DUA bulan berlalu.
Zaki dah sah menjadi suami orang, dan sekarang sedang membuat majlis belah pengantin lelaki di vila. Ayahnya yang kacak berbaju melayu hitam dan bersongkok sedang ditemani Mimi Rainita, wanita yang dipilih untuk merawat luka di hati. Ami pula sekadar memandang dari jauh, kurang gemar dengan apa yang dilihat.
Dia tahu wanita bernama Mimi itu dah lama sukakan ayahnya, tetapi Mimi juga dah move on dan berkahwin baru bila ayahnya bertegas nak menunggu emaknya. Tetapi bila ayahnya bersedia untuk keluar dari bayangan mamanya dan mencari perempuan lain untuk dijadikan sebagai isteri, tau-tau Mimi dah bercerai. Dan lebih teruk lagi, Ami tahu perempuan itu menggoda ayahnya setiap kali mereka berdua. Macammana Ami tahu? Sebab Mimi pernah kantoi dengan Ami sebab menciumi wajah Umar semasa ayahnya itu tengah tidur di ruang tamu. Dan itu hanyalah satu contoh berbanding perkara durjana lain yang dah dilakukan wanita penggoda itu terhadap ayahnya.
Biar betul perempuan itu yang akan jadi emak tirinya,aduuhh... Dia tahu ayahnya nak move on cepat, tapi carilah pengganti yang elok sikit kut ye pun....
“Apa benda yang kau stress sangat ni, Ami?”
Ami menoleh pada suara yang menegurnya. Itu Munirah,kakak sepupunya.
“Mana kau tahu aku stress?”
“Muka kau macam nak bunuh orang.”
Bibir dijuih. “Mimi dengan bapak aku tu laaa.” Bibir dijuih pada pasangan sejoli itu. Kelihatan Mimi akan memeluk lengan Umar setiap kali lelaki itu berbual dengan orang lain, seolah-olah nak memberi kenyataan yang lelaki bermata hazel itu miliknya.
Dengan jelik, Ami beralih ke khemah yang disediakan untuk persembahan band. Munirah pula tertawa melihat reaksi muka adik sepupunya.
“At least ada perempuan yang ikhlas sukakan bapak kau tu... berbanding mama kau sendiri yang lesap macam hantu.”
“Kau tak perlu ceritakan semula derita hidup keluarga aku,Mun...” desisnya sambil mencapai sebuah gitar elektrik di atas amplifier.
“Itu Jun punya,” ujar Munirah lekas, memberi peringatan supaya Ami jangan mencalarkan Fender milik Junior, adik lelakinya. Ami hanya menjulingkan mata ke langit.
“Kau masih marahkan mama kau?”
“Aku tak marah. Aku terkilan... tapi ayah aku masih nak dia balik... jadi aku nak cari dia... dan bawak dia balik rumah.”
“Ayah kau masih nakkan mama kau??” Bulat sekali mata Munirah bila bertanya. Terkejut beruk. Ami menjeling bersama senyum.
“Walaupun bukan sebagai bini dia, ayah masih nak mama aku dalam hidup kami. Makan bersama ke... beli baju raya sama-sama ke... life sebagai family la. Benda yang kau buat dengan mak ayah kau. Benda macam tu...”
“Ooh... cute la ayah kau.”
“Hahah...” Jari dimainkan secara rambang pada tali gitar, sekaligus menghasilkan bunyi pada amplifier. Aha.... Matanya bercahaya bersama idea baru di kepala. “Aku tau dah macammana nak minta ma aku balik rumah...”
“Kau nak minta dia balik rumah?”
Kepala diangguk, masih dengan mata bercahaya dan senyuman ceria. “Selagi ayah masih nak dia balik, aku pun takkan give up. Aku nak mak ayah aku bersama semula, walaupun bukan sebagai suami isteri.”
Hidung Munirah terjungkit, menyukai azam adik sepupunya itu. “Kau nak buat macammana?”
“Jadi influencer popular sampai seluruh Malaysia kenal!”
“Ha...??”
“Kalau aku dikenali seluruh Malaysia... ma pun akan dengar pasal aku. Jadi dia pun akan dengar apa yang aku cakap dalam TikTok... atau Instagram... kan??” soalnya, kali ini berselirat dengan rasa hiba.
Munirah menelan liur. “Kau nak buat apa sampai boleh jadi famous?”
“Err...” Bila ditanya bakatnya, Ami blank pula.Dia dan Munirah sama-sama menonong ke langit sebelum seseorang mencelah.
“Inline-skating could be used as a kickstart,”ujar Junior, mengejutkan kedua-dua mereka. Adik lelaki Munirah itu merampas Fendernya dari pegangan adik sepupunya. Lalu mata hazel milik Ami direnung tajam, dan dibalas dengan tahap renungan tajam yang sama oleh si gadis.
“Macammana main kasut roda boleh buat Ami jadi famous?”soal Munirah pada adiknya lekas sebelum dua sepupu itu mula bergaduh dan buat masalah.
Junior menoleh pada kakaknya sekilas sebelum merenung Ami lagi. Kali ini dengan renungan kesian. “Rarity. Orang Malaysia jarang tunjuk bakat dalam sukan ekstreme kat Malaysia ni. Kau pun ada bakat luar alam in term of physical abilities Aku sure apa yang kau buat ada wow factor yang buatkan internet meletup.” Dia yang menerima penumbuk gadis itu selama ini, jadi dia yakin dengan cadangannya.
“Kau dah kenapa tiba-tiba menyibuk?” desis Ami.
“Selebihnya kena pandai market je. Kau ada rupa, so itu dah kira bonus. Aku doakan usaha kau sampai dekat ma kau...” sambung pemuda 14 tahun itu, tenang dan ikhlas bunyinya. “Dan... Allah bless... kalau dia balik... tolong tuntut nasi lemak sambal udang untuk aku sebab dia cakap dia nak buatkan kalau aku straight A final exam.”
Ami terkaku, lalu tersenyum haru. Junior juga rapat dengan makcik kantin sekolah sebelum tamat sekolah rendah. “Okay... aku usahakan.”
“Good...” lalu dia berjalan tenang ke pintu rumah.
Kedua-dua gadis itu berpandangan.
DENGAN bantuan Munirah dan berkat idea Junior, rancangan nak jadi famous dimulakan petang itu juga. Tapi Ami tak mahu wajahnya dikenali. Lalu topeng Power Rangers merah dikenakan pada muka.
Video pertama ialah melungsuri jalan curam yang berada tidak jauh dari vila. Munirah dah menunggu di seberang jalan dengan iPhone ditangan. Tangan diangkat tanda dah bersedia merakam bilamana Ami bersedia melungsur turun.
Gadis berambut panjang paras punggung itu turut mengangkat tangan sambil menahan debar. Topeng itu mengekang ruang pandangannya– menjadi lebih sempit. Nafas turut terasa sendat. Wap karbon dioksida meruap pada permukaan topeng, membuatnya tidak selesa.
Hati dikukuhkan. Jangan takut. Tenang. Relaks. Tarik nafas dalam-dalam... dan hembus sepanjangnya. Bahu dan lengan diregang lentur. Ami kini sedia. Dengan lafaz bismillah, dia menujah diri, melungsuri jalan raya curam.
“Goooo!!” jerit Munirah. Semangat!!
Ami menghela nafas panjang, lalu merendahkan tubuh. Lungsuran menjadi lebih laju.
Munirah yang sedang menonton melalui kamera, terlihatpergerakan kenderaan di simpang tiga – pada jalan yang Ami akan lalui. Pucat lesi seketika. Spontan mengangkat kepala dari rakaman kepada adik sepupunya yang masih menangkap kelajuan.
“AMI!! TEKSI!!”
Frekuensi jeritan amaran Munirah sampai ke cuping telinganya, tepat dengan kemunculan teksi pada ruang pandang topengnya. Jantung serta merta terasa jatuh. Hon membingit di ruang udara, berupa amaran. Momentum masih terlalu laju untuk dihentikan!
Jangan berhenti. Terbang!
Suara asing berbisik di belakang kepala, sekaligus memberi kekuatan asing pada diri. Topeng ditanggalkan dari muka hingga terbang jauh ke belakang. Tubuh ditujah, cuba menambah kelajuan lungsuran. Namun masih dirasakan tidak cukup. Kasut roda yang digunakannya sekarang tidak sesuai untuk speed-skating!
Dengan nafas tertahan, Ami melakukan leapt of faith.Seluruh tenaga ditumpukan pada kekuatan di kaki. Dia melompat pada Myvi yang diparkir di tepi jalan. Impak tayar meninggalkan garisan berupa cakaran pada pintu kereta. Momentum wallride selanjutnya menolak tubuhnya terus ke udara. Melayang. Ekor kudanya seakan menari dalam aksi tersebut. Kedua belah telapak tangan dibuka dan tangan dipanjangkan ke atas bumbung teksi, terus memusing tubuh hingga ke seberang teksi.
Terlalu pantas! Sekelip mata dia sudah mendarat ke seberang. Screeeettt... tayar blade berdecit bila bertemu semula dengan asphalt jalan. Kasar sekali. Tekanan momentum pendaratan cukup terasa beratnya pada seluruh urat otot kakinya. Namun Ami terus bertahan hinggalah dia berhenti pada jarak yang cukup jauh dari lokasi teksi berhenti.
Well done.
Ami melepaskan keluh lega sambil menongkat pada kedua belah lutut. Baru perasan tangan dan lututnya sedang menggigil. Ah, kesan adrenaline. Nafas dihembus, lega dan bersyukur dia tidak cedera. Tetapi kasut rodanya perlu ditukar kepada yang lebih lengkap dan sesuai untuk aggressive skating.
Alah, benda bukannya nak buat hari-hari!
Kemudian kepala diangkat pada pakcik teksi. Tangan diangkat bersama senyum maaf.
Munirah yang masih merakam, ternganga luas. Komen Junior tadi terngiang di belakang kepala.
Ami ada bakat luar alam in term of physical abilities.
Yea, Junior. No kidding!!
Itulah video pertama @JuniorSlayer yang seterusnya membawa Ami ke bawah spotlight internet.
FIFTEEN minutes of fame cukup mudah dicapai jika melalui sumber yang betul,iaitu emosi netizen. Video Ami menarik kagum anak muda, kemarahan golongan woke kerana bahaya skating di jalan raya, netizen lain yang sengaja nak mengeruhkan dinamikinternet, hingga jumlah share mencapai puluh ribu dan seterusnya sampai ke pengetahuan Emir Danial.
Gadis berambut panjang ekor kuda itu tidak dikenali,tetapi dia tahu si gila yang memiliki refleks ekstreme ini dapat tabik hormatnya. Dan hari ini, gadis itu membuat pengumuman gila pula.
“Ma... tengoklah minah ni...” Skrin iPhone ditunjukkan pada Aqi yang sedang terlantar di atas katil. Wanita yang sedang melalui rawatan rapi itu sedang membaca buku. Luka dan lebam di mukanya hampir pulihselepas mendapat rawatan untuk beberapa minggu. Namun kecederaan parah di kaki masih tidak membenarkannya bangun dan bergerak ke mana-mana.
“Kenapa?”
“Dia trending tiga hari lepas. Hari ini dia buat statement gila.” Iphone dihulur pada wanita itu. Aqi menyambut iPhone itu, hanya untuk melihat Ami yang memasang muka sedih di dalam Instagram. Gadis itu hanya memberi kata-kata pendek;
“Ma, balik rumah please. Ami dengan ayah masih tunggu kat rumah.”
Air mata Aqi pecah terus ke pipi. Tangisannya melarat bertambah esak macam hujan lebat di musim tengkujuh. Hingga sendat nafas. Hingga akhirnya melepaskan jeritan ke langit bahan terlampau hiba. Emir terbangun,keliru melihat keadaan ibunya. Wanita itu kemudian menunduk hingga dahi menyapa lutut. Sambil menangis, wanita itu menggenggam kedua belah kakinya yang masih berbalut penuh. Dipukul-pukulnya kaki itu.
“Chan! Chan! Chan! Chan!!” jeritnya, berkali-kali tanpa menghentikan serangannya walau sedikit.
“Ma... janganlah... Ma! Berhenti!!” pinta Emir pula,terus menangkap kedua belah tangan ibunya dari terus melukakan diri sendiri.
Aqi menoleh, melihat sepasang mata hazel yang diwarisi Emir. Anak ini pun Umar masih belum jumpa. Rawannya merasuk lagi, lalu anak lelakinya dipeluk seeratnya. Ami dan Umar masih menunggu untuk hidup bersama,jadi dia juga seharusnya jangan mengalah. Dia pernah berjanji untuk balik walau dalam keadaan merangkak, jadi dia perlu buat.
Umar masih menunggu... jadi dia masih setia, kah...?
Tangis perlahan-lahan memudar, bertukar kepada api semangat yang baru. Malah mengalir di seluruh urat darah hingga badannya terasa hangat semula.
“Emir...”
“Ye ma?”
“Ma akan bawa kau balik untuk jumpa ayah kandung kau...dengan adik perempuan kau... dan kita akan hidup bersama sebagai satu keluarga...” bisiknya pada diri sendiri.
Emir memisahkan pelukan itu. “Emir masih ada ayah?”
Aqi mengangguk. iPhone tadi dicapai, dan muka Ami yang masih bercakap berulang kali di dalam Instagram ditunjukkan.
“Dialah adik kau.”
Jatuh rahang si remaja lelaki.