Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,377
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

3

“ABANG telefon Mia ke telefon Adira?” soal Hajah Salbiah sebaik sahaja melihat kereta Mia menyusur masuk ke laman rumah.

Haji Ismail turut memanjangkan leher. “Dua-dua,” jawabnya sambil meletakkan batu asah ke lantai rumah.

“Tu Mia sampai seorang, mana Adiranya?” soal Hajah Salbiah pula. “Jangan tak balik ,sudah.”

“Awak ni, Salbiah… Adira ke Mia?” soal Haji Ismail tidak puas hati.

“Kalau boleh, biar Adira dulu. Dah berapa umur dia?” soal Hajah Salbiah pula.

“Kan Kak Hafsah sebut nama Mia?” ujar Haji Ismail membetulkan kain pelekat.

“Dia sebut saja, tapi…dia tak kisah Adira ke… Mia ke… Qhalif tu pun dah 39 tahun. Adira boleh, Mia pun boleh,” ujar Hajah Salbiah lagi.

“Adira bawa kereta sendiri,” jawab Haji Ismail untuk menyenangkan hati isterinya.

“Tak pandai berjimat langsung budak-budak ni,” rungut Hjah Salbiah.

“Dah tahu minyak mahal, tol mahal… kongsi-kongsilah kereta tu nak balik,” rungut Hajah Salbiah lagi.

Haji Ismail tersenyum melihat lenggang Mia menuju ke arahnya. Anak bongsunya seperti selalu, nampak lincah dan riang.

“Assalamulaikum, mak! Assalamulaikum, abah!” Suara nyaring Mia segera meriuhkan rumah yang biasanya sepi.

“Timbalan pengarah kita belum sampai?” soal Mia sambil bersalam dengan Haji Ismail dan mencium Hajah Salbiah yang sibuk membersihkan daun pisang.

“Kenapa tak naik kereta sekali dengan kakak? Buang minyak saja,” rungut Hajah Salbiah lagi.

“Timbalan pengarah tak mahu naik kereta murah,” jawab Mia lalu ketawa. Dia duduk bersandar ke tubuh emaknya.

“Eeii… nak menghimpit saja budak ni! Mak panaslah.” Hajah Salbiah buat-buat marah. Tetapi apabila Mia memeluk bahunya, kepanasannya bagai menghilang. Terasa nyaman pula dalam pelukan anak manjanya.

“Alah, mak… Mia nak manja-manja pun tak boleh,” rajuk Mia dengan mulut memuncung.

“Dah kahwin nanti, manja-manjalah dengan suami,” ujar Haji Ismail pula.

Mia mencebik. “Siapa nak kahwin?” Dia kurang selesa bila soal kahwin timbul antara mereka. Dia terfikir seketika. Kemudian dia bersuara. “Hah, mak, abah… bagitahu Mia betul-betul, pasal apa mak dengan abah suruh Mia dengan Kak Di balik? Pasal apa?” Dia seperti sudah dapat meneka apa yang akan dikatakan emak dengan abahnya.

“Tanya mak kau,” jawab Haji Ismail selamba.

“Tunggu kakak sampai,” jawab Hajah Salbiah sambil menyusun daun pisang.

“Biasanya, kalau ada arahan-arahan tanpa notis macam ni, mesti ada hal mustahak,” balas Mia pula. “Pasal tanah ke, abah?” Dia serkap jarang.

“Mungkin,” jawab Haji Ismail, tersenyum-senyum.

Hajah Salbiah menjeling suaminya.

“Okey…” Mia tidak begitu puas hati dengan jawapan abahnya.

“Alah, kita dua orang saja. Tanah abah ada lima bidang. Kalau abah nak bahagi-bahagikan, Mia tak kisah tanah mana yang abah nak bagi Mia,” ujar Mia selamba. “Tapi kalau boleh, jangan jauh sangat ke dalam,” sambungnya lagi.

“Abah suruh balik, bukan nak bincang pasal tanah.” Haji Ismail sengaja mengalih tajuk perbualan.

“Habis hal apa, abah?”

“Hal kau dengan kakak kau,” balas Haji Ismail.

“Ada orang nak masuk meminang kakak ke?” teka Mia.

Haji Ismail ketawa. “Kita tunggu kakak kau sampai.”

Mia merengus. Abahnya masih berteka-teki dengannya. Lantas dia mengambil beg dan bangun lalu masuk ke dalam rumah.

Haji Ismail merenung ke arah jalan raya di depan rumah. Lambatnya Adira! Ingatkan dia sampai dulu sebab sudah lebih empat jam berlalu selepas Adira menelefonnya tadi.

Kasihan Adira. Betul kata isterinya. Kalau boleh biarlah Hajah Hafsah melamar Adira untuk Qhalif. Mia muda lagi. Baru 26 tahun. Adira sudah hampir 40 tahun. Ya ALLAH, tuanya anak daranya itu. Kalau Qhalif tak kisah umur Adira, Alhamdulillah. Tapi kalau dia memilih Mia pun, Alhamdulillah juga. Mia pun anaknya. Sekurang-kurangnya tidak sampai terlajak ke umur Adira sekarang.

Tetapi Hajah Hafsah selalu bertanya tentang Adira. Pantang berjumpa di mana-mana, pasti Adira yang ditanya. Bukan Mia. Adakah itu bermakna Hajah Hafsah memang memilih Adira untuk menjadi menantunya? Tidak mustahil.

Adira sudah 37 tahun. Tiga tahun lagi kalau Adira tidak boleh melahirkan anak untuk Qhalif, bermakna peluang Qhalif menjadi ayah tertutup sama sekali. Dalam usia 40-an, mungkin berbahaya untuk Adira melahirkan anak pertama.

Mungkin Hajah Hafsah tidak kisah tentang menimang cucu daripada Qhalif. Cucu yang dia ada sudah cukup untuk pasukan futsal tujuh sebelah.

“Hah! Menung! Ingat arwah Suhadahlah tu!” Hajah Salbiah mengejutkan Haji Ismail daripada lamunan panjang.

“Awak ni. Cemburu kat orang yang dah tak ada pula,” balas Haji Ismail sambil bangun meluruskan pinggang.

“Mau tak cemburu kalau awak asyik ingatkan dia.” Hajah Salbiah merengus sambil mengutip reja daun pisang dan memasukkannya ke dalam bakul sampah.Yang lebih halus hanya disapu dengan penyapu lidi.

“Dah tak ingat dah. Nak ingat apa kalau awak saja kat depan mata?” Haji Ismail menggeleng-geleng. ‘Ah, Biah! Suka sangat mengungkit perkara lama. Hal bekas tunang aku yang sudah tidak ada itu juga yang diungitnya!’

“Awak bagitau Mia ke yang Kak Hafsah nak pinang Adira ni?” soal Hajah Salbiah pula.

“Kak Hafsah kata belum cakap siapa dia nak pinang? Mana tau kalau dia pilih Mia?”

“Biah dah buat keputusan, bang. Adira kena jalan dulu. Kak Hafsah pun faham. Memang dia selalu sebut nama Mia, tapi Adira pun dia suka. Abang lupa, Kak Hafsah kan dah cakap siapa pun dia tak kisah asal dia dapat berbesan dengan kita.”

Haji Ismail mengangguk.

“Kejap lagi Biah telefon Kak Hafsah. Kita lepaskan Adira dulu. Abang jangan cakap apa-apa dekat Mia dengan Adira selagi Biah belum bercakap dengan Kak Hafsah.”

“Suka hati awaklah, Biah. Kalau Qhalif nak dua-dua pun apa salahnya?” gurau Haji Ismail. Tergelak dia.

Hajah Salbiah bercekak pinggang, memandang suaminya. Perasaan marah menerpa. “Awak nak anak kita bermadu adik-beradik ke? Tak pernah dibuat orang. Haram hukumnya, bang!”

“Tau! Abang gurau saja. Tak boleh ke?”

Hajah Salbiah membalas pertanyaan dengan jelingan lebih tajam. Haji Ismail tergelak. ‘Manis juga jelingan mak budak-budak ni,’ pujinya di dalam hati.

QHALIF merebahkan tubuhnya di atas katil sebaik sahaja tali leher terlerai daripada lehernya. Dia meletakkan tangan di bawah kepala dan matanya segera dipejamkan. Leganya selepas seharian memerah otak di pejabat. Dalam keadaan prestasi perniagaannya yang masih menentu di Ipoh ini, banyak perkara yang perlu difikirkan. Belum sampai setahun dia membuka cawangan di sini. Mengikut perancangannya, jika semua berjalan lancar dia akan menguruskan sepenuhnya Caliph Holdings di Kuala Lumpur. Adik iparnya Syukri akan mengambil alih sepenuhnya tugas di pejabat cawangan Ipoh ini. Tetapi Tender-tender projek amat lambat mendapat jawapan. Pihak bank pula memberi pelbagai alasan untuk meluluskan pinjaman. Semuanya seperti halangan awal yang mencabar kesabaran. Dia memicit kepalanya.

Dengan keadaan sekarang, rasanya hendak sahaja dia menolak permintaan ibunya. Memang bukan waktu sesuai untuk membincangkan hal perkahwinan. Tetapi, tidak boleh juga sebab usia semakin bertambah. Adik sudah berkeluarga sedang dia masih terkapai-kapai sendirian. Soal cinta dan perkahwinan bagai sudah terpadam di minda. Hanya ibunya yang berkali-kali mengingatkannya. Itu pun setiap kali sambutan hari lahirnya tiba.

“Bila lagi Qhalif? Kawan-kawan kau sibuk bilang anak, kau, cukup bilang umur saja?” soal ibunya entah berapa ratus kali. Biasanya soalan hanya disambut dengan senyuman.

“Entah apa masalah kau ni, Qhalif. Tak pernah maunya bercakap pasal kahwin,” rungut ibunya, juga untuk rungutan yang entah kali keberapa.

“Tak ada orang nak, mak.” Itu balasannya.

“Tak cari mana nak dapat? Putus cinta ke?”

Soalan Hajah Hafsah membuatkan dia tersenyum. Yang namanya cinta itu memang tidak pernah hadir di dalam hatinya. Dia pernah merasainya seketika, tetapi menghilang seiring waktu yang berlalu. Itu pun ketika usianya menginjak 17 tahun. Perasaan itu tidak pernah dipupuk, lantas hilang begitu sahaja. Sejak itu cinta itu seperti tidak mahu hadir lagi.

KETUKAN di pintu mengganggu kelegaan yang baru dirasainya. Hajah Hafsah menjenguk ke dalam bilik.

“Ada apa, mak?” soal Qhalif, bangun perlahan-lahan lalu merenung Hajah Hafsah.

“Mak Cik Biah telefon.”

Qhalif tersenyum dan memintas. “Apa lagi, mak. Qhalif ikut saja cakap mak. Qhalif tak memilih, mak,” ujar Qhalif, pasrah kepada segala-galanya.

“Yalah, mak tau! Ni mak nak bagitahulah ni.” Hajah Hafsah melangkah masuk ke dalam lalu duduk di sisi anak bujangnya. “Adira! Setuju?” soalnya.

Qhalif ketawa. Ibunya tidak faham kepasrahan hatinya. Dia redha siapa pun jodohnya.

“Mak ingat biar Mia aje jodoh kau. Kau pun lebih kenal Mia, kan? Tapi Mak Cik Biah kata Adira. Mak faham kenapa Mak Cik Biah nak lepaskan Adira dulu,” kata Hajah Hafsah.

Qhalif hanya menggeleng.

“Dua-dua pun okeylah.” Hajah Hafsah mengukirkan senyuman memandang anaknya.

“Qhalif taklah kenal sangat dengan Mia tu,” ujar Qhalif.

“Dulu pernah bersurat-surat mak dengar?” duga Hajah Hafsah lagi.

“Alah, masa tu Mia baru umur 15 tahun, mak. Dah dekat tujuh tahun Qhalif di US, baru dia tulis surat sebab kami dah lama tak jumpa,” balas Qhalif sambil membuka bajunya.

“Mana dia dapat alamat Qhalif?”

Qhalif hanya menjongketkan bahu. Tetapi dia tidak mahu menceritakan kepada emaknya tentang dia pernah menulis kepada Adira selepas beberapa bulan sampai di Amerika. Tetapi Adira jarang membalas suratnya. Kalau balas pun, isi surat Adira sangat pendek. Kemudian Adira tidak lagi mengutus surat kepadanya. Tujuh tahun selepas itu, dia menerima kembali surat-surat daripada alamat yang sama.

Pada mulanya dia menyangkakan surat yang diterima datang daripada Adira kerana dia hanya memberikan alamat itu kepada Adira. Bukan main gembira dia membalas surat Adira. Dan kata-kata yang tertulis, semua ditujukan untuk Adira. Sehinggalah apabila Mia mengirimkan gambarnya, baru dia sedar yang dia menulis kepada orang yang salah.

Dan dia menyesal seperti memberi harapan kepada Mia melalui surat-surat terdahulunya. Apabila Mia mengutus surat kepadanya, dia hanya membalas dengan ayat yang ringkas. Tetapi surat Mia semakin berbaur cinta. Dan dia sendiri takut untuk membalas perasaan cinta Mia.

Akhirnya Mia juga tidak mengutus apa-apa lagi kepadanya apabila dia memberitahu kesibukan sebagai pelajar membuatkan dia tidak punya banyak masa untuk menulis untuk Mia

Dia mengutus surat kembali kepada Adira pula. Dan persahabatan mereka berlarutan tanpa pengetahuan Mia. Tetapi Adira bagai tidak selesa apabila dia mula menyatakan perasaan sebenarnya kepada gadis itu. Dia ingin meluahkan semua perasaan yang lebih istimewa itu, tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya. Dia menulis semua perasaan cintanya kepada Adira. Adira membalas. Gadis itu takut dengan apa yang ditulis kepadanya. Entah apa yang ditakutkan Adira, dia sendiri tidak tahu. Mungkinkah itu cuma alasan Adira kerana Adira tidak punya perasaan yang sama?

Akhirnya perasaan itu terbiar begitu sahaja. 17 tahun berlalu selepas surat Adira yang terakhir. Qhalif tidak menyangka nama Adira dengan Mia ditimbulkan emaknya semula.

“QHALIF!”

Lamunan Qhalif berterbangan.

“Mak nak tanya sungguh-sungguh. Tak apa ke dengan Adira? Dia agak berumur sikit, tapi tak adalah banyak sangat. Muda empat tahun saja dari Qhalif. Tak apa ke?”

Qhalif memeluk bahu Hajah Hafsah. “Kalau mak dah suka, Qhalif pun suka mak,” ujar Qhalif gembira.

“Alhamdulillah. Lega mak dengar. Baiknya anak mak, tak pernah sakitkan hati mak… tak pernah bantah cakap mak,” sambung Hajah Hafsah sambil memeluk dan mencium kening anaknya.

“Qhalif pun dah tua, mak. Memilih sangat pun tak ada faedahnya. Kalau dia memang jodoh yang ALLAH tentukan, mestilah dia yang terbaik untuk Qhalif. Betul tak, mak?”

Hajah Hafsah mengangguk.

Ada bunga-bunga cinta yang kembali mewangi di hati Qhalif. Adakah cinta yang terbiar kini kembali segar dengan rancangan yang diatur emaknya. Dia mengucapkan syukur kerana bakal ditemukan dengan Adira semula. Gadis berkulit hitam manis itu pernah mengajarnya memanjat pokok manggis sewaktu dia bertandang ke kampung mereka. Adira juga yang mengajarnya memancing dan mengusiknya dengan cacing hidup. Dan yang menolak dia terus masuk ke dalam parit itu adalah Mia kerana Mia agak nakal dan lebih berani berbanding Adira.

Qhalif tersenyum bila terkenangkan kisah lampaunya.

“Hah, dah mula senyum-senyum tu?”

Teguran Hajah Hafsah sekali lagi mengejutkan Qhalif.

“Adira, yang hitam manis, pendiam tu kan, mak?” soal Qhalif, mencari kepastian tentang gadis bernama Adira. “Rambut dia paras pinggang. Ingat lagi masa tu dia kurus… tak banyak cakap.”

“Mengenang zaman kau orang kecik-keciklah ni?” Hajah Hafsah mengusik.

“Mia tu… dia putih sikit. Banyak cakap, lasak, suka usik Qhalif masa kita pergi kampung dia.” Bayangan Mia semasa kecil bermain di minda Qhalif lagi.

“Itu, dekat 20 tahun lepas sayang. Masa tu Adira baru 17. Mia pulak baru nak masuk lapan tahun, memang nakal. Tapi, sama bijak dengan kakak dia. Dua-dua buat master,” jelas Hajah Hafsah penuh bangga.

Qhalif masih tersenyum-senyum.

“Tapi, sekarang dah lain. Kalau kau nampak Adira, kau mesti terkejut. Cantik… Memanglah Mia lebih cantik sebab dia jauh lebih muda! Tak mengapa, nanti kita pergi sana, Qhalif boleh tengok sendiri. Jangan pulak bila dah setuju kakaknya, terus nak adiknya pulak?”

“Qhalif terima jodoh Qhalif, mak. Mak jangan risau,” ujar Qhalif meyakinkan Hajah Hafsah.

Malam itu, Hajah Hafsah tidak bertangguh menghubungi Hajah Salbiah untuk menyampaikan persetujuan Qhalif melamar Adira.

Hajah Salbiah menarik nafas lega.

Tetapi sepanjang malam itu juga, Qhalif sukar memejamkan mata. Tiba-tiba gadis hitam manis berambut panjang itu menjelma lagi dalam ingatannya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem