NURLISA masih di rumah sakit.Hari ini hari ke lapan dia berada di wad itu.
Baru tadi doktor
datang melawat dan memeriksa kecederaan di kakinya. Doktor juga menunjukkan gambar x-ray keadaan
tulang di kakinya itu. Balutan pada kakinya telah dibuka. Kini Nurlisa boleh
berjalan dengan bantuan dua batang tongkat.
“Nurlisa! Awak tengok gambar x-ray ini. Ini
keadaan lutut dan betis awak. Kelmarin tulang betis awak patah di sini. Apabila
kita simenkan, tulang yang patah itu sudah hampir pulih.” Doktor Ranjit, pakar
tulang itu menerangkan kepada Nurlisa.
“Tapi, awak ada sedikit masalah kerana tulang
lutut awak retak. Keretakannya agak panjang juga dan besar serta serius.
Keretakannya ada Beberapa bahagian. Di situ kita kena masukkan sebatang besi
untuk menyokong kaki awak sewaktu awak berjalan.” Doktor Ranjit menunjukkan ke
arah filem x-ray.
Nurlisa terdiam sejenak. Segalanya menjadi
lebih sulit daripada apa yang disangka. Dia menyangka, masalah kecederaaan
dikakinya akan selesai sebaik sahaja balutan pada kakinya itu dibuka.
“Kita akan lakukan sedikit pembedahan di
bahagian lutut,” ujar Doktor Ranjit
lagi.
Air mata gadis itu berlinangan. Wajahnya
bertukar menjadi muram. Perkhabaran daripada doktor itu membawa maksud yang dia
akan mengalami kecacatan kakinya. Jika sudah cacat kaki, susahlah dia hendak
bergerak ke sana dan ke sini. Sukarlah dia hendak mencari pekerjaan atau
mendapatkan pekerjaan bagi menanggung kehidupan keluarganya yang sedia miskin
itu.
‘Kalau tak dimasukkan besi tak boleh ke
doktor?’Ingin sahaja
Nurlisa menyuarakan pertanyaan itu kepada doktor. Namun
persoalan itu ditelannya sendiri. “Selepas itu saya akan pulih dan boleh berjalan
seperti biasa ke doktor?”Sebaliknya persoalan lain yang diajukan. Nurlisa bertanya dengan suara
bimbang.
“Ya! Tetapi akan mengambil masa sedikit.
Mula-mula awak kena berjalan dengan sokongan tongkat juga. Esok kita akan
jalani pembedahan itu.” Doktor Ranjit memaklumkan dengan nada yang lembut
tetapi tegas, kemudiannya doktor itu meneruskan tugasnya untuk melawat dan
merawat pesakit lain.
Nurlisa termenung dengan perasaan yang
terbuku dan keliru. Hatinya resah, benar-benar resah. Macam mana dengan
adik-adiknya? Emak? Air matanya mengalir kembali dipipinya. Bibir yang selalu
menguntumkan senyuman tidak berdaya lagi untuk melukiskan perkara yang sama. Ya
Allah. Tolonglah hamba-MU ini. Berilah jalan keluar bagiku untuk menyelesaikan
masalah yang rumit ini. Di sebalik tangisan yang membimbangkan itu, hatinya
kembali tersenyum kerana yakin akan kasih sayang daripada-Nya. Hanya Dia-lah yang menentukan susah senang
hidupnya dan keluarga. Jika Allah ingin memberi kesenangan, tidak ada seorang
pun yang dapat menghalang-Nya.
DIIRINGI angin halus yang menikam tengah hari itu, Mak
Cik Hasnah mencedok nasi ke dalam pinggan plastik dan diaturkannya di atas
lantai yang beralas dengan tikar mengkuang yang sudah lusuh. Sebentar lagi
tentu anak-anaknya akan pulang dari sekolah. Nuraina, Nuraini, Nur Fitri dan
Mohd. Hambali semuanya bersekolah di sekolah yang letaknya tiga kilometer dari
kawasan setinggan itu.
Setiap pagi mereka akan dihantar ke sekolah
oleh Pak Hasan yang secara kebetulan akan ke pasar pada setiap pagi. Orang tua
itu dengan rela hati menawarkan bantuan serta ehsannya untuk membantu keluarga
Mak cik Hasnah. Sewaktu balik,
budak-budak itu akan menaiki bas awam dan kadang kala jika tidak cukup duit,
mereka akan berjalan kaki dengan keadaan perut yang lapar.
“Assalamualaikum, mak.” Nuraina yang
terjengul di muka pintu diekori oleh adik-adiknya yang lain.
Kesemua mereka kelihatan berpeluh-peluh dan
keletihan. Maklumlah terpaksa berjalan kaki di tengah panas terik walaupun
jaraknya tidak jauh. Masing-masing berebut-rebut untuk bersalaman dengan emak
mereka.
Nuraini membuka tudung saji. Besar harapannya
tengah hari itu untuk menikmati nasi walaupun berlaukkan ikan belanak masin.Perutnya sudah berkeroncong benar sedari
tadi.
“Laparnya... Mak, boleh ke makan nasi
sekarang?” Nuraini menuang air kosong ke
dalam gelas plastik. Air yang baru separuh gelas disambar oleh Nur Fitri dan
ditogoknya dengan rakus. Berjejeran air tumpah melalui leher dan membasahi
kolar baju sekolahnya.
“Fitri! Hisy! Tengok tu! Orang tuangkan air,
orang yang nak minum!Kenapa kamu pula yang ambil?” Nuraini memarahi adik
lelakinya yang kelihatan masih belum puas menikmati air kosong setengah gelas.
“Fitri pun haus juga! Panas! Tuang lagilah!
Dahaga betul!” Nur Fitri menanggal baju putih dari tubuhnya dan mencampakkannya
ke tepi dinding.
“Fitri! Apa buang baju macam tu?Esok kan nak pakai lagi!Nanti habis kotor! Hisy... kamu ni!” Nuraina
pula meleteri adik lelakinya itu. Baju yang selonggok di tepi dinding itu
dikutipnya dan disidainya pada dawai yang merentangi dinding.
“Alah! Baju tu memang dah kotor! Dah tiga
hari pakai! Bau pun dah busuk hapak! Kak
Aina, tolong basuh baju tu nanti!” Nur Fitri mempertahankan dirinya dan cuba
memujuk Nuraina. Matanya mengerling ke arah Nuraina yang sedang memuncungkan
bibirnya.
“Jangan bergaduh lagi di depan rezeki, tak
baik! Salin baju cepat. Nanti boleh makan!” Mak Cik Hasnah bersuara perlahan
sambil memerhatikan wajah anak-anaknya seorang demi seorang.Hatinya terkenangkan Nurlisa.
“Mak... Bila Kak Lisa boleh balik rumah?”
Hambali duduk bersila di sebelah ibunya yang sedang mengagih-agihkan telur
dadar ke dalam pinggan nasi anak-anaknya.
Mak Cik Hasnah terdiam. Dia terkenangkan perbualannya dengan Datin
Rabiatul lewat minggu lalu.
“Makanlah... Mak nak suapkan si Faiz ni.” Mak
Cik Hasnah tidak menjawab persoalan daripada Hambali.
“Hisy... Mak ni, Fitri dah jemulah makan lauk
ni hari-hari. Asyik-asyik telur goreng dan kangkung goreng taucu! Eee... tak boleh telan dah! Fitri tak mahu
makanlah!” Nur Fitri menolak pinggannya.
“Kenapa dengan kamu ni Fitri? Tak tau
bersyukur langsung. Makan sajalah. Kita bukan orang kaya yang boleh makan lauk
sedap-sedap. Kita orang miskin.” Nuraini menjegilkan matanya ke arah Nur Fitri.
“Kalau tak ada makanan macam mana? Tak tengok
surat khabar di sekolah? Tu yang di Afrika tu, Somalia. Ramai yang tak dapat
makan tau tak? Mereka terpaksa korek ulat dan cacing dalam tanah untuk makan.”Nuraina pula menyampuk.
“Alah, di sana kering kontang. Pokok pun tak
boleh hidup. Macam mana cacing dan ulat
nak hidup dalam tanah?” Nur Fitri cuba bertegang leher dengan kakak-kakaknya.
Sengaja hendak mengusik.
“Fitri! Aina! Ani! Kan mak pesan tadi, di
depan rezeki jangan berkelahi!” Sekali lagi Mak Cik Hasnah bersuara. Matanya merenung ke wajah anak-anaknya.Seorang demi seorang.
“Fitri
ni mak! Tak tau nak bersyukur langsung!Walaupun hidup kita miskin, tapi rasanya kita
belum pernah lagi kelaparan kerana tidak ada makanan untuk dimakan.” Nuraina pula menyambung leteran Nuraini.
Nur Fitri terdiam sejenak. Seketika kemudian
dia mengambil semula pinggan nasinya tadi.
“Mak... Tadi cikgu kelas Hambali minta duit
yuran sekolah. Hambali seorang saja yang belum bayar mak. Hambali rasa malu.”
Hambali mengadu dengan suara yang perlahan.
“Kalau tak dapat duit sampai minggu depan,
Hambali tak mau pergi sekolah lagi!”Anak itu bersuara antara dengar dengan tidak. Bimbang
dimarahi emaknya.
Nuraina memandang ke wajah emaknya. Guru
kelasnya juga meminta dia menjelaskan bayaran yuran. Untuk tahun ini, mereka
sudah bersekolah hampir enam bulan, tetapi yuran sekolah masih belum
dijelaskan.
“Mak! Biar Aina berhenti sekolah. Kita tak
mampu.” Nuraina menundukkan
wajahnya. Dia takut untuk merenung ke
wajah emaknya yang sedang memandang ke arahnya.
Emaknya pasti
marah mendengar pendapatnya itu. Pada emaknya, pelajaran tetap perkara utama.
“Jangan berhenti! Esok-esok kamu akan lebih susah dari hari
ini.” Mak Cik Hasnah terbatuk-batuk,
namun tetap ingin menasihati anak-anaknya supaya memikirkan tentang masa depan
mereka.
“Yalah mak. Biar Ani dan Kak Aina berhenti
sekolah. Kami boleh cari kerja dan bantu
mak. Mak perlukan wang untuk berubat. Adik-adik perlukan wang untuk bersekolah
dengan selesa.” Nuraini memberi pandangan seolah seorang wanita yang telah dewasa
dan matang, sedangkan umurnya baru 12 tahun.Mungkin keperitan dan kesusahan hidup telah
mematangkan kanak-kanak itu.
“Kamu budak-budak lagi! Aina baru 14 tahun,
Ani baru darjah enam! Siapa yang nak beri kamu bekerja? Kerja apa yang kamu
boleh buat?” Mak Cik Hasnah menyoal kembali anak-anak gadisnya yang terlalu
ghairah untuk berhenti sekolah.
“Nanti mak usahakan. Tunggu Kak Lisa kamu
keluar daripada hospital, biar dia yang membuat keputusan. Lagipun mak dah
dapat kerja mencuci pakaian untuk beberapa buah keluarga di sini. Dapatlah
empat lima ringgit sehari.” Mak Cik Hasnah bersuara dengan nada membujuk.
Membujuk anak-anak dan membujuk hati sendiri.
“Tapi... mak pun sakit. Mak tak boleh buat
kerja-kerja yang teruk begitu!” Suara Nuraina seakan merengek. Dia faham derita yang ditanggung oleh emaknya
itu. Batuk yang kadangkala mengeluarkan kahak yang berdarah sudah tentu
mendatangkan kesakitan kepada dada emaknya yang tidak berdaya itu.
“Jangan berhenti sekolah! Semua mesti
teruskan persekolahan. Kita usaha, insya-allah akan ada rezekinya!” Mak Cik Hasnah tetap bertegas dengan
keputusannya.
“Mesti usaha juga.Kalau sayang kepada mak, dengarlah nasihat
mak ni!” Suara Mak Cik Hasnah seolah bergetar. Ada air mata pilu yang terhimpun
di penjuru mata wanita tua itu.
“Hari ini Allah uji kita dengan kesusahan
ini.Bersabar dan tawakallah.Insya-allah... satu hari nanti, kehidupan kita mungkin lebih baik daripada
hari ini. Kalau tidak ada ilmu pengetahuan, tidak ada pelajaran, tidak ada ilmu
agama macam mana nak tempuhi hidup pada masa akan datang.”
Lembut suaranya berpesan kepada anak-anak
yang sedang mengelilinginya. Mak Cik Hasnah mengesat air mata yang hampir
merembes daripada kolam matanya.
“Tapi mak!” Nuraina dan Nuraini merengek
serentak. Mereka bingung memikirkan
kehendak emak yang masih mahu anak-anak bersekolah walaupun sudah tidak berkemampuan lagi untuk menanggung segalanya.
Mak Cik Hasnah tidak memberi jawapan kepada
rengekan anak gadisnya itu. Dia sibuk melayani fikirannya sendiri dan
mengenangkan perbualannya dengan Datin Rabiatul beberapa hari yang lalu.
DATIN Rabiatul memegang tangan Nurlisa yang sebelah
kanan. Hari itu gadis itu telah dibenarkan keluar dari wad. Nurlisa berjalanterhincut-hincut sambil mengepit tongkat di bawah ketiak
kirinya. Dia berjalan perlahan-lahan sambil cuba menyesuaikan diri dengan
situasi dirinya yang baru.
“Mak cik hantar Lisa pulang ke rumah, ya.
Lepas itu bolehlah Lisa berbincang dengan emak dan adik-adik tentang hal itu!”
Datin Rabiatul bersuara perlahan sambil menoleh ke arah gadis yang sedang
berjalan di sisinya.
“Mak cik dah beritahu mak Lisa.”Perlahan suara Datin Rabiatul di pendengaran
Nurlisa. Gadis itu tidak menjawab. Dia
asyik melayani fikirannya sendiri.
Sesekali Datin Rabiatul mengerling Nurlisa
yang sedang berjalan di sisinya dengan langkah yang amat perlahan. Nurlisa cuba
bersikap tenang sedangkan jiwanya bergelora amat kuat. Permintaan Datin Rabiatul amat mudah untuk
diterima, namun senangkah dirinya melaksanakan segala permintaan dari wanita
yang telah berbudi dengannya itu? Sedangkan dirinya pada waktu itu serba
kekurangan. Pergerakannya yang
terhad. Kesempurnaannya sudah
lenyap. Dia kini seorang gadis yang
tempang.
Hatinya meraung apabila diberitahu oleh
doktor yang merawatnya bahawa kakinya telah cacat. Selepas pembedahan dan memasukkan besi di
lututnya, kaki kirinya pendek 3 sm. Itu bermakna dia tidak boleh berjalan dengan sempurna. Berdiri dengan sempurna.Kaki kirinya akan tergantung dari permukaan
tanah sewaktu dia berdiri. Jika berjalan, gerak langkahnya akan menjadi
tempang.
‘Allah hu akhbar... tabahkanlah hatiku untuk
mengharungi dugaan ini. Aku redha dengan ujian-MU ini, Ya Allah.’ Menguatkan
kembali jiwa yang seolah ingin rebah, Nurlisa menyerahkan segalanya kepada
Allah yang telah menciptanya ke dunia ini.
Hanya Dia-lah yang tahu muslihat disebalik ujian dan dugaan yang telah
ditetapkan kepada setiap hamba-Nya.
“Mak cik harap, Lisa tidak hampakan mak cik!”
ujar Datin Rabiatul lagi. Memancung lamunan Nurlisa yang semakin jauh menerawang.
Seumur hidupnya tidak pernah berpisah dengan emak dan adik-adiknya sehinggalah
dia menerima kecelakaan itu.
“Sedari kecil Lisa tidak pernah berpisah
dengan mak dan adik-adik, mak cik.” Ada sendu di hujung suara Nurlisa.
Raut wajahnya yang mendung dan kesedihan
membenihkan rasa sebak di jiwa Datin Rabiatul. Dia mengerti gelombang jiwa
gadis yang sedang berjalan bersamanya itu. Dia dapat menjangka emak Nurlisa pun
tentu sedih apabila mendengar permintaan dan cadangannya.
“Mak cik faham Lisa. Mak cik tidak memaksa
tetapi mak cik berharap sangat supaya Lisa tidak menolak.” Datin Rabiatul
seakan memujuk.
“Dengan keadaan Lisa yang begini, apa kerja
yang saya boleh lakukan di rumah mak cik?” Nurlisa bertanya dengan jujur.
Kebimbangan bertapak dikalbunya apabila menyedari kekurangan diri sendiri.
“Tolong tengok-tengokkan anak mak cik dan
tengok-tengokkan bunga-bunga di sekeliling rumah mak cik. Itu saja.” Datin
Rabiatul bersuara dengan lembut untuk memujuk Nurlisa.
Nurlisa mendiamkan diri sekali lagi. Bibirnya
tidak tahu untuk membicarakan apa lagi. Bisu untuk berkata.
“Di rumah itu tidak pernah ada anak gadis
yang menghuninya. Mana tahu, dengan kedatangan Lisa segalanya akan berubah.”
Datin Rabiatul memujuk lagi dengan segunung harapan. Hatinya sudah mulai terasa
sayang kepada gadis itu walaupun baru mengenalinya. Nilai kesabaran dan
kelembutan hati yang ditonjolkan oleh gadis itu, amat menarik hatinya.
DALAM kedinginan malam, rumah kediaman Mak cik Hasnah
diselubungi kesedihan. Selepas sahaja mendengar keputusan yang dibuat oleh
kakak mereka, Nuraina, Nuraini, Fitri dan Hambali terus menyepikan diri dan
membuat hal masing-masing. Kecuali Faez
yang belum mengerti makna perpisahan asyik berlari-lari ke sana sini.
“Mak... Biarlah Lisa terima tawaran datin tu.
Lagipun Lisa dah cacat. Kalau Lisa nak bekerja di restoran tempat yang dulu tu,
tentu tak sesuai.” Nurlisa seakan berbisik di telinga Mak Cik Hasnah. Pada waktu itu dia sedang berbaring di sisi
emaknya itu.
“Datin kata, Lisa hanya tolong jaga bunga-bunga
dan tolong tengok-tengokkan anaknya saja. Dia ada pembantu lain untuk memasak.
Datin kata dia sunyi di rumah sebab tak ada anak perempuan!” Nurlisa cuba
bercerita kepada Mak Cik Hasnah apa yang telah diceritakan oleh Datin Rabiatul
kepadanya.
“Dia juga ada beritahu yang seorang anaknya
sedang sakit! Mungkin Lisa akan tolong jaga anaknya itu sewaktu datin tak ada
di rumah!” Nurlisa menerangkan kepada
ibunya apa yang telah diberitahu oleh Datin Rabiatul kepadanya.
“Besar mana anaknya tu?” Mak Cik Hasnah
menyoal kembali.
Nurlisa terdiam. Datin Rabiatul tidak
menerangkan dengan jelas tentang anaknya itu. Datin Rabiatul kelihatan masih
muda lagi. Sudah tentu anak yang dikatakannya itu lebih muda daripada Nurlisa
sendiri.
“Lisa! Maafkan mak, nak. Mak orang susah dan
tak dapat jalankan tanggungjawab mak kepada kau, nak. Sepatutnya mak yang
sediakan segalanya untuk anak-anak.” Suara Mak Cik Hasnah tersendat pilu. Dia
mendakap tubuh Nurlisa dan mencium pipi anak gadisnya itu berkali-kali. Kedua
beranak itu berpelukan sambil menangis kerana mengenangkan nasib mereka.
“Lisa akan korbankan segalanya untuk mak dan
adik-adik selagi Lisa termampu.” Nurlisa menangis hiba di dalam dakapan ibunya.
Walau apapun yang terjadi, budi emak tetap akan dibalas.
“Lisa janji mak. Lisa akan berusaha untuk
mengubah nasib keluarga kita. Insya-allah... lambat laun kehidupan keluarga
kita akan menjadi lebih baik.”Nurlisa seolah berbisik. Begitu besar harapan dan impiannya.
“Lisa akan kerja bersungguh-sungguh mak. Lisa
nak bawa mak berubat penyakit mak tu. Lisa tahu mak terlalu menderita.” Suara
Nurlisa seolah berbisik di telinga emaknya.
“Lagipun, Lisa rasa terhutang budi dengan
Datin Rabiatul tu. Mujur dia jumpa Lisa sewaktu hari kemalangan tu.” Nurlisa meneruskan bicaranya sambil tangannya
mendakap tubuh ibu yang kurus.
“Lagipun kalau Lisa cari kerja di tempat
lain, tentu tidak diterima mak.Lisa masih bertongkat. Tidak boleh berjalan dengan sempurna lagi.” Nurlisa
menyuarakan pandangannya.
“Anggaplah ini semua ketetapan Allah mak!
Hikmah Allah temukan Lisa dengan Datin Rabiatul kerana kemalangan itu.” Suara
Nurlisa tenggelam timbul di pendengaran emaknya.
“Mungkin sudah takdir Allah juga Lisa akan
tinggal bersamanya untuk mendapat rezeki yang Allah telah tetapkan buat Lisa.”
Nurlisa terus memujuk hati emak yang dikasihi.
“Yalah Lisa. Mak pun fikir begitu.Lagipun mak tengok dia macam berbudi
orangnya. Kalau Lisa tinggal bersamanya nanti, pandai-pandailah jaga hatinya!”
Mak Cik Hasnah bersuara perlahan.
“Lisa jangan lupa solat. Jangan sesekali
tinggalkannya, nak. Baca Quran bila ada masa lapang! Ingatlah nak, kita ini
orang susah.Janganlah
kesusahan kita ini kita bawa sampai ke akhirat tanpa membawa bekalan apa-apa.”
Mak Cik Hasnah menasihat dengan penuh kasih sayang.
“Mak tak ada ilmu yang banyak untuk turunkan
kepada Lisa. Tapi Lisa mesti selalu mengingatkan diri yang kita ini orang
Islam. Allah sudah beri al-Quran untuk kita jadikan pertunjuk. Jangan berhenti
membacanya nak, walaupun Lisa sudah khatam dua tiga kali.” Bagaikan tidak cukup
pesanan yang ingin disampaikan kepada anak tersayang.
“Insya-ALLAH, mak. Lisa akan ingat segala
pesanan mak,” jawab gadis itu lagi.
“Biar kita miskin harta dan wang ringgit di
dunia ini. Tetapi bekalan untuk hari
akhirat janganlah Lisa lupa, nak. Tanpa
wang ringgit pun kita boleh buat bekalan untuk hari akhirat.” Mak Cik Hasnah
berpesan lagi.
“Nak, berbuat baiklah pada orang lain. Baik
dalam kata-kata. Baik dalam tingkah laku. Gunakanlah kudrat yang ada untuk
menolong orang kerana hanya itu yang kita mampu.” Jika diukur dengan guni, pada malam itu
entah berapa gunilah pesanan yang dihamburkannya kepada anak gadisnya itu.
“Insya-ALLAH, mak. Lisa ingat semua itu. Kan
mak dah selalu nasihat dan berpesan kepada Lisa dan adik-adik sejak kami kecil
lagi. Dunia ini hanyalah sementara. Akhirat juga tempat yang kekal.” Nurlisa
mengambil tangan Mak Cik Hasnah dan membawa ke dadanya.
Bibir Mak Cik Hasnah mengukir senyuman di
dalam kegelapan. Kata-kata yang keluar daripada bibir anaknya itu melegakan perasaan
hatinya.