Faizal
tersenyum panjang apabila Inspektor Mira melangkah keluar begitu sahaja dari
biliknya. Faizal memusing musingkan kerusinya dua tiga kali. Hatinya kembang
dengan perasaan bangga dan gembira. Kalau hatinya belon, sudah pasti ia hampir
pecah kerana udara panas yang memenuhinya. Dia telah menang. Ya, dia telah
menang hari ini. Beberapa kali dia mengulang ayat yang sama. “Aku telah
menang.”
‘Amira
Saira......, dah lama aku menanti pertemuan ini dan tak sangka kita akan
bertemu jua akhirnya. Walau telah lama, namun bukan mudah kenangan antara kita
dulu itu dicungkil keluar dari kotak fikiranku,’ bisik Faizal sendiri. Senyuman
lebar terlukis di bibirnya. Faizal mengetuk-ngetuk pen yang dipegang ke meja.
Wajah Mira semasa zaman persekolahan terbayang-bayang di ruangan matanya.
Seorang gadis yang bertubuh tinggi, agak berisi tetapi tidak dinafikan gadis
itu memiliki senyuman yang begitu manis, dilengkapi pula dengan dua lesung
pipit di pipinya. Dengan mengikat rambut tocang satu ke belakang, Amira Saira
tiada apa kurangnya malah telah mencuri
perhatiannya sejak kehadirannya kali pertama lagi. Pada masa itu, dia masih
terlalu mentah mahu menilai mengenai hati dan perasaan. Apa yang dirasakannya
pada waktu itu adalah, dia sentiasa rasa mahu mengusik pelajar baru itu.
Sangkanya usik mengusik akan mungkin mendekatkan mereka tetapi tiada siapa yang
dapat menyangka, mereka menjadi semakin jauh sehingga akhirnya bermusuhan. Yang
memeritkan adalah kesudahannya mereka
perlu dipisahkan terus akibat keterlanjuran sikap Faizal sendiri.
‘Ah...kalaulah
masa dapat diputarkan kembali, pasti aku akan........’ Bisikan hati Faizal hanya setakat itu sahaja. Tergantung
tiada kesudahannya.
Faizal
mengimbas kembali kehidupannya beberapa bulan yang lepas iaitu sebelum dia
bertukar ke Ipoh. Dia sebenarnya memang sengaja membuat permohonan untuk
bertukar ke balai polis ini. Selama lima bulan dia menunggu, akhirnya dia
menjerit kegembiraan apabila menerima panggilan telefon yang menyatakan bahawa
permohonannya untuk bertukar ke Ipoh telah diluluskan. Ramai yang bertanya
kenapa dia mahu bertukar ke Ipoh sedangkan dia bukan berasal dari sana malah
dia juga tiada langsung saudara mara di negeri tersebut. Jawapan yang meniti di
bibirnya adalah klise, hanya mahu menimba pengalaman di negeri orang. Tiada
siapa yang tahu alasannya yang sebenar.
‘Semua ini
kerana mu Amira Saira,’ bisik Faizal di dalam hati.
Faizal tahu bahawa Amira bertugas di Ipoh setelah
terlihat gambarnya di PULAPOL semasa dia mahu berjumpa dengan salah seorang
kawannya yang baru bertukar ke pusat latihan itu sebagai tenaga pengajar.
Semasa matanya melilau memerhatikan gambar-gambar pegawai yang telah berjaya
menamatkan latihan di situ dan membaca nama-nama yang tercatit di kaki gambar,
tiba-tiba sahaja matanya terpaku kepada sekeping gambar. Lama dia membaca satu
nama itu berkali-kali. Inspektor Amira Saira binti Badrul.....
Memang
dialah...tidak salah lagi. Bukan mudah untuk dia melupakan nama itu. Terus
Faizal menatap gambar di bahagian atas, cuba mencari-cari budak gemuk yang
sering diusiknya dahulu. Mana dia ni......berkali-kali mata Faizal memerhati
namun sukar untuk dia mencari pemilik nama itu. Faizal membaca semula nama itu
dan melihat kepada kedudukan barisan yang dicatit.
“Dua dari
kanan, di barisan tengah....,” bisik Faizal sendirian kemudian dia cuba mencari
semula. Apabila terjumpa.....“Dia dah kurus,” bisik Faizal sendirian. Terpegun
sebentar Faizal apabila melihatkan perubahan bentuk fizikal Amira Saira.
Beberapa kali dia memerhatikan gambar itu untuk memastikan bahawa gadis di
dalam gambar itu adalah Amira Saira yang pernah dikenalinya. Memang
dia.....akhirnya Faizal nekad. Memang dia...walaupun bentuk fizikalnya telah
berubah namun senyuman itu masih sama.
“Siapa yang
kau tengok tu? Siap cakap sorang-sorang lagi....,” tegur Sufian yang secara tiba-tiba
sahaja terjengul di sebelahnya.
“Eh, engkau
ni Sufian...terkejut aku. Tak adalah....ingatkan aku kenal budak tu, tapi salah
orang lah....” Faizal cuba berdalih.
“Mana?” tanya
Sufian lagi tetap ingin tahu. Sufian terus memerhatikan gambar yang ditenung
oleh Faizal tadi.
“Ah, tak
apalah...jomlah. Kata nak belanja aku makan tadi.” Faizal terus menarik Sufian
dari gambar tersebut kerana dia tidak mahu menjawab pelbagai lagi persoalan
yang bakal ditanya oleh kawannya itu.
“Issh, kau ni
kalau bab belanja makan, tak pernah lupa,” bebel Sufian kemudian terus menepuk
bahu Faizal.
“Mana boleh
lupa bro. Masa ni lah aku nak kikis elaun-elaun engkau yang banyak tu kan,”
usik Sufian lagi.
“Hahahaa....mana
ada banyak bro. Sama je gaji kita ni,” jawab Faizal sambil menepuk bahu Sufian.
“Lain lah
bro. Engkau bujang, aku ni dah ada family. Anak nak masuk dua dah pun. Banyak
komitmen. Tapi tak apa, yang penting aku happy. Aku bersyukur. Best ada
keluarga dan anak-anak tau. Kau ni bila lagi? Nak tunggu bidadari syurga ke?
Aku dengar ramai awek-awek dalam kem yang nak kat kau tapi kau reject
awal-awal. Apahal?” tanya Sufian apabila mereka telah duduk di kafeteria kem.
“Tak de lah
sampai aku nak cari bidadari syurga. Belum sampai seru bro. Jodoh aku tak de
kat sini kot,” jawab Faizal pendek.
Mereka berdua
ketawa tetapi dalam masa yang sama fikiran Faizal masih tetap memikirkan
mengenai Amira Saira. Dia mahu bertemu semula dengan gadis itu dan menunjukkan
kejayaan yang diperolehinya sekarang. Dia mahu Amira melihat bahawa dia kini
dia bukan lagi budak nakal, kurus dan samseng di sekolah malah dia adalah ASP
Faizal yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi dari Inspektor Amira Saira.