Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,405
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

6

NASREEN meletakkan beg pakaian Shasha di hadapan Zarul yang berdiri di luar pintu rumah.

Zarul tersentak melihat kekasaran yang dilakukan oleh bekas isterinya terhadap anak tunggal mereka. “Kenapa buat macam tu? Kesian budak,” tegurnya sambil mengambil beg pakaian Shasha. “Kalau marahkan aku pun, jangan lepas dekat Shasha.” Dia memegang tangan anaknya dan bersedia untuk melangkah pergi.

“Hah, besok jangan dah subuh pulak baru hantar budak ni. Ingat! You tak berhak sepenuhnya pada Shasha. I masih emak dia.” Sempat Nasreen berpesan sebelum menutup pintu.

“Aku taulah. Tak payah kau nak ingatkan.” Zarul me­­rengus. Bosan dengan sikap bekas isterinya. Mereka bergerak menuju ke keretanya.

Shasha terkelip-kelip memandang Zarul. “Mama marah papa lagi?” soalnya penuh simpati.

“Papa dah biasa kena marah,” jawab Zarul sambil mem­bukakan pintu kereta untuk anaknya. “Kita pergi Port Dickson. Suka tak?” soal Zarul lagi.

Shasha hanya mengangguk.

“Kenapa mama tak boleh ikut kita pergi Port Dickson?” soal anak kecil berusia enam tahun itu.

“Mama tak suka pergi dengan papa,” jawab Zarul. Dia mula memandu meninggalkan rumah Nasreen. Dia ter­senyum apabila Shasha menggenggam tangannya.

“Papa jangan sedih ya? Kalau marah papa lagi, nanti Sha marah mama pulak,” ujar Shasha lagi.

Zarul menggenggam erat tangan anaknya dan men­ciumnya. Kesedihannya seperti sudah berakhir. Bau harum tangan si kecil, sentuhan lembut dan kata-katanya yang mesra adalah penawar segala duka. Duka itu sudah bertahun ditanggungnya. Sejak mengharungi alam perkahwinan selama lima tahun dan kemudian bercerai tika usia perkahwinan menjangkau enam tahun, kebahagiaan yang diharapkannya tidak pernah muncul. Bagaimana bahagia itu mahu hadir kalau Nasreen tidak menghormatinya sebagai suami.

Kata-kata cinta Nasreen sebelum perkahwinan mereka tidak bererti sama sekali. Kenapa Nasreen berubah? Hanya kerana wanita itu sudah menyedari yang dia tidak mampu memberikannya kemewahan kecuali kasih sayang dan cinta. Nasreen berubah apabila dia mulai bosan melihat kejatuhan demi kejatuhannya dalam perniagaan dan selalu mengharap sokongan dan bantuan kewangannya. Bukan Nasreen sahaja, bapa mentua, Datuk Rahim adalah punca segala kehancuran rumah tangga mereka.

“I tak tahanlah kalau selalu macam ni. I dah penat.”

Pernah satu malam Nasreen membentak apabila Zarul cuba memberitahu keadaan perniagaannya.

“You ni mesti tak ada lain. Kalau mengadu hal bisnes, mesti nak minta duit, mengadu hal bisnes saja, mesti suruh I cari duit untuk you. I penatlah, Zarul!”

Zarul menarik nafas panjang kerana dia belum habis berkata-kata, tetapi Nasreen sudah salah anggap kepadanya.

“Saya bukan nak minta duit. Saya nak minta pendapat. Bank tawarkan pinjaman, projek tu jadi cagaran. Awak rasa saya boleh terima ke?” soal Zarul dengan tenang.

“Berapa banyak?” soal Nasreen sambil menjeling.

“Tujuh puluh tiga juta! Projek tu dalam lima puluh ke lima puluh lima juta. Ada duit lebih untuk dana syarikat. Bila projek siap, kita boleh untung dekat empat puluh juta,” ujar Zarul memberi penjelasan.

“Okeylah. Tapi jangan lupa, duit papa yang tiga puluh juta tu, jangan buat-buat lupa nak bayar pulak,” perli Nasreen lagi.

“Cakap dengan papa, saya nak pakai dulu duit tu untuk modal pusingan. Saya bagi percentage… yang tiga puluh juta tu tak berkurang,” tambah Nasrul.

“Papa dah bising you tau tak? Bingit telinga I dia asyik sebut pasal duit tiga puluh juta tu. Papa pun nak pakai duit juga.” Nasreen membentak.

Zarul faham. Bukan sedikit dia meminjam daripada bapa mertuanya. “Saya akan bayar duit papa,” ujar Zarul akhirnya mengalah.

Dia menyangka hutang RM30 juta itu jika dilangsaikan, akan menjernihkan semula hubungannya dengan keluarga mentua, tetapi apa yang diharapkan menjadi sebaliknya. Hutang itu tidak langsung melembutkan hati Datuk Rahim menerima dia seadanya. Sekurang-kurangnya memberi sokongan dan semangat. Atau membantu menyelesai mana-mana masalah dalam urusan perniagaan. Dalam diam-diam, Datuk Rahim menikamnya pula dari belakang.

Hanya sebulan selepas menerima tawaran projek, dia menerima surat pembatalannya pula. Diikuti dengan surat makluman pihak bank yang tawaran pinjaman ditarik balik kerana projek terlepas dari tangan.

Zarul merasakan dunianya sudah runtuh sepenuhnya. Hendak memberitahu Nasreen dia tidak tergamak kerana Nasreen juga meletakkan harapan tinggi pada projek itu.

Khabar angin yang bertiup selepas itu mengatakan projek mengganti pembentung air itu sudah jatuh ke tangan Datuk Rahim, bapa mentuanya sendiri.

Sakitnya hati bukan kepalang. Bagaimana projek yang sudah ada di dalam genggaman boleh terlepas ke tangan orang lain? Dan orang lain itu bapa mentuanya sendiri?

“Papa tak pernah tikam kau dari belakang, Zarul.” Beria-ia Datuk Rahim mempertahankan diri apabila Zarul cuba melemparkan tuduhan. “Zarul pun tau papa ikut rebut tender tu, kan? Nasib Zarul baik, tender tu dapat ke tangan Zarul. Tapi, siapa suruh tangguh kerja projek sampai sebulan? Kerajaan negeri tak mau rugi, Zarul,” sambungnya.

“Sebulan bukannya lama. Zarul tau papa main kotor pengaruhi orang atas! Papa tahu dalam masa sebulan itulah Zarul baru dapat pinjaman dari bank. Papa ambil kesempatan,” tuduh Zarul lagi.

“Jaga mulut kau, Zarul! Papa dapat tawaran sebab papa boleh mulakan projek bila-bila masa. Papa ada duit. Kau apa ada?” Berdesing telinga Zarul mendengar kata-kata bapa mentuanya.

“Orang berniaga, kau nak berniaga. Orang ada duit, kau ada apa? Air liur saja tak cukup jadi modal berniaga, Zarul.”

ZARUL geram. Dia mengetuk stereng kereta. Shasa yang mula terlelap tiba-tiba terjaga.

“Papa!”

“Ya, sayang,” sahut Zarul pendek.

“Tok Yim kata papa ni orang miskin. Betul ke, papa?”

Soalan Shasha mengembalikan kesedihan Zarul. Nampaknya fikiran anak kecil itu sudah dipengaruhi oleh bekas bapa mertuanya. Dia hanya tersenyum.

“Tok Yim cakap macam tu?”

Shasha mengangguk.

Zarul juga mengangguk. “Betul, sayang. Papa miskin. Sebab tu mama tak mau papa lagi. Mama tinggalkan papa,” ujarnya dengan harapan si kecil itu memahami.

Malah bukan kerana dia jatuh miskin Nasreen meninggalkannya. Selepas tuduhan yang dilemparkan kepada Datuk Rahim, sengketanya dengan Nasreen semakin membara. Nasreen menyebbelahi keluarganya. Dia tidak boleh terima bapanya dituduh begitu. Akhirnya Nasreen memfailkan tunutan bercerai di mahkamah. Yang khabarnya hasil pujukan Datuk Rahim sendiri yang sudah tidak mahu Zarul menjadi menantunya lagi.

Zarul menarik nafas panjang apabila telefon bimbitnya berdering. Dia tahu Nasreen menghubunginya. Pasti ada yang hendak ditanya.

“Bagi I bercakap dengan Shasha.” Suara Nasreen kedengaran jauh.

Zarul terus memberikan telefon bimbit kepada Shasha. “Mama nak cakap dengan Sha,” ujar Zarul pendek. Shasha agak keberatan.

“Cakaplah,” arah Zarul lagi.

Shasha terus bercakap dengan Nasreen.

“Helo mama…” Zarul tidak memberi perhatian kepada apa yang dikatakan Shasha dengan mamanya. Dia lebih memikirkan tawaran konsortium niaga bumiputera untuk menyertai projek pembinaan hotel di Cameron Highlands. Di mana dia hendak mencari RM50 juta sebagai dana pelaburan bagi projek tersebut.

“PAPA, mama tanya ada orang lain tak,ikut kita?” ujar Shasha sambil merenung Zarul.

Soalan Shasha mengejutkan lamunan Zarul. Dia menoleh ke arah sisi. Dia tersenyum. Soalan itu begitu lucu. Cemburu juga? “Kenapa mama tanya macam tu?” soalnya.

“Mama kata kalau ada orang ikut, maknanya orang tu akan jadi ibu tiri Sha.”

Zarul ketawa. Semudah itukah dia akan berkahwin lagi dan memberikan Shasha ibu tiri? Nasreen memang sudah gila!

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem