Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,417
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Mak Cik Hasnah terpaku di katil yang menempatkan Nurlisa. Berat hatinya melihat keadaan anak gadisnya yang begitu. Apatah lagi apabila melihat mata Nurlisa yang berona merah.

Namun anak gadis itu tidak menyuarakan kesedihannya kepada ibu yang sedang memegang serta mengusap-ngusap lengannya. Dia bimbang hati ibu tua bertambah runsing dan sebak.

“Emak, maafkan Lisa. Semalam Lisa janji nak belikan barang-barang dapur tapi tak sempat.” Bicara gadis itu tersangkut seketika. Dia memandang ke wajah emaknya yang kelihatan muram. Mak Cik Hasnah berbaju kurung hijau yang sudah lusuh, namun masih bersih.

“Barang makanan masih ada ke di rumah?” Dalam sendu yang masih belum reda, Nurlisa menyoal sambil matanya meneliti ke wajah emaknya itu. Wajah emak yang menyembunyikan penderitaan kerana penyakit yang ditanggungnya. Mungkin emak juga menderita kerana dugaan di dalam hidupnya. Semenjak ditinggalkan oleh ayah, penderitaannya bertambah.

Persoalan daripada anak gadis yang memilukan, meruntun kalbu Mak Cik Hasnah. Air matanya turut berderaian membasahi pipinya yang kering dan cengkung.

“Lisa, jangan bimbangkan tentang itu nak. Insya-allah... Alhamdulillah, Insya-allah ada rezeki untuk kita nak.” Mak Cik Hasnah mengesat air mata yang mengalir dipipinya. Rasa batuk yang ingin menerobos keluar dari kerongkongnya cuba ditahan. Jika tidak, sudah tentu Nurlisa akan berasa bimbang melihat keadaannya.

“Pak Hasan pun ada beri mak 50 ringgit semalam. Mak tak mahu tapi dia desak mak juga. Terpaksa mak ambil.” Mak Cik Hasnah terus bercerita. Akhirnya batuk yang dikekang terlepas juga dari tambatannya, Mak Cik Hasnah terbatuk-batuk dengan keras.

“Makk!!!” Nurlisa bersuara hiba melihatkan keadaan emak yang kelihatan susah untuk bernafas setiap kali selepas batuk. Jika boleh ditukar ganti, biarlah dirinya yang menanggung kesakitan itu.

“Dia juga hantar barang-barang keperluan dapur, Lisa.” Suara Mak Cik Hasnah tersendat pilu. Kebaikan dan budi baik Pak Hassan terlalu banyak dirasakannya. Batuknya reda sekejap.

“Tak apalah mak. Nanti bila keluar dari hospital, Lisa kerja, Lisa bayar balik duit Pak Hasan dan barang-barang yang dia hantarkan ke rumah tu.” Nurlisa bersuara perlahan. Gadis itu seboleh-bolehnya tidak mahu termakan budi orang. Biar hidup susah, namun maruah dan kehormatan keluarga harus dijaga. Tiba-tiba dia terkenangkan wanita yang menolongnya semalam. Bagaimanalah dia dapat membalas budi wanita itu?

“Nasib baik mak cik tu jumpa Lisa di tepi jalan mak. Kalau tidak tak tahulah apa nasib Lisa.” Nurlisa merenung ke wajah emaknya. Paling bersyukur kerana dia masih diizinkan oleh Allah untuk bernafas sehingga ke saat itu.

“Hmm... alhamdulillah Lisa. Mak pun tak sempat nak tanya nama dia semalam. Selepas dia beritahu tentang kejadian yang menimpa Lisa kepada Pak Hasan, dia terus pergi begitu saja.” Mak Cik Hasnah bersuara agak perlahan. Mungkin wanita itu berasa tidak layak untuk berada lama-lama dirumahnya. Maklumlah rumah orang miskin.

“Assalamualaikum...” Tiba-tiba kedua beranak itu disapa oleh satu suara.

“Waalaikummussalam... Kebetulan mak cik. Saya dan mak sedang cerita pasal mak cik!” Nurlisa menyambut tangan Datin Rabiatul sambil melarik senyuman pendek. Datin Rabiatul berbaju kurung ungu sedondong dengan tudungnya. Wanita itu nampak anggun, sesuai dengan dirinya yang bergelar datin.

Datin Rabiatul memandang Nurlisa dan ibunya dengan mata yang bersinar ikhlas. “Nama saya Rabiatul. Kakak panggil saya Tun sahaja. Minta maaflah, semalam tu saya balik tak sempat berjumpa dengan Kak Hasnah. Dah larut malam, saya bimbang suami yang menunggu di dalam kereta.” Dia menerangkan. Sedikit pun dia tidak berbangga dengan gelaran datin yang dimiliki.

Tenang sedikit rasa hati Mak Cik Hasnah apabila mendengar keterangan itu. Bibirnya tersenyum apabila mengenangkan sangkaan hatinya semalam. Mujurlah dia tidak cenderung untuk bersangka buruk kepada wanita yang berbudi itu.

“Ada sesiapa yang tunggu Lisa di wad ni ke? Kakinya yang patah tu teruk juga ni.” Datin Rabiatul memandang kaki kiri Nurlisa yang berbalut besar sebesar batang pinang.

Nurlisa turut memandang dengan air mata yang berlinang. Di bahunya seolah terpikul batu yang amat berat. ‘Bagaimana aku boleh menyara keluarga dengan keadaan kaki yang begini? Begitu rintih hatinya. Paling kurang dia akan bertongkat selama beberapa bulan.

Mak Cik Hasnah pula terbatuk-batuk tidak berhenti. Nurlisa memandang Mak Cik Hasnah dengan wajah yang walang. Hatinya bertambah gundah. Namun kegundahan dan kegelisahan hatinya tidak dipamerkan di wajahnya. Dia cuba bersikap tenang walaupun jarang sekali ketenangan itu dapat terlukis di wajahnya di kala itu. Yang tercalit hanyalah kebimbangan dan kerisauan.

“Tak ada sesiapa yang tunggu. Adik-adiknya di rumah tu tak ada siapa yang menjaga pula.” Mak Cik Hasnah memberitahu perkara sebenar kepada Datin Rabiatul. Di matanya terbayang wajah Nuraina, Nuraini, Nur Fitri, Mohd. Hambali dan Mohd Faiz. Wajahnya mencerminkan kesedihan.

Datin Rabiatul mengangguk tanda faham. Hatinya diburu rasa simpati. ‘Tentu Lisa yang menyara keluarganya. Jika dia telah berkeadaan begini, bagaimana dengan mereka?’ Suara hati Datin Rabiatul berbisik sendiri. Lautan hatinya memikirkan tentang keluarga itu.

“Anak Kak Hasnah berapa orang?” Ramah Datin Rabiatul menyoal sambil memandang mesra. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.

“Enam orang. Lisa yang sulung.” Mak Cik Hasnah menerangkan dengan suara perlahan. Matanya merenung Nurlisa.

“Bapak Lisa ada lagi ke? Maaflah saya bertanya.” Datin Rabiatul begitu berminat untuk mengetahui tentang keluarga gadis itu. Mak Cik Hasnah menundukkan wajahnya seolah tidak mendengar pertanyaan itu. Hatinya berasa ngilu setiap kali mengenangkan suami yang meninggalkannya tanpa berita dan nafkah. Kepahitan terpaksa ditelan setiap hari bagaikan menelan air sejuk untuk menghilangkan kehausan.

“Lisa, mak pergi bilik air sekejap, ya.” Mak Cik Hasnah memberitahu anaknya. Sedari tadi perutnya terasa tidak enak. Pada detik itu dirasakannya isi perutnya tidak betah lagi menjadi penghuni perutnya.

“Minta diri dulu, Tun. Berbuallah dulu dengan Lisa.” Mak Cik Hasnah memberitahu pula kepada Datin Rabiatul.

“Silalah, kak.”

Kesempatan yang ada bersama dengan Nurlisa digunakan oleh Datin Rabiatul untuk berbual dengan anak gadis itu. Dia mengulangi pertanyaannya tadi yang belum mendapat jawapan daripada Mak Cik Hasnah. Mungkin wanita itu tidak mendengar pertanyaannya. Itulah yang dibisikkan oleh suara hati Datin Rabiatul.

“Bapak tinggalkan mak. Tak taulah sama ada dia masih ada atau tiada. Hampir empat tahun dia pergi tanpa khabar berita.” Dengan suara sayu, Nurlisa mengungkapkan jawapan yang diingini oleh Datin Rabiatul tanpa menyembunyikan apa-apa.

“Lisa, maafkan mak cik nak. Mak cik cuma ingin tahu dan tidak bermaksud membuat Lisa bersedih.” Datin Rabiatul mengenggam-genggam jari-jemari gadis itu. Entah mengapa dia tidak berasa kekok untuk menyentuh-nyentuh gadis itu.

“Lisa nampak tak kereta yang langgar Lisa semalam? Pemandunya lelaki ke perempuan?” Datin Rabiatul bersuara ramah, cuba mengalihkan kesedihan yang bertapak di hati gadis itu. Terdetik di hatinya yang Nurlisa mungkin dilanggar oleh anak lelakinya yang bongsu.

Nurlisa mengeleng-gelengkan kepalanya. “Saya tidak pasti, sebab waktu saya dirempuh saya sedang menoleh ke arah lain.” Dia cuba mengingati peristiwa itu. Namun seingatnya, sewaktu tubuh badannya melambung, matanya sempat juga melihat kereta yang merempuhnya. Warnanya merah.

“Habis tu, untuk laporan polis, Lisa boleh beri keterangan ke? Warna keretanya ingat tak?” Datin Rabiatul menyoal lagi. Semalam, sewaktu menemui Nurlisa di tepi jalan dengan keadaan pengsan dan berlumuran darah, dia telah menghubungi pihak polis dan memaklumkan kejadian tersebut.

Mak Cik Hasnah yang sudah balik dari bilik air menghampiri mereka dan menyampuk perbualan itu. “Tak payah beri keterangan kepada polislah, Tun. Biarlah...perkara dah berlaku.Lagipun bukannya dia sengaja nak langgar!” Dia bimbang dengan cadangan yang dikemukakan oleh Datin Rabiatul akan tambah menyulitkan kehidupan mereka.

“Hisy... Tak boleh macam tu kak.Mujur Lisa hanya patah kaki sahaja. Kalau kecederaan yang lebih teruk bagaimana? Manusia-manusia yang tidak berhati perut dan tidak berperasaan itu perlu diajar. Dah melanggar orang tu satu hal. Ambillah tanggungjawab, bantu apa yang patut.Ini dia lari pulak!” Beria-ia benar Datin Rabiatul memberikan pendapatnya.

“Yalah, mak cik. Lisa pun rasa tak mahu buat aduan polis. Lisa terima semua ini sebagai takdir.” Bola mata Nurlisa menyinggahi ke wajah wanita yang telah membantunya itu. Pandangan matanya seolah terlihat kereta merah yang disangkanya bergerak dengan perlahan, lalu dia menyeberangi jalan itu. Dia tidak pasti sama ada pemandu kereta itu lelaki atau perempuan, kerana selepas dirempuh tubuhnya terus melambung dan terjatuh di atas rumput di tepi jalan lalu dia pengsan.

“Eh! Tak boleh begitu Lisa. Takdir tetap takdir. Tetapi yang bersalah, kita kena berikan hukuman!” Datin Rabiatul menjelaskan maksudnya.

“Tak apalah mak cik. Sudah ketentuan Allah. Lisa redha sajalah.Lagipun, Lisa cedera sikit saja. Kaki sahaja yang patah. Alhamdulillah... Allah masih beri peluang untuk Lisa hidup.Masih ada peluang lagi untuk Lisa membuat amal ibadat dan jaga mak.” Nurlisa menjawab dengan perlahan, bimbang akan mengecilkan hati wanita yang telah berbudi kepadanya itu.

“Tak apalah kalau Lisa kata begitu.Mak cik hanya ingin membantu apa yang terdaya.” Datin Rabiatul tidak bermaksud untuk memaksa kedua beranak itu menyetujui cadangannya. Perasaannya terasa damai apabila mendengarkan jawapan daripada gadis itu. Ada ketulusan yang menyinar di sebalik kata-kata itu.

“Budi mak cik yang ada sekarang ini pun, tak tahu saya nak membalasnya!” Nurlisa berkata agak perlahan.

“Yalah, Tun. Macam manalah kami nak membalas budi Tun.” Mak cik Hasnah bersuara sedih sambil matanya memandang ke wajah Datin Rabiatul yang hanya tersenyum sedari tadi.

“Saya membantu apa yang patut. Kita sesama manusia. Semuanya hamba Allah, kena saling tolong menolong.” Datin Rabiatul bersuara ramah dan mesra. Dia terus memerhatikan wajah Nurlisa. Hatinya berasa aman apabila melihat ke wajah anak gadis itu. Bermata jernih dan bulu matanya lurus serta lebat. Mukanya bujur sirih dan pipinya halus serta licin. Dia amat tertarik apabila melihat Nurlisa berkata-kata, lesung pipit di hujung bibir kirinya bergerak-gerak dan nampak manis.

“Lisa dah habis sekolah ke?” Datin Rabiatul cuba mengetahui serba sedikit tentang anak gadis itu.

“Dah habis. Lisa belajar sampai SPM, mak cik.” Nurlisa bersuara perlahan. Dia menyembunyikan kekecewaan kerana tidak dapat menyambung pengajiannya selepas mengambil keputusan SPM. Keputusannya yang cemerlang, disembunyikannya daripada pengetahuan Mak Cik Hasnah.

“Tak nak sambung belajar lagi ke Lisa?” Datin Rabiatul cuba merisik rahsia. Air muka gadis yang berada di hadapannya membayangkan dirinya seorang yang berotak cerdas dan bijak.

“Saya perlu bantu adik-adik dan mak. Saya anak sulung mak cik.” Nurlisa berterus terang sambil menundukkan wajahnya. Matanya merenung kaki yang berbalut.

“Mak saya pun tidak sihat, mak cik.” Nurlisa menundukkan wajahnya sekali lagi kerana melindungi kesedihan yang mungkin bermukim di wajahnya.

Datin Rabiatul menganggukkan kepalanya. Dia seolah memahami kemelut di hati gadis itu. Jika dia yang berada di tempat Nurlisa, tentu dia pun akan lebih bersedih daripada gadis itu. Nurlisa dilihatnya sebagai seorang gadis yang sabar dan tabah.

Datin Rabiatul terus memerhatikan wajah Nurlisa. Hatinya berasa aman apabila melihat wajah anak gadis itu. Wajahnya kelihatan cantik semula jadi. Lebih cantik lagi daripada Dauna, anak Datin Rosni yang suatu ketika dahulu tergila-gilakan Aldi. Namun anak sulungnya itu bukan jenis yang mudah dipikat. Puas Dauna memasang umpan, akhirnya Arishal juga yang menjadi pilihannya.

Akhirnya, apabila Aldi berada di dalam keadaannya kini, Dauna seolah bertepuk tangan dan bergembira. Datin Rosni dan anak perempuannya itu selalu menyebarkan berita kepada kawan-kawan mereka yang kononnya Aldi telah menjadi gila, hilang ingatan akibat kemalangan yang menimpa dan kematian isterinya Arishal.

“Lisa, mak nak balik dah. Hari pun dah beransur petang. Nanti mak datang lagi.” Mak Cik Hasnah menggosok-gosok ubun-ubun Nurlisa dengan penuh kasih sayang.

“Yalah, mak. Mak tak usah bimbang, di sini ada jururawat yang boleh bantu Lisa.” Nurlisa cuba memujuk hati emak yang kelihatan bimbang. Dia faham situasi emaknya. Kewangan yang tidak mencukupi, jika si ibu mahu datang ke hospital untuk melawatnya setiap hari, tentulah menimbulkan kesulitan kepada ibu tua itu. Duit yang digunakan untuk tambang bas itu boleh digunakan untuk membeli beras dan lain-lain keperluan rumah.

“Emak balik dulu, ya?” Mak cik Hasnah memeluk dan mencium anak gadisnya itu berkali-kali.

Datin Rabiatul yang memandang terasa agak iri hati. Maklumlah, dia sendiri tidak pernah merasai membelai dan dibelai oleh anak-anak perempuan kerana tidak memiliki anak perempuan walaupun seorang.

“Kak Hasnah, saya hantar balik,ya?Hari ini saya memandu sendiri.Jomlah, saya ingin nak kenal dengan adik-adik Lisa.” Datin Rabiatul menawarkan budi.

“Tak apalah, Tun. Tak payahlah susah-susah. Kakak balik naik bas. Kakak tunggu di depan pagar hospital ini sahaja.” Mak Cik Hasnah cuba menolak pelawaan itu. Berat hatinya untuk menerima terlalu banyak budi orang.

“Apa susahnya, kak. Kita naik kereta, bukannya Tun dukung Kak Hasnah sehingga ke rumah. Jomlah.” Datin Rabiatul terus berkeras.

Mahu tak mahu, Mak Cik Hasnah terpaksa menurut keinginan Datin Rabiatul yang kelihatan ikhlas ingin membantunya.

BINTANG-bintang bertaburan menghiasi langit malam. Bulan sabit terbentuk indah dengan cahayanya yang gemilang. Indahnya alam ciptaan tuhan. Di dalam warna hitam langit, ada cahaya yang menerangi. Hembusan angin malam, bagaikan membelai semua makhluk yang dapat merasai kehadirannya. Sungguh mendamaikan.

Datin Rabiatul mengelamun di atas buaian di depan rumahnya.Suasana hening dan sepi. Sudah hampir sejam dia berada di atas buaian itu. Buaian yang diletakkan berhampiran dengan kolam mandi yang berada di tepi rumah mereka. Dia terkenangkan perbualannya dengan Mak Cik Hasnah pada petang tadi. Jelas terpancar warna kesedihan di wajah wanita itu apabila Datin Rabiatul mengatakan hasratnya untuk mengambil Nurlisa bekerja sebagai pembantu rumahnya apabila dia keluar dari hospital nanti. Mak Cik Hasnah nampak seperti serba salah.

“Kakak tak pernah berpisah dengan Lisa.” Suara Mak Cik Hasnah terlalu perlahan. Seolah bercakap untuk dirinya sendiri. Namun, budi wanita itu terlalu besar dirasakannya. Bantuan yang telah dihulurkan kepada anaknya amat berharga.

“Saya beri masa pada kakak dan anak-anak yang lain untuk menimbangkannya. Saya tidak memaksa, namun saya benar-benar berharap.” Datin Rabiatul memegang tangan Mak Cik Hasnah tanpa rasa kekok.

“Saya akan jaga Lisa macam anak sendiri. Kak Hasnah tak usah bimbang. Niat saya ikhlas.” Sambung Datin Rabiatul lagi. Harapannya bagaikan terapung di awangan.

“Lagipun saya tidak memiliki anak perempuan, kak.” Suara Datin Rabiatul bertambah perlahan dan sebak.

Datin Rabiatul terus menghayunkan buaian perlahan-lahan sambil mengelamun. Datuk Haris sehingga kini masih belum pulang. Dia memahami kesibukan suaminya yang menjadi pengarah urusan kepada beberapa buah syarikat milik mereka. Lelaki yang berusia melebihi setengah abad itu terlalu bersemangat untuk menambah baik prestasi syarikat-syarikat miliknya. Menambah harta yang sedia ada. Rumah mereka, vila yang besar dan indah, namun kesunyian yang selalu menyelubunginya. Mungkin dengan kehadiran gadis itu, kesunyian itu akan hilang.

“Ibu! Ini saya bawakan air.” Suara Sunarti orang gajinya itu mengejutkan lamunan Datin Rabiatul.

Sunarti menatang dulang berisi teh o panas bersama sepiring bingka yang dibuatnya petang tadi.

“Letak di situ! Hmm... Aldi dah makan malam?”

Tiba-tiba Sunarti menangis tersedu-sedan.Air mata berderaian di pipinya. “Nak Aldi marahi saya ibu. Habis pinggan cawan dia lemparkan ke dinding.”

“Marah lagi! Kenapa?” Datin Rabiatul menghentikan hayunan buaian.Matanya sempat menjeling ke tingkat dua vila itu. Bilik Aldi masih diterangi lampu menandakan dia masih belum tidur.

“Saya tumpahkan air di atas gambar Arishal. Aldi naik berang lantas dia ambil semua bekas makanan di atas dulang dan dilemparkannya. Dia benar-benar marah, bu. Saya takut untuk masuk ke bilik kembali dan menghantar makanan yang lain.Maafkan saya, bu.” Sunarti berterus terang permasalahan yang sedang membeliti dirinya.Kadangkala perlakuan Aldi yang melampau membuatkan dia berasa amat tertekan.

“Jadi, Aldi belum makan lagi?” Datin Rabiatul bertanya lagi, ingin kepastian daripada orang gajinya.

Sunarti mengangguk-anggukkan kepala. Matanya merenung ke wajah Datin Rabiatul meraih simpati dan pengertian daripada majikannya itu. Mungkin Datin Rabiatul sudah mulai bosan mendengar aduannya tentang Aldi saban hari.

Datin Rabiatul terus bangun dari buaian lantas berjalan masuk ke dalam rumah.

“Bibik! Makanan dan teh tu bawakan ke dapur! Sebentar lagi saya makan.” Datin Rabiatul bercakap sambil berjalan. “Lepas tu siapkan makanan untuk Aldi. Nanti saya bawakan ke biliknya!” Datin Rabiatul menoleh kepada Sunarti yang sedang mengekorinya sambil menatang dulang yang berisi cawan dan piring yang isinya masih belum dijamah.

Berulangkali Datin Rabiatul mengetuk pintu bilik Aldi sehingga hampir merah belakang jari-jemarinya, barulah pintu bilik itu dibuka. Aldi berada di atas kerusi roda. Wajahnya muram dan tegang. Jambangnya tumbuh meliar menyebabkan wajahnya kelihatan tidak terurus. Datin Rabiatul mengeleng-ngelengkan kepalanya melihat keadaan Aldi yang semakin membimbangkannya.

Terkejut Datin Rabiatul melihatkan keadaan bilik Aldi yang seperti tongkang pecah. Belum sempat bertanya, Sunarti terjengul di muka pintu membawa makanan yang bekas-bekasnya diletakkan di troli.

“Ibu! Makanannya untuk Aldi!” Wanita separuh umur itu kelihatan tertakut-takut.

“Bibik! Berapa hari tak kemaskan bilik Aldi ni?” Datin Rabiatul bertanya dengan nada lembut. Tidak sampai hatinya untuk berkasar dengan wanita tua itu apabila dilihatnya wanita itu dalam keadaan yang tertakut-takut.

“Saya... saya kemaskan sekarang ibu!” Terkocoh-kocoh dan terketar-ketar tangan Sunarti sewaktu menyentuh frame gambar yang berselerakan di atas lantai berhampiran dengan almari solek. Dia tidak selesa dengan pertanyaan daripada Datin Rabiatul. Bilik itu dibersihkan serta dikemasnya setiap hari.

“Heh! Orang tua! Jangan usik semua barang-barang aku! Keluar! Keluar sekarang!” Aldi yang sedari tadi duduk membatu dan membeku di atas kerusi roda di tepi tingkap tiba-tiba menjerkah. Terlepas sekeping frame dari tangan Sunarti kerana terkejut dan takut.

Datin Rabiatul memberi isyarat mata supaya Sunarti segera meninggalkan bilik itu.

“Habis semua! Hancur! Musnah! Semua sudah musnah! Rishal! Oh, Rishal! Mengapa pergi? Mengapa?” Aldi tiba-tiba merintih seorang diri sambil menangis. Dia menekan-nekan kepalanya dengan tapak tangan. Setiap hari dia menangis dan meratap begitu, namun Arishal yang dirindui tetap tidak pulang. Kehidupannya seolah telah dibawa bersama.

“Aldi!” Datin Rabiatul memanggil nama anaknya itu. Dia diam seketika apabila melihat Aldi semakin tidak karuan. Kerusi rodanya digerakkannya ke depan dan ke belakang berulangkali.Kata-kata nasihat yang ingin diluahkan seolah hilang lenyap entah kemana. Dia melupakan niatnya untuk memberi nasihat kepada Aldi, bimbang lelaki itu akan lebih tertekan.

“Makan ya!” Datin Rabiatul cuba memujuk sambil menolak kerusi roda Aldi ke arah meja makan yang berhampiran.

“Tidak! Tidak! Saya tak mahu makan! Saya tak mahu minum! Saya mahu Rishal, mak. Saya mahu Rishal. Mengapa tuhan begini kejam, mak? Saya sayang Rishal, mak. Saya tak pernah cintai orang lain. Dia nyawa saya, mengapa tuhan ambil dia mak?” Aldi terus merintih-rintih sambil menepuk-nepuk kepalanya berulang kali.

Datin Rabiatul menarik nafas panjang. Sudah beribu kali dia mendengar Aldi merintih begitu. Sudah berlautan nasihat yang diberikannya kepada anaknya itu, namun sedikit pun tidak berkesan. Aldi tetap mengenang Arishal. Arishal. Arishal. Entah sampai bila.

“Di, kerana Allah sayang, Dia ambil balik.” Ungkapan itu sudah beribu kali keluar daripada bibirnya. Datin Rabiatul sudah puas memujuk. Namun Aldi, hatinya seolah telah kering dan mengeras seumpama simen.

“Di mesti makan! Mesti minum! Kalau tidak kesihatan Di akan terjejas. Tengok tu, badan semakin kurus. Kulit sudah kering. Bibir pecah-pecah. Makan, ya.” Lembut suaranya memujuk Aldi yang masih berdegil dan membatu memandang dinding.

“Aku nak mati!!!” Aldi tiba-tiba bertempik dan mengulangi ucapannya itu berkali-kali sambil menggerak-gerakkan kerusi rodanya sehingga melanggar dinding bilik tidurnya.

“Astaghfirullahaladzim...” Beristighfar panjang Datin Rabiatul melihat perlakuan Aldi itu yang semakin luar biasa. Sudah kering air matanya menangisi nasib malang yang menimpa diri dan anaknya itu. Mungkin ini dugaan untuknya. Mewah dengan harta benda dan wang ringgit, tetapi Allah uji pula dengan keadaan anak sulungnya yang selalu hilang pertimbangan akalnya. Mungkinkah Aldi akan berkeadaan begitu sepanjang hayatnya? Datin Rabiatul tidak ingin memikirkan jawapan kepada persoalan hatinya.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.