Mak Cik Hasnah terpaku di katil yang menempatkan
Nurlisa. Berat hatinya melihat keadaan
anak gadisnya yang begitu. Apatah lagi
apabila melihat mata Nurlisa yang berona merah.
Namun anak gadis itu tidak menyuarakan
kesedihannya kepada ibu yang sedang memegang serta mengusap-ngusap lengannya.
Dia bimbang hati ibu tua bertambah runsing dan sebak.
“Emak, maafkan Lisa. Semalam Lisa janji nak
belikan barang-barang dapur tapi tak sempat.” Bicara gadis itu tersangkut
seketika. Dia memandang ke wajah emaknya yang kelihatan muram. Mak Cik Hasnah
berbaju kurung hijau yang sudah lusuh, namun masih bersih.
“Barang makanan masih ada ke di rumah?”
Dalam sendu yang masih belum reda, Nurlisa menyoal sambil matanya meneliti ke wajah emaknya itu. Wajah
emak yang menyembunyikan penderitaan kerana penyakit yang ditanggungnya. Mungkin
emak juga menderita kerana dugaan di dalam hidupnya. Semenjak ditinggalkan oleh
ayah, penderitaannya bertambah.
Persoalan daripada anak gadis yang
memilukan, meruntun kalbu Mak Cik Hasnah. Air matanya turut berderaian
membasahi pipinya yang kering dan cengkung.
“Lisa, jangan bimbangkan tentang itu nak.
Insya-allah... Alhamdulillah, Insya-allah ada rezeki untuk kita nak.” Mak Cik
Hasnah mengesat air mata yang mengalir dipipinya. Rasa batuk yang ingin menerobos keluar dari
kerongkongnya cuba ditahan. Jika tidak, sudah tentu Nurlisa akan berasa bimbang
melihat keadaannya.
“Pak Hasan pun ada beri mak 50 ringgit
semalam. Mak tak mahu tapi dia desak mak juga. Terpaksa mak ambil.” Mak Cik
Hasnah terus bercerita. Akhirnya batuk yang dikekang terlepas juga dari
tambatannya, Mak Cik Hasnah terbatuk-batuk dengan keras.
“Makk!!!” Nurlisa bersuara hiba melihatkan
keadaan emak yang kelihatan susah untuk bernafas setiap kali selepas
batuk. Jika boleh ditukar ganti, biarlah
dirinya yang menanggung kesakitan itu.
“Dia juga hantar barang-barang keperluan dapur,
Lisa.” Suara Mak Cik Hasnah tersendat
pilu. Kebaikan dan budi baik Pak Hassan terlalu banyak dirasakannya. Batuknya
reda sekejap.
“Tak apalah mak. Nanti bila keluar dari
hospital, Lisa kerja, Lisa bayar balik duit Pak Hasan dan barang-barang yang dia
hantarkan ke rumah tu.” Nurlisa bersuara perlahan. Gadis itu seboleh-bolehnya tidak mahu
termakan budi orang. Biar hidup susah,
namun maruah dan kehormatan keluarga harus dijaga. Tiba-tiba dia terkenangkan
wanita yang menolongnya semalam. Bagaimanalah dia dapat membalas budi wanita
itu?
“Nasib baik mak cik tu jumpa Lisa di tepi
jalan mak. Kalau tidak tak tahulah apa
nasib Lisa.” Nurlisa merenung ke wajah
emaknya. Paling bersyukur kerana dia masih diizinkan oleh Allah untuk bernafas
sehingga ke saat itu.
“Hmm... alhamdulillah Lisa. Mak pun tak
sempat nak tanya nama dia semalam. Selepas dia beritahu tentang kejadian yang
menimpa Lisa kepada Pak Hasan, dia terus pergi begitu saja.” Mak Cik Hasnah bersuara agak perlahan. Mungkin wanita itu berasa tidak layak untuk
berada lama-lama dirumahnya. Maklumlah
rumah orang miskin.
“Assalamualaikum...” Tiba-tiba kedua
beranak itu disapa oleh satu suara.
“Waalaikummussalam... Kebetulan mak cik.
Saya dan mak sedang cerita pasal mak cik!” Nurlisa menyambut tangan Datin
Rabiatul sambil melarik senyuman pendek.
Datin Rabiatul berbaju kurung ungu sedondong dengan tudungnya. Wanita
itu nampak anggun, sesuai dengan dirinya yang bergelar datin.
Datin Rabiatul memandang Nurlisa dan ibunya
dengan mata yang bersinar ikhlas. “Nama saya Rabiatul. Kakak panggil saya Tun
sahaja. Minta maaflah, semalam tu saya balik tak sempat berjumpa dengan Kak
Hasnah. Dah larut malam, saya bimbang suami yang menunggu di dalam kereta.” Dia
menerangkan. Sedikit pun dia tidak berbangga dengan gelaran datin yang
dimiliki.
Tenang sedikit rasa hati Mak Cik Hasnah
apabila mendengar keterangan itu. Bibirnya tersenyum apabila mengenangkan
sangkaan hatinya semalam. Mujurlah dia tidak cenderung untuk bersangka buruk
kepada wanita yang berbudi itu.
“Ada sesiapa yang tunggu Lisa di wad ni ke?
Kakinya yang patah tu teruk juga ni.” Datin Rabiatul memandang kaki kiri
Nurlisa yang berbalut besar sebesar batang pinang.
Nurlisa turut memandang dengan air mata
yang berlinang. Di bahunya seolah
terpikul batu yang amat berat.
‘Bagaimana aku boleh menyara keluarga dengan keadaan kaki yang begini?
Begitu rintih hatinya. Paling kurang dia akan bertongkat selama beberapa
bulan.
Mak Cik Hasnah pula terbatuk-batuk tidak
berhenti. Nurlisa memandang Mak Cik
Hasnah dengan wajah yang walang. Hatinya bertambah gundah. Namun kegundahan dan
kegelisahan hatinya tidak dipamerkan di wajahnya. Dia cuba bersikap tenang
walaupun jarang sekali ketenangan itu dapat terlukis di wajahnya di kala itu.
Yang tercalit hanyalah kebimbangan dan kerisauan.
“Tak ada sesiapa yang tunggu. Adik-adiknya
di rumah tu tak ada siapa yang menjaga pula.” Mak Cik Hasnah memberitahu
perkara sebenar kepada Datin Rabiatul. Di matanya terbayang wajah Nuraina,
Nuraini, Nur Fitri, Mohd. Hambali dan Mohd Faiz. Wajahnya mencerminkan
kesedihan.
Datin Rabiatul mengangguk tanda faham.
Hatinya diburu rasa simpati. ‘Tentu Lisa yang menyara keluarganya. Jika dia
telah berkeadaan begini, bagaimana dengan mereka?’ Suara hati
Datin Rabiatul berbisik sendiri. Lautan hatinya memikirkan tentang keluarga
itu.
“Anak Kak Hasnah berapa orang?”
Ramah Datin Rabiatul menyoal sambil memandang mesra. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.
“Enam orang. Lisa yang sulung.” Mak Cik
Hasnah menerangkan dengan suara perlahan. Matanya merenung Nurlisa.
“Bapak Lisa ada lagi ke? Maaflah saya
bertanya.” Datin Rabiatul begitu berminat untuk mengetahui tentang keluarga
gadis itu. Mak Cik Hasnah menundukkan wajahnya seolah tidak mendengar
pertanyaan itu. Hatinya berasa ngilu
setiap kali mengenangkan suami yang meninggalkannya tanpa berita dan nafkah.
Kepahitan terpaksa ditelan setiap hari bagaikan menelan air sejuk untuk
menghilangkan kehausan.
“Lisa, mak pergi bilik air sekejap, ya.”
Mak Cik Hasnah memberitahu anaknya. Sedari tadi perutnya terasa tidak enak.
Pada detik itu dirasakannya isi perutnya tidak betah lagi menjadi penghuni
perutnya.
“Minta diri dulu, Tun. Berbuallah dulu dengan Lisa.” Mak Cik Hasnah memberitahu pula kepada Datin
Rabiatul.
“Silalah, kak.”
Kesempatan yang ada bersama dengan Nurlisa digunakan oleh Datin
Rabiatul untuk berbual dengan anak gadis itu.
Dia mengulangi pertanyaannya tadi yang belum mendapat jawapan daripada
Mak Cik Hasnah. Mungkin wanita itu tidak
mendengar pertanyaannya. Itulah yang dibisikkan oleh suara hati Datin
Rabiatul.
“Bapak tinggalkan mak. Tak taulah sama ada dia masih ada atau
tiada. Hampir empat tahun dia pergi tanpa khabar berita.” Dengan suara sayu,
Nurlisa mengungkapkan jawapan yang diingini oleh Datin Rabiatul tanpa
menyembunyikan apa-apa.
“Lisa, maafkan mak cik nak. Mak cik cuma ingin tahu dan tidak
bermaksud membuat Lisa bersedih.” Datin Rabiatul mengenggam-genggam jari-jemari
gadis itu. Entah mengapa dia tidak berasa kekok untuk menyentuh-nyentuh gadis
itu.
“Lisa nampak tak kereta yang langgar Lisa
semalam? Pemandunya lelaki ke
perempuan?” Datin Rabiatul bersuara
ramah, cuba mengalihkan kesedihan yang bertapak di hati gadis itu. Terdetik di
hatinya yang Nurlisa mungkin dilanggar oleh anak lelakinya yang bongsu.
Nurlisa mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Saya tidak pasti, sebab waktu saya dirempuh saya sedang menoleh ke arah lain.”
Dia cuba mengingati peristiwa itu. Namun seingatnya, sewaktu tubuh badannya
melambung, matanya sempat juga melihat kereta yang merempuhnya. Warnanya merah.
“Habis tu, untuk laporan polis, Lisa boleh
beri keterangan ke? Warna keretanya ingat tak?” Datin Rabiatul menyoal lagi.
Semalam, sewaktu menemui Nurlisa di tepi jalan dengan keadaan pengsan dan
berlumuran darah, dia telah menghubungi pihak polis dan memaklumkan kejadian
tersebut.
Mak Cik Hasnah yang sudah balik dari bilik
air menghampiri mereka dan menyampuk perbualan itu. “Tak payah beri keterangan
kepada polislah, Tun. Biarlah...perkara dah berlaku.Lagipun bukannya dia sengaja nak langgar!” Dia bimbang dengan
cadangan yang dikemukakan oleh Datin Rabiatul akan tambah menyulitkan kehidupan
mereka.
“Hisy... Tak boleh macam tu kak.Mujur Lisa hanya patah kaki sahaja. Kalau
kecederaan yang lebih teruk bagaimana?
Manusia-manusia yang tidak berhati perut dan tidak berperasaan itu perlu
diajar. Dah melanggar orang tu satu hal. Ambillah tanggungjawab, bantu apa yang
patut.Ini dia lari
pulak!” Beria-ia benar Datin Rabiatul memberikan pendapatnya.
“Yalah, mak cik. Lisa pun rasa tak mahu
buat aduan polis. Lisa terima semua ini sebagai takdir.” Bola mata Nurlisa
menyinggahi ke wajah wanita yang telah membantunya itu. Pandangan matanya
seolah terlihat kereta merah yang disangkanya bergerak dengan perlahan, lalu
dia menyeberangi jalan itu. Dia tidak pasti sama ada pemandu kereta itu lelaki
atau perempuan, kerana selepas dirempuh tubuhnya terus melambung dan terjatuh
di atas rumput di tepi jalan lalu dia
pengsan.
“Eh! Tak boleh begitu Lisa. Takdir tetap
takdir. Tetapi yang bersalah, kita kena berikan hukuman!” Datin Rabiatul
menjelaskan maksudnya.
“Tak apalah mak cik. Sudah ketentuan Allah.
Lisa redha sajalah.Lagipun,
Lisa cedera sikit saja. Kaki sahaja yang patah. Alhamdulillah... Allah masih
beri peluang untuk Lisa hidup.Masih ada peluang lagi untuk Lisa membuat amal ibadat dan jaga mak.”
Nurlisa menjawab dengan perlahan, bimbang akan mengecilkan hati wanita yang
telah berbudi kepadanya itu.
“Tak apalah kalau Lisa kata begitu.Mak cik hanya ingin membantu apa yang terdaya.” Datin Rabiatul
tidak bermaksud untuk memaksa kedua beranak itu menyetujui cadangannya. Perasaannya terasa damai apabila mendengarkan
jawapan daripada gadis itu. Ada ketulusan yang menyinar di sebalik kata-kata
itu.
“Budi mak cik yang ada sekarang ini pun, tak tahu saya nak
membalasnya!” Nurlisa berkata agak perlahan.
“Yalah, Tun. Macam manalah kami nak membalas budi Tun.” Mak cik
Hasnah bersuara sedih sambil matanya memandang ke wajah Datin Rabiatul yang
hanya tersenyum sedari tadi.
“Saya membantu apa yang patut. Kita sesama manusia. Semuanya hamba
Allah, kena saling tolong menolong.”
Datin Rabiatul bersuara ramah dan mesra. Dia terus memerhatikan wajah
Nurlisa. Hatinya berasa aman apabila melihat ke wajah anak gadis itu. Bermata
jernih dan bulu matanya lurus serta lebat. Mukanya bujur sirih dan pipinya
halus serta licin. Dia amat tertarik apabila melihat Nurlisa berkata-kata,
lesung pipit di hujung bibir kirinya bergerak-gerak dan nampak manis.
“Lisa dah habis sekolah ke?” Datin Rabiatul
cuba mengetahui serba sedikit tentang anak gadis itu.
“Dah habis. Lisa belajar sampai SPM, mak
cik.” Nurlisa bersuara perlahan. Dia menyembunyikan kekecewaan kerana tidak
dapat menyambung pengajiannya selepas mengambil keputusan SPM. Keputusannya yang cemerlang, disembunyikannya
daripada pengetahuan Mak Cik Hasnah.
“Tak nak sambung belajar lagi ke Lisa?”
Datin Rabiatul cuba merisik rahsia. Air muka gadis yang berada di hadapannya
membayangkan dirinya seorang yang berotak cerdas dan bijak.
“Saya perlu bantu adik-adik dan mak. Saya
anak sulung mak cik.” Nurlisa berterus terang sambil menundukkan wajahnya.
Matanya merenung kaki yang berbalut.
“Mak saya pun tidak sihat, mak cik.” Nurlisa menundukkan wajahnya sekali lagi
kerana melindungi kesedihan yang mungkin bermukim di wajahnya.
Datin Rabiatul menganggukkan kepalanya. Dia
seolah memahami kemelut di hati gadis itu. Jika dia yang berada di tempat
Nurlisa, tentu dia pun akan lebih bersedih daripada gadis itu. Nurlisa dilihatnya sebagai seorang gadis yang
sabar dan tabah.
Datin Rabiatul terus memerhatikan wajah
Nurlisa. Hatinya berasa aman apabila melihat wajah anak gadis itu. Wajahnya kelihatan cantik semula jadi. Lebih
cantik lagi daripada Dauna, anak Datin Rosni yang suatu ketika dahulu
tergila-gilakan Aldi. Namun anak sulungnya itu bukan jenis yang mudah dipikat. Puas
Dauna memasang umpan, akhirnya Arishal juga yang menjadi pilihannya.
Akhirnya, apabila Aldi berada di dalam
keadaannya kini, Dauna seolah bertepuk tangan dan bergembira. Datin Rosni dan
anak perempuannya itu selalu menyebarkan berita kepada kawan-kawan mereka yang
kononnya Aldi telah menjadi gila, hilang ingatan akibat kemalangan yang menimpa
dan kematian isterinya Arishal.
“Lisa, mak nak balik dah. Hari pun dah
beransur petang. Nanti mak datang lagi.” Mak Cik Hasnah menggosok-gosok
ubun-ubun Nurlisa dengan penuh kasih sayang.
“Yalah, mak. Mak tak usah bimbang, di sini
ada jururawat yang boleh bantu Lisa.” Nurlisa cuba memujuk hati emak yang
kelihatan bimbang. Dia faham situasi emaknya. Kewangan yang tidak mencukupi,
jika si ibu mahu datang ke hospital untuk melawatnya setiap hari, tentulah
menimbulkan kesulitan kepada ibu tua itu. Duit yang digunakan untuk tambang bas
itu boleh digunakan untuk membeli beras dan lain-lain keperluan rumah.
“Emak balik dulu, ya?” Mak cik Hasnah
memeluk dan mencium anak gadisnya itu berkali-kali.
Datin Rabiatul yang memandang terasa agak
iri hati. Maklumlah, dia sendiri tidak
pernah merasai membelai dan dibelai oleh anak-anak perempuan kerana tidak
memiliki anak perempuan walaupun seorang.
“Kak Hasnah, saya hantar balik,ya?Hari ini saya memandu sendiri.Jomlah, saya ingin nak kenal dengan
adik-adik Lisa.” Datin Rabiatul
menawarkan budi.
“Tak apalah, Tun. Tak payahlah susah-susah.
Kakak balik naik bas. Kakak tunggu di depan pagar hospital ini
sahaja.” Mak Cik Hasnah cuba menolak pelawaan itu. Berat hatinya untuk menerima
terlalu banyak budi orang.
“Apa susahnya, kak. Kita naik kereta, bukannya Tun dukung Kak
Hasnah sehingga ke rumah. Jomlah.” Datin Rabiatul terus berkeras.
Mahu tak mahu, Mak Cik Hasnah terpaksa menurut keinginan Datin
Rabiatul yang kelihatan ikhlas ingin membantunya.
BINTANG-bintang
bertaburan menghiasi langit malam. Bulan
sabit terbentuk indah dengan cahayanya yang gemilang. Indahnya alam ciptaan
tuhan. Di dalam warna hitam langit, ada cahaya yang menerangi. Hembusan angin
malam, bagaikan membelai semua makhluk yang dapat merasai kehadirannya. Sungguh
mendamaikan.
Datin Rabiatul mengelamun di atas buaian di
depan rumahnya.Suasana
hening dan sepi. Sudah hampir sejam dia berada di atas buaian itu. Buaian yang
diletakkan berhampiran dengan kolam mandi yang berada di tepi rumah mereka. Dia
terkenangkan perbualannya dengan Mak Cik Hasnah pada petang tadi. Jelas
terpancar warna kesedihan di wajah wanita itu apabila Datin Rabiatul mengatakan
hasratnya untuk mengambil Nurlisa bekerja sebagai pembantu rumahnya apabila dia
keluar dari hospital nanti. Mak Cik Hasnah nampak seperti serba salah.
“Kakak tak pernah berpisah dengan Lisa.”
Suara Mak Cik Hasnah terlalu perlahan. Seolah bercakap untuk dirinya sendiri.
Namun, budi wanita itu terlalu besar dirasakannya. Bantuan yang telah dihulurkan kepada anaknya
amat berharga.
“Saya beri masa pada kakak dan anak-anak
yang lain untuk menimbangkannya. Saya tidak memaksa, namun saya benar-benar
berharap.” Datin Rabiatul memegang tangan Mak Cik Hasnah tanpa rasa kekok.
“Saya akan jaga Lisa macam anak sendiri.
Kak Hasnah tak usah bimbang. Niat saya ikhlas.” Sambung Datin Rabiatul lagi.
Harapannya bagaikan terapung di awangan.
“Lagipun saya tidak memiliki anak
perempuan, kak.” Suara Datin Rabiatul bertambah perlahan dan
sebak.
Datin Rabiatul terus menghayunkan buaian
perlahan-lahan sambil mengelamun. Datuk Haris sehingga kini masih belum pulang.
Dia memahami kesibukan suaminya yang menjadi pengarah urusan kepada beberapa
buah syarikat milik mereka. Lelaki yang berusia melebihi setengah abad itu
terlalu bersemangat untuk menambah baik prestasi syarikat-syarikat miliknya.
Menambah harta yang sedia ada. Rumah mereka, vila yang besar dan indah, namun
kesunyian yang selalu menyelubunginya. Mungkin dengan kehadiran gadis itu,
kesunyian itu akan hilang.
“Ibu! Ini saya bawakan air.” Suara Sunarti
orang gajinya itu mengejutkan lamunan Datin Rabiatul.
Sunarti menatang dulang berisi teh o panas
bersama sepiring bingka yang dibuatnya petang tadi.
“Letak di situ! Hmm... Aldi dah makan
malam?”
Tiba-tiba Sunarti menangis tersedu-sedan.Air mata berderaian di pipinya. “Nak Aldi
marahi saya ibu. Habis pinggan cawan dia lemparkan ke dinding.”
“Marah lagi! Kenapa?” Datin Rabiatul menghentikan hayunan buaian.Matanya sempat menjeling ke tingkat dua
vila itu. Bilik Aldi masih diterangi lampu menandakan dia masih belum tidur.
“Saya tumpahkan air di atas gambar Arishal.
Aldi naik berang lantas dia ambil semua bekas makanan di atas dulang dan
dilemparkannya. Dia benar-benar marah, bu. Saya takut untuk masuk ke bilik
kembali dan menghantar makanan yang lain.Maafkan
saya, bu.” Sunarti berterus terang permasalahan yang sedang membeliti dirinya.Kadangkala perlakuan Aldi yang melampau
membuatkan dia berasa amat tertekan.
“Jadi, Aldi belum makan lagi?” Datin
Rabiatul bertanya lagi, ingin kepastian daripada orang gajinya.
Sunarti mengangguk-anggukkan kepala.
Matanya merenung ke wajah Datin Rabiatul meraih simpati dan pengertian daripada
majikannya itu. Mungkin Datin Rabiatul sudah mulai bosan mendengar aduannya
tentang Aldi saban hari.
Datin Rabiatul terus bangun dari buaian
lantas berjalan masuk ke dalam rumah.
“Bibik! Makanan dan teh tu bawakan ke
dapur! Sebentar lagi saya makan.” Datin Rabiatul bercakap sambil berjalan. “Lepas tu siapkan makanan untuk Aldi. Nanti saya bawakan ke biliknya!”
Datin Rabiatul menoleh kepada Sunarti yang sedang mengekorinya sambil menatang
dulang yang berisi cawan dan piring yang isinya masih belum dijamah.
Berulangkali Datin Rabiatul mengetuk pintu bilik Aldi
sehingga hampir merah belakang jari-jemarinya, barulah pintu bilik itu dibuka.
Aldi berada di atas kerusi roda. Wajahnya muram dan tegang. Jambangnya tumbuh
meliar menyebabkan wajahnya kelihatan tidak terurus. Datin Rabiatul
mengeleng-ngelengkan kepalanya melihat keadaan Aldi yang semakin
membimbangkannya.
Terkejut Datin Rabiatul melihatkan keadaan
bilik Aldi yang seperti tongkang pecah. Belum sempat bertanya, Sunarti
terjengul di muka pintu membawa makanan yang bekas-bekasnya diletakkan di
troli.
“Ibu! Makanannya untuk Aldi!” Wanita separuh umur itu kelihatan
tertakut-takut.
“Bibik! Berapa hari tak kemaskan bilik Aldi
ni?” Datin Rabiatul bertanya dengan nada lembut. Tidak sampai hatinya untuk
berkasar dengan wanita tua itu apabila dilihatnya wanita itu dalam keadaan yang
tertakut-takut.
“Saya... saya kemaskan sekarang ibu!”
Terkocoh-kocoh dan terketar-ketar tangan Sunarti sewaktu menyentuh frame gambar yang berselerakan di atas
lantai berhampiran dengan almari solek. Dia tidak selesa dengan pertanyaan
daripada Datin Rabiatul. Bilik itu dibersihkan serta dikemasnya setiap hari.
“Heh! Orang tua! Jangan usik semua
barang-barang aku! Keluar! Keluar
sekarang!” Aldi yang sedari tadi duduk
membatu dan membeku di atas kerusi roda di tepi tingkap tiba-tiba menjerkah.
Terlepas sekeping frame dari tangan
Sunarti kerana terkejut dan takut.
Datin Rabiatul memberi isyarat mata supaya
Sunarti segera meninggalkan bilik itu.
“Habis semua! Hancur!
Musnah! Semua sudah musnah! Rishal! Oh, Rishal! Mengapa pergi? Mengapa?”
Aldi tiba-tiba merintih seorang diri sambil menangis. Dia menekan-nekan
kepalanya dengan tapak tangan. Setiap hari dia menangis dan meratap begitu,
namun Arishal yang dirindui tetap tidak pulang. Kehidupannya seolah telah
dibawa bersama.
“Aldi!” Datin Rabiatul memanggil nama
anaknya itu. Dia diam seketika apabila melihat Aldi semakin tidak karuan. Kerusi rodanya digerakkannya ke depan dan ke
belakang berulangkali.Kata-kata
nasihat yang ingin diluahkan seolah hilang lenyap entah kemana. Dia melupakan
niatnya untuk memberi nasihat kepada
Aldi, bimbang lelaki itu akan lebih tertekan.
“Makan ya!” Datin Rabiatul cuba memujuk
sambil menolak kerusi roda Aldi ke arah meja makan yang berhampiran.
“Tidak! Tidak! Saya tak mahu makan! Saya
tak mahu minum! Saya mahu Rishal, mak. Saya mahu Rishal. Mengapa tuhan begini kejam, mak? Saya sayang
Rishal, mak. Saya tak pernah cintai orang lain. Dia nyawa saya, mengapa tuhan
ambil dia mak?” Aldi terus merintih-rintih sambil menepuk-nepuk kepalanya
berulang kali.
Datin Rabiatul menarik nafas panjang. Sudah
beribu kali dia mendengar Aldi merintih begitu. Sudah berlautan nasihat yang
diberikannya kepada anaknya itu, namun sedikit pun tidak berkesan. Aldi tetap
mengenang Arishal. Arishal. Arishal.
Entah sampai bila.
“Di, kerana Allah sayang, Dia ambil balik.”
Ungkapan itu sudah beribu kali keluar daripada bibirnya. Datin Rabiatul sudah
puas memujuk. Namun Aldi, hatinya seolah telah kering dan mengeras seumpama
simen.
“Di mesti makan! Mesti minum! Kalau tidak
kesihatan Di akan terjejas. Tengok tu, badan semakin kurus. Kulit sudah kering.
Bibir pecah-pecah. Makan, ya.” Lembut suaranya memujuk Aldi yang masih berdegil
dan membatu memandang dinding.
“Aku nak mati!!!” Aldi tiba-tiba bertempik dan mengulangi
ucapannya itu berkali-kali sambil menggerak-gerakkan kerusi rodanya sehingga
melanggar dinding bilik tidurnya.
“Astaghfirullahaladzim...” Beristighfar
panjang Datin Rabiatul melihat perlakuan Aldi itu yang semakin luar biasa.
Sudah kering air matanya menangisi nasib malang yang menimpa diri dan anaknya
itu. Mungkin ini dugaan untuknya. Mewah dengan harta benda dan wang ringgit,
tetapi Allah uji pula dengan keadaan anak sulungnya yang selalu hilang
pertimbangan akalnya. Mungkinkah Aldi akan berkeadaan begitu sepanjang
hayatnya? Datin Rabiatul tidak ingin memikirkan jawapan kepada persoalan
hatinya.