11
HAJAH HAFSAH menghulurkan sekeping nota kecil kepada Qhalif. |
Senyuman emaknya membuatkan Qhalif bertanda tanya. “Apa ni, mak?”
soalnya sambil mengambil nota tersebut.
“Cuba teka.” Senyuman Hajah Hafsah semakin lebar apabila melihat
Qhalif merenung nombor telefon yang tercatat.
“Nombor telefon siapa ni?” soal Qhalif, tidak terfikir langsung
nombor itu sangat penting di dalam hidupnya.
“Nombor Adira. Cubalah telefon dia,” giat Hajah Hafsah. Dia
mengambil telefon bimbit Qhalif di atas almari lalu diserahkan kepada anaknya.
“Nanti-nantilah, mak! Sampai pejabat nanti Qhalif telefon.”
Qhalif menolak kerana dia sedang berpakaian dan hendak bersiap ke pejabat.
Hajah Hafsah meletakkan semula nombor telefon bimbit Adira di
atas almari. Dia tidak mahu mendesak. Pasti anak bujangnya juga segan
menghubungi anak dara orang pagi-pagi begini. Bimbang kalau panggilan itu mengejutkan
Adira.
“Nanti kalau dah telefon, bagitahu mak tau?” pesan Hajah Hafsah
sambil memegang lengannya.
Qhalif hanya tersenyum dan mengangguk.
“Turun sarapan,” pesan Hajah Hafsah lagi sebelum beredar dari
bilik itu.
Qhalif masih tersenyum sambil memandang wajahnya di dalam cermin.
Macam mana agaknya kalau Adira nampak aku sekarang? Tentu dia terkejut dengan
perubahan selepas terpisah lebih 20 tahun. Tubuh kian berisi, wajah yang
semakin matang dan kesan rambut mulai gugur menandakan dia menuju usia emas.
Eh! Mana boleh emas? Baru nak masuk 40 tahun! Dia memujuk hati sendiri.
Tetapi Adira memberi tempoh. Qhalif agak kecewa kerana Adira
masih meraguinya. Tidakkah Adira tahu, dialah sebenarnya yang bakal mengisi
ruang hatinya selama ini. Dialah selama ini yang selalu mengusik mimpi
malamnya. Dia jugalah yang sesekali bagai angin menghembuskan kerinduan ke
ruang jiwanya. Dia juga bagai ombak yang datang dan pergi,kadangkala menyapa,
kadang kala berlari jauh ke tengah laut meninggalkannya bersendiri. Sukarnya
untuk menjelaskan perasaan. Dia ada tetapi bagaikan tiada. Ingatan sesekali
datang, sesekali terus menghilang. Itulah yang membuat dia sukar meneka
perasaannya.
20 tahun berlalu, tidak ada seorang pun gadis yang menambat
hatinya. Selama waktu itu, beberapa orang gadis cuba dipadankan Hajah Hafsah
untuknya, tetapi hatinya menolak. Ketika nama Adira disebut dia bagaikan
terpana. Ingatan pada gadis hitam manis yang pemalu itu segera menerjah.
Tiba-tiba pintu hatinya terbuka. Adakah selama ini memang nama itu umpama anak
kunci yang bakal membuka hatinya? Diakah yang selama ini dinanti dalam keadaan
bawah sedarnya?
“ENCIK QHALIF! Encik nak pindahkan semua fail ke pejabat
Kuala Lumpur ke?”
Soalan setiausahanya, Betty mengejutkan Qhalif daripada menung
yang panjang. Sudah setengah jam dia sampai di pejabat sehingga tidak menyedari
kedatangan Betty. Dari rumah sehinggalah ke pejabat, ingatan tentang Adira
tidak pernah padam.
“Betty cakap apa?” soalnya semula tidak dapat menangkap apa yang
diucapkan setiausahanya.
Betty tersenyum. “Encik ingatkan siapa ni?”
Qhalif gugup. Dia hanya mampu tersenyum. Dia memandang fail yang
sedang disusun Betty, gadis berumur 23 tahun itu.
“Kena bawa semua. Nak buat apa tinggal. Fail tu semua penting,”
ujarnya. “Lagipun pejabat di sini tak lama. Siap semua projek di Ipoh ni, kita
semua pindah sana.” Dia menjelaskan.
Betty mengangguk. Wajahnya mendung. “Saya seorang saja ke ikut ke
sana? Kalau Sofian dapat tukar, alhamdulillah sangat…”
“Kenapa Sofian tak mahu terima tawaran saya?” soal Qhalif.
“Mana dia nak kerja satu tempat encik?”
“Takut syarikat bankrap?” Qhalif menduga kebimbangan
setiausahanya.
Betty mengangguk.
“Bukan ke rezeki ALLAH dah tentukan?” Qhalif memandang wajah
Betty. Tetapi dia memang tidak berniat memujuk Betty mengikutnya. Betty kena
akur keputusan tunangnya itu. Dia tidak boleh mempengaruhi Betty dalam membuat
keputusan penting begitu.
HARI berlalu amat pantas. Belum sempat menghabiskan satu
perkara, Hajah Hafsah sudah menghubungi Qhalif. Ini menunjukkan sudah jam 12.30
tengah hari. Ibunya bagai jam loceng yang menjaga waktunya. Biarpun soalan yang
sama diajukan saban hari, Qhalif sentiasa tersenyum menjawab panggilan ibunya.
“Qhalif tak balik makan
kat rumah ya, mak,” beritahu Qhalif sebelum ibunya melontar soalan lain pula.
“Tau. Tadi mak dah telefon Betty. Dia kata Qhalif sibuk sebab nak
bereskan hal-hal pejabat sini. Tapi mak bukan nak tanya pasal makan. Hari ni
mak nak tanya pasal lain.” Kata-kata Hajah Hafsah penuh bermakna.
Tiba-tiba Qhalif teringat janjinya pada Hajah Hafsah. Dia
sepatutnya menghubungi ibunya selepas menghubungi Adira.
“Ya ALLAH, mak! Qhalif lupa nak telefon Adira!”
“Kenapa tak telefon? Kalau Mak Cik Biah bagitahu Adira yang
Qhalif nak telefon dia hari ni, kesian Adira tertunggu-tunggu!” Hajah Hafsah
marah.
Qhalif berdebar. ‘Mak suruh Mak Cik Biah bagitahu Adira yang aku
akan telefon dia hari ini? Ya ALLAH!
“Pasal apa mak nak bagitau dia pulak. Kesian dia kalau dia
tertunggu-tunggu.” Dia pula naik bimbang memikirkan kalau andaiannya benar. Dia
mencari-cari nota bertulis nombor telefon Adira yang dipegangnya sepanjang ke
pejabat tadi, tetapi tidak berjumpa.
“Sebab tu mak nak Qhalif telefon sekarang.” Suara Hajah Hafsah
seperti menahan geram dan memberi arahan.
Qhalif hanya ketawa. “Nombor dah hilanglah, mak,” ujarnya masih
dalam tawanya. “Entah mana Qhalif letak tadi.” Dia masih mencari-cari nota
kecil yang diberikan Hajah Hafsah pagi tadi.
Agak lama Hajah Hafsah baru bersuara. Itu pun disulami sendu dan
kehampaan. “Qhalif selalu buat mak macam ni,” ujarnya menahan sebak. “Qhalif
tak pernah serius dengan permintaan mak, kan? Ini soal masa depan Qhalif. Soal
kahwin bukan perkara yang boleh dibuat main!”
Qhalif terkejut mendengar suara rajuk ibunya. Dia memicit kening.
Susahlah kalau mak dah merajuk. Mesti panjang rajuknya, memang susah pulak nak
pujuk.
“Qhalif minta maaf, mak.
Tadi kemas-kemas fail, agaknya terselit kat mana-mana. Tadi dah nak telefon,
budak-budak keluar masuk mengemas, dah lupa pulak.” Dia cuba membela diri.
Hajah Hafsah terus menyebut nombor telefon Adira yang sememang
disimpan.
Qhalif kelam-kabut mencari pen. “Kejap, mak. Mana pulak pen
tadi?” Akhirnya dia menemui pen di bawah susunan fail. Dia meminta Hajah Hafsah
mengulanginya sekali lagi.
Hajah Hafsah mengulanginya pantas dan memberi amaran terakhir.
“Kalau hilang juga kali ni, maknanya Qhalif memang tak serius
dengan Adira. Satu saja mak nak minta kat Qhalif. Tolong jangan malukan mak!
Assalamualaikum!”
Qhalif termangu sebaik sahaja Hajah Hafsah memutuskan talian. Hai!
Sampai merajuk macam tu sekali mak kali ini? Agaknya tinggi sungguh harapan mak
pada Adira! Kalaulah mak tahu aku juga menaruh harapan yang sama tinggi dengan
harapan mak, tentu mak menjadi ibu yang paling gembira. Haruskah aku
menghubunginya sekarang?
ADIRA melangkah masuk ke Restoran Cempaka sambil matanya
mencari-cari Mia. Akhirnya Mia dapat dipujuk untuk diajak makan tengah hari
bersama. Meskipun Mia tidak berjanji, dia yakin adiknya akan datang. Dari jauh
Adira melihat Mia duduk di sebuah meja di suatu sudut.
“Mia dah lama tunggu?” Soalan biasa bagi yang lewat sampai.
Mia menoleh tetapi tersenyum pahit. “Baru saja. Dalam satu jam.”
Dia menjawab acuh tak acuh.
“Mia dah pesan apa-apa
ke?” soal Adira lagi. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa begitu formal walaupun
dengan adik sendiri.
“Mia tak rasa nak makan. Kakak makanlah,” jawabnya sambil melihat
jam tangannya.
“Nak cepat ke?” soal Adira pula. Dia merenung wajah adiknya yang
mendung dan seolah-olah tidak sudi memandang wajahnya.
“Kakak nak bincang apa, cakap sajalah. Memang Mia tak boleh
lama-lama. Nanti bos Mia marah.”
Adira gugup. Sepanjang malam semalam dia sudah berfikir mengenai
masa depannya. Dia tidak mahu bersengketa dengan Mia andai benar Mia
membencinya kerana Qhalif. Dia akan mengalah, tanpa memberitahu dia sudah tahu
punca Mia berjauh hati. Surat lama yang ditemui bawah katil Mia tetap menjadi
rahsia.
“Nilah pasal mak ni… pasal nak jodohkan kakak dengan Qhalif. Hati
ni macam berat sajalah, Mia.” Adira mula meluahkan perasaannya. Dia berharap
Mia akan tertarik apa yang akan dikatakan. Ternyata andaiannya menjadi. Mia
mula merenung dan memandang wajahnya.
“Berat macam mana?” soal Mia mula berminat.
“Mia tahu kan, kita dah berpuluh tahun tak jumpa Qhalif.
Tiba-tiba mak nak jodohkan Kak Di dengan dia. Kak Di tak suka macam tu… ni nak
terus-terus meminang pulak. Entah dia suka kakak entah tidak,” adu Adira.
Mia menarik nafas panjang. “Jumpalah dulu. Mana tahu kalau dia
suka!”
“Kalau dia tak suka?” Adira merenung ke dalam mata Mia. Kelihatan
sejalur harapan memancar dari matanya yang galak. Adira dapat meneka hati
adiknya. Pasti harapan mulai membunga. “Sebab tu Kak Di nak tarik diri
awal-awal,” Dia berterus terang.
Mia tersentak. “Kak Di, mak dah beria-ia tau. Takkan Kak Di nak
tolak. Kak Di nak jadi anak derhaka ke?” kata Mia bersungguh-sungguh.
Adira tersenyum. “Mia ada.” Adira tersenyum merenung adiknya.
Mia menarik nafas panjang.
“Kakak nak pass baton Qhalif kat
Mialah ni?” soal Mia pula. Namun, hatinya sedang bersorak gembira. Memang
inilah berita yang paling menggembirakannya. Nampaknya, kakak sudah ada
keputusan dan dia orang pertama yang tahu keputusan itu. Bagaimana kalau emak
mereka dapat tahu? “Kak Di, mak nak bagi Kak Di kahwin dulu. Takkan Mia pulak,
kak? Kak Di dah…” Mia cuba memancing ketegasan kakaknya.
Adira menggeleng dan menyambung. “Kak Di dah dekat empat
puluhan?”
‘Ah, adik! Kakak tahu kau gembira dengan keputusan ni. Memang ini
yang kau tunggu-tunggu, kan?’
Wajah muram Mia bertukar
cerah semula. “Kak, Mia tak cakap tau. Kak Di yang cakap macam tu. Kak Di baru tiga puluh tujuh. Muda lagi.” Tawanya
juga bertukar ikhlas.
“Mia tolong Kak Di.” Adira pura-pura merayu. “Kahwin dengan Qhalif demi Kak Di?”
Mia buat-buat terkejut dan menolak.
“Kalau Mia tak terima, lagilah mak mengamuk nanti. Mak tak mahu
kita malukan mak kat Mak Cik Hafsah. Apa
kata Qhalif kalau kita berdua tak sudi terima dia?” Adira masih merayu.
Mia pula pura-pura bertegas. “Tak boleh! Qhalif mesti dah
berangan-angan nak kahwin dengan Kak Di. Tak ada makna kalau tiba-tiba mak kena
bagitahu Mak Cik Hafsah yang Mia pulak nak kahwin dengan anak dia!”
“Kan mak dah cakap, Qhalif ikut saja cakap Mak Cik Hafsah?
Sebelum mak jumpakan Kak Di dengan dia, elok Kak Di berterus terang dengan mak.
Nanti kalau dah jumpa baru cakap, mesti Qhalif ingat Kak Di tak suka dia
pulak,” ujar Adira dengan wajah berkerut seolah-olah serius dengan rayuannya.
“Entahlah, Kak Di. Susah nak cakap. Masalahnya… Qhalif suka ke
dengan Mia?”
“Sekarang ni, Mia… dia suka siapa saja pilihan Mak Cik Hafsah.
Kalau Mia suka, Mia terimalah dia. Kak Di memang… err… entahlah…nak kahwin pun
tak ada hati tau…” ujar Adira dengan suara merayu.
Mia merenung kakaknya. “Betul Kak Di tak boleh terima dia?” Adira
mengangguk.
“Kak Di dah ada pilihan ke?” soal Mia ingin meneka.
Adira gugup Dia menundukkan kepalanya lalu tersenyum. “Mungkin…”
Perlahan suaranya mengakui. Mudah-mudahan jawapan itu melegakan Mia. Sedang dia
sendiri tidak pasti siapa orangnya.
“Siapa, kak? Mia kenal ke?”
Mia mendesak.
“Nanti-nantilah dulu. Kalau dah pasti nanti, Kak Di bagitahu,” ujar Adira meyakinkan adiknya.
Sedang hatinya juga berbisik, tak mungkin ada sesiapa yang boleh menerjah
hatinya selepas ini.
“Kak Di kena berterus terang dengan Mia. Nanti kalau mak tanya,
Mia kena ada jawapan. Tapi, Mia tak bolehlah bagitahu mak yang Mia terima
cadangan Kak Di. Kak Di sendiri kena bagitahu mak,” pinta Mia, merenung sedih
wajah kakaknya.
“Itu dah semestinya. Takkan Kak Di nak biarkan Mia pulak yang
cakap? Thank you, adik.”Adira bangun, memeluk Mia.
Mia membalas pelukan itu erat. “Mia akan buat apa saja untuk Kak
Di. I
love you, kakak.”
Adira memejamkan mata merasai hangatnya pelukan Mia. Pelukan yang
penuh harapan dan kegembiraan. Namun, dia sendiri membiarkan air matanya
mengalir. Nampaknya dia merelakan suatu perpisahan sebelum adanya pertemuan.
Air matanya mengalir sepanjang perjalanan ke pejabat. Entah
mengapa alirannya bagai tidak mahu berhenti. Mengapa dia harus menangis
melepaskan Qhalif sedangkan dia sendiri belum pasti Qhalif betul-betul
menyukainya atau menyukai Mia? Pasti Qhalif lebih memikirkan Mia berbanding
dirinya. Mungkin dulu dia menolak cinta Mia. Tetapi sekarang sangat
mengharapkan agak cinta itu masih kekal untuknya. Bukankah lebih baik dia
berundur diri sebelum hatinya terlanjur parah mencintainya?
HAJAH SALBIAH menghubungi Adira selepas solat maghrib. Adira
agak lama di atas sejadah. Doanya juga lebih panjang daripada biasa. Minta
ALLAH teguhkan iman dan pendiriannya.
“Mak Cik Hafsah kata Qhalif banyak kali telefon. Di matikan
telefon ke?”
‘Qhalif telefon aku?’ Kata-kata emak sangat mengejutkan.
“Bila, mak?” soal Adira
bersama debar di dada.
“Tengah hari tadi. Banyak kali dia telefon. Kenapa matikan
telefon?” soal Hajah Salbiah bertubi-tubi. Dia begitu teruja memberitahu Adira
kehampaan Hajah Hafsah.
“Ya ALLAH. Minta maaf, mak. Tengah hari tadi ada lunch
date dengan pelanggan. Terpaksa matikan telefon,” ujar Adira berbohong.
“Dah hidupkan ke belum?”
“Ni mak dah dengar suara Di ni?” Adira ketawa.
“Di! Kesian Qhalif. Nanti dia ingat Di tak sudi bercakap dengan
dia. Cuba Di telefon dia pulak. Dia nak sangat bercakap dengan Di.”
Adira tergamam. Dia memang perasan ada lima nombor missed
call
yang tidak dikenali dalam senarai panggilan, namun dia tidak menghubungi semula
nombor itu. Ah, itu mesti nombor Qhalif.
“Betul ke Qhalif nak cakap dengan Di mak?” soal Adira gugup.
“Ya! Cuba telefon.” Hajah Salbiah mendesak.
Adira tidak keruan. Haruskah dia menghubungi lelaki itu atau berterus
terang sahaja dengan emak yang dia menolak lamaran Qhalif?
“Ni dah malamlah. Takkan
Di nak ganggu dia malam-malam? Lainlah kalau dia yang telefon Di.”
“Kalau macam tu, mak minta Mak Cik Hafsah suruh Qhalif telefon Di
sekarang.” Hajah Salbiah semakin teruja.
Adira gabra. “Janganlah, mak. Nampak sangat kita beria-ia. Di tak
maulah macam tu. Biar Di tunggu saja. Mak jangan suruh-suruh Qhalif telefon.
Malulah Di, mak.”
“Hah, yalah. Jangan lupa telefon.” Hajah Salbiah mengingatkan
sebelum talian diputuskan.
Adira rebah ke atas katil. Tangisnya berderai. ‘Qhalif
menghubungi aku? Mengapa dia semakin dekat saat aku mahu menolaknya jauh-jauh?’