Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,361
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

13

ADIRA hanya merenung telefon bimbit di dalam genggamannya. Hendak menghubungi Qhalif atau terus memberitahu emak keputusannya? Zara menjeling Adira yang termenung sejak tadi. Apa yang difikirkan ADira agaknya?

“Di…” Zara memanggil Adira agak kuat.

Adira tidak mendengar. Matanya pada layar televisyen, sedangkan fikirannya entah ke mana.

“Di! Mengelamun ya?” Zara memegang tangan Adira.

Adira tersentak.

“Cepatlah telefon dia. Kesian dia tunggu. Telefonlah.” Zara juga mendesak.

Adira tidak menjawab. Sebaliknya meletakkan telefon bimbit di atas lantai. Dia sudah memberitahu Zara mengenai Qhalif yang pernah cuba menghubunginya. Zara menggalakkan Adira menghubungi Qhalif pula tetapi Adira sudah membuat keputusannya sendiri. Tidak akan ada panggilan untuk Qhalif kecuali kalau Qhalif yang menghubunginya. Itu pun dia tidak akan bercakap lama. Mungkin beberapa patah ayat tanda perkenalan sahaja.

“Tak berani nak call ke? Biar aku dailkan,” ujar Zara menawar bantuan. Dia mencapai telefon bimbit Adira namun dihalang oleh.

“Tak payah, Zara! Aku takkan telefon dia.”

Zara terkejut. “Habis, kau tak suka dia ke? Kau kata dia budak baik… bersopan santun, kenapa tak nak pulak?” Ditenung wajah Adira dalam-dalam. Apa lagi yang dicari Adira? Dalam usia 37 tahun, Adira tidak sepatutnya memilih. Mahu sahaja Zara memberitahu Adira begitu. Tetapi wajah Adira yang tenang membuatkan dia tidak sampai hati.

“Zara, aku belum bersedia nak berkahwin.”

Zara mengerutkan dahi. Kenapa Adira takut? ‘Mungkin­kah kerana aku banyak bercerita yang buruk-buruk tentang kegagalan perkahwinan aku yang gagal? Agaknya Adira takut menjadi janda macam aku. Sebab tu hatinya berbolak-balik.’ Hatinya menduga.

“Di, aku minta maaf kalau selama ini cerita-cerita aku menakutkan kau. Aku lain, Di. Kau lain. Rumah tangga aku hancur sebab Johari tak jujur dengan aku. Aku pulak kurang sabar. Tapi Insya-ALLAH, bakal suami kau takkan macam Johari. Rumah tangga kau mesti bahagia, Di.”

Adira menoleh ke arah Zara. Dia tersenyum pahit. “Apa pulak ada kena-mengena hal kau dengan hal aku, Zara? Tak adalah! Sikit pun aku tak terfikirkan hal kau. Kau pun tau jodoh kita ni dah ditentukan ALLAH. Aku tak takut apa-apa cuma aku belum bersedia.” Dia cuba menjelaskan keadaannya kepada Zara. “Sebenarnya, Zara… aku dah buat keputusan. Aku tak perlu nak bercakap dengan dia. Aku kena terus bercakap dengan keluarga aku.” Dia mengambil telefon bimbitnya.

“Kau nak telefon siapa?” tanya Zara, ragu-ragu.

“Mak. Mesti mak tertunggu-tunggu panggilan aku. Aku dah janji nak bagitau mak keputusan aku hari ni.” Adira tahu kerisauan Zara terhadapnya. Sebagai teman sekerja dan teman serumah, pasti Zara juga mengharapkan kebahagiaannya. “Zara, aku rasa ini keputusan terbaik aku. Macam mana aku nak kahwin dengan orang yang aku tak cinta?” Perlahan suaranya meluah perasaan.

“Kau belum jumpa dialah, Di! Cuba jumpa dulu. Ini dengar suara pun belum, kau dah nak tarik diri. Agaknya betul kata kawan-kawan kita, kau ni kena mandi bunga,” bebel Zara, tidak puas hati dengan keputusan Adira.

Adira hanya menggeleng. Zara takkan faham apa sebenarnya yang berlaku. Dia takkan mengerti kerana ini adalah soal pengorbanan. Hatinya akan lebih terluka mengenangkan kehampaan Mia selepas Qhalif menjadi abang iparnya. Kalau hal lain dia boleh menghadapinya, tetapi bukan hal-hal yang melibatkan perasaan Mia.

Adira mengambil juga telefon bimbitnya. Dia menekan nombor rumah di kampung. Zara terus meninggalkannya lalu masuk ke dalam bilik. Kehampaan Zara juga ketara. ‘Agaknya Zara tak sampai hati nak dengar aku bercakap dengan mak pasal Qhalif.’

“Assalamulaikum, mak. Di ni…” Dadanya berdebar mendengar suara Hajah Salbiah menjawab salamnya.

“Hmm… waalaikumussalam. Ingat juga nak telefon mak hari ni, Di?”

“Takkan tak ingat, mak. Kan hari-hari Di telefon mak?”

“Yang hari-hari tu lain. Yang hari ni lain sikit,” balas Hajah Salbiah. “Macam mana, dah ada keputusan?”

Soalan Hajah Salbiah umpama pisau yang menikam diri Adira. Peritnya hendak menyampaikan khabar yang tidak menggembirakan itu. Ia bagai satu hukuman berat, tetapi dia terpaksa meluahkan enggan membiarkan emaknya menunggu.

“Di minta maaf, mak.”

“Minta maaf pasal apa?” Soalan yang diajukan Hajah Salbiah penuh ketakutan dan kebimbangan

Suara Adira tersekat. Tidak sampai hati untuk terus bercakap. Tetapi Mia?

“Mak, Di rasa…Di tak boleh terima Qhalif. Maafkan Di, mak.”

Hajah Salbiah senyap di hujung talian. Adira dapat merasakan kehampaan emaknya. Jangan-jangan emak pengsan.

“Mak! Mak! Helo, mak!” Dia cemas apabila Hajah Salbiah terus membisu di hujung talian. Dia kelam-kabut. Macam mana kalau tidak ada sesiapa di rumah saat itu? Kalau emak pengsan, siapa yang akan tolong emak? Bagaimanpun Adira mendengar geseran di hujung gagang.

“Sampai hati Di buat mak macam ni.”

Adira ternganga mendengar suara sebak emaknya. Diikuti dengan esakan.

“Mak…”

“Suka hati Dilah!” Hajah Salbiah tidak mahu bercakap apa-apa lagi dengan Adira.

Adira begitu sedih mendengar kemarahan dalam suara emaknya. Tiba-tiba dia menangis. Tangisannya bukan dibuat-buat. Tangisan yang lahir dari hati yang amat luka. Tetapi emak tak tahu mengapa dia membuat keputusan itu. Dia dapat merasakan hati emak seperti dihiris sembilu. Harapan emak begitu tinggi kepadanya. Emak sangat mengharapkan agar dia segera berkahwin dan membina keluarga. Tetapi hari ini dia menolak lagi permintaan emak.

“Kak Di, kau cakap apa dengan mak?”

Tiba-tiba Adira terkejut mendengar suara Mia di hujung talian. Emak belum memutuskan talian? Kenapa Mia berada di rumah pula? Mia balik senyap-senyap ke sanakah?

“Mia! Mia balik kampung ke?” soal Adira. “Tak bagitahu Kak Di pun?” Dia agak kesal.

“Mia memang tak mau balik. Tapi Mia tertinggal barang dalam bilik. Mia nak balik sekejap aje semalam, mak pulak tahan tidur kat rumah,” ujar Mia, membohongi kakaknya.

Adira menelan kesedihannya.

“Kakak dah bagitahu mak. Mak marah!” Adira tersedu di hujung kata-katanya. “Mak tak mau cakap dengan Kak Di lagi, Mia.”

“Itulah, Kak Di. Mia dah agak dah. Mak mesti sedih Kak Di tak terima Qhalif,” ujar Mia. “Mak terus nangis masuk bilik, kak! Kesian, mak.”

Tangisan Adira semakin kuat. Zara menghampiri dan memegang bahunya. Adira memutuskan talian.

“Aku dah hampakan mak aku, Zara.”

Zara tidak menjawab. Dia menepuk-nepuk bahu Adira. Bagaimana hendak pujuk emak selepas ni? ‘Ya ALLAH hanya ENGKAUlah yang dapat membantu aku. Permudahkanlah, Ya ALLAH.’

QHALIF bergegas masuk ke rumah dengan wajah yang begitu cemas. Adiknya, Syaqila menunggu di muka pintu sambil mendukung anak bongsunya. Wajah Syaqila juga begitu cemas.

“Kenapa dengan mak?” soal Qhalif sebaik sahaja melihat wajah adiknya.

“Tak tau! Bibik telefon, kata mak tak keluar bilik sejak pagi. Mak dapat call, entah dari siapa. Lepas tu mak masuk bilik tak keluar-keluar. Dah nak maghrib dah ni,” beritahu Syaqila.

“Kenapa tak pecah saja pintu?” Dia berlari naik ke bilik Hajah Hafsah.

Syaqila termangu-mangu. Dia mengikut abangnya sambil menahan berat mendukung anak bongsunya.

“Mak! Mak! Buka pintu mak! Qhalif ni, mak.”

Hajah Hafsah masih tidak menyahut. Qhalif semakin cemas.

“Pecah sajalah, bang,” cadang Syaqila.

Qhalif memang hendak melakukan hal yang sama. Dia menghentak pintu dengan tubuhnya berkali-kali namun binaan kayu jati berusia lebih seratus tahun itu sangat teguh membuatkan pintu itu sukar dipecah.

“Jangan-jangan mak pengsan, bang,” ujar Syaqila semakin cemas.

Mendengar kata-kata adiknya, Qhalif terus menendang pintu sekuat hati. Masih tidak juga terbuka. Dia menghentakkan tubuhnya ke pintu sehabis daya. Akhirnya, pintu terbuka. Tombol tercabut dan terjatuh di lantai. Dia terus masuk ke dalam bilik.

Hajah Hafsah terbaring di atas katil sambil merenung lelangit kelambunya. Qhalif menerpa ke arah ibunya.

“Mak! Mak! Mak kenapa ni, mak?” Qhalif menggerakkan tubuh Hajah Hafsah.

Hajah Hafsah masih membisu. Qhalif naik bingung melihat keadaan emaknya

Syaqila pula masuk. Dia melihat kesan tangisan di mata Hajah Hafsah.

“Mak ada masalah ke mak?” tanyanya.

Hajah Hafsah menggeleng.

Qhalif berfikir sesuatu. Mindanya cepat mengatakan semua ada kaitan dengan Adira. Dia memberi isyarat kepada Syaqila supaya keluar. Dia menutup pintu. Kemudian menghampiri Hajah Hafsah dan memegang tangan emaknya.

“Adira tak setuju kahwin dengan Qhalif kan, mak?” Dia menduga dalam senyuman. “Kalau dia tak setuju, tak apalah. Tak payahlah sedih sampai macam ni. Sudahlah, mak. Dia tak setuju tak apa. Qhalif tak kisah, mak,” pujuknya bagai mengetahui punca kesedihan ibunya.

Dia juga sudah meneka. Dalam seminggu ini perkara Adira menjadi kerunsingan ibunya. Semua petanda menunjukkan seolah-olah dia memang tidak ada jodoh dengan gadis itu. Adira gagal dihubungi. Berkali-kali dipesankan agar menghubunginya semula, pun Adira tidak melakukannya.

Mungkin jodoh yang diaturkan oleh keluarganya menjadi kejutan besar pada Adira. Yang lebih menguatkan keyakinanya, Adira sudah ada pilihan lain.

Hajah Hafsah bangun perlahan-lahan. Dia mengesat matanya yang masih basah.

“Mak minta maaf, Qhalif! Mak tak dapat pujuk Adira,” ujarnya sambil mengusap pipi Qhalif. “Mak suka sangat dengan Adira. Mak terkilan sebab dia menolak,” sambungnya sambil terus teresak.

Qhalif tersenyum sambil menggenggam tangan ibunya. “Mak, semua ni mesti ada hikmahnya. Dah memang bukan jodoh Qhalif dengan dia.” Dia redha. Kekecewaan hadir juga di sudut hati. Tetapi dia menerima segala-galanya dengan tabah dan pasrah.

“Mak Cik Biah kata, Adira ada pilihan lain. Agaknya dia orang pun dah nak kahwin, tapi Mia sanggup berkorban untuk emak dengan ayah dia. Dia terima Qhalif kalau Qhalif boleh terima dia,” ujar Hajah Hafsah merenung anaknya.

Qhalif tersenyum sinis. Mia? Mungkin dia lebih mengenali Mia kerana mereka pernah berutus-utus surat, tetapi dia terasa lebih dekat dengan Adira. Bolehkah dia menerima Mia selepas Adira menolak dirinya?

Dia merenung wajah Hafsah yang hampa. Dia tahu Hajah Hafsah memang teringin berbesan dengan keluarga Haji Ismail. Mereka bersahabat sejak sekian lama. Sejak arwah bapanya bekerja bersama-sama di sebuah syarikat milik lelaki berbangsa Inggeris di Tapah.

“Qhalif setuju ke?” soal Hajah Hafsah menatap wajah anaknya.

Qhalif tergamam. Bolehkah dia menjadi suami yang baik kepada Mia? Mia sanggup menerimanya kerana Mia pernah meluahkan perasaan hatinya kepada Qhalif. Agak lucu juga gadis berusia 15 tahun meluahkan perasaan cinta kepadanya. Sudah tentu dia tidak mampu membalasnya kerana perasaan cinta itu memang tidak ada untuk Mia. Mungkinkah Mia masih menyimpan perasaan yang sama,kerana itu dia sanggup menjadi pengganti kakaknya?

“Mak, Qhalif ikut saja cakap mak.” Dia tidak sampai hati menghampakan emaknya. Kalau dia menolak, kesedihan Hajah Hafsah bertambah parah. Diapun tidak ada alasan untuk menolak kerana dia setuju siapa sahaja pilihan emaknya.

Hajah Hafsah mencium kening Qhalif dengan deraian air mata. Kemudian dia memeluk anaknya dengan erat. Beban berat yang ditanggung sepanjang hari bagaikan telah pergi. Beban itu ibarat batu berat yang terletak di atas kepalanya. Sebaik sahaja dia menerima panggilan Hajah Salbiah tadi, dunia menjadi kelam. Hanya Qhalif yang menerpa dalam fikiran. ‘Kasihannya anakku! Dia ditolak mentah-mentah begitu sahaja oleh Adira.’

Dia semakin sebak kerana Adira menolak Qhalif. Buruk sangatkah anak lelakinya sehingga Adira tidak sudi? Rendah sangatkah taraf Qhalif sehingga Adira tidak mahu menimbangkan lagi hasrat hatinya.

Tak apalah. Adira tak salah. Siapa pun tak salah. Ini adalah takdir. Dia akur dengan suratan yang dilukis oleh takdir.

Qhalif membalas pelukan emaknya dengan penuh kasih.

‘Bahagia itu bukan ditentukan oleh cinta semata-mata. Aku boleh bahagia dengan restu emak dan izin-NYA. Cukuplah kalau Mia masih cintakan aku dan aku akan membalas cintanya dengan rasa hormat dan kasih sayang.’ Hatinya berbisik ketika meninggalkan Hajah Hafsah di dalam bilik.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem