Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
55,090
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

HAMPIR tiga jam Aldi menunggu di atas kerusi rodanya. Sebaik sahaja dia keluar dari bilik mandi pagi tadi, sarapan pagi telah tersedia di atas meja di dalam biliknya. Sehingga kini, dia belum pun meneguk walaupun seteguk kopi panas yang telah disediakan.

Dari semalam, Aldi asyik memerhatikan pintu sambil mengharapkan kemunculan Nurlisa ke kamarnya. Namun gadis itu tidak juga muncul. Biasanya pada waktu itu, Nurlisa sudah muncul di kamar itu dan mengemaskan tempat tidurnya.Dan dia akan memerhatikan gadis itu melakukan segala tugasnya.

Gadis itu terhincut-hincut ke sana sini dengan wajah yang menggambarkan kesabaran yang tidak bersempadan. Namun semenjak dari tengah hari semalam, Nurlisa menghilangkan diri. Makanan tengah hari, minuman petang dan makan malam dihantar oleh Bibik Sunarti ke bilik itu. Semua makanan itu tidak disentuh oleh Aldi.

Keresahan melanda jiwanya apabila gadis yang ditunggu tidak kunjung tiba. Kesabaran dihatinya terkoyak lalu lelaki itu menuju ke meja tulisnya dan menekan punat interkom. Dia berasa rindu. Kerinduan yang mendesir-desir dari setiap penjuru hatinya. Dia resah. Keresahan dan kerinduannya bersilih ganti di hatinya. Dia inginkan gadis itu sentiasa di sisinya.

“Budak! Bawa surat khabar!” Suaranya berkumandang di seluruh rumah dan halaman rumah.

Beberapa minit kemudian, Sunarti muncul di dalam biliknya dan menghulurkan senaskah akhbar.

“Ini! Anak Aldi! Surat khabarnya!” Sunarti meletakkan surat khabar itu di atas meja. Matanya memerhatikan makanan yang tersaji di atas meja. Semuanya belum dijamah.

“Budak itu ke mana bibik? Panggil dia naik ke sini dan baca akhbar untuk saya! Suruh dia tinggalkan kerja-kerja lain!” arah Aldi dengan suara dan air muka yang tegang.

“Aduh nak Aldi! Budak! Budak! Namanya Lisa! Tak baik memanggilnya begitu! Dia sudah kepergian!” beritahu Sunarti dengan tergagap-gagap kerana berbohong. “Nak Aldi bukankah boleh membaca sih! Matanya masih ada. Yang enggak boleh cuma berjalan!” Dia pantas memberikan pandangan dan juga menyindir.

Air muka Aldi yang tegang berubah menjadi muram. Keresahannya semakin bertambah. Rasa bersalah mulai berputik di jiwanya. Dia yang sengaja melukakan hati gadis itu untuk menguji kesabarannya. Adakah gadis itu sudah merajuk? Mungkin hatinya benar-benar terluka.

“Kepergian? Dia pergi mana?” Aldi terus menyoal. Apakah tindakannya semalam benar-benar telah meruntuhkan kesabaran dan ketabahan gadis itu? Lantas gadis itu mengambil keputusan untuk meninggalkan vila itu. Mengapakah semua orang menghindarkan diri daripadanya? Mengapakah tuhan mengambil semua yang ingin dimilikinya? Beribu persoalan menerkam ke benak Aldi.

“Enggak tahu! Dia enggak bilang sama saya! Jangan-jangan dia sudah berhenti kerja!” Sunarti cuba mereka-reka cerita sambil melihat riak di wajah lelaki yang berada di hadapannya.

“Berhenti? Siapa yang berhentikan? Siapa?” Aldi terjerit dengan suara yang serak dan garang. Matanya memandang ke wajah Sunarti.

Sunarti gugup dan tidak mampu menjawab. Wanita itu benar-benar tidak mengerti dengan anak majikannya.Tiba-tiba sahaja naik angin.

“Keluar! Bibik keluar dari sini! Keluar!” Aldi menengking lalu menepis pinggan mangkuk yang berisi makanan untuk sarapan pagi. Makanan itu habis bertaburan di atas permaidani. Akhbar yang dibawa oleh Sunarti tadi dilontarkannya ke luar pintu yang ternganga dengan perasaan yang geram dan marah.

“Bibik keluar sekarang! Ampun nak!”Terkocoh-kocoh wanita itu menuruni tangga.

“Bibik!” Tiba-tiba suara Aldi menjerit di interkom kembali.

Sunarti yang baru saja sampai di tingkat bawah, menjadi geram dengan telatah Aldi.‘Aduh! Apa aja dengan pemuda ni!’ Dia merungut-rungut di dalam hati. “Ya nak! Ada apa, nak Aldi!” Suara tuanya diperlunakkan untuk pendengaran Aldi melalui interkom di ruang dapur.

“Mak dan bapak ke mana?” Aldi bersuara agak kuat.

“Oh! Ibu sama bapak ke Singapura! Lusa baru pulang!” Sunarti menjawab lembut. Wanita itu berasa lega kerana tidak mendengar lagi suara Aldi. Sangkanya anak muda itu sudah kehabisan idea untuk menyoalnya.

“Bersihkan kamar ini! Sekarang juga!” Aldi mengarahkan dengan suara yang kuat.

Terkejut Sunarti mendengar sergahan daripada Aldi. Hampir melompat wanita separuh umur itu akibat terkejut. “Baik bapak! Eh anak! Eh bapak! Saya bersihkan sekarang! Ya! Ampun! Ampun!” Dia terlatah-latah Terkocoh-kocoh wanita itu berjalan menuju ke kamar Aldi untuk membersihkan bilik itu seperti yang diarahkan.

Di dalam biliknya, Aldi bergerak ke sana ke sini dengan kerusi rodanya. Keresahan yang bermukim di hatinya sejak semalam semakin mekar.

Sehingga ke malam, vila itu tetap sunyi seperti biasa. Pada waktu itu, hanya yang kedengaran ialah titik-titik hujan di luar rumah. Sejak dari petang tadi, hujan turun tidak berhenti. Walaupun hanya gerimis, namun menimbulkan suasana dingin, tambahan di rumah itu yang seluruhnya berhawa dingin.

Aldi termenung lagi. Dia merenung kakinya. Dia terkenangkan Nurlisa. Sudah dua hari Nurlisa pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesanan untuknya. Gadis itu kini sudah boleh berjalan tanpa tongkat, walaupun satu ketika dahulu dia terpaksa menggunakan alat itu untuk membantunya berjalan.

Aldi berasa cemburu. Nurlisa seorang gadis yang mempunyai semangat yang kuat. Matanya merenung jam di dinding. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.15 malam. Matanya sedikit pun tidak rasa mengantuk. Akan lenakah nanti tidurnya jika batin asyik menjerit dan memekik?

‘Membosankan. Apatah lagi jika aku berterusan duduk di kerusi roda ini. Benar kata Nurlisa, kebosanan ini, aku yang pilih. Ketidaksempurnaan ini, aku juga yang pilih. Aku tidak pernah cuba untuk menghentikan semua ini. Aku hanya cuba untuk menghentikan kehidupanku. Bolehkah? Hati kecil Aldi terus berbisik sendiri. Kenangannya sewaktu bersama Nurlisa sedikit terganggu dengan bisikan hati kecilnya.

Sekali lagi matanya memerhatikan sekeliling biliknya. Semua kelengkapan ada. Ada peti sejuk.Ada set home theatre. Ada komputer dan internetnya. Ada telefon dan interkomnya. Katilnya ditempah khas dengan harga puluhan ribu ringgit. Lantai katilnya boleh diturunkan ke paras permaidani di atas lantai dan dinaikkan ke paras kerusi rodanya dengan menggunakan alat kawalan.

Segalanya mudah. Dari tempat tidur sehinggalah ke dalam bilik mandinya. Semuanya disediakan. Empayar niaga bapanya yang besar dan maju. Kewangannya kukuh. Segala apa yang diinginkan oleh Aldi dari segi materialnya akan diadakan oleh Datuk Haris. Sekiranya peralatan yang diperlukan, tidak ada di dalam pasaran, Datuk Haris akan menempahnya dari negara luar. Semuanya akan dipenuhi oleh Datuk Haris, namun kesunyian juga yang menghimpit.

Semenjak kecil dia telah dihidangkan dengan kemewahan. Namun jiwanya terlalu kosong, sehinggalah dia berkenalan dengan Arishal. Arishal telah memberinya kebahagiaan dan keriangan. Mengajarnya tentang kasih sayang. Mengingatkan Arishal, belantara duka dijiwanya semakin sendat. Menghimpit, menindih terlalu kejap. Seolah tiada ruang rongga-rongga nafas. Lemas tidak terlontar. Gelisah resah menggenggam hati. Membelit, mengikat.

Nurlisa pula bagaikan sebutir bintang yang hadir di rumah itu. Namun, hati gadis itu pula sengaja dikoyakkan. Kesabaran dan ketabahan gadis itu menawan hatinya. Dia sengaja menduga gadis itu dengan bermacam-macam perkara. Tengkingan. Sergahan. Usiran. Kemanjaan. Alangkah indahnya saat gadis itu melayaninya dengan kelembutan dan kesabaran.

Aldi dapat merasakan sentuhan kasih sayang tatkala gadis itu menyuapkan makanan ke mulutnya. Kasih sayang yang amat dirindukannya. Didambakannya. Saat ini dia begitu rindu kepada gadis itu.Dua hari dia di dalam penantian, namun gadis itu tidak muncul. Penantian ini seolah bebola tajam yang merejam hatinya lalu mengirimkan penyeksaan yang amat menyakitkan. Dia ingin berjalan kembali supaya satu saat nanti dia dapat berjalan beriringan dengan gadis itu. Itulah tekadnya untuk hari esok.

Aldi menolak kerusi roda berhampiran dengan katilnya lalu perlahan-lahan cuba mengangkat tubuhnya dari kerusi roda itu dan menghumbankannya ke atas katil. Beberapa ketika kemudian, dengan susah payahnya, dia cuba menjuntaikan kakinya di birai katil. Bismillahirrahmanirahim... Sudah lama dia tidak melafazkan kalimah itu dibibirnya. ‘Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat mengasihani.’

Kaki kanannya dipijakkannya di lantai dengan perlahan. Seluruh sendinya terasa ngilu. Beberapa saat, Aldi mengerut-ngerutkan wajahnya kerana menahan kengiluan. Dengan tiba-tiba dia merasakan kengiluan itu. Sedangkan sudah berbulan saraf-saraf dikakinya tidak merasai apa-apa.Keras bagaikan batu. Dia melihat gambarnya bersama Arishal yang tergantung di dinding. Setiap pagi, dia akan menatap potret itu dengan berkerusi roda.

Namun, entah mengapa, pada malam ini, Aldi berazam untuk menatap potret wajah wanita yang telah merebahkan cintanya itu dengan keadaan dirinya yang berdiri gagah, walaupun sesaat. Mungkin esok dia berpeluang pula untuk berjalan bersama-sama dengan Nurlisa. Gadis yang telah membawa sirna ke dalam hatinya.

Lelaki itu meletakkan kaki kirinya pula di atas lantai lalu dia cuba berdiri sambil tangannya memegang birai katil. Kini seluruh sendi di kedua kakinya terasa amat ngilu dan menyakitkan. Seolah seluruh uratnya telah dipintal-pintal dan disentap-sentap berkali-kali. Air mata tergenang di kelopak mata lelaki itu kerana menahan kesakitan. Ya Allah, bantulah aku, ya Allah. Di tengah malam yang menyepi itu, dia mendoa untuk pertama kalinya setelah dia menerima kemalangan itu.

‘Ya Allah, dengan kasih sayang-MU, limpah kurnia-MU, berilah kesembuhan kepada hamba-MU ini.’ Dengan perasaan yang merendah diri dan malu, dia memohon pertolongan daripada Allah. Allah yang telah menciptanya. Tuhan yang telah ditinggalkannya kian lama. Sejak dia tidak redha dengan kehilangan Arishal yang amat dicintainya itu.

Selangkah demi selangkah lelaki itu cuba untuk berjalan. Baru tiga langkah, hatinya sudah tidak tertahan menahan kesakitan lalu dia rebah di atas lantai. Kerusi roda yang dicapai untuk berpaut, rebah bersama tubuhnya. Dia cuba pula untuk merangkak. Dia cuba merangkak sehingga ke dinding. Di dinding, dia cuba untuk berdiri benar-benar hampir dengan frame gambarnya yang bersaiz sama seperti dirinya itu. Apabila dia berjaya berdiri sambil berpegang kepada dinding dan bingkai frame, jejarinya menyentuh-nyentuh permukaan gambar itu pada bibir Arishal.

Dia tidak dapat menahan sebak dan pilu.Untuk ke sekian kalinya, dia menangis teresak-esak.Rasa-rasanya sudah beberapa bulan dia tidak menangis. Mengapakah hari ini air mata ini tidak dapat ditahan lagi? Siapakah sebenarnya yang sedang dirindui? Arishal atau Nurlisa? Aldi terduduk di bawah frame itu sambil menangis teresak-esak. Hatinya terlalu rindu. Jiwanya terasa kosong. Terlalu kosong.

Tiba-tiba bahunya bagaikan disentuh oleh tangan yang lembut. Dengan air mata yang berlinangan, dia terus menoleh. Sepasang mata yang lembut dan redup sedang memandangnya sambil tersenyum. Di bawah sinar lampu di kamar itu, Arishal bagaikan menjelma untuk menghapuskan segala kerinduannya.

“Rishal!” Spontan, Aldi terus mendakap tubuh yang duduk bersimpuh di sisinya. Seluruh kerinduan yang terhimpun kepada Arishal selama ini ingin dilepaskannya pada waktu itu juga. Adakah tuhan telah mengembalikan Arishalnya? Dakapannya amat kuat, namun Arishal yang dicintai sepenuh hati, tiba-tiba menolaknya. Dia kaget dan terkejut. Sekelip mata, insan yang dirindu hilang dari pelukannya.

NURLISA menggagahkan dirinya untuk bangun dari katil.Kepalanya terasa terlalu berat. Tekaknya sakit. Dia terbatuk-batuk. Namun saat itu, bukan waktunya untuk dia berehat-rehat. Dia harus bangun. Banyak tugas yang sedang menantinya. Sudah tiga hari dia terbaring di bilik kerana demam. Semalam, apabila dirasakan kepalanya ringan sedikit, dia naik ke kamar itu untuk melihat lelaki itu.

Lagipun hatinya terasa tidak sedap kerana bagaikan terdengar sesuatu yang terjatuh dari bilik itu. Apa yang dilihatnya ialah lelaki itu sedang berteleku di atas lantai sambil menangis tersedu-sedan. Mungkin itu yang menyebabkan hatinya berasa tidak enak.

Selepas peristiwa dirinya dimarahi Aldi dan dipanggil dengan panggilan ‘tempang’, Nurlisa tidak menjenguk lelaki itu lagi kerana dilarang oleh Sunarti.Tambahan pula, tidak semena-mena dia demam.

Namun peristiwa yang dialaminya semalam benar-benar membuat Nurlisa terasa malu dan terkejut. Alangkah terkejutnya dia apabila lelaki itu tiba-tiba memeluk serta mencium pipinya. Spontan dia menolak tubuh lelaki itu dan melarikan dirinya sebaik sahaja pelukan Aldi terlerai kerana lelaki itu turut terkejut.

Dia mendengar Aldi melaungkan namanya sekali sewaktu dia terhincut-hincut meninggalkan kamar itu. Dia terus berlari ke bilik dan menangis. Terketar-ketar rasa tubuhnya melalui detik itu. Dadanya semakin berdebar. Bibik Sunarti yang sedang tidur lena tidak menyedari apa yang berlaku. Dia berjanji tidak akan menceritakan hal yang telah terjadi itu kepada sesiapapun. Ketidaksengajaan Aldi itu cuba difahami.

Selepas mandi dan sembahyang subuh, Nurlisa membantu Bibik Sunarti di dapur menyediakan sarapan pagi. Dia tidak naik ke bilik Aldi untuk mengejutkan lelaki itu seperti biasa.

“Lisa! Mengapa ni? Mata merah, suara pun dah lain.Demam ke?” tegur Datin Rabiatul yang secara kebetulan berada di dapur. Dia baru sahaja sampai di rumah subuh tadi. Dia berada di Singapura beberapa hari kerana mengikut Datuk Haris.

“Lisa demam sikit mak cik,” kata Nurlisa. Tangannya terus mencapai pinggan dan cawan di dalam almari dan menyusunnya di atas dulang.

“Betul ni? Kalau teruk, suruh Wak Dollah bawa ke klinik tengah hari nanti!” gesa Datin Rabiatul lagi.

Nurlisa diam. Perhatian yang diberikan oleh wanita itu terhadap dirinya menyebabkan dirinya berasa serba salah.

Datin Rabiatul terus menuang jus oren ke dalam gelas kecil dan menghirupnya perlahan sambil berdiri.“Pergi klinik, ya?” Tukasnya lagi sambil matanya merenung ke wajah gadis itu.

“Tak apalah mak cik. Nanti saya makan ubat,” jawab Nurlisa lembut sambil tersenyum. “Kelmarin Wak Dollah dah belikan ubat.” Sambung gadis itu lagi. Matanya memerhati Sunarti yang sedang mencedok nasi lemak ke dalam mangkuk.

“Okeylah kalau macam tu. Lisa, sewaktu di Singapura, mak cik ada pergi Karnival Orkid di sana. Bunganya cantik-cantik, berwarna-warni dan bermacam-macam rupa. Dari seluruh dunia.” Datin Rabiatul mengalih topik perbualan dan bercerita dengan ramah.Masih terbayang di matanya kecantikan orkid-orkid yang dilihatnya.

“Hmm... mak cik ada beli banyak benih-benih pokoknya! Nanti Lisa tolong tanamkan, ya. Mak cik tengok, selepas Lisa menjaga bunga-bunga di rumah ni, semuanya hidup subur dan menjadi,” puji Datin Rabiatul.

Nurlisa hanya tersenyum mendengar pujian itu. “Yalah mak cik. Sebentar lagi, saya pergi tengok. Sebenarnya saya pun suka dengan bunga. Saya selalu bercakap-cakap dengan mereka, itulah sebabnya banyak bunganya.”Dia cuba bergurau.

Datin Rabiatul tertawa kecil dengan gurauan itu. “Yalah! Dulu, mak cik pun selalu bercakap dengan bunga-bunga tu. Wak Dollah pun sama, tapi tidaklah selebat sekarang bunganya. Agaknya bunga-bunga tu tak mahu berbual-bual dengan kami yang dah tua ni. Dia mahu anak dara.”

Datin Rabiatul menyambung gurauan Nurlisa. Sunarti turut ketawa.

Dulu pokok-pokok orkid tanamannya sering diserang kulat hitam pada daunnya. Bintit-bintit hitam itu akan membesar dan merosakkan daun-daunnya. Namun semenjak kedatangan Nurlisa, semua orkidnya segar dan berbunga tak berhenti. “Mak cik tengok, pokok-pokok orkid itu pun dah tak ada yang hitam-hitam tu,” ujar Datin Rabiatul lagi.

“Pokok orkid tak boleh siram air selalu mak cik. Nanti berkulat,” jelas Nurlisa. Dulu sewaktu berada di sekolah menengah, dia belajar serba sedikit tentang penjagaan tanaman. Tambahan pula kelasnya bertanggungjawab terhadap pemeliharaan laman sains yang ada di sekolah itu. Mahu atau tidak, Nurlisa dan kawan-kawannya kena rajin bertanya dengan guru-guru untuk kejayaan projek laman sains mereka itu.

“Lisa! Lisa!” Tiba-tiba perbualan mereka terganggu oleh suara dari interkom. Tawa yang berderai tiba-tiba terhenti. Pertama kali Aldi memanggilnya begitu. Nada suaranya lain dari biasa. Tidak lagi menjerit kasar bagai selalu.

“Selalu tu memanggil ‘budak!” Bibik Sunarti bercerita kepada Datin Rabiatul.

“Pergi tengok abang Aldi kamu tu Lisa. Kalau boleh, suruh dia turun bersarapan di bawah ini, bersama mak cik dan pak cik!” Datin Rabiatul menyelak tutup mangkuk kaca. Dia menghidu-hidu bau sambal tumis udang yang disediakan oleh Sunarti pada pagi itu.

“Bibik! Sambal tumis ni nak makan pagi ini ke?” soal Datin Rabiatul kepada Sunarti yang sedang asyik memotong timun. Timun yang sudah dipotong dimasukkannya ke dalam mangkuk kaca.

“Ya ibu!Pagi ini saya masak nasi lemak. Semalam Adzman pesan. Katanya sudah lama kepingin nasi lemak buatan saya, tapi dia selalu tak ada peluang sarapan di rumah,” terang Sunarti.

Datin Rabiatul mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia pun sudah lama tidak bertemu muka dengan anak bongsunya itu.“Ya ke? Eloklah kalau begitu. Pagi ini kita boleh sarapan bersama-sama.”

NURLISA tertakut-takut untuk memasuki bilik Aldi. Tubuhnya terasa seram sejuk. Kenangan semalam segar diingatannya. Seumur hidupnya, tidak pernah dia mengalami hal seperti itu. Namun Datin Rabiatul telah mengarahkannya, dan dia harus patuh kepada majikannya itu.

“Assalamualaikum, encik.” Dia mengetuk pintu perlahan-lahan.Tidak kedengaran apa-apa bunyi pun dari dalam bilik itu. Nurlisa menolak daun pintu perlahan-lahan sambil matanya meliar ke seluruh bilik itu mencari Aldi.

“Encik!” Nurlisa terus memanggil dengan suara yang lembut dan agak perlahan. Dengan langkah kakinya yang terhincut-hincut, dia masuk ke dalam kamar itu.Kamar itu kosong daripada penghuninya dan terang benderang disuluhi cahaya mentari.

Pertama kali, kaca jendela terbuka luas dan langsir-langsir yang selalu menimbulkan suasana redup di dalam bilik itu telah ditarik ke tepi. Dia cuba mendengar dengan teliti jika ada bunyi air atau sebarang tanda yang menunjukkan Aldi berada di dalam bilik air.

“Alhamdulillah...” Spontan kalimah itu keluar daripada bibirnya apabila bola matanya singgah ke katil Aldi. Di atas tilam ada kitab al-Quran. Dia sebak seketika. Akhirnya, Allah telah memakbulkan doanya.

“Encik Aldi! Assalamualaikum...” Lagi sekali Nurlisa memberi salam dengan suara yang lembut.Dia bersedia untuk apa juga tindakan daripada Aldi di pagi yang cerah itu. Dimaki hamun atau dihalau seumpama kucing kurap.

“Waalaikummussalam... Saya ada di sini.” Suara Aldi kedengaran dari luar. Dari arah balkoni. Pagi itu suaranya lembut tidak seperti selalu.

Nurlisa sedikit terkejut. Sebelum ini, Aldi tidak pernah menjawab salamnya pun. Dia merenung ke arah balkoni dan nampak lelaki itu. Aldi sedang membuang pandangannya entah ke mana. Mungkin lelaki itu keluar menyedut udara pagi dari balkoni rumah itu sambil melihat kehijauan pokok-pokok di sekitarnya. Dia terhincut-hincut menghampiri Aldi yang duduk di atas kerusi roda. Lelaki itu menjemput Nurlisa duduk di kerusi marmar disisinya dengan isyarat tangan.

“Tak apalah, encik.” Nurlisa menolak kerana berasa segan. Dia terkejut dengan perubahan sikap Aldi di pagi itu. Bibirnya menguntum senyuman apabila pandangannya dilontar ke wajah lelaki itu. Terpegun gadis itu apabila melihat wajah Aldi. Jambangnya tidak lagi meliar tetapi telah digunting kemas dan rapi, tidak lagi memenuhi tepi telinga dan pipinya. Hanya sedikit janggut yang tersisa dibawah dagunya.

Bibir Aldi melukis sekuntum senyuman apabila memandang Nurlisa.Pertama kali dia mengukirkan senyuman kepada gadis itu.

Berderau darah Nurlisa apabila lelaki itu merenung tajam ke matanya.Aldi berbaju T maroon lengan pendek dan berseluar sukan warna hitam. Amat sesuai dengan kulitnya yang putih kuning itu. Nurlisa tertunduk menyembunyikan debaran dengan perasaan malu.

“Terima kasih.” Dengan tidak semena-mena lelaki itu mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Terima kasih?” soal Nurlisa kembali dengan lembut. Dia melakukan segala-gala untuk Aldi dengan tulus.Tanpa ucapan terima kasih daripada lelaki itu pun tidak mengapa. Biarlah Allah yang menilai segala yang telah dilakukannya itu.

“Terima kasih kerana masih berada di sini.” Suara Aldi perlahan. Dia diam seketika. Kegersangan hatinya semenjak ketiadaan gadis itu beberapa hari seolah telah lenyap. Hatinya bagaikan disirami air hujan lalu menyuburkan tanah yang gersang itu semula.

“Saya ingat Lisa sudah pergi.” Sambungnya lagi dengan nada lembut. Sangkanya dia tidak dapat bertemu dengan gadis itu lagi buat selamanya.Kerisauan bertamu dihatinya.

“Lisa pinjamkan saya buku, kan. Saya dah baca selepas solat subuh pagi tadi,” kata Aldi lagi sambil merenung ke wajah gadis itu.

Senyuman Nurlisa bertambah lebar sebaik sahaja mendengar kata-kata lelaki itu. Bagaikan telah memperolehi dunia dan isinya. Begitulah nikmat yang dirasakannya apabila mendengar pengakuan Aldi yang dia telah menunaikan solat subuh pagi ini. “Buku murah saja, encik. Saya bawa dari rumah.” Bibir Nurlisa tersenyum sewaktu menuturkan kata-kata itu.

“Buku murah pun, ilmunya sangat bernilai.” Aldi semakin ramah. Buku itu telah diletakkan oleh Nurlisa di atas tilamnya beberapa minggu dulu. Buku yang telah disimpan oleh Bibik Sunarti dengan arahannya. Pagi tadi dia sempat membaca beberapa helai.Bab yang menyentuh tentang ‘Hubungan manusia dengan diri sendiri’, amat menarik hatinya. ‘Kenalilah dirimu sendiri agar engkau mampu mengenal Tuhan-mu, dan jangan lupa Tuhan-mu, agar engkau tidak lupa akan dirimu.’ Kata-kata yang terdapat di dalam buku tersebut, masih di dalam fikirannya kini.

“Lisa memang suka membaca buku-buku agama?”Aldi cuba beramah dengan gadis itu.

Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Untuk apa?” Aldi menyoal lembut. Cuba menyelusuri hati gadis itu.

“Buat memujuk hati saya, encik,” jawab Nurlisa lambat-lambat. Dia berharap Aldi tidak menyoalnya lagi.

“Maksudnya? Saya tak faham Lisa. Boleh jelaskan kepada saya sedikit.” Aldi merapatkan kerusi rodanya kepada gadis itu. Nurlisa masih tidak berganjak dari tempatnya tadi.

“Saya orang susah encik! Dengan membaca buku-buku seperti itu, banyak terdapat hadis-hadis serta tafsiran al-Quran yang menceritakan tentang ganjaran-ganjaran yang akan diperolehi oleh orang-orang yang bersabar dengan ujian daripada Allah. Insya-allah, dengannya hati saya akan terpujuk dan redha menerima segala apa yang Allah telah tetapkan untuk saya,” jawab Nurlisa dengan lembut dan berhati-hati.

‘Lisa, hati ini semakin mengkagumimu. Tak akan kubiarkan kau pergi jauh dari diri ini hingga akhir nanti.’ Suara hati Aldi seolah berbisik sendiri.

“Mengapa Lisa cari saya?” Aldi menyoal Nurlisa yang masih berdiri di hadapannya.Suaranya lembut dan teratur. Matanya merenungi ke wajah gadis itu yang sedang tunduk memandang lantai. Gadis yang bagaikan lilin di hatinya. Cahayanya tidak menyilaukan, namun mampu menerangkan walaupun cahaya yang disebarkan tidak seperti sang mentari.

“Encik yang panggil! Lagipun mak cik suruh bawa encik bersarapan di bawah bersama dengan mereka!” Nurlisa menjawab jujur. Nada suaranya beralun lembut. Ketenangan di wajahnya tidak berubah.

“Kalau saya tak panggil, kalau mak saya tak suruh, masihkah Lisa akan datang cari saya pagi ini?” Aldi merenung ke wajah Nurlisa. Gadis itu berbaju kurung biru tua, berbunga kuning serta putih dan bertudung putih ditatapnya dari dahi hingga ke hujung kaki. Seingat Aldi, Nurlisa tidak pernah tidak bertudung sewaktu di dalam atau di luar rumah selama dia bekerja di vila itu

“Datuk, Datin, Encik Aldi dan Encik Adzman adalah majikan saya.” Nurlisa menjawab dengan penuh ketulusan. Walaupun dia belum pernah bertemu muka dengan Adzman.

“Lisa masih belum menjawab soalan saya. Saya tanya, sekiranya saya tidak memanggil Lisa tadi dan mak saya tidak suruh, adakah Lisa akan mencari saya di bilik ini?” Suara Aldi agak tegas di dalam kelembutan. Matanya masih merenungi ke wajah gadis itu yang kelihatan resah.

“Saya...” Nurlisa tidak tahu menjawab apa kerana dia tidak tahu lelaki itu inginkan jawapan yang bagaimana. Gadis itu terus menundukkan mukanya.

Aldi rasa menyesal pula mengajukan persoalan itu kepada Nurlisa. “Atau... Lisa akan menghindarkan diri dari pada saya?” Dia cuba meneka dan suaranya semakin perlahan dan bergetar. Sudah tentu gadis itu akan terus menjauhkan diri daripadanya kerana tingkah lakunya kelmarin. Sesuatu yang disengajakannya. Kesucian hati seseorang itu harus diuji dengan bermacam-macam cara. Itulah yang difikirkannya.

“Saya...” Nurlisa terus tergagap-gagap dengan suara yang serak. Suara gadis itu semakin serak kerana di dadanya dipalu rasa sebak. Air mata terhimpun di penjuru mata.

“Lisa akan hindari saya kerana saya seorang lelaki cacat!” Aldi masih terus ingin menduga hati gadis itu. Matanya merenung kaki yang tidak berdaya diangkat itu.

“Saya juga cacat!” Rona wajah Nurlisa berubah muram seketika.Matanya memandang ke hujung kakinya.

“Jangan hindari saya kerana kecacatan saya Lisa. Saya tidak pernah impikan ini semua.” Suara Aldi sebak. Hatinya berasa tidak tentu arah pada saat itu. Siapakah yang mengerti kesengsaraan yang ditanggung oleh hatinya sejak kemalangan ngeri itu?

“Saya juga tidak pernah mengangankan kecacatan ini encik.Tapi kita semua milik Allah. Ini semua urusan-Nya untuk menguji kita sebagai hamba-Nya. Apa yang ada pada kita hanya pinjaman daripada Allah. Bila-bila Dia nak balik, Dia akan ambil. Sebagai hamba-Nya, kita kena terima segalanya...” Nurlisa mengucapkan perkataan demi perkataan dengan teratur dan berhati-hati. Dia bimbang akan mengguriskan perasaan lelaki itu.

“Saya telah jauh daripada kasih sayang Allah. Mungkin sebab itu Allah beri saya kecacatan ini!” Ungkap Aldi lagi sambil menundukkkan wajahnya memandang lantai.

Nurlisa agak terkejut mendengar kata-kata daripada lelaki itu.“Maha suci Allah. Encik, tak baik berburuk sangka dengan Allah.Dia maha penyayang dan maha mengasihani. Dia uji kita dengan kesukaran hidup, kecacatan dan kesusahan. Itu tandanya Allah menyayangi kita. Insya-allah akan dihapuskan-Nya segala dosa yang ada pada kita sekiranya kita bersabar dan redha dengan apa yang diujinya itu encik...” Bait-bait kata yang keluar daripada bibir munggil itu begitu mempersonakan hati Aldi.

“Kadang-kadang Allah menimpakan kita musibah untuk kita memperolehi pertunjuk dan hidayah supaya terus tunduk dan akur kepada perintah-nya seikhlas hati, tanpa rasa susah dan gundah.”Suara Nurlisa agak perlahan. “Insya-allah, Allah sentiasa menolong hamba-hamba-Nya.” Sambung Nurlisa lagi.

Aldi terdiam mendengar butir perkataan yang dilafazkan oleh gadis itu. Kata-kata gadis itu selalu membuatkan hatinya berasa tenang. Nampaknya gadis itu begitu yakin dengan kekuasaan dan kebesaran Allah. Dia terdiam seketika. Dia membandingkan dirinya dengan Nurlisa. Nampaknya gadis itu lebih kuat semangatnya daripada dirinya sendiri.

“Mengapa Lisa datang cari saya?” Sekali lagi Aldi bertanyakan soalan yang serupa. Adakah Nurlisa hanya mengganggapnya sebagai anak majikan atau Nurlisa ada menyimpan rasa kasih terhadapnya?

“Bibik kata Lisa sudah berhenti. Mengapa dah tiga hari tak naik ke bilik?” Soalan daripada Aldi bertalu. Tiga hari tidak dapat melihat wajah gadis itu, dia berasa satu kelainan. Seolah satu kehilangan yang dashyat. Terasa gelap gelita alam yang dipandangnya. Gerakan kerusi rodanya seolah tiada arah lagi. Dirinya didakap oleh rasa bersalah tambahan diberitahu oleh Sunarti yang Nurlisa telah berhenti kerja. Hatinya diamuk rindu yang tiada penghujungnya. Kemunculan Nurlisa tengah malam semalam amat melegakannya.

Tanda kesyukuran, pagi ini dia kembali sujud kepada Allah. Pagi ini juga dia berasa ketenangan yang amat luar biasa telah meresapi jiwanya. Dirinya seolah telah hidup semula. Hilang sudah segala keserabutan yang membelit fikiran. Tiada lagi kesedihan dan kesengsaraan yang amat mengazabkan hatinya sewaktu mengenangkan arwah isteri. Aneh.

Dia seolah telah dapat menerima segalanya. Semalam, selepas peristiwa itu dengan bersusah payah dia cuba menaiki tilamnya dan juga kerusi rodanya. Subuh ini, dengan duduk dikerusi dan mengadapkan dirinya ke kiblat, dia telah menunaikan kewajipannya kembali kepada Allah di subuh yang sunyi dan damai. Selepas itu, dia membaca beberapa ayat al-Quran dengan merangkak-rangkak. Sudah lama dia tidak menyentuh kitab suci itu. Hatinya berasa kelainan. Bebas dan lapang seumpama langit. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Memang benarlah kata-kata itu.

“Saya demam. Saya minta maaf, encik.” Nurlisa menundukkan wajahnya.Tidak sanggup matanya bertentangan mata dengan lelaki itu.

“Saya yang sepatutnya minta maaf Lisa...”Kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu terhenti di situ. Dia tidak tahu untuk menyusun kata-kata yang terindah bagi memujuk hati gadis itu. Hati yang telah dicalar balarnya dengan sengaja.

“Kalau mak tak suruh, adakah Lisa akan datang menemui saya pagi ini?” Lagi sekali lelaki itu menyoal soalan yang serupa kepada Nurlisa. Entah mengapa dia sendiri tidak mengerti. Jawapan yang bagaimanakah yang ingin didengarinya daripada bibir munggil gadis itu.

“Saya ingin membantu encik apa yang saya terdaya. Kalau encik rasa tidak senang dengan perlakuan saya itu, saya minta maaf dan tidak akan ulanginya lagi!” Nurlisa menyatakan pendiriannya dengan suara sebak.

Jawapan Nurlisa sedikit mengecewakan lelaki itu. Namun hatinya terpujuk kerana memikirkan yang sememangnya gadis itu tidak bersalah memberi jawapan begitu.

“Lisa, saya ingin meminta maaf daripada Lisa kerana peristiwa kelmarin dan semalam.”Aldi sedikit mengeluh. “Serta hari-hari yang sebelumnya.” Sambungnya lagi. Suaranya seolah bergetar.

Perasaan malunya tidak dapat hendak digambarkan sebaik tersedar daripada khayalannya. Rupanya gadis yang dipeluk adalah orang gajinya yang tempang. Orang gaji yang kehadirannya selalu dinantikan. Dia selalu berasa rindu untuk menatap senyuman di wajah gadis itu.

“Tak apa encik. Saya faham perasaan, encik. Saya yang bersalah.” Nurlisa berkata dengan tenang walaupun sebenarnya hatinya debar dan bergemuruh. Selepas peristiwa itu, dia tidak lena tidur dan berdebar setiap kali teringatkan Aldi. Di saat itupun hatinya berdebar-debar, entah mengapa. Sungguh pun begitu, pagi ini hatinya berasa puas dan bersyukur dengan perubahan pada diri lelaki itu.

“Saya bimbangkan encik. Bibik beritahu saya encik tidak makan. Saya...” Percakapan Nurlisa terputus di situ. Dia tidak tahu, mengapakah dia terlalu mengambil berat hal lelaki itu. Perasaan belas kasihankah? Atau perasaan kasih dan sayang yang tidak dimengertikannya sehingga ke detik ini atau rasa tanggungjawabnya terhadap salah seorang saudaranya yang mukmin. Dia harus membantunya dengan caranya yang tersendiri. Aldi harus disokong dari segi rohaninya.

“Saya tidak boleh melupakan arwah... dan...”Aldi tidak menghabiskan ayatnya itu. Dia merenung ke wajah Nurlisa. Mata beningnya yang indah. Sememangnya Nurlisa mirip Arishal sesekali pandang.

“Bukan senang untuk mengatasi rasa kehilangan pada orang yang kita sayangi. Saya yang berpisah dengan mak dan adik-adik untuk sementara waktu pun selalu berasa rindu! Inikan pula encik yang terpaksa berpisah untuk selamanya! Encik sabarlah dan sedekahkan Al-Fatihah untuk rohnya, itu yang lebih baik. Insya-allah...” Nurlisa menuturkan kata-kata itu dengan lemah lembut dan perlahan. Di hujung bait bicaranya, gadis itu melontarkan senyuman kepada Aldi. Senyuman yang penuh dengan ketulusan.

Sekali lagi Aldi terdiam sejenak dan berasa damai dengan kata-kata yang keluar daripada bibir gadis itu.

“Lisa, sekali lagi saya minta maaf di atas perkara yang terjadi semalam dan hari-hari yang lalu.Saya tahu Lisa terguris hati dengan kata-kata dan tingkah laku saya.” Aldi menarik nafas panjang sambil tangannya memegang lengan Nurlisa yang sedang memegang bahagian belakang kerusi roda. Fikirannya rasa lega sebaik sahaja perkataan maaf keluar daripada bibirnya.

“Lisa, saya minta maaf. Benar-benar minta maaf. Saya lukakan hati awak. Saya hina awak.” Suara Aldi seakan merayu.

Nurlisa hanya diam.

“Saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi sampai bila-bila. Maafkan saya Lisa.” Suara Aldi bertambah sebak. Sesungguhnya dia berazam dan berjanji akan menjaga perasaan gadis itu. Bahkan akan membelai hati gadis itu dengan kasih sayangnya yang tersimpan selama ini, mulai saat itu dan hari-hari yang mendatang. Jika perjanjian yang dimetrikan di dalam hati itu merupakan satu sumpah, itulah sumpahnya yang pertama. Dan tidak akan dilafazkannya. Biarlah disimpan di dalam hatinya sendiri.

“Kenapa Lisa tak jawab apa-apa?Lisa tak maafkan saya ke?” Aldi seolah berbisik. Dia ingin menebus segala kesalahannya selama ini yang banyak melukakan hati gadis itu.

“Encik! Sudahlah, lupakan hal semalam. Saya sudah maafkan segalanya. Hmm... kita turun ke bawah, ya. Datuk dan datin sedang tunggu tu.” Nurlisa seolah memujuk kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang sedang merajuk.

“Mudahnya Lisa memaafkan saya?” Aldi menduga lagi.

Nurlisa tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Di wajahnya terpancar sinar keikhlasan. Saling memaafkan itu perintah Allah. Mengapa harus engkar jika mengaku beriman dengan Allah? Itulah yang terdetik di hati gadis itu. Dengan adik-adiknya pun dia selalu berpesan begitu. “Kita semua hamba Allah, encik.” Akhirnya jawapan ringkas itu keluar daripada bibirnya. “Kena saling memaafkan!” Sambungnya lagi dengan nada perlahan.

“Walaupun orang itu telah melakukan kesalahan yang besar, menyakitkan hati dan menghina Lisa?” Soalan Aldi itu sebenarnya hanya untuk menduga hati gadis yang berada dihadapannya itu.

“Ya, encik. Saya akan maafkan semuanya. Siapalah saya encik, untuk tidak memaafkan orang lain. Lagipun saya tidak rugi apa-apa.” Satu demi satu perkataan yang keluar daripada bibir Nurlisa semakin mengikat hati Aldi.

‘Tidak ada gadis sesabarmu, tak ada...’Aldi seolah berbisik dengan dirinya sendiri.Matanya terus merenungi gadis yang sedang berdiri di depannya itu. Tidak terbayang rasa dendam di atas kelukaan semalam di wajahnya. Senyumannya penuh keikhlasan.

“Encik, lupakanlah semua itu. Kita turun ke bawah, ya,” ujar Nurlisa lagi dengan suara seakan memujuk. Tangannya mencapai pemegang kerusi roda Aldi.

Aldi menganggukkan kepala sambil tersenyum. Kalaulah aku boleh berdiri, aku ingin melangkah bersamamu.Satu saat nanti akan kusatukan dirimu dan diriku. Kau gadis yang amat istimewa. Kesabaranmu, menawan hati. Suara hati Aldi berbisik sendiri.

“Encik, kita turun sekarang ya?” Nurlisa melayani Aldi dengan sopan.

“Hmm...” jawab Aldi ringkas.

“Aldi! Selamat pagi! Hah! Mari makan sama-sama!” Datuk Haris menarik sebuah kerusi untuk diduduki oleh Aldi sebaik sahaja melihat anak sulungnya sudah berada di ruang makan. Mungkin dia terlupa yang Aldi tidak mampu untuk bangun dari kerusi roda itu dan berjalan sendiri.

“Tak apa.Aldi duduk di kerusi roda ini saja,” ujar Aldi.

Nurlisa menolakkan kerusi roda Aldi rapat ke meja. Setelah dijangkakan kedudukan Aldi selesa dia menarik picu yang berada di sebelah bawah roda kerusi itu supaya roda itu tidak bergerak lagi. Kemudiannya dia terus menuju ke dapur untuk membantu Sunarti.

“Wah... Sedapnya bau nasi lemak. Ikan kering ada tak?” Tiba-tiba kedengaran suara Adzman yang muncul di situ. Rambutnya tersisir rapi. Dia berbaju T biru dan berseluar jeans biru muda. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Datuk Haris, berhadapan dengan Aldi.

“Lisa... tolong bawa pinggan lagi,” panggil Datin Rabiatul kepada Nurlisa yang berada di dapur.

Adzman kehairanan. Setahunya orang gaji mereka bernama Sunarti. Beberapa detik kemudian kelihatan Nurlisa di pintu antara ruang dapur dan ruang makan. Gadis itu terhincut-hincut berjalan sambil membawa pinggan yang dikehendaki. Adzman merenung gadis itu. Gadis yang berbaju kurung biru berbunga kuning serta putih. ‘Tak mungkin.’ Hati kecil Adzman berbisik, jiwanya berdebar tidak semena-mena. Baju kurung biru dan berbunga kuning itu macam pernah dilihatnya.

“Pinggannya, mak cik.” Nurlisa menghulurkan pinggan itu kepada Datin Rabiatul.

“Duduk sini, Lisa. Sarapan sekali.” Datin Rabiatul mengarahkan.

Datuk Haris turut merenung ke wajah gadis itu dan menganggukkan kepalanya.

“Ajak Sunarti dan Pak Dollah di depan tu sekali,” arah Datuk Haris pula.

Nurlisa menurut dengan patuh. Terhincut-hincut dia berjalan ke dapur dan keluar rumah memanggil Pak Dollah yang sedang mengelap kereta.

“Siapa tu mak? Anak Sunarti ke?” Adzman ghairah bertanya.

Aldi merenung ke wajah Adzman dan memerhatikan riak wajah adiknya yang sedikit berkerut.

“Pembantu abang kamu. Nurlisa! Baik budaknya. Berbudi bahasa dan penyabar. Rupa paras pun menyenangkan. Kasihan dia, jadi mangsa langgar lari. Itu yang jadi cacat tu...” Datin Rabiatul menerangkan kepada Adzman. Degupan di jiwa Adzman semakin bergemuruh.

“Kau tu jarang balik rumah. Siapa yang datang dan duduk di sini pun dah tak tahu.Lisa tu dah empat lima bulan di sini!” Datuk Haris pula berleter.Leterannya terhenti sebaik sahaja Nurlisa, Pak Dollah dan Sunarti menghampiri meja.

“Duduklah di mana-mana Pak Dollah, Sunarti... tak ada pantang larangnya. Lisa duduk di sebelah Abang Aldi kamu.” Datin Rabiatul merenung mesra kepada Nurlisa apabila dilihatnya gadis itu serba salah.

Aldi menarikkan kerusi untuk Nurlisa dan tersenyum apabila merenung ke wajah gadis itu.Dia berasa senang hati apabila Nurlisa membalas senyumannya. “Duduklah Lisa, jangan segan.” Suara Aldi perlahan. Dia mencapai pinggan yang berhampiran dan meletakkannya di hadapan Nurlisa.

“Ibu... Ibu duduk saja! Biar saya yang cedokkan nasinya!” Sunarti mengambil pinggan dan mula mencedokkan nasi untuk semua orang yang berada di meja makan itu.

“Lisa... Yang ini Adzman, adik Aldi. Lisa belum pernah berjumpa dengan dia, kan?” Datin Rabiatul memperkenalkan Adzman kepada Nurlisa.

“Selamat datang ke Vila Kencana Emas,” ujar Adzman sambil menganggukkan kepalanya dan matanya merenungi wajah gadis itu. Wajah yang menyenangkan. Itulah bisik hati Adzman.

Nurlisa melemparkan sekuntum senyuman kepada lelaki berambut ikal itu. “Terima kasih, encik,” ujarnya ringkas sambil menundukkan wajahnya. Dia menyembunyikan rasa malunya. Pipinya terasa tegang dan panas.

‘Mungkinkah gadis ini yang aku langgar tempoh hari? Tapi... Ah! Tak mungkin.’ Hati Adzman membisik-bisik. Matanya terus menatap wajah Nurlisa yang sedang tunduk sambil menyuap nasi ke mulutnya dengan tenang dan berhati-hati. Sesekali gadis itu akan melihat Aldi dan membantu apa yang diperlukan oleh abangnya. Dia berasa cemburu. Apatah lagi melihat Aldi seringkali mengerling ke arah Nurlisa yang duduk di sisinya.

“Ayah... saya mahu mengikuti rawatan terapi yang ayah pernah katakan dulu.Saya dah bosan duduk di kerusi roda ni!” Tiba-tiba Aldi bersuara sambil memandang Datuk Haris yang duduk di kerusi di hadapannya.

Adzman yang sedang asyik menikmati keenakan nasi lemak menghentikan kunyahannya seketika. Matanya merenung wajah Aldi, Datin Rabiatul dan Datuk Haris silih berganti.

Are you sure?” Suara Datuk Haris agak kuat.Bulat matanya merenung anak sulungnya itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati anak itu, namun kedegilannya teramat tebal membentengi hatinya.

Aldi hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Datuk Haris dan Datin Rabiatul pandang memandang. Keduanya tersenyum kelegaan. Mungkin kehadiran Nurlisa di vila itu telah mengubah pendirian Aldi.

“Syukur alhamdulillah...” Adzman mengangkat kedua belah tangannya. “Ini mesti gara-gara nasihat jururawat istimewa yang emak dan ayah sediakan untuk abang.”

Gurauan Adzman disambut dengan tawa oleh mereka semua yang ada di meja makan.

Nurlisa menundukkan mukanya tanpa sepatah kata. Pipinya terasa panas.

Aldi mengerling gadis itu dengan ekor matanya.Dia mengakui gurauan Adzman itu di dalam diam. Memang benar, gadis itu telah membuka lembaran baru untuk hidupnya. Dia seolah insan yang baru dilahirkan.

“Kalau dah sembuh betul, boleh mula bekerja di Roda Emas,” ujar Datuk Haris sambil tersenyum gembira. Harapannya semakin membunga.

“Betul tu ayah. Saya sokong seratus peratus. Insya-allah, syarikat kita akan terus berkembang dan maju.” Adzman bersuara agak kuat kerana gembira dengan perkembangan positif yang telah ditunjukkan oleh abangnya itu.

“Aldi dan Adzman mesti bantu ayah untuk memajukan Roda Emas!” Datuk Haris bersuara tegas namun masih tersenyum.

“Awak ni tak sabar-sabar! Tunggulah anak tu sembuh betul baru ceritakan hal kerja.Belum apa-apa, dah beri tekanan.” Datin Rabiatul menyampuk.

Aldi hanya tersenyum melihat gelagat emak dan ayahnya yang kelihatan gembira. Sekali lagi ekor matanya mengerling Nurlisa yang berada di sisi. Perasaannya berasa aman. Kalau boleh dia ingin gadis itu berada di sisinya untuk selamanya.

Kini udara yang disedut dirasakannya sangat segar. Dunia ini amat luas dan tidak lagi menghimpitnya. Dia ingin terbang bebas ke mana sahaja dan menikmati kehidupan yang telah dianugerahi Allah kepadanya.Kehidupan, seolah baru bermula.

Datuk Haris tersenyum lebar. Dari pagi tadi tidak henti-henti dia menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakannya. Sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaannya memperolehi banyak projek besar di seluruh negara, Datuk Haris berjanji akan menaja lawatan ke Pulau Langkawi untuk semua kakitangan pejabatnya. Mudah-mudahan dengan cara itu, kakitangannya akan berasa gembira bekerja di syarikatnya dan sentiasa memberikan komitmen dan prestasi yang cemerlang untuk kemajuan syarikat.

“Dapat melancong di dalam negara pun jadilah Datuk, asalkan free!” Razlan, akauntan yang sudah lama bekerja dengannya menyeringai riang. Matanya merenung Datuk Haris yang pada hari itu mengenakan kemeja lengan panjang biru muda dan bertali leher biru berbintik putih jarang-jarang. Wajah Datuk Haris berseri-seri. Lelaki itu tampak segak dan bergaya walaupun umur sudah setengah abad.

“Itu saja yang saya mampu, Razlan. Saya memikirkan hal kebajikan untuk pekerja-pekerja yang menyokong saya selama ini. Ada perkara lain yang lebih penting daripada lawatan. Lebih baik saya naikkan gaji semua orang, tapi tajaan lawatan itu, saya anggap sebagai pemberian bonuslah kepada semua yang telah bersama saya selama ini.Ada rezeki lebih, kita kongsikan bersama.” Datuk Haris bersuara riang.

“Empayar perniagaan Datuk sudah semakin berkembang. Beruntung saya dapat bekerja dengan Datuk. Banyak juga perkara yang saya pelajari.” Razlan memuji dengan ikhlas. Razlan sudah bekerja dengan Datuk Haris hampir sepuluh tahun. Dia mampu hidup mewah dengan makan gaji di situ.

“Yalah... Rezeki daripada Allah.”

Perbualan Datuk Haris dengan Razlan terputus kerana deringan telefon di atas meja Datuk Haris menjerit-jerit meminta dilayan.

Razlan beredar dari situ menuju ke biliknya tetapi baru saja dia berjalan dua tiga langkah Datuk Haris memanggilnya.

“Razlan! Razlan!” Datuk Haris memberi isyarat supaya Razlan duduk di seti yang tersedia di bilik itu.

Razlan berpatah balik dan duduk di sofa yang berhampiran dengan dinding. Sofa empuk berwarna biru tua itu seolah menenggelamkan seluruh tubuhnya.

Datuk Haris memberi isyarat supaya Razlan terus berada di situ. Seketika kemudian, dia menamatkan perbualannya di telefon dan duduk di sofa berhadapan Razlan.

“Razlan, sebenarnya saya bimbang Roda Emas ni nanti tak ada orang yang hendak uruskan. Manalah tahu... tiba-tiba saya jatuh sakit... hmm... meninggal dunia. Siapa yang nak uruskan syarikat ni?” Datuk Haris cuba meluahkan isi hatinya kepada Razlan. Kebimbangan yang disembunyikan.

“Anak Datuk kan ada? Aldi? Adzman?” Razlan bersuara perlahan dan tenang. Kakinya disilangkan supaya kedudukannya menjadi selesa.

“Aldi tu, memang menjadi harapan saya Razlan! Karismanya untuk mengetuai sebuah organisasi sememangnya telah saya jangkakan sewaktu dia bersekolah menengah lagi.Malangnya dia kemalangan pula, sehingga kini dia masih belum pulih.”Datuk Haris membariskan satu demi satu perkataan dengan nada yang perlahan. Kemudian dia menarik nafas panjang dan mengeluh.

“Maksud Datuk sehingga kini, Aldi masih belum sihat? Dia dah boleh berjalan ke belum Datuk?” Razlan berhati-hati mengeluarkan pertanyaan. Kesibukan kerja harian menyebabkan mereka tiada kesempatan untuk berbual tentang kehidupan peribadi masing-masing.

“Ya, Razlan. Aldi masih memerlukan kerusi roda untuk membantunya bergerak ke sana dan ke sini.”Datuk Haris menerangkan.

“Langsung tak boleh berjalan ke Datuk? Kesian dia! Lama juga saya tidak bertemu dengannya.” Razlan memberi komen.

“Dah ramai doktor yang saya bawakan untuknya! Masalahnya si Aldi ni dah tak ada semangat untuk hidup! Kalau hilang semangat, segalanya tidak bermakna lagi sebab punca segala kekuatan kita ialah otak kita.” Datuk Haris mengetuk jari telunjuk di tepi kepalanya sendiri.

“Bersabarlah, Datuk.Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Insya-allah... sama-samalah kita berdoa, agar Aldi kembali sembuh.” Razlan cuba memujuk hati Datuk Haris. “Segala urusannya, siapa yang buat?Maksud saya, mandi, makan minumnya... dia boleh uruskan sendiri ke?” Razlan bertanya lagi. Tertarik juga lelaki ini mendengarkan kisah anak lelaki majikannya.

“Ada! Datin ada carikan seorang pembantu untuknya.Seorang budak perempuan, hmm... umur belum 20 tahun agaknya. Datin jumpa budak tu di tepi jalan. Dia mangsa langgar lari. Datin bawa ke hospital, kemudian dia berkenalan pula dengan keluarga budak tu. Keluarga susah kata Datin, jadi kami pun ambillah dia bekerja dengan kami dengan tujuan untuk membantu.” Datuk Haris bercerita dengan panjang lebar.

“Hai, Datuk! Takkan gadis umur 17 tahun yang mandikan si Aldi tu.” Razlan cuba bergurau.

Datuk Haris ketawa. “Budak tu cuma tengok-tengokkan si Aldi saja. Nampaknya ada perubahan positif pada Aldi. Cuma perkembangannya itu tidak drastik. Kalau boleh, saya mahu hari ini juga dia datang bekerja di pejabat ni.” Datuk Haris bersuara agak kuat.

“Datuk pujuklah Aldi tu. Berkerusi roda tidak semestinya tidak boleh bekerja. Yang berfikir untuk kita ialah minda bukannya kaki. Sayangnya jika dia berterusan duduk di kerusi roda begitu.” Razlan memberi pendapat.

Datuk Haris mengangguk-anggukkan kepalanya. “Tapi alhamdulillah, pagi ini dia sudah bersetuju untuk mengikuti rawatan terapi.Hmm... masih ada harapan nampaknya.”

“Datuk ni, merisaukan saya pula dengan cerita datuk yang mula-mula tadi. Tapi kalau benarlah Aldi sudah terbuka hati untuk mengikuti rawatan intensif, alhamdulillah. Mudah-mudahan rawatan itu akan menyembuhkannya kembali.” Razlan mendoakan. “Adzman tu macam mana pula datuk? Saya pun dah lama tidak bertembung dengannya. Dia pun tak pernah datang berjumpa dengan datuk di pejabat ini.”

“Datang ke pejabat? Balik ke rumah pun jarang-jarang! Yang ini pun memeningkan kepala saya juga.” Datuk Haris seolah meluahkan perasaan kepada Razlan.

“Sabarlah datuk. Ini semua ujian tuhan. Tapi, kalau anak-anak datuk tak berminat untuk meneruskan usaha datuk ni, masalah juga. Kalau tak silap saya, seratus peratus saham Roda Emas ini semuanya milik datuk.” Razlan bersuara agak perlahan. Bimbang pendapatnya itu akan mengecilkan hati Datuk Haris dan menambahkan kebimbangan di hati lelaki itu.

“Ya! Saya bermula dari bawah Razlan. Saya melihat kejayaan itu sebagai bayang-bayang kita.Bebayang yang sentiasa berada di sisi kita. Bayang itu tidak akan bergerak, selagi kita tidak bergerak.Oleh itu, kita mestilah sentiasa bergerak dan berusaha tanpa jemu. Insya-allah... adalah kejayaan yang menanti.” Datuk Haris seolah menceritakan rahsia kejayaannya kepada Razlan sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi.

“Yalah, Datuk. Saya pun banyak belajar dari Datuk. Mudah-mudahan, kejayaan sentiasa bersama dengan Datuk,” sahut Razlan sambil tersenyum.

“Insya-allah, semua orang akan berjaya jika rajin berusaha. Bersabar serta jujur dalam pekerjaan mereka,” ujar Datuk Haris lagi.

Razlan mengangguk-anggukkan kepalanya.

Kejayaan Datuk Haris mendapatkan beberapa tender untuk pelaksanaan projek milik kerajaan turut menggembirakan Datin Rabiatul. Isteri mana yang tidak bangga apabila suami menempa kejayaan. Berjaya mendapat projek bermakna syarikat milik mereka diyakini dan dipercayai.

“12 projek serentak?” Ternyata di sebalik kegembiraan, isterinya itu turut berasa terkejut. Dia berasa kagum dan bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada suaminya itu.

“Mampukah awak nanti. Sekarang ini pun, jarang-jarang abang lekat di rumah. Selepas ni, awak tentu asyik ke hulu ke hilir di seluruh negara untuk melawat tapak-tapak projek tu. Kesihatan pun kena jaga juga.” Datin Rabiatul bersuara bimbang.

“Alah! Saya ada ramai pegawai yang boleh membantu.” Datuk Haris memujuk kerisauan di hati. Sebenarnya dia bimbang juga tidak ada orang yang akan menerajui Roda Emas sekiranya dia meninggal dunia nanti.

“Adzman macam mana? Ada dia balik ke rumah?” Datuk Haris menyoal tentang anak bujangnya. Hairan memikirkan gelagat anak bongsunya itu. Vila itu ibarat hotel baginya. Dua tiga minggu sekali baru dijengah.

“Ada, sekejap-sekejap aje. Asyik berhibur saja. Suruh sambung belajar tak mahu. Suruh bekerja, belum bersedia katanya.” Datin Rabiatul merungut-rungut.

“Aldi?” Datuk Haris menyoal lagi. Matanya merenung ke arah Datin Rabiatul yang duduk di hadapannya.

“Ada sedikit perubahan. Alhamdulillah.” Datin Rabiatul tersenyum lebar.“Lisa... Lisa...” Datin Rabiatul memanggil Nurlisa yang sedang bersama Sunarti di dapur.

Terhincut-hincut gadis itu berjalan ke ruang tamu. Nurlisa kini tidak perlu lagi menggunakan tongkat. Hampir lima bulan dia terseksa kerana terpaksa berjalan bersokongkan tongkat. Kini tongkat tak perlu digunakan lagi, namun kakinya tetap tempang.Ketempangannya itu akan lebih kelihatan jika dia berjalan laju-laju.

“Encik Aldi sudah boleh berjalan sikit-sikit.” Nurlisa bercerita kepada Datuk Haris dan Datin Rabiatul sebagaimana yang diminta oleh mereka.

Datuk Haris dan Datin Rabiatul sesekali ketawa kecil mendengar cerita Nurlisa tentang anak lelaki mereka itu yang pada pengamatan fikiran mereka cuba bermanja-manja dengan Nurlisa.

“Terima kasihlah Lisa kerana bersabar menjaga Aldi tu,” ujar Datin Rabiatul sambil merenung ke wajah gadis itu.

“Dah tanggungjawab saya mak cik,” jawab Nurlisa perlahan. Dia turut berasa gembira kerana akhirnya Aldi tidak mengharapkan kerusi roda lagi untuk bergerak. Buat masa ini, mungkin Aldi tidak mampu berjalan dengan sempurna lagi, namun nalurinya membisikkan yang lelaki itu akan sembuh dalam masa yang terdekat ini. Menggembirakan hati Datin Rabiatul, memberi kepuasan kepadanya. Setiap kali bersolat, Nurlisa akan mendoakan kesembuhan lelaki itu.

Malam itu, Datuk Haris menjenguk ke bilik anak lelaki sulungnya. Bilik itu hanya diterangi lampu tidur. Pintu bilik yang tidak berkunci memudahkan Datuk Haris memboloskan dirinya ke dalam bilik itu.Dia gembira mendengar cerita yang disampaikan oleh Nurlisa siang tadi.

“Aldi!” Datuk Haris bersuara perlahan. Tidak ada suara yang menjawab panggilannya itu. Matanya menyinggahi ke tubuh Aldi yang sedang terbaring di atas katil. Di sisinya terlipat sejadah. Mungkin dia tertidur selepas sembahyang isyak. Sejak bila dia mula bersembahyang kembali? Bagaimana dia boleh berubah sedrastik ini? Berlumba-lumba persoalan yang timbul di benaknya. Enggan mengganggu anak yang sedang lena itu, dia terus ke kamarnya.

“Hmm... saya baru menjenguk Aldi tadi.” Datuk Haris bercerita kepada Datin Rabiatul yang sedang membedek muka di hadapan cermin almari solek.

“Sejak bila dia mula bersembahyang kembali? Foto dia bersama isterinya itu pun sudah banyak yang disimpan.” Datuk Haris menerangkan lagi. Sebelum dia keluar dari bilik Aldi tadi, sempat juga dia meninjau-ninjau sekeliling bilik itu yang kelihatannya kemas dan rapi. Tidaklah seperti satu waktu dahulu penuh dengan kain baju Arishal yang berlonggok di atas katil. Frame-frame gambar bergantungan di sana sini.

“Akhirnya dia berpijak di bumi yang nyata. Alhamdulillah...” Datuk Haris merebahkan dirinya di atas tilam. Malam ini dapatlah dia berehat dan tidur dengan lena.

“Mujur saya bawa Nurlisa ke rumah ini, sekurangnya dapat membantu untuk memulihkan Aldi.” Datin Rabiatul memberi pendapat sambil tersenyum. Tangannya asyik memberus rambut yang separas bahu itu. Ikal dan tidak berapa lebat kerana banyak keguguran.

“Nurlisa? Apa yang budak tu buat? Ramai pakar jiwa yang saya bawa tapi semuanya tak mendatangkan hasil! Si Lisa tu pakar apa?” Datuk Haris tidak bersetuju dengan pendapat Datin Rabiatul. Matanya memerhatikan isteri yang sedang menuangkan penyegar muka pada segumpal kapas lalu melekap-lekapnya di pipi.

“Itulah awak! Asyik sibuk dengan projek aje. Cuba awak perhatikan Lisa tu betul-betul.” Datin Rabiatul seolah berteka-teki. Matanya sempat menjeling ke arah suami.

“Walaupun saya tidak sempat berjumpa dengan menantu kita tu, saya tengok si Lisa ni mirip-mirip wajahnya Arishal! Cuba awak tengok gambar Arishal bersama Aldi yang tergantung di bilik tu.” Cerita Datin Rabiatul.Dia bangun dari kerusi yang mengadap cermin solek menuju ke almari pakaian.

“Maksud awak, Aldi sudah mula melupai Arishal dan menggantikannya dengan Nurlisa, begitu?” Datuk Haris serkap jarang. Matanya memerhatikan lenggang lengguk Datin Rabiatul yang semakin menghampirinya. Seketika kemudian isterinya itu merebahkan tubuhnya yang agak gempal di sisinya.

“Kalau begitu, saya tidak berapa percaya!” Datuk Haris mengalihkan tubuhnya mengadap Datin Rabiatul. Dia tahu, Aldi bukanlah seorang lelaki yang mudah menempatkan seseorang di kamar hatinya.

“Hisy... Awak ni jangan cepat meneka. Awak ingat mudah ke Aldi melupakan Arishal tu, dan saya tengok Lisa melayani Aldi benar-benar sebagai seorang majikan. Dia bercakap dengan hormat, tertib dan sopan.” Datin Rabiatul seolah membela pembantu rumahnya itu.

“Lagipun, Lisa tu tak pernah merungut apa-apa pun. Dia lebih bagus daripada Sunarti tu.Tak pernah Lisa menganggap Aldi sebagai seorang yang kurang siuman. Tapi Sunarti selalu beranggapan yang anak kita tu gila dan sewel. Itu sebabnya Aldi selalu mengamuk dengan Sunarti.”Datin Rabiatul terus bercerita tentang kedua orang gaji mereka.

“Saya ambil Lisa tu untuk menyedarkan Aldi. Jika Lisa boleh berjalan kembali, mengapa tidak dia? Lisa tu kuat semangat budaknya. Tempang-tempang pun berupaya menolak kerusi roda Aldi itu bersiar-siar di sekeliling rumah ini jika diminta oleh anak kita tu.” Datin Rabiatul menyambung lagi ceritanya tentang Nurlisa.

“Waktu kita sarapan bersama minggu lepas, saya perhatikan si Aldi tu asyik mengerling Lisa. Cara dia menghulurkan pinggan kepada gadis itu, macam dia menyayangi Lisa aje.” Datin Rabiatul menyambung ceritanya lagi.

“Bercakap dengan Lisa pun dia berbisik-bisik saja, sewaktu di meja makan tu,” ujar Datin Rabiatul lagi sambil tersenyum. Hatinya berasa lucu melihatkan telatah anak sulung yang tiba-tiba berubah sikap. Dari garang umpama singa, bertukar lembut dan romantis.

“Si Aldi tu, saya dengar cerita selepas dia cedera di kedua belah tangannya kerana menumbuk cermin almari tu, Lisa yang menyuap makan minumnya!”Cerita Datin Rabiatul bersungguh-sungguh.

Datuk Haris yang sedang baring, terus terbangun dan duduk menyandar di kepala katil. “Ini cerita menarik ni. Suap dengan sudu ke? Itu tak apalah. Memang dah jadi tugas Lisa. Sebab tangan Aldi luka kedua-duanya ke,” katanya. Benaknya cuba membayangkan situasi itu.

“Kalau suap dengan sudu tak apalah, bang.Ini suap dengan tangan. Si Lisa tu, tentu rasa serba salah. Hendak ditolak kemahuan anak lelaki awak tu, bimbang pulak dia mengamuk.” Di dalam tawa, Datin Rabiatul terus bercerita.

“Dah mula nak bermanja, dah nak sembuhlah tu.” Datuk Haris turut ketawa mendengarkan cerita yang agak lucu tentang Aldi. “Hauskan perhatian perempuan rupanya budak itu.” Suara Datuk Haris sedikit merungut. “Jangan-jangan dia sengaja tumbuk cermin kaca tu, dan cederakan kedua tangannya supaya dapat bermanja-manja dengan si Lisa tu.” Sambung Datuk Haris lagi.

“Sudah berapa kali cermin almari itu diganti!” Rungutan Datuk Haris masih berpanjangan.

“Sampai ke situ pula fikiran abang ni? Saya sendiri pun tidak terfikir sampai ke situ.” Datin Rabiatul membulatkan matanya seketika seolah sedang memikirkan sesuatu. “Harap-harap Aldi cepat mahu berubat bersungguh-sungguh dan menjalani rawatan. Kalau Aldi sudah sembuh seperti sediakala, bolehlah dia membantu abang di pejabat.” Dia memberi pendapat.

“Abang rasa, elok dia habiskan pengajiannya yang tergendala tu. Dia yang bercita-cita untuk menjadi arkitek.” Datin Rabiatul menyambung lagi.

“Yalah... Abang pun harap begitu.Biar dia kendalikan bahagian perumahan. Abang ada rancangan untuk membeli tanah lagi yang akan dimajukan sebagai kawasan perumahan. Sekarang ini pun kita dah dapat beberapa kawasan. Hanya nak uruskan soal pembelian dan pertukaran hak milik sahaja.” Datuk Haris begitu berkobar semangatnya berceritakan tentang wawasan perniagaannya. “Tapi sebelum itu, Aldi mesti mempunyai kelayakan yang diiktiraf, menjadi arkitek yang bertauliah!” Datuk Haris menerangkan.

“Hisy... Takkanlah kerja dengan syarikat bapa sendiri pun kena ada syarat begitu. Habis belajar, dah dapat ijazah cukuplah,” ujar Datin Rabiatul. Dia tidak begitu faham dengan pemikiran suaminya itu.

“Mestilah, Tun. Sebab kerja dengan syarikat sendirilah kita mesti lebih berilmu.Kalau tidak, macam mana hendak bersaing dengan syarikat-syarikat lain. Peranan arkitek ni sangat penting. Mereka inilah yang melaksanakan tugas-tugas perancangan, merekabentuk bangunan, landskap, hiasan dalaman, mengetuai dan mengkoordinasi sumbangan daripada anggota lain di dalam sesuatu kumpulan pembinaan, berurusan dengan pihak yang meluluskan memberi persijilan dan menyelia semasa proses pembinaan. Banyak tugasnya.” Datuk Haris menerangkan serba sedikit peranan arkitek kepada Datin Rabiatul.

“Manalah saya tahu, bang. Saya ingatkan kerja arkitek cuma melukis plan bangunan saja. Kemudiannya selia pekerja sewaktu proses membina bangunan. Rupa-rupanya tanggungjawabnya berat.” Datin Rabiatul bersuara perlahan.

Datuk Haris ketawa. “Itu baru sedikit yang saya cerita!” Dia menguap beberapa kali.

“Tapi, bang. Aldi boleh pulih sepenuhnya ke? Kakinya tu?” Datin Rabiatul masih ragu-ragu dengan situasi Aldi walaupun dia benar-benar berharap anak sulungnya itu akan sihat semula.

“Bolehlah tu. Lisa dah cerita Aldi sudah boleh berjalan sikit-sikit. Maksudnya dia akan pulih, insya-allah. Cuma dia perlu kuat semangat untuk meneruskan hidup. Jika dia asyik memikirkan bagaimana caranya untuk menghentikan kehidupannya supaya dia boleh bersama dengan isteri yang dicintainya itu, tentulah dia tak boleh berjalan. Dia mahu mati. Bukan awak tak tahu. Dia asyik meminta mati sahaja sejak sedar dari koma dulu.” Datuk Haris agak serius dalam kata-katanya. “Jika dia sudah benar-benar pulih, cepat-cepatlah awak carikan dia isteri.” Datuk Haris menguap dan memejamkan matanya.

Datin Rabiatul memikirkan kata-kata suaminya itu. Siapa yang mahu menjadi isteri Aldi? Bukankah anak lelakinya itu telah dilabel sebagai lelaki sewel akibat kehilangan isteri. Siapakah yang akan menerima pinangannya nanti?

“Asalkan jangan buat gila lagi dan memaksa kita untuk menerima si tempang itu menjadi isterinya sudahlah.” Datuk Haris sempat berbicara lagi tatkala menguap sambil memejamkan matanya.

“Eh! Abang ni, jangan menghina Nurlisa begitu. Tempang-tempang pun. kalau Aldi dah bersetuju, kita tak boleh buat apa-apa. Nurlisa tu cantik budaknya. Berbudi bahasa, lembut, penyabar. Perempuan yang sempurna fizikalnya pun tidak boleh menandingi budi pekertinya.” Datin Rabiatul tetap mempertahankan Nurlisa. Gadis itu tidak ada kecacatan apa-apa di matanya. Dia sangat bersetuju sekiranya Aldi menginginkan Nurlisa.

“Kan saya dah cerita tadi, si Aldi tu bukan main manja lagi dengan budak tu.Kalau makan minum pun dah minta Lisa suapkan untuk dia, apa maknanya itu bang?” Datin Rabiatul bercerita dan bertanya bersungguh-sungguh. “Tangan saya pun tidak pernah menyuapnya sejak dia dah besar panjang begitu,” kata Datin Rabiatul lagi.

“Melampau betul anak awak tu,” kata Datuk Haris sambil ketawa. Hatinya turut tergeletek mendengar cerita itu tadi.

“Kan saya kata, Aldi dan Nurlisa ni nampak macam serasi.Kita jodohkan sahaja mereka, bang.Hati saya pun tidak bimbang. Nurlisa tu, nampak taat budaknya. Kalau jadi isteri nanti mesti taat dan setia kepada Aldi tu.” Datin Rabiatul mengeluarkan pendapatnya lagi.

“Bibik Sunarti cerita pada saya, dia ternampak Lisa tadahkan tapak tangannya kepada Aldi untuk meludahkan sisa-sisa makanan di dalam mulutnya. Abang ingat sanggup ke gadis-gadis lain buat begitu? Kalau tadah dengan piring ke, bekas plastik ke, apa ke, tak apalah juga.Saya sendiri pun tak sanggup rasanya...” Datin Rabiatul terus bercerita.

“Hisy... Takkanlah sanggup tadah tapak tangan saja, awak dah berkenan. Dia tu pembantu Aldi. Dia makan gaji di rumah ini. Itulah awak Tun, tak ada wawasan. Satu hari nanti, Aldi akan menjadi pengarah urusan Roda Emas. Banyak majlis-majlis yang akan dihadirinya. Takkanlah dia hendak membawa isteri yang cacat di khalayak ramai.Isterinya akan rasa rendah diri, Aldi pun akan rasa begitu. Aldi, mesti cari isteri yang sesuai dengan dirinya, kedudukan yang akan dipegangnya pada masa depan.” Datuk Haris terus meluahkan pandangannya.

“Oh! Maksudnya, kalau saya ni cacat, abang tak akan bawa saya ke mana-manalah?Malu?” Datin Rabiatul membidas dengan nada geram. “Tak sangka abang berpandangan begitu!” Sambung Datin Rabiatul lagi dengan nada merajuk.

“Ke situ pulak awak ni. Cuba buka sikit minda tu. Pandang jauh-jauh. Saya mahukan yang terbaik untuk Aldi.” Datuk Haris merebahkan tubuhnya di atas tilam.

“Saya pun mahukan yang terbaik untuk anak saya tu. Saya yang mengandungkannya. Melahirkannya. Naluri saya sebagai seorang ibu, kuat mengatakan yang Aldi tu telah menempatkan Nurlisa di dalam hatinya.” Datin Rabiatul meluahkan apa yang ada di dalam fikirannya.

“Biar cari isteri yang tahu agama. Saya tengok Nurlisa tu solatnya tidak pernah tinggal. Percakapannya mesti bersandarkan kepada kekuasaan dan kebesaran Allah. Saya sebenarnya kagum dengan dia tu. Nak kata bersekolah sehingga ke peringkat ijazah, tak ada. Sampai SPM saja. Nak kata bersekolah aliran agama, tidak juga. Saya pernah tanyakan dia hal ini. Tingkah lakunya tidak ada yang tak kena di hati saya. Saya sukalah dia, bang. Tutur katanya, akhlaknya, tak ada cacat celanya, bang.” Datin Rabiatul tidak puas memuji-muji Nurlisa.

“Ini semua mustahil, Tun. Entahlah, hati saya tidak boleh terima pendapat awak. Isteri Aldi mesti terpelajar sepertinya juga. Lisa tu sesuai ke dengan Aldi? Kalau nak cari yang faham agama pun, carilah yang betul-betul faham. Sekurangnya ada degree dari universiti tempatan dalam bidang agama. Baru sepadan. Kalau tidak nanti, si Aldi nak bincang cerita lain, si isteri sangka yang lain pulak. Susah...” Datuk Haris terus mempertahankan pendiriannya. Isteri Aldi mestilah calon yang terpelajar.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.