Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,740
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

HARI pertama Nurlisa berada di rumah bunglo tiga tingkat milik Datuk Haris itu. Segalanya asing. Keadaan rumah sudah tentulah jauh bezanya dengan rumah setinggannya dulu. Rumah itu umpama mahligai kayangan, sesuai dengan namanya yang indah Vila Kencana Emas.

“Lisa, nanti Lisa boleh tolong bibik!” Sunarti merenung ke wajah Nurlisa. Lamunan gadis itu terhenti.

Nurlisa mengangguk-angguk lembut. Pada waktu itu dia bersama tukang masak di dapur vila itu. Dapur rumah itu pun amat besar dan sangat cantik hiasannya. Pinggan mangkuk yang tersusun rapi di dalam almari kaca, bagaikan pernah dilihatnya di dalam majalah. Pinggan mangkuk yang biasa digunakan oleh golongan istana. Semuanya diimpot dari luar negara.

“Datin ada beritahu Lisa yang dia ada seorang anak lelaki yang kurang waras?” Sunarti cuba mencungkil rahsia. Wajah Nurlisa ditatapnya. Wanita itu juga berkenan melihat wajah gadis itu yang seolahnya sentiasa tersenyum.

Nurlisa seakan terkejut. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Datin Rabiatul hanya bercerita yang dia memiliki dua orang anak dan salah seorang daripada mereka sakit. Sangkanya dia akan menjaga anak-anak datin yang berumur lima atau enam tahun. Jadi gadis itu sememangnya tidak kisah tentang perkara itu kerana dia biasa menjaga adik-adiknya yang ramai. Hanya yang membezakannya ialah adik-adiknya lahir daripada keturunan miskin. Anak-anak Datin Rabiatul pula sudah terbiasa dengan kehidupan mewah.

“Datin ada seorang anak lelaki yang enggak siuman! Maaf ya, tidak enak didengar!” Bibik Sunarti bercerita dengan berbisik-bisik sambil matanya merenung ke sana sini.

Nurlisa tambah terkejut dan simpati. ‘Kasihannya, kecil-kecil sudah menjadi tidak siuman?’Begitulah bisik hatinya.

“Biasanya datin dan bibik yang hantar makanan kepada nak Aldi, tapi hari ni datin tak ada.Seminggu dia tak ada di rumah ni, datuk dan datin pergi ke Filipina.” Sunarti terus bercerita dengan jujur. Perkara itu sememangnya telah diketahui oleh Nurlisa kerana dalam perjalanan mereka ke rumah itu semalam, Datin Rabiatul ada bercerita kepadanya. Tentang permergiannya ke Filipina.

“Oh... jadi bibik mahu saya hantarkan makanan kepada Aldi?” tanya Nurlisa tulus. Dia memandang tongkat yang tersandar di sebelahnya.

Sunarti menyedari dan memahami situasi gadis itu, lalu dia ketawa terkekeh-kekeh.

“Lisa jangan khuatir. Nanti bibik tolak troli sehingga ke muka pintu kamarnya Si Aldi itu, kemudian Lisa yang hidangkannya di meja di dalam kamar itu.Aldi itu bukan saja kurang waras, tapi dia enggak boleh berjalan. Terus di atas kerusi roda.” Sunarti bercerita lagi.

Nurlisa bertambah kaget. Dadanya berdebar-debar.

Sunarti menghidangkan makanan ke dalam bekas untuk di bawa ke bilik Aldi.

“Mari nak. Ikut bibik, kita naik ke tingkat atas. Berkenalan dengan Aldi, ya.” Sunarti menolak troli yang diperbuat daripada kayu jati menuju ke tepi tangga. Anak tangganya besar-besar dan disaluti permaidani yang menenggelamkan kaki sewaktu memijaknya.

Nurlisa berasa janggal dengan segala kemewahan yang dilihatnya. Dia teragak-agak meletakkan tongkat yang membantunya berjalan.

“Tekan punat itu, nak,” arah Sunarti sambil menudingkan jarinya ke arah kepala tangga yang berwarna kuning keemasan itu.

Nurlisa tercari-cari punat yang dikatakan oleh pembantu Indonesia itu.

“Lor anak ini. Itu yang berbentuk daun itu. Hah! Tekan! Tangga ini akan bergerak sendiri ke atas.Lisa tak perlu susah-susah gunakan tongkat itu untuk naik dan turun tangga. Datuk buatkan tangga seperti ini untuk anaknya yang kurang waras dan tak boleh berjalan tu.”Sunarti bercerita tanpa rasa segan. Maklumlah hari ini dialah tuan di rumah itu.

“Bibik! Bibik!” Sebaik sahaja sampai di permukaan aras dua rumah itu, kedengaran suara Aldi menjerit memanggil orang gajinya.

“Bibikkkk!” Suaranya garang.

Sunarti tergopoh-gapah membuka pintu kamar lelaki itu. “Saya, ada di sini nak!” Terketar-ketar Sunarti menjawab.

Nurlisa yang berdiri di sebelahnya juga turut terketar dan berdebar. Di depan pintu yang terbuka dia dapat melihat seorang lelaki yang berkulit putih kuning, berwajah keruh dan tegang. Matanya merah, bibirnya kering. Jambangnya tumbuh merata dan tidak terurus kelihatannya.

Aldi memandang ke arah Sunarti dan Nurlisa dengan pandangan tajam sambil menggerak-gerakkan kerusi rodanya ke depan dan ke belakang. Nurlisa yang bertudung putih dan bertubuh kecil itu kelihatan seperti budak sekolah pada pandangan matanya. “Heh, budak! Kamu siapa? Buat apa kamu ke rumah ini?” Tengkingnya kuat dengan mata yang mencerlang.

Kedua-dua pembantu rumah itu mengigil ketakutan. Terlebih lagi Sunarti dan sudah tentunya Nurlisa. Nurlisa terlalu terkejut. Fikirannya seolah telah dipenggal oleh sebutir bom. Kedua tangannya menjadi sejuk. Lidahnya terkelu untuk menjawab.

Tanpa menunggu jawapan daripada kedua orang gajinya itu, Aldi menggerakkan kerusi rodanya dan berundur lebih jauh ke dalam bilik.

“Nak Aldi, bibik bawakan makanan!” Sunarti yang lebih tua cuba bertenang dan memberitahu dengan suara lembut. “Ni makanan tengah hari, Aldi.” Sunarti menyambung lagi dengan suara yang lunak. Matanya merenung Aldi yang di atas kerusi. Anak muda itu berbaju T kuning dan hitam. Berseluar sukan hitam.

“Heh! Orang tua! Kamu jangan masuk ke dalam bilik aku!Keluar, keluar! Sesiapapun jangan masuk ke sini, kecuali mak!Mak! Mak!!” herdik Aldi lagi.

“Ibu kepergian. Satu minggu lagi baru dia pulang.” Sunarti menerangkan kepada Aldi yang masih kelihatan marah.

Aldi diam sambil memandang ke wajah wanita tua itu dan Nurlisa bersilih ganti. Tajam matanya sewaktu merenung gadis itu. Matanya melihat Nurlisa dari kepala hingga ke hujung kaki. Apabila matanya menyinggahi ke mata gadis itu, dadanya bagaikan dipalu. Ah! Tak mungkin. Suara hatinya berbisik-bisik. Tubuhnya bagaikan gementar.

“Nak Aldi, mulai hari ini, Lisa yang akan jaga nak Aldi.” Sunarti menyampaikan pesanan Datin Rabiatul kepada anak muda itu.

“Keluar! Keluar! Semua keluar dari sini! Aku tak mahu makan!” Aldi menjerkah. Suaranya bergema di dalam bilik yang besar itu.

Sunarti dan Nurlisa tergesa-gesa keluar daripada situ sambil menolak kembali troli yang berisi makanan tadi.

Sebaik sahaja sampai kembali ke dapur, Nurlisa yang tidak dapat menahan sebaknya kerana ditengking oleh Aldi tadi terus menangis teresak-esak. Hiba benar rasa hatinya. Tidak pernah sesiapa pun bercakap kasar seperti itu kepadanya.

Begitu rupanya anak yang akan dijagainya nanti. Begitu jenis penyakit yang dihadapi oleh anak itu. Nurlisa menangis tersedu-sedan. Dia terkecewa dan rasa tertipu dengan diri sendiri. ‘Aku yang bersalah kerana tidak bertanya dengan jelas kepada Datin Rabiatul.’

“Sudahlah, nak. Sabar... Dia memang begitu.Kalau rasa takut, tak payahlah Lisa pergi hantar makanan kepada dia hari-hari. Biar bibik yang hantarkan. Kesiannya Lisa.” Sunarti menggosok-gosok kepala Nurlisa sambil memujuk gadis itu.

“Bibik... Saya sangka anak datin yang akan saya jaga itu, masih kanak-kanak.” Nurlisa terus menangis sambil merintih kepada Bibik Sunarti. Masih terbayang di matanya wajah Aldi yang sedang marah tadi. Dia benar-benar rasa takut. Tidak pernah dia bertemu dengan lelaki segarang itu.

Bibik Sunarti tidak dapat menahan tawanya dengan cerita Nurlisa. Hatinya bagai digeletek mendengar kata-kata daripada gadis itu. Alangkah lurusnya hati anak ini. Begitu bisik hatinya. “Aduh! Nak Lisa, apa ibu enggak bilang sama kamu yang dia sudah ada anak teruna dan Aldi tu sudah...” Cerita Bibik Sunarti tenggelam di dalam tawanya yang masih belum reda. Lucu benar rasa hatinya kerana kelurusan hati gadis itu.

“Bibik, mengapa Aldi jadi begitu? Kasihannya dia!” Dalam esakan, Nurlisa turut mentertawakan kebodohan dirinya. Air matanya sudah mengering. Nurlisa memandang sekelilingnya. Betapa beruntungnya menjadi Aldi. Dilahirkan di dalam keluarga hartawan dan jutawan. Berumah mewah, hendak makan apa pun mudah, kehidupan senang, ada ramai pembantu rumah, namun dia terkurung pula di bilik itu dan mengalami tekanan jiwa yang amat menyakitkan.

“Dulu, Aldi seorang pemuda yang budiman. Dia bijak macam Datuk Haris juga. Entahlah Lisa, satu ketika dia meminta izin datuk untuk sambung pengajiannya ke luar negara. Dua tahun di sana, tiba-tiba dia menikah dengan seorang gadis.” Suara Sunarti semakin perlahan. Mungkin dia sedang menahan sebak.

“Mereka kemalangan selepas dua hari pernikahan. Isterinya meninggal di tempat kejadian juga, dan Aldi tidak sedarkan dirinya selama dua minggu. Apabila dia sedar dan mendapati Arishal sudah tiada lagi... dia tidak dapat menerima kenyataan itu, lalu jadi begitu nak.” Sunarti bercerita dengan suara yang tertahan-tahan. Pelat Indonesianya masih lagi pekat.

“Puas datuk dan datin berusaha untuk memulihkannya, tapi tidak berjaya. Dia mengurungkan dirinya begitu. Memarahi sesiapa saja termasuk tuhan.” Sunarti mengelap air mata yang mengalir di pipi dengan hujung lengan bajunya.

Sebak hati Nurlisa apabila mendengar cerita itu. Dia memandang ke arah kaki kirinya.Mungkin Aldi rasa tertekan. Terlalu tertekan. Sudahlah kehilangan isteri, dia juga hilang kesempurnaan. Nurlisa bersyukur kerana dia masih lagi boleh berjalan walaupun tempang dan dengan bantuan tongkat pada waktu itu.

“Bibik, Encik Aldi langsung tidak boleh berjalan ke? Kasihan saya melihatnya. Tentu dia rasa sedih.” Nurlisa cuba bertanya dengan lebih lanjut berkenaan dengan Aldi.

“Bibik tidak pasti. Mungkin kalau semangatnya kuat dan dia praktis hari-hari dia boleh berjalan kembali. Tapi dia enggak mahu.” Sunarti menyiapkan makanan dan dihidangkan di atas meja pula.

“Lisa, kalau Lisa mahu sembahyang, Lisa pergilah dulu. Bibik mahu sediakan makanan untuk adiknya si Aldi, Adzman. Sebentar lagi dia tentu pulang.” Sunarti merenung Nurlisa.

Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya. Adzman tentu anak Datin Rabiatul yang lagi seorang. Begitulah tekaan gadis itu.

Nurlisa berjalan terhincut-hincut menuju ke biliknya yang terletak berhampiran tangga utama. Keluasan bilik itu lebih besar daripada rumah yang didiami oleh emak dan adik-adiknya. Ada katil yang cantik, bertilam empuk, berhawa dingin pula. Bilik orang gaji pun umpama bilik raja. Sungguh dia tidak menduga nasibnya akan begitu.

Sewaktu dia berulang-alik pergi kerja di restoran dan membantu Pak Hasan berniaga di pasar malam, dia tidak pernah berangan atau mempunyai impian untuk tinggal di rumah yang seperti istana itu. Sesungguhnya inilah ketentuan takdir yang tidak pernah diduga oleh sesiapa pun.

“Mak! Lisa rindu pada mak! Alangkah baiknya jika kita sekeluarga dapat berkumpul bersama.” Selepas bersembahyang dan berdoa, Nurlisa berbisik-bisik sendiri. Nurlisa terpaksa sembahyang duduk di kerusi kerana kakinya tidak boleh dibengkokkan. Sambil bercakap-cakap sendiri, di matanya terbayang wajah emak dan adik-adiknya.

“Lisa! Sudah sembahyang nak?” Terdengar ketukan dan suara Sunarti di muka pintu.

“Sudah, bibik.” Nurlisa menyahut dari dalam dan berjalan terhincut-hincut ke pintu.

“Kita makan!” Sunarti mempelawa.

Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya. Sememangnya perutnya sudah terasa pedih sejak daripada tadi. Jam pun sudah menunjukkan 3.30 petang.

Di dapur Sunarti sudah menghidangkan makanan untuk mereka di atas meja bulat yang diperbuat daripada kayu. Adzman yang ditunggu tidak kunjung tiba. Mungkin dia tidak akan balik ke rumah hari ini. Adzman seringkali begitu.

“Ayuh! Jangan tunggu lagi!” Sunarti mencedokkan nasi untuk Nurlisa.

Terbeliak mata Nurlisa apabila melihat lauk-pauk yang terhidang di atas meja. Dia menelan air liur. Ada ketam goreng bercili, sotong goreng tepung, ayam dan macam-macam lagi. Namun apabila terkenangkan emak dan adik-adiknya, dia hilang selera untuk menelan semua makanan yang terhidang itu. Sudah tentu mereka makan tengah hari dengan menu yang telah biasa atau sebati dengan dirinya. Telur dadar, kangkung goreng tauchu atau ikan belanak goreng dengan sayur bayam masak air. Makanan-makanan itulah yang telah membesarkannya serta adik-adik.

“Saya terkenangkan mak dan adik-adik bibik! Tak tahulah apa yang mereka makan tengah hari ini.” Isi ketam yang kenyal dan manis dirasakan seolah ketulan batu yang menerjah ke kerongkongnya.

“Bibik! Bibik!” Terdengar suara Aldi di dapur.

Terperanjat besar Nurlisa. Di sangkanya lelaki itu telah turun dari biliknya dan berada di belakangnya. Dia memandang sekeliling, mencari Aldi bersama kerusi rodanya, namun tidak kelihatan.

“Aduh! Apa aja yang dimahunya sih!” Sunarti merungut-rungut dan menuju ke tepi jendela. Di dinding berhampiran dengan jendela itu telah dipasangkan interkom. Semuanya disediakan untuk keperluan Aldi yang kurang upaya itu. Jika dia menginginkan apa-apa, dia hanya menggunakan interkom di biliknya yang telah disambungkan ke dapur, ruang tamu dan di luar rumah.

“Ada apa nak? Nanti ibu datang.” Sunarti menjawab dengan suara lunak.

“Bawa surat khabar naik ke atas!” Aldi, mengarahkan dengan suara yang agak perlahan.

“Baik, baik! Nanti ibu bawakan.” Sunarti berjanji dengan suara yang lembut.‘Aduh! Di mana aku nak cari surat khabar,’ rungut wanita itu di dalam hati. Terkalut-kalut dia bergerak ke ruang depan dan mengambil senaskah surat khabar yang entah bila tarikhnya.

“Lisa, tolong hantarkan kepada Aldi ya! Ini surat khabarnya!” Sunarti menghulurkan surat khabar itu kepada Nurlisa yang baru sahaja membasuh tangannya.

Nurlisa terdiam. Rasa takut menyelubungi dirinya. Mahu tak mahu, dia terpaksa patuh kepada suruhan Sunarti kerana menghormatinya sebagai orang tua. Tambahan pula, menjaga Aldi telah menjadi tanggungjawabnya. Tanpa membuang masa dia terus menuju ke tingkat atas sambil membawa suratkhabar.

“Assalamualaikum!” Di muka pintu bilik Aldi, Nurlisa memberi salam. Dadanya debar gemuruh. ‘Ya Allah, janganlah aku dimarahi seperti tadi.’ Aldi tidak menjawab salamnya.

“Encik, ini surat khabarnya.” Nurlisa melangkahkan kakinya ke dalam bilik itu dengan keadaan terhincut-hincut dan tertakut-takut. Aldi sedang termenung di jendela, tanpa membuka kaca jendela itu. Mungkin bimbang hawa panas akan menerjah masuk ke dalam kamarnya yang berhawa dingin itu.

“Hei budak! Jaga-jaga dengan tongkat kau tu!” Aldi menjerkah Nurlisa dengan matanya yang mencerlang memandang gadis itu. Tangan Aldi mengambil naskah surat khabar yang dihulurkan oleh gadis itu. Tak sampai sepuluh saat, surat khabar itu telah dilontarkannya ke luar pintu.

“Bodoh! Aku hendak surat khabar hari ini! Sekarang kau keluar dari bilik ini!” Aldi terus memarahi Nurlisa yang sedang menahan air matanya daripada tumpah.

“Minta maaf, encik. Saya tak tahu.”Nurlisa berundur ke belakang untuk keluar dari bilik itu. Kesedihan hatinya semakin merimbun. Terlalu hinanya diri dirasakan apabila disergah dan dimaki begitu.

Ikutkan rasa sedih, tak ingin rasanya dia tinggal di rumah itu. Lebih baik dia bekerja sebagai tukang basuh pinggan di restoran atau membantu Pak Hasan berjualan di pasar malam. Namun budi Datin Rabiatul yang telah menyelamatkannya tidak tahu hendak dibalas dengan apa. Jika Datin Rabiatul tidak berusaha untuk memanggil ambulans dan membawanya ke hospital, saat ini belum tentu lagi keadaannya bagaimana.

Jika Datin Rabiatul jenis manusia yang tidak berhati perut atau tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada orang lain, sudah tentu dia boleh berpura-pura tidak nampak Nurlisa yang pengsan dan tergolek di dalam semak di tepi jalan. Namun wanita itu berhati mulia. Bukan sahaja sudi menyelamatkan dirinya tempoh hari, bahkan sanggup menawarkannya bekerja di mahligai itu.

Tanpa dipinta, Datin Rabiatul juga telah berjanji akan membayarnya upah sebanyak 400 ringgit kepada Nurlisa. Makan minum, tempat tidur dan kain bajunya akan ditanggung oleh wanita yang baik dan pemurah itu. Datin Rabiatul juga telah membayar separuh daripada gaji yang dijanjikannya. Wang sebanyak RM200 itu telah diserahkan oleh Nurlisa kepada emaknya. Bolehlah digunakan untuk membayar yuran persekolahan adik-adiknya itu.

Hanya satu syarat yang agak berat untuk diterima oleh gadis itu. Nurlisa tidak dibenarkan balik menemui keluarganya terlalu kerap. Setahun hanya dua kali sahaja. Nurlisaberhasratmahu meninggalkan bilik itu. Belum sempat dia mengaturkan tongkatnyauntuk keluar dari bilik itu, Aldi memanggilnya semula.

“Budak! Mari sini! Tolak kerusi ni, aku hendak turun ke bawah!” Aldi memanggil Nurlisa yang baru sahaja membelakanginya.

Permintaan Aldi melemaskan perasaan Nurlisa. Sebelah tangannya terpaksa memegang tongkat, mampukah tangannya yang lagi satu menolak kerusi roda lelaki itu?“Baik, encik!” Dia terhincut-hincut lagi sekali berjalan menuju ke arah Aldi.

Tiba-tiba Aldi ketawa. “Macam mana ni?Si tempang hendak membantu si lumpuh! Gila! Semua ini gila!” Sekali lagi dia ketawa. Ledakan ketawanya berkumandang di tingkat atas itu.

Nurlisa berasa takut pada mulanya. Namun ketakutan itu dipujuknya sendiri. Pemuda ini tidak sihat dan harus dibantu. Itulah yang difikirkannya.

“Maafkan saya, encik! Saya akan bantu encik setakat yang termampu!” Nurlisa bersuara lembut dan ikhlas. Dia harus bersabar melayani orang seperti Aldi.Itulah yang difikirkannya.

Aldi terdiam seketika. Nurlisa terus menolak kerusi roda itu perlahan-lahan. Mujurlah di dalam rumah itu penuh dengan kelengkapan dan kemudahan untuk lelaki itu. Selepas menuruni tangga berelektrik yang anak tangganya memang selesa untuk menempatkan sebuah kerusi roda dan penolaknya, kerusi roda terus ditolak sehingga ke ruang tamu. Terdengar suara Sunarti memanggil-manggilnya.

“Lisa! Lisa! Sebentar nanti sirami bunga-bunga di depan sana ya! Bibik nak sediakan minuman petang!” Suara Sunarti semakin menghampiri ruang tamu.

“Eh! Nak Aldi. Ada di sini rupanya.Mau apa-apa. Biar bibik ambilkan!” Sunarti benar-benar terkejut apabila melihat Aldi berada di ruang itu. Lantas perkataan-perkataan itu berlumba-lumba keluar daripada bibirnya.

Sudah lama Aldi tidak berada di ruang tamu rumah itu. Semenjak balik dari luar negara, rasa-rasanya pemuda itu hanya memerap di biliknya sahaja. Apa yang menghantui perasaannya sehingga menyuruh gadis tempang itu membawanya ke ruang tamu?

Pertanyaan Sunarti tidak mendapat layanan daripada Aldi. Pemuda itu hanya membisu dan melemparkan pandangannya jauh ke luar vila itu. Nurlisa meninggalkan Aldi dan Sunarti untuk menunaikan tugas yang telah ditetapkan.

Menyiram pokok bunga. Sememangnya Datin Rabiatul telah berpesan begitu. Tugas-tugas yang akan dilakukan oleh Nurlisa ialah memelihara bunga-bunga yang banyak di rumah itu. Sewaktu melakukan kerja di taman bunga, sekiranya ada tugas-tugas yang memerlukan tenaga yang banyak Nurlisa boleh meminta Wak Dollah untuk membantunya.

“Bibik ke dapur, ya. Nak Aldi tunggulah di sini. Kalau mahu bersiar-siar di taman depan sana, sebentar lagi, ya.Sekarang ni masih panas.” Bosan menunggu jawapan, akhirnya Sunarti meninggalkan Aldi seorang diri di situ.

Aldi merasakan semua orang seolah ingin menjauhkan diri darinya. Mengapa? Suasana di rumah itu sepi dan sunyi. Dia berasa terhimpit dengan kesepian dan kesunyian itu. Suara sepi dan sunyi itu lebih deras daripada gelombang dan menghempas di jiwanya. Itulah yang dirasakan oleh lelaki itu. Betapa berat kesedihan ini kerana perasaan keterbuangannya itu. Dunia ini seolah semakin menghimpitnya. Sengsaranya hati, irisannya seolah ke seluruh urat sarafnya. Bisa dan membengkak. Denyutan sakitnya bisa itu mengisi di setiap denyutan nadi, seolah menghentikan nafas.Namun dia masih berada di muka bumi ini.

Matanya mengitari seluruh ruang tamu. Suasana hening dan menyepi. Dia menggerakkan kerusi rodanya terus ke muka pintu dan bola matanya terlontar ke luar rumah. Matanya singgah ke arah gadis yang asyik dengan tugasnya itu. Tiub getah yang panjang ditarik ke sana sini dengan menggunakan tangan kanannya. Manakala tangan kirinya memegang tongkat yang tersepit dicelah ketiaknya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.