HARI pertama Nurlisa berada di rumah bunglo tiga tingkat
milik Datuk Haris itu. Segalanya asing. Keadaan rumah sudah tentulah jauh
bezanya dengan rumah setinggannya dulu. Rumah itu umpama mahligai kayangan,
sesuai dengan namanya yang indah Vila Kencana Emas.
“Lisa, nanti Lisa boleh tolong bibik!” Sunarti merenung ke wajah Nurlisa. Lamunan gadis itu terhenti.
Nurlisa mengangguk-angguk lembut. Pada waktu
itu dia bersama tukang masak di dapur
vila itu. Dapur rumah itu pun amat besar dan sangat cantik hiasannya. Pinggan
mangkuk yang tersusun rapi di dalam almari kaca, bagaikan pernah dilihatnya di
dalam majalah. Pinggan mangkuk yang biasa digunakan oleh golongan istana.
Semuanya diimpot dari luar negara.
“Datin ada beritahu Lisa yang dia ada seorang
anak lelaki yang kurang waras?” Sunarti
cuba mencungkil rahsia. Wajah Nurlisa ditatapnya. Wanita itu juga berkenan
melihat wajah gadis itu yang seolahnya sentiasa tersenyum.
Nurlisa seakan terkejut. Dia
mengeleng-gelengkan kepalanya. Datin Rabiatul hanya bercerita yang dia memiliki
dua orang anak dan salah seorang daripada mereka sakit. Sangkanya dia akan menjaga anak-anak datin
yang berumur lima atau enam tahun. Jadi gadis itu sememangnya tidak kisah
tentang perkara itu kerana dia biasa menjaga adik-adiknya yang ramai. Hanya
yang membezakannya ialah adik-adiknya lahir daripada keturunan miskin.
Anak-anak Datin Rabiatul pula sudah terbiasa dengan kehidupan mewah.
“Datin ada seorang anak lelaki yang enggak
siuman! Maaf ya, tidak enak didengar!” Bibik Sunarti bercerita dengan
berbisik-bisik sambil matanya merenung ke sana sini.
Nurlisa tambah terkejut dan simpati.
‘Kasihannya, kecil-kecil sudah menjadi tidak siuman?’Begitulah bisik hatinya.
“Biasanya datin dan bibik yang hantar makanan
kepada nak Aldi, tapi hari ni datin tak ada.Seminggu dia tak ada di rumah ni, datuk dan
datin pergi ke Filipina.” Sunarti terus bercerita dengan jujur. Perkara itu
sememangnya telah diketahui oleh Nurlisa kerana dalam perjalanan mereka ke
rumah itu semalam, Datin Rabiatul ada bercerita kepadanya. Tentang permergiannya ke Filipina.
“Oh... jadi bibik mahu saya hantarkan makanan
kepada Aldi?” tanya Nurlisa tulus. Dia memandang tongkat yang tersandar di
sebelahnya.
Sunarti menyedari dan memahami situasi gadis
itu, lalu dia ketawa terkekeh-kekeh.
“Lisa jangan khuatir. Nanti bibik tolak troli
sehingga ke muka pintu kamarnya Si Aldi itu, kemudian Lisa yang hidangkannya di
meja di dalam kamar itu.Aldi itu bukan saja kurang waras, tapi dia enggak boleh berjalan. Terus di
atas kerusi roda.” Sunarti bercerita lagi.
Nurlisa bertambah kaget. Dadanya
berdebar-debar.
Sunarti menghidangkan makanan ke dalam bekas
untuk di bawa ke bilik Aldi.
“Mari nak. Ikut bibik, kita naik ke tingkat
atas. Berkenalan dengan Aldi, ya.”
Sunarti menolak troli yang diperbuat daripada kayu jati menuju ke tepi tangga.
Anak tangganya besar-besar dan disaluti permaidani yang menenggelamkan kaki
sewaktu memijaknya.
Nurlisa berasa janggal dengan segala
kemewahan yang dilihatnya. Dia teragak-agak meletakkan tongkat yang membantunya
berjalan.
“Tekan punat itu, nak,” arah Sunarti sambil
menudingkan jarinya ke arah kepala tangga yang berwarna kuning keemasan
itu.
Nurlisa tercari-cari punat yang dikatakan
oleh pembantu Indonesia itu.
“Lor anak ini. Itu yang berbentuk daun itu.
Hah! Tekan! Tangga ini akan bergerak
sendiri ke atas.Lisa tak
perlu susah-susah gunakan tongkat itu untuk naik dan turun tangga. Datuk buatkan tangga seperti ini untuk
anaknya yang kurang waras dan tak boleh berjalan tu.”Sunarti bercerita tanpa rasa segan. Maklumlah
hari ini dialah tuan di rumah itu.
“Bibik! Bibik!” Sebaik sahaja sampai di
permukaan aras dua rumah itu, kedengaran suara Aldi menjerit memanggil orang
gajinya.
“Bibikkkk!” Suaranya garang.
Sunarti tergopoh-gapah membuka pintu kamar
lelaki itu. “Saya, ada di sini nak!” Terketar-ketar Sunarti menjawab.
Nurlisa yang berdiri di sebelahnya juga turut
terketar dan berdebar. Di depan pintu yang terbuka dia dapat melihat seorang
lelaki yang berkulit putih kuning, berwajah keruh dan tegang. Matanya merah,
bibirnya kering. Jambangnya tumbuh merata dan tidak terurus kelihatannya.
Aldi memandang ke arah Sunarti dan Nurlisa
dengan pandangan tajam sambil menggerak-gerakkan kerusi rodanya ke depan dan ke
belakang. Nurlisa yang bertudung putih dan bertubuh kecil itu kelihatan seperti
budak sekolah pada pandangan matanya. “Heh, budak! Kamu siapa? Buat apa kamu ke
rumah ini?” Tengkingnya kuat dengan mata yang mencerlang.
Kedua-dua pembantu rumah itu mengigil
ketakutan. Terlebih lagi Sunarti dan
sudah tentunya Nurlisa. Nurlisa terlalu terkejut. Fikirannya seolah telah
dipenggal oleh sebutir bom. Kedua tangannya menjadi sejuk. Lidahnya terkelu
untuk menjawab.
Tanpa menunggu jawapan daripada kedua orang
gajinya itu, Aldi menggerakkan kerusi rodanya dan berundur lebih jauh ke dalam
bilik.
“Nak Aldi, bibik bawakan makanan!” Sunarti
yang lebih tua cuba bertenang dan memberitahu dengan suara lembut. “Ni makanan tengah hari, Aldi.” Sunarti
menyambung lagi dengan suara yang lunak. Matanya merenung Aldi yang di atas
kerusi. Anak muda itu berbaju T kuning dan hitam. Berseluar sukan hitam.
“Heh! Orang tua! Kamu jangan masuk ke dalam
bilik aku!Keluar, keluar!
Sesiapapun jangan masuk ke sini, kecuali mak!Mak!
Mak!!” herdik Aldi lagi.
“Ibu kepergian. Satu minggu lagi baru dia
pulang.” Sunarti menerangkan kepada Aldi
yang masih kelihatan marah.
Aldi diam sambil memandang ke wajah wanita
tua itu dan Nurlisa bersilih ganti. Tajam matanya sewaktu merenung gadis itu.
Matanya melihat Nurlisa dari kepala hingga ke hujung kaki. Apabila matanya
menyinggahi ke mata gadis itu, dadanya bagaikan dipalu. Ah! Tak mungkin. Suara
hatinya berbisik-bisik. Tubuhnya
bagaikan gementar.
“Nak Aldi, mulai hari ini, Lisa yang akan
jaga nak Aldi.” Sunarti menyampaikan
pesanan Datin Rabiatul kepada anak muda itu.
“Keluar! Keluar! Semua keluar dari sini! Aku
tak mahu makan!” Aldi menjerkah. Suaranya bergema di dalam bilik yang besar
itu.
Sunarti dan Nurlisa tergesa-gesa keluar
daripada situ sambil menolak kembali troli yang berisi makanan tadi.
Sebaik sahaja sampai kembali ke dapur,
Nurlisa yang tidak dapat menahan
sebaknya kerana ditengking oleh Aldi tadi terus menangis teresak-esak. Hiba
benar rasa hatinya. Tidak pernah sesiapa pun bercakap kasar seperti itu
kepadanya.
Begitu rupanya anak yang akan dijagainya
nanti. Begitu jenis penyakit yang dihadapi oleh anak itu. Nurlisa menangis
tersedu-sedan. Dia terkecewa dan rasa tertipu dengan diri sendiri. ‘Aku yang
bersalah kerana tidak bertanya dengan jelas kepada Datin Rabiatul.’
“Sudahlah, nak. Sabar... Dia memang begitu.Kalau rasa takut, tak payahlah Lisa pergi
hantar makanan kepada dia hari-hari. Biar bibik yang hantarkan. Kesiannya
Lisa.” Sunarti menggosok-gosok kepala
Nurlisa sambil memujuk gadis itu.
“Bibik... Saya sangka anak datin yang akan
saya jaga itu, masih kanak-kanak.” Nurlisa terus menangis sambil merintih
kepada Bibik Sunarti. Masih terbayang di
matanya wajah Aldi yang sedang marah tadi. Dia benar-benar rasa takut. Tidak
pernah dia bertemu dengan lelaki segarang itu.
Bibik Sunarti tidak dapat menahan tawanya
dengan cerita Nurlisa. Hatinya bagai
digeletek mendengar kata-kata daripada gadis itu. Alangkah lurusnya hati anak
ini. Begitu bisik hatinya. “Aduh! Nak Lisa, apa ibu enggak bilang sama kamu
yang dia sudah ada anak teruna dan Aldi tu sudah...” Cerita Bibik Sunarti tenggelam di dalam
tawanya yang masih belum reda. Lucu benar rasa hatinya kerana kelurusan hati
gadis itu.
“Bibik, mengapa Aldi jadi begitu? Kasihannya
dia!” Dalam esakan, Nurlisa turut mentertawakan kebodohan dirinya. Air matanya
sudah mengering. Nurlisa memandang sekelilingnya. Betapa beruntungnya menjadi Aldi. Dilahirkan
di dalam keluarga hartawan dan jutawan. Berumah mewah, hendak makan apa pun
mudah, kehidupan senang, ada ramai pembantu rumah, namun dia terkurung pula di
bilik itu dan mengalami tekanan jiwa yang amat menyakitkan.
“Dulu, Aldi seorang pemuda yang budiman. Dia
bijak macam Datuk Haris juga. Entahlah Lisa, satu ketika dia meminta izin datuk
untuk sambung pengajiannya ke luar negara. Dua tahun di sana, tiba-tiba dia
menikah dengan seorang gadis.” Suara Sunarti semakin perlahan. Mungkin dia
sedang menahan sebak.
“Mereka kemalangan selepas dua hari
pernikahan. Isterinya meninggal di
tempat kejadian juga, dan Aldi tidak sedarkan dirinya selama dua minggu.
Apabila dia sedar dan mendapati Arishal sudah tiada lagi... dia tidak dapat
menerima kenyataan itu, lalu jadi begitu nak.” Sunarti bercerita dengan suara
yang tertahan-tahan. Pelat Indonesianya masih lagi pekat.
“Puas datuk dan datin berusaha untuk
memulihkannya, tapi tidak berjaya. Dia mengurungkan dirinya begitu. Memarahi sesiapa saja termasuk tuhan.”
Sunarti mengelap air mata yang mengalir di pipi dengan hujung lengan bajunya.
Sebak hati Nurlisa apabila mendengar cerita
itu. Dia memandang ke arah kaki kirinya.Mungkin Aldi rasa tertekan. Terlalu tertekan. Sudahlah kehilangan isteri,
dia juga hilang kesempurnaan. Nurlisa bersyukur kerana dia masih lagi boleh
berjalan walaupun tempang dan dengan bantuan tongkat pada waktu itu.
“Bibik, Encik Aldi langsung tidak boleh
berjalan ke? Kasihan saya
melihatnya. Tentu dia rasa sedih.”
Nurlisa cuba bertanya dengan lebih lanjut berkenaan dengan Aldi.
“Bibik tidak pasti. Mungkin kalau semangatnya
kuat dan dia praktis hari-hari dia boleh berjalan kembali. Tapi dia enggak
mahu.” Sunarti menyiapkan makanan dan dihidangkan di atas meja pula.
“Lisa, kalau Lisa mahu sembahyang, Lisa
pergilah dulu. Bibik mahu sediakan makanan untuk adiknya si Aldi, Adzman. Sebentar lagi dia tentu pulang.” Sunarti
merenung Nurlisa.
Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya.
Adzman tentu anak Datin Rabiatul yang lagi seorang. Begitulah tekaan gadis itu.
Nurlisa berjalan terhincut-hincut menuju ke
biliknya yang terletak berhampiran tangga utama. Keluasan bilik itu lebih besar
daripada rumah yang didiami oleh emak dan adik-adiknya. Ada katil yang cantik,
bertilam empuk, berhawa dingin pula. Bilik orang gaji pun umpama bilik raja.
Sungguh dia tidak menduga nasibnya akan begitu.
Sewaktu dia berulang-alik pergi kerja di
restoran dan membantu Pak Hasan berniaga di pasar malam, dia tidak pernah
berangan atau mempunyai impian untuk tinggal di rumah yang seperti istana itu.
Sesungguhnya inilah ketentuan takdir yang tidak pernah diduga oleh sesiapa pun.
“Mak! Lisa rindu pada mak! Alangkah baiknya jika kita
sekeluarga dapat berkumpul bersama.” Selepas bersembahyang dan berdoa, Nurlisa
berbisik-bisik sendiri. Nurlisa terpaksa sembahyang duduk di kerusi kerana
kakinya tidak boleh dibengkokkan. Sambil bercakap-cakap sendiri, di matanya
terbayang wajah emak dan adik-adiknya.
“Lisa!
Sudah sembahyang nak?” Terdengar
ketukan dan suara Sunarti di muka pintu.
“Sudah, bibik.” Nurlisa menyahut dari dalam
dan berjalan terhincut-hincut ke pintu.
“Kita
makan!” Sunarti mempelawa.
Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya.
Sememangnya perutnya sudah terasa pedih sejak daripada tadi. Jam pun sudah
menunjukkan 3.30 petang.
Di dapur Sunarti sudah menghidangkan makanan
untuk mereka di atas meja bulat yang diperbuat daripada kayu. Adzman yang ditunggu tidak kunjung tiba.
Mungkin dia tidak akan balik ke rumah hari ini.
Adzman seringkali begitu.
“Ayuh! Jangan tunggu lagi!” Sunarti
mencedokkan nasi untuk Nurlisa.
Terbeliak mata Nurlisa apabila melihat
lauk-pauk yang terhidang di atas meja. Dia menelan air liur. Ada ketam goreng
bercili, sotong goreng tepung, ayam dan macam-macam lagi. Namun apabila
terkenangkan emak dan adik-adiknya, dia hilang selera untuk menelan semua
makanan yang terhidang itu. Sudah tentu mereka makan tengah hari dengan menu
yang telah biasa atau sebati dengan dirinya. Telur dadar, kangkung goreng
tauchu atau ikan belanak goreng dengan sayur bayam masak air. Makanan-makanan
itulah yang telah membesarkannya serta adik-adik.
“Saya terkenangkan mak dan adik-adik bibik!
Tak tahulah apa yang mereka makan tengah hari ini.” Isi ketam yang kenyal dan manis dirasakan
seolah ketulan batu yang menerjah ke kerongkongnya.
“Bibik! Bibik!” Terdengar suara Aldi di dapur.
Terperanjat besar Nurlisa. Di sangkanya
lelaki itu telah turun dari biliknya dan berada di belakangnya. Dia memandang
sekeliling, mencari Aldi bersama kerusi rodanya, namun tidak kelihatan.
“Aduh! Apa aja yang dimahunya sih!” Sunarti merungut-rungut dan menuju ke tepi jendela. Di dinding berhampiran
dengan jendela itu telah dipasangkan interkom. Semuanya disediakan untuk
keperluan Aldi yang kurang upaya itu. Jika dia menginginkan apa-apa, dia hanya
menggunakan interkom di biliknya yang telah disambungkan ke dapur, ruang tamu
dan di luar rumah.
“Ada apa nak? Nanti ibu datang.” Sunarti
menjawab dengan suara lunak.
“Bawa surat khabar naik ke atas!” Aldi,
mengarahkan dengan suara yang agak perlahan.
“Baik, baik! Nanti ibu bawakan.” Sunarti
berjanji dengan suara yang lembut.‘Aduh! Di mana aku nak cari surat khabar,’ rungut wanita itu di dalam hati.
Terkalut-kalut
dia bergerak ke ruang depan dan mengambil senaskah surat khabar yang entah bila
tarikhnya.
“Lisa, tolong hantarkan kepada Aldi ya! Ini
surat khabarnya!” Sunarti menghulurkan surat khabar itu kepada Nurlisa yang
baru sahaja membasuh tangannya.
Nurlisa terdiam. Rasa takut menyelubungi
dirinya. Mahu tak mahu, dia terpaksa
patuh kepada suruhan Sunarti kerana menghormatinya sebagai orang tua. Tambahan
pula, menjaga Aldi telah menjadi tanggungjawabnya. Tanpa membuang masa dia
terus menuju ke tingkat atas sambil membawa suratkhabar.
“Assalamualaikum!” Di muka pintu bilik Aldi, Nurlisa memberi
salam. Dadanya debar gemuruh. ‘Ya Allah, janganlah aku dimarahi seperti tadi.’
Aldi tidak menjawab salamnya.
“Encik, ini surat khabarnya.” Nurlisa
melangkahkan kakinya ke dalam bilik itu dengan keadaan terhincut-hincut dan
tertakut-takut. Aldi sedang termenung di jendela, tanpa membuka kaca jendela
itu. Mungkin bimbang hawa panas akan menerjah masuk ke dalam kamarnya yang berhawa
dingin itu.
“Hei budak! Jaga-jaga dengan tongkat kau tu!”
Aldi menjerkah Nurlisa dengan matanya yang mencerlang memandang gadis itu.
Tangan Aldi mengambil naskah surat khabar yang dihulurkan oleh gadis itu. Tak
sampai sepuluh saat, surat khabar itu telah
dilontarkannya ke luar pintu.
“Bodoh! Aku hendak surat khabar hari ini!
Sekarang kau keluar dari bilik ini!” Aldi terus memarahi Nurlisa yang sedang
menahan air matanya daripada tumpah.
“Minta maaf, encik. Saya tak tahu.”Nurlisa berundur ke belakang untuk keluar
dari bilik itu. Kesedihan hatinya semakin merimbun. Terlalu hinanya diri
dirasakan apabila disergah dan dimaki begitu.
Ikutkan rasa sedih, tak ingin rasanya dia
tinggal di rumah itu. Lebih baik dia bekerja sebagai tukang basuh pinggan di restoran
atau membantu Pak Hasan berjualan di pasar malam. Namun budi Datin Rabiatul yang telah
menyelamatkannya tidak tahu hendak dibalas dengan apa. Jika Datin Rabiatul
tidak berusaha untuk memanggil ambulans dan membawanya ke hospital, saat ini
belum tentu lagi keadaannya bagaimana.
Jika Datin Rabiatul jenis manusia yang tidak
berhati perut atau tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada orang lain, sudah
tentu dia boleh berpura-pura tidak nampak Nurlisa yang pengsan dan tergolek di
dalam semak di tepi jalan. Namun wanita itu berhati mulia. Bukan sahaja sudi
menyelamatkan dirinya tempoh hari, bahkan sanggup menawarkannya bekerja di
mahligai itu.
Tanpa dipinta, Datin Rabiatul juga telah
berjanji akan membayarnya upah sebanyak 400 ringgit kepada Nurlisa. Makan minum, tempat tidur dan kain bajunya
akan ditanggung oleh wanita yang baik dan pemurah itu. Datin Rabiatul juga
telah membayar separuh daripada gaji yang dijanjikannya. Wang sebanyak RM200
itu telah diserahkan oleh Nurlisa kepada emaknya. Bolehlah digunakan untuk
membayar yuran persekolahan adik-adiknya itu.
Hanya satu syarat yang agak berat untuk
diterima oleh gadis itu. Nurlisa tidak dibenarkan balik menemui keluarganya
terlalu kerap. Setahun hanya dua kali sahaja. Nurlisaberhasratmahu meninggalkan bilik itu. Belum sempat dia
mengaturkan tongkatnyauntuk keluar dari bilik itu, Aldi memanggilnya semula.
“Budak! Mari sini! Tolak kerusi ni, aku
hendak turun ke bawah!” Aldi memanggil Nurlisa yang baru sahaja
membelakanginya.
Permintaan Aldi melemaskan perasaan Nurlisa.
Sebelah tangannya terpaksa memegang tongkat, mampukah tangannya yang lagi satu
menolak kerusi roda lelaki itu?“Baik, encik!” Dia terhincut-hincut lagi sekali berjalan menuju ke arah
Aldi.
Tiba-tiba Aldi ketawa. “Macam mana ni?Si tempang hendak membantu si lumpuh! Gila!
Semua ini gila!” Sekali lagi dia ketawa.
Ledakan ketawanya berkumandang di tingkat atas itu.
Nurlisa berasa takut pada mulanya. Namun
ketakutan itu dipujuknya sendiri. Pemuda ini tidak sihat dan harus dibantu.
Itulah yang difikirkannya.
“Maafkan saya, encik! Saya akan bantu encik setakat yang termampu!”
Nurlisa bersuara
lembut dan ikhlas. Dia harus bersabar melayani orang seperti Aldi.Itulah yang difikirkannya.
Aldi terdiam seketika. Nurlisa terus menolak
kerusi roda itu perlahan-lahan. Mujurlah di dalam rumah itu penuh dengan
kelengkapan dan kemudahan untuk lelaki itu.
Selepas menuruni tangga berelektrik yang anak tangganya memang selesa
untuk menempatkan sebuah kerusi roda dan penolaknya, kerusi roda terus ditolak
sehingga ke ruang tamu. Terdengar suara Sunarti memanggil-manggilnya.
“Lisa!
Lisa! Sebentar nanti sirami
bunga-bunga di depan sana ya! Bibik nak sediakan minuman petang!” Suara Sunarti semakin menghampiri ruang tamu.
“Eh! Nak Aldi. Ada di sini rupanya.Mau apa-apa. Biar bibik ambilkan!” Sunarti
benar-benar terkejut apabila melihat Aldi berada di ruang itu. Lantas
perkataan-perkataan itu berlumba-lumba keluar daripada bibirnya.
Sudah lama Aldi tidak berada di ruang tamu
rumah itu. Semenjak balik dari luar
negara, rasa-rasanya pemuda itu hanya memerap di biliknya sahaja. Apa yang menghantui perasaannya sehingga
menyuruh gadis tempang itu membawanya ke ruang tamu?
Pertanyaan Sunarti tidak mendapat layanan
daripada Aldi. Pemuda itu hanya membisu
dan melemparkan pandangannya jauh ke luar vila itu. Nurlisa meninggalkan Aldi
dan Sunarti untuk menunaikan tugas yang telah ditetapkan.
Menyiram pokok bunga. Sememangnya Datin Rabiatul telah berpesan
begitu. Tugas-tugas yang akan dilakukan oleh Nurlisa ialah memelihara
bunga-bunga yang banyak di rumah itu. Sewaktu melakukan kerja di taman bunga,
sekiranya ada tugas-tugas yang memerlukan tenaga yang banyak Nurlisa boleh
meminta Wak Dollah untuk membantunya.
“Bibik ke dapur, ya. Nak Aldi tunggulah di sini. Kalau mahu
bersiar-siar di taman depan sana,
sebentar lagi, ya.Sekarang
ni masih panas.” Bosan menunggu jawapan, akhirnya Sunarti meninggalkan Aldi
seorang diri di situ.
Aldi merasakan semua orang seolah ingin
menjauhkan diri darinya. Mengapa? Suasana di rumah itu sepi dan sunyi. Dia
berasa terhimpit dengan kesepian dan kesunyian itu. Suara sepi dan sunyi itu lebih deras daripada
gelombang dan menghempas di jiwanya.
Itulah yang dirasakan oleh lelaki itu. Betapa berat kesedihan ini kerana
perasaan keterbuangannya itu. Dunia ini
seolah semakin menghimpitnya. Sengsaranya hati, irisannya seolah ke seluruh
urat sarafnya. Bisa dan membengkak. Denyutan sakitnya bisa itu mengisi di
setiap denyutan nadi, seolah menghentikan nafas.Namun
dia masih berada di muka bumi ini.
Matanya mengitari seluruh ruang tamu. Suasana
hening dan menyepi. Dia menggerakkan kerusi rodanya terus ke muka pintu dan
bola matanya terlontar ke luar rumah. Matanya singgah ke arah gadis yang asyik
dengan tugasnya itu. Tiub getah yang panjang ditarik ke sana sini
dengan menggunakan tangan kanannya. Manakala tangan kirinya memegang tongkat
yang tersepit dicelah ketiaknya.