laila keluar dari kereta. Di hadapan mereka, sebuah kereta BMW yang asalnya berwarna putih kini telah hitam hangus akibat kesan terbakar. Tali rintangan berwarna kuning telah dipasang oleh pihak polis untuk menandakan kawasan sekeliling kereta itu sebagai tempat larangan bagi orang awam.

Chief Inspektor Zaman, yang juga merupakan sahabat kepada Liana dan Azwan berjalan menghampiri Liana yang kelihatan semakin sugul. Laila pula memeluk bahu kakaknya, cuba mententeramkan Liana walaupun dia sendiri menggeletar seluruh tubuh menyaksikan keadaan kereta itu. Rentung! Tidak ada apa-apa yang tinggal!

“Bagaimana Man?” Tanya Liana dengan nada suara yang lemah.

Zaman menggeleng kepala. “Masih belum ada berita terkini. Pihak polis masih teruskan siasatan dan carian. Hebahan teah dibuat dan dipanjangkan di semua saluran untuk mendapatkan bantuan orang ramai supaya tampil sekiranya ada apa-apa maklumat yang boleh membantu siasatan.”

Air mata Liana mengalir lagi. Dia menekup mulutnya. Lututnya terasa sangat lemah dan seketika dia rasakan dunia di sekelilingnya gelap. Laila kelam kabut memeluk kakaknya yang hampir jatuh. Zaman terus bergegas membantu. Tubuh Liana dipapah dan didudukkan semula di dalam kereta Laila.

“Laila, saya rasa lebih baik bawa Liana balik ke rumah untuk berehat. Di sini tidak ada apa-apa maklumat lain yang boleh kita temui. Jangan risau, apa-apa sahaja maklumat terkini akan saya maklumkan dengan segera kepada kamu berdua,” pesan Zaman. Dia bimbang melihat keadaan Liana begitu. Dia juga bimbang sekiranya keadaan Liana akan menjejaskan kandungannya. Laila mengangguk. Baginya itu adalah langkah yang paling baik buat masa ini.

Kerusi yang diduduki oleh Liana diturunkan untuk membolehkan dia tidur dalam keadaan yang lebih selesa. Setelah berbincang seketika dengan Zaman, Laila membawa Liana pulang ke rumahnya. Malam ini Liana tidak boleh memberikan apa-apa alasan untuk balik ke rumahnya sendiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha