TIGA hari berlalu. Aqi masih tidak mengetahui perihal yang berlaku di vila selepas dia balik dari membuat pavlova bersama Maya. Anak-anaknya juga tidak memaklumkan apa-apa, melainkan sekadar bermain prank dengan Junior dengan menyorokkan gitar milik abang sepupu dirumah mereka. Umar tidak pernah muncul semula dan hidup Aqi berjalan seperti biasa.
Hinggalah pada lewat malam itu, dia menerima tetamu yang tak dijangka. Ketika itu, dia dah selesai gosok gigi, memakai pajama Doraemon kerana nak tidur dan tetapi rumah diketuk orang. Jam digital di atas kepala katil menunjukkan 11 malam. Orang gila manakah yang mengganggu rumah orang lain malam-malam buta macam ni?
Bila pintu dibuka, Mimi tercegat di situ. Lekas tangan diangkat karate.
Mimi mengerut dahi. "Kau kenapa?"
Aqi terkedu, memandang tangannya. "Last time kau ke sini tak dijemput, kau tampar aku."
Mimi mendengus, lalu menolak kasar bahu Aqi supaya dia boleh masuk. "Mana laki aku! Aku tahu dia ada kat sini!"
"Laki kau? Umar?"
"Habis siapa lagi!" jerkahnya, memeriksa bilik tidur, bilik air dan dapur.
"Umar buat apa kat rumah aku? Dia kan demam! Sepatutnya dia berehat kat rumah kau!"
Mimi yang baru nak masuk ke bilik tidur Aqi, lalu berhenti melangkah. "Mana kau tahu laki aku demam?"
"Hari tu dia pergi vila semata-mata nak tidur. Dia dah elok ke belum?"
"Mana kau tahu dia pergi vila semata-mata nak tidur?"
"Sebab aku ada kat vila la bodoh!"
"Kau buat apa kat vila?! Pergi sana semata-mata nak menggatal dengan laki aku?! Nak tunjuk miang, nak tunjuk sayang, nak isi kekurangan layanan aku dekat dia?!"
"Lailahaillallah... aku belajar buat pavlova dengan Kak Maya la celaka! Ah ya Allah, aku sebut celaka—" Muka diraup, menyesali keterlanjuran lidah. "Fine. Kau betul. Umar ada dalam rumah ni. Kau pergi tengok dalam peti sejuk tu."
"Peti sejuk?"
Kepala diangguk kasar. "Sebab aku dah potong dia 18 kerat bahana tak habis-habis tarik aku dalam masalah rumah tangga korang!"
Wanita itu mendiam, namun tetap bergerak ke peti sejuk. Bila dibuka, yang ada hanyalah makanan mentah. Penuh sekali jika dibandingkan dengan peti sejuk di rumahnya yang macam hidup segan mati tak mahu. Mimi menoleh lagi.
"Kau masak semua ni untuk Umar?"
Berkerut dahi Aqi dibuatnya. "Untuk Umar apa benda! Dia datang buat perabis, ye la! Itu semua untuk anak-anak aku! Emir aku faham sebab tengah membesar, tapi Ami pun sama. Perut macam bapak mereka!" dengusnya pada lantai, membuat Mimi menoleh lagi. "Semua benda mereka dapat dari bapak mereka. Macammana mamat tu boleh turunkan genetik dia macam tu sekali pun aku tak faham... yang penat mengandung dan melahirkan kembar tu aku, bukan dia!" rungutnya.
Mimi mendiam, merenung wanita dengan pajama Doraemon itu. Di mata seorang perempuan, Aqi biasa-biasa je. Kalau dibandingkan dengan perempuan lain yang berani menggoda Umar di luar rumah, Aqi tidak seksi, tubuhnya kurus macam takda isi dan kasar juga orangnya. Dia masih tak faham kenapa suaminya sangat menyukai perempuan ini.
Pada peti sejuk, Mimi membalas bersama keluh halus, "Apa yang kurang dekat aku sampai dia suka sangat dekat kau..." Soalan jujur itu keluar, seolah-olah bukan pada Aqi tapi pada dirinya sendiri. Malah air mata turut menitis tanpa dapat ditahan. "Macammana lagi aku nak ikat dia..." Dah sampai masa pakai ilmu hitam, kah?
Kesedihan si tetamu membuat Aqi menurunkan tanduknya. Punggung lalu dilabuh di lengan sofa. "You guys tak sekufu," ujarnya senada. Tenang sekali.
Mimi terkaku. Tangisnya terhenti dengan sendiri, lalu dia bangkit. Peti sejuk ditutup. Air mata terlebih dahulu dikesat sebelum menoleh pada wanita bersaiz genit tersebut.
"Apa maksud kau tak sekufu?"
Aqi merenung Mimi sambil meneliti jawapannya sendiri. Mimi dan Umar tidak sekufu? Umar dah mencintai perempuan ini jauh lebih awal darinya, dan Mimi juga setia menunggu Umar selama bertahun-tahun hingga mereka akhirnya bersama. Sekufu itu sepatutnya boleh dibentuk selama dua dekad ini. Jadi dimana silap mereka? Kenapa gear tak masuk? Adakah kerana kehadiran dia semata? Takkanlah.
Lantai direnung. "Aku rasa benda akan jauh lebih senang kalau kau boleh terima anak-anak aku dan jadi emak tiri yang betul... berbanding cuba melawan lepas tu nakkan laki kau untuk kau seorang."
"Salah sangatkah?!"
"Ya."
Terdiam lagi Mimi dibuatnya. Aqi masih tenang.
"Sebab tu Umar lari dekat aku... sebab aku jaga anak-anak dia. Kau perasan tak? Tapi kau boleh declare kau taknak jadi emak kepada anak-anak laki kau. Apa jenis bangang la kau ni Mimi. Bodoh. Kepala bertaik."
"Kurang ajar...." desisnya, lagi-lagi Aqi mengutuknya dengan muka penuh serius. "Kau pun satu masalah juga! Kau dah hilang bertahun-tahun, kenapa kau datang balik depan dia?!"
Aqi senyap seketika. Tangan dilipat berpeluk tubuh sambil merenung muka tak puas hati itu. Kemudian nafas ditarik sedalamnya sambil melangut ke langit. Mata dipejam, berfikir panjang, macammana nak jawab soalan perempuan yang taknak menerima jawapan yang sebenar. Soalan Mimi ialah sejenis soalan retorik, kerana hakikatnya, perempuan ini mahu menyalahkannya kerana takut dengan kemungkinan Umar akan meninggalkannya.
Kesian... hidup dalam anxiety.
"Berbanding salahkan aku dengan anak-anak aku... apa kat kau jawab soalan aku pula..." Laras senapang dipusing pada Mimi pula. "14 tahun lepas, dia ceraikan aku. Sepanjang kami berpisah, aku tahu kau tahu yang hati dia dah dilukai berkali-kali... sampailah dia sudi terima kau. Finally. Alhamdulillah. Congrates. Aku tumpang happy untuk kau yada yada. Apa yang aku tak faham ialah, kenapa rumah tangga kau goyah just because aku muncul semula?"
Wanita itu melopong, seakan tak percaya mendengar soalan itu. "SEBAB LAKI AKU CINTAKAN KAU!!"
Aqi walaubagaimanapun masih tenang. "Cinta is a strong word. Kalau suka, maybe yes. Kalau sayang, also yes. Sebab aku jaga anak-anak dia. Kau nak tahu siapa lagi yang dia suka dan sayang? Kak Maya. Kak Bat. Secretary dia. Staf dia. Makcik kafe yang jual nasi ulam ayam favorite dia. Rachel Nichols NBA Analyst tu. Prius dia! Aku bukan masalah dalam relationship korang, Mimi..."
Mimi terkedu. Kata-kata itu sama dengan Umar...
"14 tahun tu lama, tau. Takkan kau langsung tak boleh pikat hati dia? Kau dah kenal dia lebih awal dari aku. Kau ialah cinta pertama dia. Aku cuma orang luar yang datang jenguk sekali sekala. Aku even lukakan hati dia banyak kali! Apa kata kau tengok cermin, tanya balik apa masalah sebenar yang membuatkan kau tak boleh buat Umar melekat dekat kau!" Satu persatu disebut sebab dia dah penat!
Dan setiap satu perkataan itu juga menjerat Mimi macam diikat besi berduri. Aqi memang tahu sejarahnya dengan Umar kerana wanita itu ada semasa dia dan Umar bercinta. Tapi Aqi lebih baik darinya hingga Umar beralih. Kenapa bukan dia, tetapi Aqi? Kenapa dia tak berguna sebagai isteri? Kenapa Aqi lebih tahu melayan? Apa yang membezakan mereka? Apa dia??
Aqi pula masih tak berhenti membebel. "Laki kau tu jenis setia, Mimi. He is fiercely loyal... kau dah nampak dengan mata kepala kau sendiri perangai Umar yang tu. Dia takkan tinggalkan kau just because dia rapat dengan aku dan kami sama-sama komited nak jaga anak kami. Aku janji aku takkan rampas dia... seriously! Umar pun respect my decision. So just... belajar percayakan husband kau! Otherwise, bila dia betul-betul penat dengan kau... silap hari bulan dia cari perempuan lain masa kau duk sibuk menuduh aku. Tambah-tambah aku baru dapat tau duda aku tu masih boleh attract bimbo kat luar."
Kata-kata Aqi tiada yang salah. Lalu air mata menitis lagi, gagal ditahan kali ini. Marah Umar diingati, pada tajamnya kata-kata yang diluah padanya, dan kerana Umar tak balik ke rumah sejak kejadian itu.
Si tuan rumah pula hanya mampu memerhati tetamunya semakin jauh ditenggelami rawan. Melihat Mimi cuba mengesat air mata dengan lengan baju, lalu dihulur tisu.
"Jumpa husband kau, cakap baik-baik dengan dia. Mungkin ajak jumpa terapi rumah tangga, I don't know... tapi aku akan ulang benda ni sampai kau penat dengar. Aku dengan anak-anak aku bukan masalah rumah tangga korang, tapi kau yang kena jadi isteri yang taat dan solehah untuk dia..." luahnya lagi.
"Korang masih ialah punca..." luah si wanita, masih dengan tangis.
Aku lipat jugak kepala minah ni karang.... Sekuman nasihat pun tak masuk ke dalam kepala dia! Otak licinkah sampai nasihat tergelincir keluar?? Aqi menarik nafas dalam bagi menenangkan baran sebelum dihembus panjang. "Well then... kau kena hadap setan dalam kepala kau nampaknya sebab kami takkan pergi jauh just because kau tak suka. Umar ialah ayah anak-anak aku dan aku tak plan nak pergi jauh dari dia. Nak tak nak, kau kena belajar terima kehadiran kami... terutama Emir dengan Ami."
Permintaan yang sama dengan Umar! Mimi mendengus, benar-benar tidak menyenangi dua orang ini memiliki pemikiran yang sama. "Gila kenama nak terima budak-budak gila tu sebagai anak aku—oww!!" Terjerit bila Aqi menjentik dahinya. Lekas ditekup dengan kedua belah tangan. Aqi pula bangun berdiri dengan muka garang. Berang kerana anaknya dipanggil gila oleh orang lain.
"Kalau kau nak hidup dengan Umar, kau kena ambik peduli dengan anak-anak kami! Aku takkan serahkan Umar dekat perempuan yang tak boleh jaga keturunan dia!" Mata dicerlangkan. Sebelum Mimi membalas, Aqi terus menutup mulut wanita itu dengan tangannya. "Perut kau berisi tak?" soalnya lagi.
"Isi apa benda. Hari-hari aku yoga, jaga badan, makan jamu, pergi spa. Aku jaga perut aku..."
Kali ini hidung Mimi pula menjadi mangsa. Wanita itu terjerit sakit hingga mengalir air matanya. Terkejut kerana diserang sebegitu. Aqi pula menghembus api dari hidung.
"Aku tanya kau mengandung ke tidak?!" soalnya, bengang.
"Tak... aku telan pil..."
"Lah, kenapa? Kau taknak bagi anak kat Umar?"
"Kalau aku mengandung, aku jadi gemuk. Aku taknak gemuk! Nanti aku hodoh! Kalau aku hodoh, nanti Umar lari dari aku!! Kau sendiri tahu dia ramai peminat dekat luar! Kedudukan aku tergugat kalau aku mengandung!!" Serius.
Aqi merenung wanita itu dengan mata mendatar, terfikir macammana Umar boleh tergerak nak menggantikan dia dengan wanita ini. Dah difahami juga kenapa Umar susah nak masuk dengan sikap Mimi.
Mereka benar-benar tidak sekufu.
"Aku tak tahu nak cakap apa lagi dah, Mi. Peluang dekat tangan kau je. Kau masak untuk dia, manjakan dia bila dia penat bekerja, berikan dia anak, dengar cakap dia, bergurau dengan dia, pamper the baby in him... Berikan dia kehidupan domestik yang dia nak. Dia akan sayang kau naturally. Best example, Kak Maya, kalau kau masih susah sangat nak telan poin aku." Geramnya pada Mimi, hanya Allah yang tahu. Kenapa perkara semudah ini pun dia susah sangat nak terima. Perempuan ini mencintai Umar, jadi mana naluri nak menjaga lelaki itu?
Kepala tertunduk. Teringat permintaan suaminya itu. "Kalau aku nak ambik hati dia, aku kena jadi seorang isteri macam Kak Maya..."
"YA ALLAH, YESSSS..!!" Berhabis liur cuba menjelaskan poin, akhirnya menggunakan contoh terdekat ialah penjelasan terbaik. "Faham pun! Fuh! Penat bercakap dengan kau ni lain macam! Laki kau ialah manusia paling manja yang aku pernah tengok. Sepatutnya senang je nak pikat dia!" Pinggang dicekak dua belah. Muka muram itu dipandang dengan senyum kelakar.
"Umar manja? Umar jauh dari manja. Dia macho!"
"Laki kau tu big baby!" Aqi bertegas.
"Dia tak suka dipanggil baby. Dia lebih suka orang pandang dia maskulin. Lelaki sejati!"
"Dia lebih baby daripada baby, excuse you!" getusnya sambil berpeluk tubuh.
Mimi menggelengkan kepala. "Peliklah kau ni. Macammana Umar boleh sukakan kau pun aku tak tahu. Dia suka orang gaduh dengan dia ke??" soalnya pada diri sendiri sebelum bergerak keluar.
Aqi pula menutup pintu dengan rasa penat macam mengangkat beban 10kg. "Berat ujian kau, Mar... berat..." luahnya akhirnya, bersimpati dengan si lelaki kerana dipertanggungjawabkan untuk menjaga Mimi.