Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,772
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

MENTARI petang yang membahang bagaikan membakar kulit lengannya. Nurlisa mengeluarkan payung dari dalam beg sandangnya dan mengembangkan payung itu. Walaupun payung itu kecil, namun dapat juga melindungi dirinya dari terik matahari yang memeritkan.

Gadis kecil molek itu tergesa-gesa berjalan menuju ke perhentian bas yang berada kira-kira 30 meter dari situ. Untuk sampai di situ, dia perlu menyeberangi jalan yang berada di hadapannya terlebih dahulu. Begitulah rutinnya hari-hari semenjak menamatkan persekolahannya. Sebagai anak sulung, dirinya bertanggung jawab untuk mencari nafkah bagi menyara keluarga. Gadis berusia 19 tahun itu terpaksa melupakan keseronokan zaman remajanya.

Kawasan di situ sememangnya sunyi daripada manusia. Kebanyakan mereka yang ingin menaiki bas, terus pergi ke stesen bas yang letaknya tidak jauh dari situ. Namun Nurlisa lebih suka melalui jalan pintas yang sedia ada di belakang kedai tempat dia bekerja meskipun terpaksa melalui tempat longgokan sampah. Mengapalah kawasan tanah lapang di belakang restoran itu pula yang menjadi tempat longgokan sampah? Setiap hari melalui jalan itu, setiap harilah juga hatinya merungut kepada perkara yang sama.

Jam di lengan kirinya diperhatikan sekilas. Hampir 5.28 petang. Biasanya pada waktu itu dia telah sedia duduk di bangku di perhentian bas tersebut. Namun kini dia masih berdiri di pinggir jalan untuk menyeberang. Biasanya bas akan tiba pada 5.30 petang. Matanya melingas ke kiri dan ke kanan. Kereta yang melalui di hadapannya masih berterusan dan laju, langsung tidak memberi peluang kepada gadis itu untuk menyeberangi jalan.

“Terlepas bas nanti, kalau berterusan begini.” Hati kecilnya berbisik. Pandangan mata dilontar jauh. Meninjau ke arah jalan yang akan dilalui oleh bas yang akan membawanya pulang ke rumah. Dadanya berdegup kencang apabila terlihat bas yang akan dinaiki sedang menghampiri perhentian bas itu. Bebola matanya merenung ke kiri. Ada sebuah kereta berwarna merah yang kelihatannya masih jauh.

Nurlisa menoleh ke kanan pula. Tangan kirinya sedia mengangkat sedikit kain baju kurung biru berbunga kuning yang dipakainya untuk memudahkan kakinya melangkah dengan deras sewaktu menyeberangi jalan. Hanya ada sebuah motorsikal yang sedang bergerak agak perlahan. Tanpa menoleh ke kiri sekali lagi, gadis itu terus melangkahkan kakinya untuk melintas jalan sambil di hatinya terus berdoa supaya tidak ketinggalan bas.

“Ya Allah!”. Tubuhnya tiba-tiba terpelanting dan terhempas di atas jalan tar yang panas dan tergolek ke dalam semak ditepi jalan. Nurlisa cuba untuk bangun, namun kaki kirinya tiba-tiba terasa terlalu sakit. Dia rebah dan tergolek sekali lagi di atas rumput bercampur lalang di tepi jalan.

Pandangan matanya menggelap. Lantas, gadis itu tidak menyedari lagi apa yang berlaku di sekelilingnya.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.