“WALAU
macammanapun sikap ayah, Faizal tidak boleh melawan dia. Faizal kena ingat,
tanpa ayah, Faizal tidak akan wujud di dunia ini. Sampai bila-bila, Faizal tak
boleh menafikan bahawa Faizal adalah darah daging dia....” Perlahan dan lembut suara
Salina menasihati Faizal apabila Faizal menceritakan kepadanya tentang apa yang
berlaku tengahari tadi.
“Tapi
mak....kalau setakat menjadi ayah tapi tak jalankan tanggungjawab buat apa?
Sebagai suami, seorang ayah, dia ada tanggungjawab untuk menyara keluarga dia.
Dulu dia mintak izin mak untuk kahwin lain, mak izinkan atas alasan tak nak
tengok ayah buat maksiat kat luar. Tapi tengoklah apa yang dah jadi...walaupun
dah izinkan kahwin lain, tapi ayah buat dosa jugak sebab abaikan nafkah
keluarga kita.....,” selar Faizal geram.
“Faizal...tak
baik Faizal cakap ayah macam tu.....,” nasihat Salina lagi. Dia cukup bimbang
dengan api kebencian yang meruap di dada anak tunggalnya itu.
“Tak baik apa
nya mak....apa yang Faizal cakap ni memang kenyataan. Dia tu berdosa sebab tak beri nafkah pada
keluarga kita. Mak isteri dia, saya ni anak dia. Dia sepatutnya perlu bersikap
adil kalau nak kahwin dua. Ini tak, hampir semua masa dia dihabiskan dengan
bini muda dia,” tingkah Faizal tidak bersetuju dengan kata-kata emaknya. Dia
tetap dengan pendiriannya dan menganggap bapanya itu seorang yang sangat tidak
bertanggungjawab terhadap mereka.
“Faizal.....kenapa
cakap macam tu, dia tetap bapa Faizal.” Salina masih cuba memujuk anak
tunggalnya itu. Dia semakin risau apabila dilihatnya Faizal semakin membenci
ayahnya sendiri. Tetapi Salina tahu dia tidak boleh menyalahkan Faizal seratus
peratus kerana Faizal memang membesar dengan sikap ayahnya yang mengabaikan
keluarganya sendiri. Jika anak-anak lain memperolehi kasih sayang dari ayah
mereka, namun berlainan sekali dengan Faizal yang hanya dihadiahkan dengan
sepak terajang dan pukulan apabila setiap kali Osman pulang ke rumah mereka.
Salina juga sudah tidak berupaya hendak memujuk, hanya doa sahaja
dipanjatkannya setiap hari moga-moga satu hari nanti akan terbuka pintu hati
Osman untuk melayan Faizal dan
menyayanginya sebagai anak kandungnya sendiri.