Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,776
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

SUASANA hening dan sepi. Pendengarannya hanya tertangkap bunyi erangan-erangan dan dengkuran yang amat asing. Hidungnya terhidu bau yang luar biasa. Tubuhnya terasa dingin. Kedinginan bukan disebabkan air tetapi udara sekelilingnya.

“Ya Allah! Aduh! Sakitnya! Mak!Mak! Sakitnya mak!” Nurlisa terus merintih kesakitan sebaik sahaja matanya dicelikkan. Sedikit demi sedikit dia melihat ke persekitarannya. Semuanya serba putih.Seluruh tubuh badannya terasa sengal. Pandangan matanya agak berpinar seketika.

“Aku di mana ni? Rumah siapa ni?” Bibirnya bergetar sewaktu mengemukakan pertanyaan. Tangannya menggenyeh-genyeh mata yang agak kabur pandangannya. Sekelilingnya berwarna putih. Di siling, kipas angin berputar seligatnya. Perasaan yang bergemuruh dan hairan semakin merimbun apabila melihat wanita yang berada di sisi bukan ibu yang dikasihi.

“Mak! Lisa di mana? Sakit!” Suaranya serak menahan sebak. Walaupun tahu, wanita yang berada disisi bukan emaknya yang dikasihi, di saat diri berada di dalam kesakitan begitu, emak juga yang dicari. Dalam keadaan yang berbaring itu, tubuhnya cuba digerak-gerakkan ke kiri ke kanan.

“Alhamdulillah... dah sedar anak ni! Nak! Sabar nak! Anak kena langgar. Mak cik terjumpa anak tergolek di tepi jalan.” Datin Rabiatul menerangkan dengan nada yang lembut. Kepala Nurlisa diusapnya perlahan. Hampir empat jam Nurlisa tidak sedarkan dirinya. Sewaktu di luar sedarnya, para jururawat dan doktor bertungkus lumus merawatnya. Mujurlah kecederaannya dapat dirawat dan keadaannya stabil.

“Sekarang ni, anak di hospital.”Datin Rabiatul memberitahu dengan lembut dan wajah yang tenang. Tangannya masih mengusap ubun-ubun gadis itu, persis mengusap dan membelai anak gadis sendiri.

“Kena langgar? Oh...” Nurlisa cuba mengingatkan sesuatu. Segalanya cuba diimbas kembali di fikirannya. ‘Allah Hu Akhbar. Syukurlah aku selamat,’ bisik hati kecilnya. Dia teringat kepada ibu dan adik-adiknya di rumah yang tentunya sedang risau menantikan kepulangannya.Dia cuba bergerak dan turun dari katil. Hatinya meronta-ronta untuk segera pulang ke rumah. Bukankah pagi tadi dia telah berjanji untuk membelikan beras, gula, kopi dan ikan kering untuk keperluan keluarganya. Sudah Beberapa hari bekalan makanan di rumah mereka hampir putus. Semuanya tinggal sedikit sahaja lagi.

Lagipun malam ini, malam Ahad dan seharusnya dia telah berada di tapak pasar malam yang berada di simpang jalan masuk ke kawasan setinggan tempat keluarganya menetap. Di tapak pasar malam itu juga, Nurlisa harus mencari rezekinya untuk menampung keluarga mereka. Sekurangnya pada malam ini, jika dia membantu Pak Hasan yang menjual barang-barang runcit, ada jugalah pendapatannya. Sekurangnya-kurangnya dia akan memperolehi 20 ringgit untuk malam itu. Ada ketikanya, jika banyak jualan Pak Hasan akan mengupahnya sebanyak 25 ringgit. Di situlah juga dia akan membeli barangan dapur dengan harga yang murah. Kadangkala Pak Hasan yang berbudi mulia memberinya percuma walaupun Nurlisa kerap menolak.

Nurlisa tiba-tiba menangis teresak-esak sambil mengesat hidungnya dengan hujung baju. Tiba-tiba dia rasa keseorangan dan kesedihan yang bergelombang deras di jiwanya seolah melemaskannya.

“Nak balik...” Dia merintih perlahan dan cuba turun dari katil sekali lagi.Namun kakinya rasa terlalu berat. Nurlisa menyelak kain selimut yang menutupi kakinya. Hatinya menjerit apabila melihat kaki kirinya berbalut rapi sehingga ke peha.

“Nak ke mana ni nak? Anak tak boleh bangun. Kaki anak patah. Semuanya sudah dirawat sewaktu anak pengsan tadi.” Datin Rabiatul menerangkan dengan nada lembut.

“Beritahu mak cik di mana rumah anak? Mak cik pergi cari keluarga anak. Tentu mereka sedang risau!” Datin Rabiatul menyambung kembali bicaranya yang terhenti sambil memandang ke wajah Nurlisa. Gadis di hadapannya berkulit cerah. Wajahnya bujur sirih dan berkulit licin. Nasib baik kemalangan tadi hanya mencederakan kakinya.

“Terima kasih! Minta maaf, saya menyusahkan mak cik!” Dalam gelora kesedihan Nurlisa cuba tersenyum dan memegang lengan wanita berhati mulia yang tidak dikenali, namun telah sudi untuk membantunya. Wanita yang berwajah lembut itu tersenyum memandangnya.

“Itu tanggungjawab mak cik terhadap insan lain yang memerlukan nak! Insya-allah... semua ini telah diaturkan oleh Allah!” Datin Rabiatul berasa lega apabila gadis itu tidak lagi merintih kesakitan walaupun dia tahu, kesakitan itu masih ada.

“Nama anak siapa?” ujar Datin Rabiatul lagi. Matanya lembut memandang ke wajah Nurlisa. Gadis bermata lembut dan redup itu menarik perhatiannya.

“Nurlisa...” Nurlisa menjawab dengan sopan dan perlahan. Dahinya dikerut-kerutkan kerana menahan kesakitan yang sesekali datang.Hatinya berasa pilu mengenangkan nasib malang yang datang menimpa dirinya.

Puas diminta akhirnya Nurlisa memberikan alamat dan nama ibu bapanya kepada Datin Rabiatul. Wanita itu telah berjanji akan mencari keluarga Nurlisa dan memaklumkan hal kemalangan itu.

“Saya tinggal di rumah setinggan saja mak cik!” Nurlisa berterus terang dengan nada sebak. Dia terbayangkan rumah yang daif. Kehampaan mencerut hatinya apabila melihat kecederaan di kaki. Kalaulah kemalangan tadi menyebabkan dia kehilangan kakinya, hancur musnahlah segala impiannya untuk memperbaiki kehidupannya sekeluarga. Musnahlah cita-citanya untuk membalas budi emak yang telah melahirkannya. Cita-citanya untuk memberi kesenangan kepada emak yang selama ini, hidup dibelit keperitan dan kemiskinan.

“Tak apa, Lisa! Di mana-mana pun serupa saja. Asalkan ada tempat berteduh. Mak cik akan cari keluarga Lisa. Tentu mereka risau menanti kepulangan Lisa!” Datin Rabiatul menepuk-nepuk lengan Nurlisa. Cuba mententeramkan hati gadis itu.

“Terima kasih, mak cik!” Nurlisa bersuara seakan berbisik. Sedu sedannya disembunyikan. Matanya mengiringi langkah kaki Datin Rabiatul yang beredar meninggalkannya.

Sebaik sahaja tiba di bahagian hadapan wad hospital itu, Datin Rabiatul cuba menghubungi suaminya Datuk Haris, namun tidak ada jawapan. Berkali-kali dia mencuba. Akhirnya setelah hampir sepuluh minit mendail, barulah Datuk Haris menjawab panggilannya.

“Helo, bang... Tolong ambil saya di hospital nanti.” Datin Rabiatul terus menghubungi suaminya lagi sebaik sahaja keluar dari perkarangan wad. Matanya melihat jam di lengan. Sudah hampir 10.00 malam.

“Mana kereta awak? Kan saya ada mesyuarat penting sekarang ni! Mengapa di hospital pula.” Datuk Haris berbisik-bisik ketika menjawab panggilan telefon daripada isterinya. Bimbang didengari oleh orang lain yang sedang asyik membincangkan perancangan untuk menambah projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat. Mesyuarat berlarutan selepas waktu isyak tadi. Badannya terasa letih benar, tiba-tiba pula isteri menelefon dan memberitahu sesuatu yang tidak boleh diterima akalnya. Bukankah waktu itu sudah hampir tengah malam? Ke mana pula arah tujuan Datin Rabiatul? Dahi Datuk Haris berkerut, meneka dan memberi jawapan kepada persoalan yang timbul di benaknya.

“Nanti saya cerita. Assalamualaikum.” Datin Rabiatul terus menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan. Langkahan kakinya diteruskan menuju ke balai pelawat yang terletak Beberapa meter di situ. Hampir 20 minit dia menunggu, barulah ternampak kereta Datuk Haris berhenti di tempat parkir kereta. Datin Rabiatul cepat-cepat berjalan menuju ke kereta. Dia masuk ke kereta lalu menghenyakkan pinggulnya di kerusi, sebelah pemandu.

Datuk Haris memandu dengan berhati-hati. Datin Rabiatul yang duduk di sisinya hanya membisu. Sebaik tamat sahaja mesyuarat tadi, Datuk Haris terus menjemput isterinya itu di hospital.

“Isteri Wak Dollah masih belum sihat ke, Tun? Dah banyak hari dia bercuti.” Datuk Haris bertanyakan tentang pemandu mereka kepada isterinya itu.

“Biarlah, bang! Wak Dollah tu bukannya selalu bercuti. Bukan isterinya saja yang sakit. Anak-anaknya pula kena demam campak.” Datin Rabiatul bercerita sambil tersenyum. Faham benar dengan perangai Datuk Haris yang tidak suka memandu sendiri.

“Betul ke alamat yang diberi oleh budak tadi? Puas kita berpusing-pusing ni, simpang mana yang hendak dimasuk. Banyak simpang yang ada. Tak nampak pun macam kawasan rumah setinggan. Ni semua taman perumahan.” Datuk Haris mula memBibikl. Matanya melingas ke kiri dan kanan.

“Malam-malam begini, macam mana nak nampak! Kawasan rumah setinggan mestilah gelap!”Bebelan Datuk Haris masih belum berhenti.

“Esok-esok sajalah kita cari.Kalau tidak pun kita pergi buat laporan ke balai polis, minta pihak polis saja yang carikan keluarganya.Awak dah tolong bawa dia ke hospital pun dah kira baik.” Datuk Haris bersuara agak kuat apabila dilihatnya Datin Rabiatul seolah tidak mendengar segala leterannya.

“Cuba awak perlahankan kereta di persimpangan depan tu. Nampak macam tapak pasar malam tu. Hmm... yalah. Mungkin di sini jalannya.” Datin Rabiatul menunjukkan jarinya ke kawasan lapang di sebelah kanan jalan.

Kereta Datuk Haris meluncur perlahan memasuki ke lorong yang di kiri kanan jalannya terdapat rumah papan yang didirikan rapat-rapat.

“Cuba tanya wanita yang sedang menunggu di pondok menunggu bas itu.” Datuk Haris mencadangkan kepada Datin Rabiatul. Keretanya diberhentikan, namun enjinnya masih dihidupkan.

Datin Rabiatul segera keluar dari kereta dan menuju kepada wanita bertubuh kurus yang sedang memeluk tubuh di bawah pondok itu. Dari jauh dia telah mendengar kokohan batuk yang amat keras dari wanita tersebut.

“Assalamualaikum, kak.” Dengan mesra dia memberi salam. Wanita itu agak terkejut, namun menjawab salamnya dengan perlahan. Matanya menyorot ke wajah wanita yang sedang berjalan ke arahnya. Wanita itu mungkin sebayanya, namun dia lebih cantik dan bergaya. Wajahnya nampak berseri walaupun hanya lampu jalan sahaja yang menyuluhi wajahnya.Berpakaian moden, berseluar panjang putih, dipadankan dengan blaus merah muda serta berkasut tumit tinggi. Mungkin wanita ini dari golongan orang berada. Begitu fikir Mak Cik Hasnah yang sedang menunggu di bawah pondok bas itu.

“Kak dah lama ke di sini?” Datin Rabiatul memulakan pertanyaan. Jika wanita itu sudah lama tinggal di kawasan itu, sudah tentu dia kenal dengan keluarga Nurlisa. Tangannya dihulurkan kepada Mak Cik Hasnah untuk berjabat tangan.

“Lama, sejak isyak tadi.Saya menunggu anak gadis saya yang belum balik-balik lagi.” Mak CikHasnahmenjawab lambat-lambat. Patah-patah perkataannya diselangi dengan batuk-batuk yang amat keras.

“Kuat batuk kakak ni.” Datin Rabiatul merenung wajah cengkung itu dengan penuh simpati.

“Hmm... beginilah cik,” ujar Mak CikHasnah perlahan. Kepalanya digelengkan berkali-kali. Mungkin lehernya terasa lenguh. “Tapi saya bimbangkan Lisa. Dia belum balik dari petang tadi. Tak sihat pun saya kena tunggu dia di sini juga. Hari sudah malam, saya tak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada dia. Kami sekeluarga bergantung kepadanya.”

Penerangan Mak Cik Hasnah membuatkan hati Datin Rabiatul semakin tersentuh. Dia juga berasa serba salah. Jika benarlah wanita yang sedang berada di depan matanya ini ialah emak kepada Nurlisa, apa perasaan wanita itu jika mendengar kecelakaan yang telah menimpa anak gadisnya itu? Bagaimana jika wanita itu juga mengidap sakit jantung?

“Kakak! Rumah kakak di mana?” Datin Rabiatul cuba berhelah. Lebih baik memberitahu perkhabaran yang mendukacitakan di rumah.

“Belakang sana! Lebih kurang 20 meter dari sini!”

“Boleh saya minta sedikit air untuk kereta kami, kak.” Datin Rabiatul bersuara agak perlahan. Tiba-tiba sahaja idea itu muncul di fikirannya.

“Tangkinya hampir kekeringan!” Datin Rabiatul menyambung percakapannya yang terhenti. Rasa bersalah mengintip di kalbu. Pembohongan yang sengaja dilakukan.

“Boleh! Jika setakat air kosong tu bolehlah! Nanti saya ambilkan! Nak banyak mana? Satu baldi?” tanya Mak Cik Hasnah sambil merenung Datin Rabiatul.

Datin Rabiatul merenung Mak Cik Hasnah kembali. Dia rasa bersalah kerana berbohong apatah lagi apabila melihat ada cahaya keikhlasan yang terpancar di wajah Mak Cik Hasnah yang ditemuinya di bawah pondok itu. Seketika kemudian, wanita itu terus berjalan keluar dari pondok itu dengan langkah yang perlahan. Datin Rabiatul cuba mengekorinya.

“Cik tak payahlah ikut! Jalannya tak elok! Musim hujan ni banyak lecak bertakung di sana sini. Nanti habis pakaian cik kotor! Tak apa... biar mak cik ambilkan dan bawa ke mari.” Seraya menoleh ke arah Datin Rabitul, Mak Cik Hasnah bersuara lembut.

“Tak apa! Saya ikut ke rumah! Nanti saya beritahu suami saya dulu!” Datin Rabiatul berpatah balik ke kereta untuk memberitahu Datuk Haris masalah yang sedang dihadapinya.

“Hai! Awak ni betul-betul mencari masalah, Tun! Apa salahnya kalau awak beritahu saja dia di situ. Sekarang ni dah malam. Pukul 11.00 malam, bukannya pukul 11.00 pagi!” Datuk Haris merengus.Marah benar dia dengan perangai isterinya yang dirasakannya tidak tegas itu.

Datin Rabiatul menutup hidung sewaktu mengekori Mak Cik Hasnah. Bau hancing, masam dan segala macam bau yang tidak enak menerjah masuk ke hidungnya. Bau yang datang dari limbah-limbah serta parit yang tidak teratur itu meloyakan.Tandas dibina di sana dan di sini.

“Minta maaflah, cik.Hanya jalan ini saja yang ada.Maklumlah, kawasan setinggan begini, parit, longkang, tandas merata... busuk.” Mak Ck Hasnah juga menutup hidung. Beberapa minit berjalan, mereka tiba di sebuah rumah yang ada sebatang parit kecil di hadapannya. Bagaimanapun parit itu masih mampu dilangkah oleh kedua wanita itu.

“Inilah rumah tempat saya tinggal. Minta maaflah, cik. Rumah ini buruk dan uzur. Masuklah dulu. Saya ambil air kejap.” Mak cik Hasnah meninggalkan wanita yang baru dikenalinya itu di muka pintu.

Rumah berdinding papan. Berlubang di sana sini. Ternampak cahaya dari rumah orang lain melalui lubang-lubang di dinding. Datin Rabiatul membandingkan rumah itu dengan rumah arnab di belakang banglonya. Mungkin rumah arnab itu lebih kukuh buatannya.

Mata Datin Rabiatul terus memerhati keadaan di dalam rumah itu. Semuanya amat menyedihkan. Lantainya separuh simen dan separuh tanah beralas dengan tikar getah yang sudah buruk benar. Lantai rumah arnabnya pun diperbuat dengan simen dan mozek.

“Assalamualaikum! Hasnah!”

Terkejut Datin Rabiatul apabila mendengar suara lelaki tiba-tiba memberi salam dari belakangnya. Lelaki tersebut membawa Beberapa beg plastik dan sekampit beras.

“Lisa ke mana Hasnah? Demam ke dia?” Lelaki itu bersuara lagi sebaik ternampak muka Mak Cik Hasnah yang muncul dari belakang rumah.

“Tak tahulah Pak Hasan. Dari tadi dia tak balik. Saya risau sangat.” Mak Cik Hasnah merenung ke arah barang-barang yang dibawa oleh lelaki separuh abad itu.

“Ini aku bawakan barang-barang dapur. Beras pun ada. Selalu Lisa membeli barang-barang dua minggu sekali. Aku risau dia sakit ke... demam ke, tak datang ke pasar malam ni. Nanti kau kehabisan barang-barang di dapur pulak.” Pak Hasan menyerahkan barang-barang yang dijinjitnya kepada Mak Cik Hasnah sambil disambut oleh wanita itu.

“Tapi saya tak ada duit nak bayar ini semua Pak Hasan. Saya ada sepuluh ringgit sahaja. Itupun buat belanja sekolah budak-budak tu hari Isnin nanti.”Mak Cik Hasnah berterus terang dengan suara sedih. Matanya digenangi air, mengenangkan nasib badan. Malu rasanya jika hidup mengharapkan ihsan daripada orang lain.

“Tak payah sebut tentang duit Hasnah.Ambillah. Aku ikhlas. Lagipun Lisa itu kerja dengan aku walaupun seminggu sekali. Rajin dan amanah budaknya. Anggaplah ini hadiah daripada aku. Lisa mana?” Lagi sekali Pak Hasan bertanyakan tentang Nurlisa.

Mak cik Hasnah merenung ke arah jalan sambil mengelengkan kepalanya. Di wajah tuanya terpamer kebimbangan.

Datin Rabiatul terdiam. Dia tidak tahu untuk memulakan bicara tentang berita yang ingin disampaikannya. Butir-butir percakapan antara Pak Hasan dan Mak Cik Hasnah yang didengari menjelaskan tentang kesusahan keluarga itu. Sudah tentu Nurlisa menjadi tunggak dan tempat keluarga itu bergantung harap. Kini, gadis itu pula terlantar di rumah sakit kerana kemalangan. Lebih sulit lagi, kakinya patah dan sudah tentu tidak dapat berjalan untuk mencari rezeki bagi menampung keluarga itu. Mungkin untuk waktu yang lama juga.

“Cik ni siapa?” Pak Hasan tiba-tiba menoleh ke arah Datin Rabiatul yang berdiri terpacak seperti tiang lampu. Pada ketika itu, Mak cik Hasnah membawa barang-barang dapur pemberian Pak Hasan ke belakang, mungkin menghantarkannya ke dapur.

“Encik... sebenarnya saya datang ni nak bawa berita tentang Nurlisa! Saya terjumpa Nurlisa pengsan di tepi jalan. Dia telah dilanggar oleh kereta. Tapi saya tak sampai hati untuk memberitahu emaknya lalu saya berpura-pura meminta air untuk mengisi tangki kereta saya.” Datin Rabiatul berterus terang dengan suara yang agak berbisik.

Pak Hasan yang terkejut terus menghampiri Datin Rabiatul untuk mendapatkan penjelasan. “Sekarang dia di mana? Cedera? Teruk ke? Dah sedar ke belum?” Bertubi-tubi Pak Hasan bertanya. Jelas lelaki tua itu sangat terperanjat dan bimbang mendengar cerita tentang Nurlisa.

“Di hospital. Kakinya patah. Tapi sebelum saya keluar dari wad tadi, dia dah sedar. Dia yang beritahu alamat ini. Encik tolonglah beritahu emak Nurlisa. Saya tak sampai hati.” Datin Rabiatul bersuara perlahan. Terasa ringan bahunya kini apabila berita itu telah disampaikan kepada Pak Hasan. Pada fikirannya, sudah tentu Pak Hasan dapat memberitahu kepada Mak Cik Hasnah dengan cara yang baik.

“Cik ini airnya! Minta maaflah kerana menunggu lama. Air paip di sini terlalu sikit. Kadangkala hendak memenuhkan satu tempayan pun sampai satu hari menadahnya!” Mak Cik Hasnah menerangkan sebaik sahaja muncul di muka pintu sambil menjinjit sebuah baldi berwarna biru yang sudah buruk.

“Biar Mak Cik tolong hantarkan sampai ke tepi jalan.Mak cik pun nak menunggu anak mak cik si Nurlisa itu.Entah mengapa dia belum balik-balik lagi” Mak Cik Hasnah bersuara tulus.

Datin Rabiatul memandang ke wajah Pak Hasan yang masih berdiri di situ.

“Hasnah! Tak payah pergi tunggu Nurlisa! Sebenarnya begini, cik ini ingin menyampaikan berita tentang Nurlisa...” Pak Hasan memberitahu apa yang didengarnya daripada Datin Rabiatul.

Mak Cik Hasnah terlopong. Wanita yang meminta air tadipun sudah meninggalkan rumah itu tanpa disedari oleh Pak Hassan dan Mak Cik Hasnah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.