Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,769
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

NURLISA masih di rumah sakit.Hari ini hari ke lapan dia berada di wad itu. Baru tadi doktor datang melawat dan memeriksa kecederaan di kakinya. Doktor juga menunjukkan gambar x-ray keadaan tulang di kakinya itu. Balutan pada kakinya telah dibuka. Kini Nurlisa boleh berjalan dengan bantuan dua batang tongkat.

“Nurlisa! Awak tengok gambar x-ray ini. Ini keadaan lutut dan betis awak. Kelmarin tulang betis awak patah di sini. Apabila kita simenkan, tulang yang patah itu sudah hampir pulih.” Doktor Ranjit, pakar tulang itu menerangkan kepada Nurlisa.

“Tapi, awak ada sedikit masalah kerana tulang lutut awak retak. Keretakannya agak panjang juga dan besar serta serius. Keretakannya ada Beberapa bahagian. Di situ kita kena masukkan sebatang besi untuk menyokong kaki awak sewaktu awak berjalan.” Doktor Ranjit menunjukkan ke arah filem x-ray.

Nurlisa terdiam sejenak. Segalanya menjadi lebih sulit daripada apa yang disangka. Dia menyangka, masalah kecederaaan dikakinya akan selesai sebaik sahaja balutan pada kakinya itu dibuka.

“Kita akan lakukan sedikit pembedahan di bahagian lutut,” ujar Doktor Ranjit lagi.

Air mata gadis itu berlinangan. Wajahnya bertukar menjadi muram. Perkhabaran daripada doktor itu membawa maksud yang dia akan mengalami kecacatan kakinya. Jika sudah cacat kaki, susahlah dia hendak bergerak ke sana dan ke sini. Sukarlah dia hendak mencari pekerjaan atau mendapatkan pekerjaan bagi menanggung kehidupan keluarganya yang sedia miskin itu.

‘Kalau tak dimasukkan besi tak boleh ke doktor?’Ingin sahaja Nurlisa menyuarakan pertanyaan itu kepada doktor. Namun persoalan itu ditelannya sendiri. “Selepas itu saya akan pulih dan boleh berjalan seperti biasa ke doktor?”Sebaliknya persoalan lain yang diajukan. Nurlisa bertanya dengan suara bimbang.

“Ya! Tetapi akan mengambil masa sedikit. Mula-mula awak kena berjalan dengan sokongan tongkat juga. Esok kita akan jalani pembedahan itu.” Doktor Ranjit memaklumkan dengan nada yang lembut tetapi tegas, kemudiannya doktor itu meneruskan tugasnya untuk melawat dan merawat pesakit lain.

Nurlisa termenung dengan perasaan yang terbuku dan keliru. Hatinya resah, benar-benar resah. Macam mana dengan adik-adiknya? Emak? Air matanya mengalir kembali dipipinya. Bibir yang selalu menguntumkan senyuman tidak berdaya lagi untuk melukiskan perkara yang sama. Ya Allah. Tolonglah hamba-MU ini. Berilah jalan keluar bagiku untuk menyelesaikan masalah yang rumit ini. Di sebalik tangisan yang membimbangkan itu, hatinya kembali tersenyum kerana yakin akan kasih sayang daripada-Nya. Hanya Dia-lah yang menentukan susah senang hidupnya dan keluarga. Jika Allah ingin memberi kesenangan, tidak ada seorang pun yang dapat menghalang-Nya.

DIIRINGI angin halus yang menikam tengah hari itu, Mak Cik Hasnah mencedok nasi ke dalam pinggan plastik dan diaturkannya di atas lantai yang beralas dengan tikar mengkuang yang sudah lusuh. Sebentar lagi tentu anak-anaknya akan pulang dari sekolah. Nuraina, Nuraini, Nur Fitri dan Mohd. Hambali semuanya bersekolah di sekolah yang letaknya tiga kilometer dari kawasan setinggan itu.

Setiap pagi mereka akan dihantar ke sekolah oleh Pak Hasan yang secara kebetulan akan ke pasar pada setiap pagi. Orang tua itu dengan rela hati menawarkan bantuan serta ehsannya untuk membantu keluarga Mak cik Hasnah. Sewaktu balik, budak-budak itu akan menaiki bas awam dan kadang kala jika tidak cukup duit, mereka akan berjalan kaki dengan keadaan perut yang lapar.

“Assalamualaikum, mak.” Nuraina yang terjengul di muka pintu diekori oleh adik-adiknya yang lain.

Kesemua mereka kelihatan berpeluh-peluh dan keletihan. Maklumlah terpaksa berjalan kaki di tengah panas terik walaupun jaraknya tidak jauh. Masing-masing berebut-rebut untuk bersalaman dengan emak mereka.

Nuraini membuka tudung saji. Besar harapannya tengah hari itu untuk menikmati nasi walaupun berlaukkan ikan belanak masin.Perutnya sudah berkeroncong benar sedari tadi.

“Laparnya... Mak, boleh ke makan nasi sekarang?” Nuraini menuang air kosong ke dalam gelas plastik. Air yang baru separuh gelas disambar oleh Nur Fitri dan ditogoknya dengan rakus. Berjejeran air tumpah melalui leher dan membasahi kolar baju sekolahnya.

“Fitri! Hisy! Tengok tu! Orang tuangkan air, orang yang nak minum!Kenapa kamu pula yang ambil?” Nuraini memarahi adik lelakinya yang kelihatan masih belum puas menikmati air kosong setengah gelas.

“Fitri pun haus juga! Panas! Tuang lagilah! Dahaga betul!” Nur Fitri menanggal baju putih dari tubuhnya dan mencampakkannya ke tepi dinding.

“Fitri! Apa buang baju macam tu?Esok kan nak pakai lagi!Nanti habis kotor! Hisy... kamu ni!” Nuraina pula meleteri adik lelakinya itu. Baju yang selonggok di tepi dinding itu dikutipnya dan disidainya pada dawai yang merentangi dinding.

“Alah! Baju tu memang dah kotor! Dah tiga hari pakai! Bau pun dah busuk hapak! Kak Aina, tolong basuh baju tu nanti!” Nur Fitri mempertahankan dirinya dan cuba memujuk Nuraina. Matanya mengerling ke arah Nuraina yang sedang memuncungkan bibirnya.

“Jangan bergaduh lagi di depan rezeki, tak baik! Salin baju cepat. Nanti boleh makan!” Mak Cik Hasnah bersuara perlahan sambil memerhatikan wajah anak-anaknya seorang demi seorang.Hatinya terkenangkan Nurlisa.

“Mak... Bila Kak Lisa boleh balik rumah?” Hambali duduk bersila di sebelah ibunya yang sedang mengagih-agihkan telur dadar ke dalam pinggan nasi anak-anaknya.

Mak Cik Hasnah terdiam. Dia terkenangkan perbualannya dengan Datin Rabiatul lewat minggu lalu.

“Makanlah... Mak nak suapkan si Faiz ni.” Mak Cik Hasnah tidak menjawab persoalan daripada Hambali.

“Hisy... Mak ni, Fitri dah jemulah makan lauk ni hari-hari. Asyik-asyik telur goreng dan kangkung goreng taucu! Eee... tak boleh telan dah! Fitri tak mahu makanlah!” Nur Fitri menolak pinggannya.

“Kenapa dengan kamu ni Fitri? Tak tau bersyukur langsung. Makan sajalah. Kita bukan orang kaya yang boleh makan lauk sedap-sedap. Kita orang miskin.” Nuraini menjegilkan matanya ke arah Nur Fitri.

“Kalau tak ada makanan macam mana? Tak tengok surat khabar di sekolah? Tu yang di Afrika tu, Somalia. Ramai yang tak dapat makan tau tak? Mereka terpaksa korek ulat dan cacing dalam tanah untuk makan.”Nuraina pula menyampuk.

“Alah, di sana kering kontang. Pokok pun tak boleh hidup. Macam mana cacing dan ulat nak hidup dalam tanah?” Nur Fitri cuba bertegang leher dengan kakak-kakaknya. Sengaja hendak mengusik.

“Fitri! Aina! Ani! Kan mak pesan tadi, di depan rezeki jangan berkelahi!” Sekali lagi Mak Cik Hasnah bersuara. Matanya merenung ke wajah anak-anaknya.Seorang demi seorang.

“Fitri ni mak! Tak tau nak bersyukur langsung!Walaupun hidup kita miskin, tapi rasanya kita belum pernah lagi kelaparan kerana tidak ada makanan untuk dimakan.” Nuraina pula menyambung leteran Nuraini.

Nur Fitri terdiam sejenak. Seketika kemudian dia mengambil semula pinggan nasinya tadi.

“Mak... Tadi cikgu kelas Hambali minta duit yuran sekolah. Hambali seorang saja yang belum bayar mak. Hambali rasa malu.” Hambali mengadu dengan suara yang perlahan.

“Kalau tak dapat duit sampai minggu depan, Hambali tak mau pergi sekolah lagi!”Anak itu bersuara antara dengar dengan tidak. Bimbang dimarahi emaknya.

Nuraina memandang ke wajah emaknya. Guru kelasnya juga meminta dia menjelaskan bayaran yuran. Untuk tahun ini, mereka sudah bersekolah hampir enam bulan, tetapi yuran sekolah masih belum dijelaskan.

“Mak! Biar Aina berhenti sekolah. Kita tak mampu.” Nuraina menundukkan wajahnya. Dia takut untuk merenung ke wajah emaknya yang sedang memandang ke arahnya. Emaknya pasti marah mendengar pendapatnya itu. Pada emaknya, pelajaran tetap perkara utama.

“Jangan berhenti! Esok-esok kamu akan lebih susah dari hari ini.” Mak Cik Hasnah terbatuk-batuk, namun tetap ingin menasihati anak-anaknya supaya memikirkan tentang masa depan mereka.

“Yalah mak. Biar Ani dan Kak Aina berhenti sekolah. Kami boleh cari kerja dan bantu mak. Mak perlukan wang untuk berubat. Adik-adik perlukan wang untuk bersekolah dengan selesa.” Nuraini memberi pandangan seolah seorang wanita yang telah dewasa dan matang, sedangkan umurnya baru 12 tahun.Mungkin keperitan dan kesusahan hidup telah mematangkan kanak-kanak itu.

“Kamu budak-budak lagi! Aina baru 14 tahun, Ani baru darjah enam! Siapa yang nak beri kamu bekerja? Kerja apa yang kamu boleh buat?” Mak Cik Hasnah menyoal kembali anak-anak gadisnya yang terlalu ghairah untuk berhenti sekolah.

“Nanti mak usahakan. Tunggu Kak Lisa kamu keluar daripada hospital, biar dia yang membuat keputusan. Lagipun mak dah dapat kerja mencuci pakaian untuk beberapa buah keluarga di sini. Dapatlah empat lima ringgit sehari.” Mak Cik Hasnah bersuara dengan nada membujuk. Membujuk anak-anak dan membujuk hati sendiri.

“Tapi... mak pun sakit. Mak tak boleh buat kerja-kerja yang teruk begitu!” Suara Nuraina seakan merengek. Dia faham derita yang ditanggung oleh emaknya itu. Batuk yang kadangkala mengeluarkan kahak yang berdarah sudah tentu mendatangkan kesakitan kepada dada emaknya yang tidak berdaya itu.

“Jangan berhenti sekolah! Semua mesti teruskan persekolahan. Kita usaha, insya-allah akan ada rezekinya!” Mak Cik Hasnah tetap bertegas dengan keputusannya.

“Mesti usaha juga.Kalau sayang kepada mak, dengarlah nasihat mak ni!” Suara Mak Cik Hasnah seolah bergetar. Ada air mata pilu yang terhimpun di penjuru mata wanita tua itu.

“Hari ini Allah uji kita dengan kesusahan ini.Bersabar dan tawakallah.Insya-allah... satu hari nanti, kehidupan kita mungkin lebih baik daripada hari ini. Kalau tidak ada ilmu pengetahuan, tidak ada pelajaran, tidak ada ilmu agama macam mana nak tempuhi hidup pada masa akan datang.”

Lembut suaranya berpesan kepada anak-anak yang sedang mengelilinginya. Mak Cik Hasnah mengesat air mata yang hampir merembes daripada kolam matanya.

“Tapi mak!” Nuraina dan Nuraini merengek serentak. Mereka bingung memikirkan kehendak emak yang masih mahu anak-anak bersekolah walaupun sudah tidak berkemampuan lagi untuk menanggung segalanya.

Mak Cik Hasnah tidak memberi jawapan kepada rengekan anak gadisnya itu. Dia sibuk melayani fikirannya sendiri dan mengenangkan perbualannya dengan Datin Rabiatul beberapa hari yang lalu.

DATIN Rabiatul memegang tangan Nurlisa yang sebelah kanan. Hari itu gadis itu telah dibenarkan keluar dari wad. Nurlisa berjalanterhincut-hincut sambil mengepit tongkat di bawah ketiak kirinya. Dia berjalan perlahan-lahan sambil cuba menyesuaikan diri dengan situasi dirinya yang baru.

“Mak cik hantar Lisa pulang ke rumah, ya. Lepas itu bolehlah Lisa berbincang dengan emak dan adik-adik tentang hal itu!” Datin Rabiatul bersuara perlahan sambil menoleh ke arah gadis yang sedang berjalan di sisinya.

“Mak cik dah beritahu mak Lisa.”Perlahan suara Datin Rabiatul di pendengaran Nurlisa. Gadis itu tidak menjawab. Dia asyik melayani fikirannya sendiri.

Sesekali Datin Rabiatul mengerling Nurlisa yang sedang berjalan di sisinya dengan langkah yang amat perlahan. Nurlisa cuba bersikap tenang sedangkan jiwanya bergelora amat kuat. Permintaan Datin Rabiatul amat mudah untuk diterima, namun senangkah dirinya melaksanakan segala permintaan dari wanita yang telah berbudi dengannya itu? Sedangkan dirinya pada waktu itu serba kekurangan. Pergerakannya yang terhad. Kesempurnaannya sudah lenyap. Dia kini seorang gadis yang tempang.

Hatinya meraung apabila diberitahu oleh doktor yang merawatnya bahawa kakinya telah cacat. Selepas pembedahan dan memasukkan besi di lututnya, kaki kirinya pendek 3 sm. Itu bermakna dia tidak boleh berjalan dengan sempurna. Berdiri dengan sempurna.Kaki kirinya akan tergantung dari permukaan tanah sewaktu dia berdiri. Jika berjalan, gerak langkahnya akan menjadi tempang.

‘Allah hu akhbar... tabahkanlah hatiku untuk mengharungi dugaan ini. Aku redha dengan ujian-MU ini, Ya Allah.’ Menguatkan kembali jiwa yang seolah ingin rebah, Nurlisa menyerahkan segalanya kepada Allah yang telah menciptanya ke dunia ini. Hanya Dia-lah yang tahu muslihat disebalik ujian dan dugaan yang telah ditetapkan kepada setiap hamba-Nya.

“Mak cik harap, Lisa tidak hampakan mak cik!” ujar Datin Rabiatul lagi. Memancung lamunan Nurlisa yang semakin jauh menerawang. Seumur hidupnya tidak pernah berpisah dengan emak dan adik-adiknya sehinggalah dia menerima kecelakaan itu.

“Sedari kecil Lisa tidak pernah berpisah dengan mak dan adik-adik, mak cik.” Ada sendu di hujung suara Nurlisa.

Raut wajahnya yang mendung dan kesedihan membenihkan rasa sebak di jiwa Datin Rabiatul. Dia mengerti gelombang jiwa gadis yang sedang berjalan bersamanya itu. Dia dapat menjangka emak Nurlisa pun tentu sedih apabila mendengar permintaan dan cadangannya.

“Mak cik faham Lisa. Mak cik tidak memaksa tetapi mak cik berharap sangat supaya Lisa tidak menolak.” Datin Rabiatul seakan memujuk.

“Dengan keadaan Lisa yang begini, apa kerja yang saya boleh lakukan di rumah mak cik?” Nurlisa bertanya dengan jujur. Kebimbangan bertapak dikalbunya apabila menyedari kekurangan diri sendiri.

“Tolong tengok-tengokkan anak mak cik dan tengok-tengokkan bunga-bunga di sekeliling rumah mak cik. Itu saja.” Datin Rabiatul bersuara dengan lembut untuk memujuk Nurlisa.

Nurlisa mendiamkan diri sekali lagi. Bibirnya tidak tahu untuk membicarakan apa lagi. Bisu untuk berkata.

“Di rumah itu tidak pernah ada anak gadis yang menghuninya. Mana tahu, dengan kedatangan Lisa segalanya akan berubah.” Datin Rabiatul memujuk lagi dengan segunung harapan. Hatinya sudah mulai terasa sayang kepada gadis itu walaupun baru mengenalinya. Nilai kesabaran dan kelembutan hati yang ditonjolkan oleh gadis itu, amat menarik hatinya.

DALAM kedinginan malam, rumah kediaman Mak cik Hasnah diselubungi kesedihan. Selepas sahaja mendengar keputusan yang dibuat oleh kakak mereka, Nuraina, Nuraini, Fitri dan Hambali terus menyepikan diri dan membuat hal masing-masing. Kecuali Faez yang belum mengerti makna perpisahan asyik berlari-lari ke sana sini.

“Mak... Biarlah Lisa terima tawaran datin tu. Lagipun Lisa dah cacat. Kalau Lisa nak bekerja di restoran tempat yang dulu tu, tentu tak sesuai.” Nurlisa seakan berbisik di telinga Mak Cik Hasnah. Pada waktu itu dia sedang berbaring di sisi emaknya itu.

“Datin kata, Lisa hanya tolong jaga bunga-bunga dan tolong tengok-tengokkan anaknya saja. Dia ada pembantu lain untuk memasak. Datin kata dia sunyi di rumah sebab tak ada anak perempuan!” Nurlisa cuba bercerita kepada Mak Cik Hasnah apa yang telah diceritakan oleh Datin Rabiatul kepadanya.

“Dia juga ada beritahu yang seorang anaknya sedang sakit! Mungkin Lisa akan tolong jaga anaknya itu sewaktu datin tak ada di rumah!” Nurlisa menerangkan kepada ibunya apa yang telah diberitahu oleh Datin Rabiatul kepadanya.

“Besar mana anaknya tu?” Mak Cik Hasnah menyoal kembali.

Nurlisa terdiam. Datin Rabiatul tidak menerangkan dengan jelas tentang anaknya itu. Datin Rabiatul kelihatan masih muda lagi. Sudah tentu anak yang dikatakannya itu lebih muda daripada Nurlisa sendiri.

“Lisa! Maafkan mak, nak. Mak orang susah dan tak dapat jalankan tanggungjawab mak kepada kau, nak. Sepatutnya mak yang sediakan segalanya untuk anak-anak.” Suara Mak Cik Hasnah tersendat pilu. Dia mendakap tubuh Nurlisa dan mencium pipi anak gadisnya itu berkali-kali. Kedua beranak itu berpelukan sambil menangis kerana mengenangkan nasib mereka.

“Lisa akan korbankan segalanya untuk mak dan adik-adik selagi Lisa termampu.” Nurlisa menangis hiba di dalam dakapan ibunya. Walau apapun yang terjadi, budi emak tetap akan dibalas.

“Lisa janji mak. Lisa akan berusaha untuk mengubah nasib keluarga kita. Insya-allah... lambat laun kehidupan keluarga kita akan menjadi lebih baik.”Nurlisa seolah berbisik. Begitu besar harapan dan impiannya.

“Lisa akan kerja bersungguh-sungguh mak. Lisa nak bawa mak berubat penyakit mak tu. Lisa tahu mak terlalu menderita.” Suara Nurlisa seolah berbisik di telinga emaknya.

“Lagipun, Lisa rasa terhutang budi dengan Datin Rabiatul tu. Mujur dia jumpa Lisa sewaktu hari kemalangan tu.” Nurlisa meneruskan bicaranya sambil tangannya mendakap tubuh ibu yang kurus.

“Lagipun kalau Lisa cari kerja di tempat lain, tentu tidak diterima mak.Lisa masih bertongkat. Tidak boleh berjalan dengan sempurna lagi.” Nurlisa menyuarakan pandangannya.

“Anggaplah ini semua ketetapan Allah mak! Hikmah Allah temukan Lisa dengan Datin Rabiatul kerana kemalangan itu.” Suara Nurlisa tenggelam timbul di pendengaran emaknya.

“Mungkin sudah takdir Allah juga Lisa akan tinggal bersamanya untuk mendapat rezeki yang Allah telah tetapkan buat Lisa.” Nurlisa terus memujuk hati emak yang dikasihi.

“Yalah Lisa. Mak pun fikir begitu.Lagipun mak tengok dia macam berbudi orangnya. Kalau Lisa tinggal bersamanya nanti, pandai-pandailah jaga hatinya!” Mak Cik Hasnah bersuara perlahan.

“Lisa jangan lupa solat. Jangan sesekali tinggalkannya, nak. Baca Quran bila ada masa lapang! Ingatlah nak, kita ini orang susah.Janganlah kesusahan kita ini kita bawa sampai ke akhirat tanpa membawa bekalan apa-apa.” Mak Cik Hasnah menasihat dengan penuh kasih sayang.

“Mak tak ada ilmu yang banyak untuk turunkan kepada Lisa. Tapi Lisa mesti selalu mengingatkan diri yang kita ini orang Islam. Allah sudah beri al-Quran untuk kita jadikan pertunjuk. Jangan berhenti membacanya nak, walaupun Lisa sudah khatam dua tiga kali.” Bagaikan tidak cukup pesanan yang ingin disampaikan kepada anak tersayang.

“Insya-ALLAH, mak. Lisa akan ingat segala pesanan mak,” jawab gadis itu lagi.

“Biar kita miskin harta dan wang ringgit di dunia ini. Tetapi bekalan untuk hari akhirat janganlah Lisa lupa, nak. Tanpa wang ringgit pun kita boleh buat bekalan untuk hari akhirat.” Mak Cik Hasnah berpesan lagi.

“Nak, berbuat baiklah pada orang lain. Baik dalam kata-kata. Baik dalam tingkah laku. Gunakanlah kudrat yang ada untuk menolong orang kerana hanya itu yang kita mampu.” Jika diukur dengan guni, pada malam itu entah berapa gunilah pesanan yang dihamburkannya kepada anak gadisnya itu.

“Insya-ALLAH, mak. Lisa ingat semua itu. Kan mak dah selalu nasihat dan berpesan kepada Lisa dan adik-adik sejak kami kecil lagi. Dunia ini hanyalah sementara. Akhirat juga tempat yang kekal.” Nurlisa mengambil tangan Mak Cik Hasnah dan membawa ke dadanya.

Bibir Mak Cik Hasnah mengukir senyuman di dalam kegelapan. Kata-kata yang keluar daripada bibir anaknya itu melegakan perasaan hatinya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.