Matahari memancar warna jingga kemerahan. Ada
gumpalan awan yang bergerak perlahan melindungi wajah matahari. Suasana redup seketika. Panorama senja semakin mewarna alam. Seperti
hari-hari kelmarin, suasana rumah itu sering lengang dan sunyi seolah tidak
berpenghuni jika Mastura dan anaknya tidak balik.
Puas
mengintai ke luar rumah melalui jendela ruang tamu rumah, hati Karmila semakin
diamuk resah. Sehingga di saat itu Firdaus
masih belum pulang.
“Dahlah telefon bimbit aku ada
pada dia..”gerutu Karmila lalu duduk di atas buaian di halaman rumah. Hatinya
bagai digaru-garu kerana janjinya dengan Adam tidak tertunaikan. Semalam dia
telah berjanji akan menghubungi lelaki itu, namun telefon bimbitnya tertinggal
pula di dalam kereta abangnya. Hendak menelefon menggunakan telefon pejabat,
nombor telefon Adam pula dia sudah lupa. Dia pula tidak mencatatkan nombor
telefon Adam di tempat lain.
“Assalamualaikum!”
Karmila
mendongakkan mukanya melihat Firdaus yang berdiri tercegat di hadapannya.
“Princess
berangankan apa?”tanya Firdaus.
“Waalaikumusalam. Kenapa abang balik lambat hari
ni?” tanya Karmila sambil menatap wajah Firdaus yang nampak tidak bermaya tanpa
menjawab pertanyaan abangnya.
“Abang ada meeting
dengan Datuk Kamarul tadi. Ermm, sorrytak
dapat jemput Mila di pejabat, terpaksa abang call Akil. Nasib baik dia sudi membantu..”jelas Firdaus tanpa
dipinta.
“Kenapa abang tak bagi tau Mila awal-awal.
Telefonlah ke pejabat tadi. Boleh Mila tumpang kawan sepejabat. Tiba-tiba saja
Akil muncul, terkejut Mila..”balas Karmila menghamburkan rasa tidak puas
hatinya.
“Apa salahnya Akil datang ambil Mila?”tanya
Firdaus. Wajah selamba Karmila ditatapnya dengan tandatanya. Karmila nampak
tidak ceria pada senja itu.
“Memanglah tak salah..tapi Mila tak suka..”jawab
Karmila bersahaja. Hatinya resah jika ada insan yang kerap sangat bertanyakan
tentang Akil sedangkan pada waktu itu hatinya sudah muak dengan lelaki itu.
Muak namun masih tersimpan perasaan sayang. Itulah yang menjadi masalah
terbesarnya.
“Mila dan Akil sedang bergaduh ke?” tanya Firdaus
inginkan penjelasan.
“Ermm, bagi telefon Mila..”ujar Karmila sambil
menadah tapak tangannya. Tidak ingin dia mendengar nama Akil yang disebutkan
oleh abangnya itu. Sekali lagi pertanyaan daripada Firdaus tidak dijawab.
Karmila terus meninggalkan Firdaus seorang diri di situ sebaik sahaja telefon
bimbitnya dikembalikan.
“Kenapa Sayang tak telefon abang?” Itulah
persoalan yang muncul dari bibir Adam sebaik sahaja menerima panggilan telefon
daripada Karmila. Seharian dia menunggu panggilan telefon daripada gadis itu
dengan perasaan rindu. Berulangkali panggilan dibuatnya kepada telefon mudah
alih Karmila tetapi tiada respons.
“Mila tertinggal telefon dalam kereta Abang
Fir..”jawab Karmila seolah berbisik. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam
supaya dapat berbual dengan Adam dengan lebih santai.
“Kan boleh telefon abang gunakan telefon pejabat
atau telefon awam..”leter Adam. Seharian ini
dilalui dengan rasa bosan tanpa mendengar suara gadis itu.
“Alah, nombor telefon abang Mila lupa..”beritahu
Karmila sambil ketawa manja. Adam pun ikut ketawa bersamanya. Hilang rasa
rajuknya apabila mendengar ketawa gadis itu.
“Mila...Mila..”
Ketukan kuat di pintu biliknya benar-benar
mengganggu perasaan Karmila yang sedang leka melayani perbualan Adam.
“Abang, kita berbual lain kalilah ya. Abang Fir
panggil Mila tu..”kata Karmila lantas menamatkan perbualannya dengan Adam dan
cepat-cepat membuka pintu biliknya. Tidak ada sesiapa pun di situ menyebabkan
Karmila mula meradang.
“Huh! Abang Fir ni sengaja aje nak mengganggu
orang!!”rengus Karmila dengan perasaan marah. Giliran dia pula mengetuk-ngetuk
pintu bilik Firdaus. Hampir merah belakang tangannya barulah Firdaus membuka
pintu biliknya.
“Ada apa princess?
Dah solat Maghrib?” soal Firdaus sambil menyengih. Karmila menjeling tajam
sambil mengetapkan bibirnya.
“Orang cutilah! Kenapa abang ketuk pintu Mila
tadi?” tanya Karmila dengan gaya marah. Firdaus menyeringai sejenak melihat
telatah Karmila yang marah-marah.
“Mila sedang bergayut dengan siapa? Kan baru
petang tadi berjumpa dengan Akil?” Soalan daripada Firdaus semakin menaikkan
darah Karmila. Akil!Akil! Akil! Tak ada nama orang lain ke yang Abang Fir nak
sebut?
“Kenapa abang panggil Mila tadi?” soal Karmila
sekali lagi dengan wajah serius. Wajah Firdaus yang kacak sudah seolah tiada
nilai ketampanannya lagi kerana rasa geram yang sedang bertamu di hatinya.
“Sebab petang tadi abang dah mungkir janji dengan
Mila, abang nak tebus dosa abang tu..”ujar Firdaus. Mindanya memikir-mikir
beberapa rancangan.
“Tebus dosa?”soal Karmila kembali. Mesti abangnya
dapat durian runtuh dan ingin membawa dia pergi membeli belah.
“Kita pergi makan malam di luar. Abang
belanja...”beritahu Firdaus. “Kita pergi ya..”pujuknya pula. Mak cik Suhaila
dan Pak cik Roslan sudah memberitahu kepadanya yang mereka akan menghadiri
majlis kesyukuran seorang kenalan mereka selepas Maghrib nanti.
“Emak dan ayah ikut tak?” soal Karmila. Agak lama
juga mereka sekeluarga tidak makan malam di luar bersama-sama. Firdaus hanya
mengelengkan kepalanya.
“ Emak dan ayah pergi kenduri..”
Beritahu Firdaus apabila Karmila bertanya dengan
isyarat matanya.
“Kalau abang bawa girlfriend abang, Mila tak nak ikut..” ujar Karmila pula. Ratna
teman wanita Firdaus hampir sebaya dengannya. Dia anak Datuk Kamarul, majikan
Firdaus. Datuk Kamarul mempunyai syarikat perkapalan yang besar dan berprestij.
Sudah lama Firdaus bekerja dengan syarikatnya dan menjalin persahabatan dengan
anak tunggal datuk itu pula.
“Kalau keluar makan dengan dia, buat apa abang
bawa Mila..buat kacau daun aje..”gurau Firdaus. Karmila tidak membalas
kata-kata abangnya itu. Dia masuk ke biliknya semula untuk menyalin pakaian.
Angin malam yang bertiup mesra menyambut
kepulangan Pak cik Roslan dan Mak cik Suhaila yang baru balik dari majlis
kenduri kesyukuran. Tempat parkir kereta Firdaus masih kosong menandakan yang
dia masih belum balik ke rumah.
“Dah pukul 11.30 malam ni, budak-budak tu belum
balik lagi..”ujar Mak cik Suhaila yang sedang membuka pintu kereta.
“Leka berboraklah tu..”balas Pak cik Roslan sambil
mematikan enjin keretanya. Firdaus anak angkat mereka. Secara kebetulan dia
juga merupakan anak saudara kepada isterinya. Suhaili, kakak Suhaila yang telah
meninggal dunia sewaktu Firdaus berusia setahun. Di sebabkan pada waktu itu
ayah Firdaus selalu bertugas di luar negara kerana menjadi pegawai di dalam
angkatan tentera laut Malaysia, Firdaus diamanahkan kepada mereka.
“Eh!Eh! Kenapa Mila balik dengan teksi tu?”soal
Mak cik Suhaila yang kehairanan melihat Karmila turun dari perut teksi. Pada
waktu itu mereka berdua sudah berada di ambang pintu sebelum masuk ke dalam
rumah.
“Mila kenapa balik dengan teksi ni? Fir ke
mana?”soal Mak cik Suhaila sebaik sahaja Karmila berdiri rapat dengan mereka.
Dia terburu-buru menanggalkan kasutnya dan meluru menaiki tangga.
“Mila!” laung Pak cik Roslan pula apabila Karmila
tidak menjawab pertanyaan emaknya.
“Abang Fir sibuk berborak dengan kekasih dia,mak,
ayah..”beritahu Karmila dengan suara kuat lantas memasuki biliknya.
“Firdaus dah ada kekasih..?”tanya Mak cik Suhaila
kepada Pak cik Roslan sambil berjalan masuk ke dalam rumah.
“Firdaus tu dah dewasa...”jawab Pak cil Roslan selamba.
“Kalau dia ada kekasih, macam mana dengan
rancangan kita?” tanya Mak cik Suhaila lagi. Nampak gayanya rancangan mereka
tak mungkin jadi kenyataan.
“Biarlah dia uruskan. Dia tidak menolak kehendak
kita,kan? ”soal Pak cik Roslan pula. Mak cik Suhaila terkedu. Memang Firdaus
tidak membantah kehendak mereka. Dia langsung tidak menunjukkan riak menentang
rancangan mungkin kerana memikirkan budi yang telah dihadam oleh seluruh
hidupnya.
“Yang menjadi masalah kita sekarang ialah Karmila
tu. Dapatkan Firdaus mengikat hati dia?”tanya Pak cik Roslan lagi. Mak cik
Suhaila menggaru kepalanya yang tidak gatal.