5
HAWA sejuk terus menerkam sebaik sahaja Hajah Salbiah membuka
tingkap bilik. Kehijauan di luar rumah mengirimkan bau segar dedaun dan bunga
yang sedang berkembang di laman. Walaupun remang subuh mengepung suasana,
tetapi dia dapat melihat cahaya fajar mulai menguning di kaki langit. Dia
kelam-kabut mengejutkan anak-anaknya. |
“Di! Mia! Bangun! Subuh dah nak habis! Bangun!” Riuh suara Hajah
Salbiah turut mengejutkan ayam itik di dalam reban.
Di dalam bilik, Adira meluruskan tangan dan meregangkan beberapa
bahagian tubuhnya.
Mia pula masih diulit mimpi di dalam selimut tebal.
“Bangun, Adira! Mia! Subuh dah nak habis! Ingatkan dah bangun
solat. Ke tidur balik?” jerit Hajah
Salbiah.
Adira terus duduk dengan mata yang masih perit. “Pukul berapa,
mak?” soalnya. Terasa kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.
Semalam dia sampai di rumah agak lewat. Dia terpaksa memandu
perlahan, takut bumper keretanya tercicir di tengah jalan kalau
memandu laju. Beberapa pemandu membunyikan hon seperti memberi isyarat bumper
keretanya hampir tercicir. Adira buat tidak peduli. Berhenti di bengkel
bermakna dia harus mencuri waktu lebih kurang satu jam. Dia nekad meneruskan
perjalanan dan hanya akan membaikinya di bengkel Pak Din di kampung.
Bagaimanapun bunyi dentuman kuat di belakangnya 20 kilometer sebelum simpang ke
kampungnya, membuatkan dia gelabah. Dari cermin pandang belakang, dia melihat bumper
keretanya benar-benar tercicir di tengah jalan.
“Ya ALLAH. Cicir juga kau sudahnya,” rungutnya sambil menghimpit
ke tepi jalan. Sudahnya, dia tidak ada pilihan. Dia keluar dari kereta dan
mengutip bumper itu untuk dibawa pulang ke rumah.
Haji Ismail paling terkejut melihat bumper
kereta melintang di dalam kereta Adira.
“Ni apa hal pulak ni?” soalnya.
“Entah orang gila mabuk mana langgar kereta Di. Dah tu bukannya
nak bayar. Dia pulak marah kita. Dia kata Di terhegeh-hegeh bawa kereta,”
rungut Adira.
Haji Ismail tertawa. “Abah dah cakap. Kalau bawa kereta tu, laju
sikit.” Dia menarik bumper itu keluar dan meletakkannya ke tepi
rumah. “Zaman sekarang ni mana ada orang bawa kereta perlahan? Tengok, pukul
berapa baru sampai?”
Adira tidak kuasa hendak membalas kata-kata abahnya. Dia memang
sudah letih. Dia memang mahu mandi dan terus tidur.
“Tukar baru sajalah! Dah kemek ni, takkan nak pakai,” saran Haji
Ismail sambil melihat kecacatan belakang kereta anaknya itu.
“Tengoklah nanti,” balas Adira, pendek. Dia menjeling kereta Mia.
“Lawa kereta si beliau kita ni, abah? Tukar cat baru ke?” soal
Adira dengan cemikan bibir.
“Mana pulak cat baru? Memang kereta baru! Tau sajalah si Mia tu.
Baru setahun dua dah nak tukar!”
“Tak cakap dengan Di pun
dia tukar kereta.”
“Nak bagi kejutan kata dia,” balas Haji Ismail.
Adira melangkah naik ke rumah. Gelak tawa Mia dengan Hajah
Salbiah menerjah pendengarannya. “Meriah nampak?” tegurnya.
“Sehari dua ni, mak kau memang gembira sangat,” ujar Haji Ismail
selamba.
Adira terus bertanda tanya. Mengapa emak begitu gembira? Kerana
berita baik itu agaknya?
“Ada apa abah minta Adira dengan Mia balik?” soal Adira lagi.
“Kan abah dah cakap, nanti mak bagitahu.”
“HEI! 20 minit lagi syuruk. Cepat sikit. Menung pulak dia?”
Teguran Hajah Salbiah memutuskan lamunan Adira. Dia menyelak
selimut. “Mak dah solat ke?” Dia menjulurkan kaki ke lantai.
“Mak dah balik dari masjid dengan abah. Nak tunggu masuk dhuha
pulak ni.”
“Laa… mak tak kejutkan Di. Di nak ikut ke masjid.” Adira
memuncung. Sudah lama dia tidak ke masjid di kampung.
“Tak kejut, Di kata? Bukan main kuat mak goncang, sikit pun kau
tak terjaga. Mak rasa kau penat,” balas Hajah Salbiah.
Adira bergegas mencapai tuala. Sempat dia menarik selimut Mia
untuk mengejutkannya. “Bangun!”
Ketika kakinya melangkah ke bilik air yang terletak di bahagian
dapur, hatinya tertanya-tanya lagi. Berita apa emaknya hendak sampaikan sampai
bertangguh hingga pagi ini? Kalau emak memberitahu berita itu semalam, bukankah
lagi senang hatinya?
Belum siap mandi, pintu bilik air sudah diketuk kuat dari luar.
“Cepatlah, oi! Mandi ke tidur?” Nyaring suara Mia.
Adira terus menjirus air dan membersihkan badan seadanya. Tidak
sampai lima minit, dia selesai bersalin kain batik sebelum membuka pintu.
“Kau ni, kak… mandi pun berjam-jam,” tegur Mia lalu masuk ke dalam bilik air tanpa menunggu Adira
keluar terlebih dahulu.
Adira terpaksa menghimpit ke dinding memberi ruang adiknya masuk.
“Kalau ya pun, tunggulah Kak Di keluar dulu.” Agak kesal dia dengan sikap adiknya.
Mia memang sentiasa berkasar dengannya. Jarang hendak mengalah.
Apa-apa pun dia memang tidak suka bertengkar dengan adiknya. Bukannya rugi pun
mengalah.
DINGIN pagi masih mencengkam walaupun hampir jam 8.00 pagi.
Ditambah cuaca agak mendung, matahari amat lambat menjenguk keluar. Adira
merenung langit gelap di sebelah barat. Di sini hujan. Di KL kering. Bukanlah
pelik pun kerana kampungnya memang dikelilingi bukit-bukau kawasan tadahan
hujan. Hutannya sangat subur dengan kehijauan di persekitaran. Wap dedaunnya
yang lepas ke angkasa membentuk wap air yang akhirnya memberat dan jatuh ke
bumi.
“Di…”
Suara emak perlahan memanggilnya. Adira tersentak.
“Sekejap. Mak nak cakap.” Hajah Salbiah tersenyum memandang
anaknya.
Adira tidak membantah. Dia duduk di sebelah emaknya. Dadanya
ditampar debar.
“Masih ingat Qhalif tak?”
Soalan Hajah Salbiah membuatkan kening Adira berkerut. “Anak Mak
Cik Hafsah yang duduk kat Taman Impian, Ipoh tu?” soalnya meminta kepastian.
Hajah Salbiah mengangguk.
“Bukan ke dia duduk di Kuala Lumpur lepas balik dari Amerika?”
“Sekarang dia ada kat sini. Kadang-kadang uruskan pejabat Kuala
Lumpur, kadang-kadang balik ke sini urus pejabat sini. Katanya nak pindah terus
ke Kuala Lumpur lepas kahwin nanti. Sementara tu, dia berulang-alik saja,”
beritahu Hajah Salbiah.
“Kenapa dengan Qhalif?” soal Adira pula.
Hajah Salbiah menyentuh pipi Adira. Sejuk pipi anak gadisnya itu.
“Ingat tak dengan dia?”
“Entah! Nama dia memang ingat, orangnya tak ingat dah macam
mana,” ujar Adira agak gugup. “Kenapa, mak? Dia nak ajak Di kerja dengan dia
ke?” soalnya tanpa menyangka apa-apa.
“Qhalif nak melamar kau,” beritahu Hajah Salbiah.
Adira terdiam. Tubuhnya terasa kaku. Darahnya sudah berhenti.
Tetapi terasa bahang menerpa ke mukanya.
“Jangan guraulah, mak. Qhalif tu mesti dah kahwin.”
“Belum. Dia tak pernah kahwin sebab dia memang tak mau kahwin.
Tapi sejak akhir-akhir ni, dia nak pulak. Mak Cik Hafsah bukan main suka lagi.
Yang bagusnya Qhalif memang serah jodoh dia pada emak dia.”
Adira terasa tangan dan kakinya sejuk. Dia tunduk. Itu
rupa-rupanya berita baik yang emak dan abah hendak sampaikan. Patutlah
kelam-kabut mereka memintanya balik.
“Nak tak?” soal Hajah Salbiah lagi.
Adira masih terkaku. Takkan hendak memberi jawapannya pada waktu
juga juga? Nampak sangat gelojohnya!
“Mak Cik Hafsah tak kisah… kau ke… Mia ke… tapi Qhalif dah setuju
dengan kau. Tinggal tunggu jawapan kau aje lagi,” sambung Hajah Salbiah lagi
penuh harapan.
Tubuh Adira terasa menggigil. Adakah impian 17 tahun lalu
akhirnya menjadi kenyataan? Adakah impian selama 17 tahun ini berakhir dengan
kebahagiaan? Adira tidak dapat membayangkan bagaimana perasaannya kini. Dia
berada di awang-awangan. Nama Qhalif antara yang tidak pernah luput dari
ingatan. Malah menjadi sebahagian angan setiap malam. Tetapi, adakah Qhalif
masih ingat namanya lagi? Atau mungkin Qhalif juga sudah melupakan kewujudannya
di dunia ini? Dia setuju pilihan emaknya, tidak bermakna hatinya juga
menyetujuinya.
“Setujulah, Di. Kalau tak, mak pun tak berani nak cakap. Mak
bersyukur sangat kalau kau dah lepas. Mak kesiankan kau, Di,” pujuk Hajah
Salbiah.
Adira pun kasihan pada emak dan abah juga. Mereka sudah lama
menanti saat ini. Saat mereka tidak akan diumpat lagi oleh saudara-mara kerana
ada anak dara tua. Saat mereka
menyampaikan berita gembira itu kepada mereka yang pernah mengeji dan
memperli.
“Kalau Di tak mau, err… baru mak nak bagitahu Mia?” soal Adira
pula.
Hajah Salbiah mengangguk.
“Kenapa tak terus bagi dekat Mia saja, mak? Mia muda, cantik.
Adira dah tua.”
Kata-kata Adira membuatkan Hajah Salbiah menarik nafas
panjang.“Sebab Di dah tualah mak nak Di kahwin dulu. Di, tak boleh tunggu lagi.
Qhalif tu baik. Di, pernah kenal dia masa kecik-kecik dulu, kan? Kata Mak Cik
Hafsah, dia tak pernah lupa Di dengan Mia tau?” ujarnya. Dia memegang tangan
Adira dengan penuh harapan. “Terimalah, Di! Mak memang tak mahu paksa. Tapi,
kesiankanlah mak dengan abah,” pujuknya lagi.
“Bagilah Adira fikir dulu, mak,” rayu Adira. Mana tahu kalau
Qhalif lebih sukakan Mia berbanding dirinya?
“Nak fikir apa lagi? Kalau Di cepat bagi jawapan, cepat Mak Cik
Hafsah masuk meminang. Kalau ikut mak, tak payah tunang pun tak apa. Nikah saja terus.”
Besar sungguh harapan mak, bisik hati Adira. Tetapi, takkan nak
terus setuju. Nak tau juga sikit sikit pasal Qhalif. Kalau betul dia setuju,
kalau dia rasa terpaksa kahwin dengan aku? “Di janji, mak. Dalam minggu ni
juga, Di bagi jawapan. Insya-ALLAH,” ujar Adira.
Hajah Salbiah menarik nafas panjang. “Yalah, tapi… mak tak mau Di
hampakan mak!”
“Insya-ALLAH, mak. Kalau memang jodoh Di dengan Qhalif!
KERETA yang dipandu Mia berhenti di laman rumah. Hajah
Salbiah sedang menyusun pinggan dan cawan di atas meja makan. Terdengar gurau
senda Haji Ismail dengan Mia.
“Patutnya sesekali balik macam ni, buatlah sarapan untuk mak
dengan abah. Ini tidak, sarapan beli jugak. Hmm… kau balik ke… tak balik ke… tak ada beza, Mia,” ujar Haji
Ismail sambil mengambil bungkusan plastik berisi makanan di tempat duduk
belakang.
“Abah! Cuba abah fikir. Dengan 20 ringgit ni, kita boleh dapat
macam-macam makanan. Kalau kita masak, 20 ringgit tak cukup, abah. Nak beli
bahan mentah, gas lagi, rencah lagi, gula,tepung… hah, rugi saja masak, abah,”
ujar Mia disusuli dengan ketawa.
“Itu jawapan dan alasan orang malas,” balas Haji Ismail. Dia
mendahului meniti tangga meninggalkan Mia yang masih mengeluarkan beberapa
barang lain dari dalam kereta. Sampai di dapur, dia meletakkan bungkusan
makanan di atas meja. Isterinya sedang membancuh teh O.
“Biah dah bagitahu Adira, bang.” Hajah Salbiah berbisik di
telinga Haji Ismail. Takut didengari anak-anak mereka.
“Apa kata dia?”
“Bagilah dia masa untuk fikir, bang. Kalau kita paksa-paksa,
langsung dia tak nak pulak nanti.”
Haji Ismail mengangguk.
Mia muncul di hadapan pintu dapur. “Kak Di mana mak?” soalnya.
Matanya melilau mencari Adira.
“Ada. Dalam biliklah tu.” jawab Hajah Salbiah pendek.
“Eeii… Kak Di ni… orang dah lapar ni,” rungut Mia.
“Mak panggil Kak Di kejap.” Hajah Salbiah menapak menuju ke bilik
Adira.
SUASANA di meja makan cukup meriah dengan gurau senda Mia
dengan abahnya. Haji Ismail semakin kuat mengusik. Tetapi, Adira seperti hanyut
dalam lamunan. Sejak tadi dia cuba mengembalikan ingatan kepada wajah Qhalif.
Bagaimana rupa dia sekarang agaknya? Selepas lebih 17 tahun, mungkinkah dia
masih budak lelaki sopan santun seperti dulu? Masihkah dia budak lelaki yang
lembut menyapa dan mengajaknya mengait buah rambutan di sebelah rumah lama
mereka dulu. Masihkah dia yang memintanya agar mengirim surat kepadanya selepas
dia sampai di Amerika?
“Ni, mak nak cakap satu perkara.” Tiba-tiba Hajah Salbiah
mencelah di tengah kerancakan Mia bertengkar dengan bapanya.
Adira yang tidak lepas-lepas memikirkan Qhalif turut tersentak.
Dia memandang wajah emak.
Mia pula senyap tiba-tiba tetapi matanya bersinar menandakan dia
sangat teruja. Dia merenung wajah emak. “Cepatlah, mak. Mia tak sabar ni. Siapa
yang nak kena pinang?”
“Kak Di.” Hajah Salbiah bersuara sepatah.
Mia ternganga. Dia menoleh ke arah Adira yang duduk di
sebelahnya. Terus dia memeluk kakaknya.
“Congratulations, Kak Di!”ucap Mia lalu
mencium pipi Adira.
Haji Ismail dan Hajah Salbiah tersenyum.
“Siapa nak pinang Kak Di, mak?” soal Mia dengan perasaan tidak
sabar.
“Mak Cik Hafsah… untuk anak dia… Qhalif.”
Sebaik nama itu meniti di bibir emak, Mia terus terdiam. Qhalif?
“Ingat lagi tak? Anak Mak Cik Hafsah yang pernah datang rumah
kita masa kita duduk rumah atuk dulu? Masa dia datang kali terakhir tu, Qhalif
dah nak pergi Amerika. Kan dia dapat biasiswa MARA pergi luar negara? Ingat
tak?”
Mia mengerutkan kening. “Qhalif yang… oh… ya ALLAH! Lamanya tak
dengar pasal dia. Tiba-tiba dia nak pinang Kak Di, mak?” Riak wajahnya seperti
tidak percaya. Dia diam seketika.
“Mia tak suka Qhalif jadi abang ipar Mia?” soal Haji Ismail.
Mia gelabah. “Err… tak
adalah. Tapi… macam mana mak dengan abah boleh terima macam tu saja? Kita dah
lama tak jumpa dia. Kita tak tahu dia macam mana…” Hatinya seolah-olah
membantah cadangan ibu bapanya untuk Adira.
“Kak Di belum kata Kak Di terima,” celah Adira akhirnya.
Mia memegang bahu Adira lalu cepat-cepat bersuara sebelum emak
dan abah bersuara. “Betul tu, Kak Di. Kita kena siasat juga siapa calon suami
kita kan, Kak Di?” ujar Mia menyokong Kak Di nya.
Haji Ismail menarik nafas panjang. “Nak siasat apa? Dah sah sah
kita kenal keluarga dia. Bukan orang lain, kawan baik abah dengan mak. Nak
siasat apa lagi? Qhalif tu memang baik.” Dia cuba meyakinkan anak-anaknya.
Hajah Salbiah tunduk. Kekecewaan mula menerpa. Bimbang kalau
Adira termakan kata-kata adiknya, padahal tadi nampak seperti Adira sudah
menyetujuinya. “Yalah… mak bagi masa seminggu ni. Pergilah siasat dia,” katanya
seperti sudah berputus asa. Dia bangun meninggalkan anak-anak dan suaminya.
Haji Ismail menegur Mia. “Mak tu dah berharap sangat Adira terima
Qhalif tu, Mia. Mia cakap macam tu, mak dah rasa putus harapan dah,” ujar Haji
Ismail. Dia mengeluh.
“Mia tak kata Kak Di tak boleh kahwin dengan Qhalif. Tapi, Kak Di
ada hak untuk kenal bakal suami dia. Masa kecik-kecik dulu lain, abah. Sekarang
lain. Betul tak, Kak Di?” Mia cuba menegakkan pendapatnya.
“Kalau mak dengan abah memang nak Di kahwin dengan Qhalif, Di
ikut saja,” ujar Adira.
Haji Ismail mengusap belakang Adira. Mia menjengilkan mata
memandang kakaknya. Timbul pula rasa bimbang andai kakaknya jadi kahwin dengan
Qhalif.
“Abah tak mahu Di kahwin sebab abah dengan mak paksa Di kahwin.
Kalau Di betul-betul suka, redha dengan Qhalif, tak apa. Jangan kahwin dengan
rasa terpaksa. Di fikirlah dulu,” ujar Haji Ismail lemah lembut memujuk.
“Betul kata abah, kak! Kalau Kak Di tak boleh terima dia, Kak Di
kena cakap. Kalau Kak Di kahwin sebab terpaksa, baik jangan kahwin,” ujar Mia
merangsang semangat Adira.
Haji Ismail bangun. “Abah nak tengok mak kamu. Merajuk dia
agaknya.” Kalau merajuk, isterinya itu perlu dipujuk. Memang begitulah
selalunya.
“Alah, mak ni pun… hal macam ini pun nak merajuk. Ini soal masa
depan Kak Di. Mak kena rasional. Betul tak, Kak Di?” cebik Mia.
Adira malas hendak melayan Mia lalu bersuara. “Baik Kak Di pujuk
mak. Kak Di terima ke… tak terima ke…
Kak Di kena bagi alasan yang mak boleh terima dan mak tak marah Kak Di.” Mia
ditinggalkan sendirian di meja makan.
Mia menggenggam penumbuk. Kemudian menghentak meja melepaskan
geram yang terbuku di hati. ‘Mak memang tak patut!’