Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,260
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

7

MIA menyelongkar kotak-kotak lama di bawah katil. Buku-buku sewaktu sekolah rendah dan sewaktu sekolah menengah masih elok tersimpan di situ. Sementara buku-buku dan nota pengajian di universiti lebih banyak disimpan di rumah sewanya. Ada sesuatu yang hendak dicarinya. Sesuatu yang bakal memekarkan semula ingatannya pada Qhalif. Berita baik yang dikatakan bapanya untuk mereka ternyata menjadi berita yang melukakan. Berita baik itu menjadi berita sedih untuknya. Mungkin menggembirakan Adira, tetapi tidak dia.

Cinta yang berkubur sejak 18 tahun tiba-tiba muncul semula sebaik sahaja dia mendengar nama Qhalif. Lima bulan selepas pemergian Qhalif ke Amerika, sekeping poskad yang ditujukan kepada Adira bagaikan pembuka jalan untuk dia menghubungi Qhalif. Qhalif meminta Adira menulis kepadanya kerana dia berasa sunyi di rantau orang.

Maafkan saya mengganggu Adira. Selepas lima bulan, inilah kali pertama saya mengutus berita. Terasa ingin mendengar perkhabaran dari sana. Kenapa tidak menulis surat kepada saya? Bukankah Adira pernah berjanji? Mungkin Adira sibuk dengan pelajaran lantas melupakan saya. Tetapi saya tidak pernah melupakan Adira dan Mia. cuma baru-baru ini saya ada kesempatan untuk mengutus poskad ini.

Tolong balas poskad ini. Salam untuk pak cik, mak cik dan Mia-

Qhalif

Lama Mia menggenggam poskad itu. ‘Kenapa dia tulis pada Kak Di, bukan aku? Rasanya aku lebih banyak layan dia sewaktu dia datang ke sini. Apa-apa hal dia cari aku. Ajak aku pancing ikan, ajak aku lastik burung, ajak aku petik manggis. Kenapa dia tak tulis poskad pada aku? Dia sukakan Kak Di lebih daripada aku ke? Tapi dia ada tulis nama aku. Dia pun tak pernah lupakan aku. Maknanya dia juga sukakan aku. Tak salah kalau aku yang balas poskad ni.’

Ketika poskad itu tiba di rumah, Adira sudah pun berada di asrama penuh melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Adira jarang pulang ke rumah kerana sibuk dengan pelajaran dan jarak yang jauh. Lantaran itu, Mia mengambil keputusan untuk membalas poskad Qhalif tanpa memberitahu Adira tentang poskad itu. Selama itu, dia berahsia dengan Adira.

Terima kasih membalas poskad saya. Saya gembira awak tak lupakan saya.

Poskad itu cukup bermakna bagi Mia. Dia terasa Qhalif sendiri yang datang dan bercakap dengannya. Walaupun pendek sahaja catatan Qhalif tetapi dia bagaikan mendengar suara Qhalif yang berkata-kata. Suara yang lembut dan agak perlahan. Setiap kali suara itu dilontarkan, pasti diringi dengan senyuman. Itulah yang membuatkan Mia terus menyimpan wajah Qhalif di sudut hatinya.

Qhalif jarang membalas surat-suratnya selepas Mia mengirimkan gambar mereka di dusun Tok Wan. Dia, Adira dan Qhalif. Qhalif memberitahu dia akan sibuk selepas itu dan mungkin tidak sempat mengutus surat. Mia menerima alasan Qhalif.

Meskipun lima tahun berlalu tanpa khabar berita daripada Qhalif, tetapi Mia yakin satu ketika nanti mereka akan dipertemukan semula.

Sebaik menginjak dewasa, kecantikannya menyerlah. Gayanya yang lincah membuatkan dia di antara bunga pujaan di sekolah dan kampus. Namun, mengapa sukar hatinya menerima cinta? Lafaz cinta baginya hanya kata-kata biasa. Jika ada lelaki yang cuba mendekati, mereka datang tanpa rasa apa-apa. Semuanya dianggap kawan biasa. Pernah dia bertanya diri.

Inikah juga yang Adira alami sehingga sanggup bersendirian walaupun usia melangkaui 30-an? Adakah dia dan Adira memang dilahirkan tanpa rasa cinta? Atau seperti dia Adira juga ada rahsia cinta sendiri?

“Agaknya keturunan kita susah nak jatuh cinta,” ujar Adira apabila Mia mempersoalkan perasaan mereka suatu ketika dahulu.

“Betullah, kak. Bukan tak ada orang nak Mia, tapi Mia macam tak minatlah, kak,” adu Mia.

“Kau ada sukakan orang lain sebelum ni tak?” tanya Adira pula.

Mia menggeleng. Tetapi hatinya mengakui dia rindukan Qhalif sejak perpisahan mereka sewaktu masih remaja dulu. Itukah cinta?

“Rasanya Mia tak pernah pulak jatuh cinta,” jawabnya disusuli dengan tawa.

“Kalau kau ada sukakan sesiapa, jangan lepaskan, Mia. Nanti jadi macam Kak Di, dah terlajak macam ini dah susah nak cari cinta,” ujar Adira, selamba.

“Agaknya Kak Di pun pernah jatuh cinta tak sebelum ni?”

“Tak ada! Nak jatuh cinta kat siapa?” Adira menafikan.

MIA menarik kotak paling kecil di antara kotak-kotak yang tersusun. Agaknya aku simpan kat sini. Tangan Mia pantas menarik pita pelekat yang mengemaskan kotak itu. Dia segera membukanya. Betul! Poskad dan surat Qhalif ada di dalam kotak itu! Dia membaca satu per satu. Dia mula membacanya. Ada sepucuk surat membuai perasaannya. Qhalif cuba menjelaskannya mengenai cinta.

Cinta itu tidak boleh dipandang tetapi boleh dirasai. Cinta yang kita anggap menggembirakan itu sebaliknya menjadi sesuatu yang paling menyeksa. Kita rindu kerana cinta. Kita sedih kerana cinta. Kita sunyi kerana cinta. Kita juga bosan kerana cinta. Saya takut untuk melalui semua itu. Kerana itu saya takut untuk bercinta. Kerana itu Mia jangan berkecil hati jika saya katakan saya belum bersedia untuk cinta. Mia jangan berkecil hati dengan saya. Walaupun tanpa cinta, saya tetap sayang Mia dengan Adira.

Surat itu pernah merobek hati Mia. Dia menerima surat itu selepas tiga minggu dia bertanya Qhalif makna cinta kepada pemuda itu. Ternyata Qhalif tidak bersedia menyambut cintanya. Cinta seorang gadis yang baru berusia 15 tahun ketika itu, pasti cinta itu tidak meyakinkan sesiapa pun. Seminggu dia menangis kerana Qhalif menolak cintanya. Bagaimanapun dia tetap yakin suatu ketika nanti pasti Qhalif membalas cintanya. Biarlah selama mana pun dia harus menanti, dia yakin cinta itu datang kembali.

Namun penantian Mia semakin panjang. Selama lima tahun pengajian, ditambah 12 tahun lagi Qhalif bekerja di Amerika, dan khabarnya sudah pulang ke Malaysia lima tahun lalu tetapi tidak mencari mereka, akhirnya Mia tidak mahu meletakkan sebarang harapan. Cinta itu bagai berkubur di sudut hati. Dan kini ia seakan bangkit kembali selepas mendengar nama Qhalif.

Mia menghempaskan kotak surat itu ke lantai. ‘Aku yang penat tunggu Qhalif, Kak Di pulak yang dapat!’

Mia terasa hendak menjerit. Dia seperti ingin marah. Tetapi dia hendak menjerit kepada siapa? Siapa pula yang ingin dimarahinya? Kepada Qhalif? Kerana memilih Adira? Kepada Adira kerana lebih menarik perhatian Qhalif? Atau kepada dirinya sendiri yang sehingga kini gagal menepis rasa cinta itu? Meskipun perasaan itu datang dan pergi, tetapi Mia mengakui selepas mendengar nama Qhalif disebut emak pagi tadi, tiba-tiba sahaja perasaan itu kembali mekar. Dia sendiri tidak menyangka, selepas 17 tahun, nama itu kembali menjadi sebut-sebutan mereka sekeluarga.

Dia menyangka Qhalif tidak akan wujud lagi di dalam hidup mereka selepas Hajah Hafsah menghidap strok dan tidak boleh berjalan selama 15 tahun itu. Sejak itu Hajah Hafsah tidak pernah lagi berkunjung ke rumah mereka. Berita tentang Qhalif juga tidak ada. Mia sendiri berasa malu untuk terus menulis surat. Qhalif pula tidak lagi mengirim sebarang berita. Akhirnya nama Qhalif hilang begitu sahaja.

“Mia! Mia!” Suara Hajah Salbiah lantang memanggil.

Mia cepat-cepat menolak kotak ke bawah katil. Surat di atas lantai direnyukkan sahaja ke dalam salah satu kotak tanpa melihatnya.

“Mia!”

Suara Hajah Salbiah semakin dekat. Mia terus naik ke atas katil dan pura-pura tidur.

“Mana Mia, mak?”

Mia merengus sebaik terdengar suara Adira. Hatinya tiba-tiba panas. Kemarahannya juga muncul.

“Laa… membuta rupanya,” kata Adira sebaik menolak pintu bilik Mia.

Hajah Salbiah menggeleng. “Biasalah si Mia ni. Balik saja mesti nak membuta,” rungutnya. “Kejut dia. Kejap lagi abah balik boleh makan nasi.”

Adira akur arahan emak. Hajah Salbiah berpatah semula ke dapur. Adira tersenyum, duduk di sebelah Mia.

“Bangun oi!” Dia mencucuk pinggang Mia dengan harapan Mia terjaga dan terus bangun. “Kak Di ni tak kacau Mia tak boleh ke?”,Mia betul-betul menengking kakaknya. Tetapi Adira menganggap ia hanya gurauan. Mia enggan memandang wajah dan tawa kakaknya.

Tiba-tiba sahaja dia benci Adira. Kalau ada yang ingin menghancurkan hidupnya, mesti tidak ada orang lain kecuali Adira!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem