13
ADIRA hanya merenung telefon bimbit di dalam genggamannya. Hendak
menghubungi Qhalif atau terus memberitahu emak keputusannya? Zara menjeling
Adira yang termenung sejak tadi. Apa yang difikirkan ADira agaknya? |
“Di…” Zara memanggil Adira agak kuat.
Adira tidak mendengar. Matanya pada layar televisyen, sedangkan
fikirannya entah ke mana.
“Di! Mengelamun ya?” Zara memegang tangan Adira.
Adira tersentak.
“Cepatlah telefon dia. Kesian dia tunggu. Telefonlah.” Zara juga
mendesak.
Adira tidak menjawab. Sebaliknya meletakkan telefon bimbit di
atas lantai. Dia sudah memberitahu Zara mengenai Qhalif yang pernah cuba
menghubunginya. Zara menggalakkan Adira menghubungi Qhalif pula tetapi Adira
sudah membuat keputusannya sendiri. Tidak akan ada panggilan untuk Qhalif
kecuali kalau Qhalif yang menghubunginya. Itu pun dia tidak akan bercakap lama.
Mungkin beberapa patah ayat tanda perkenalan sahaja.
“Tak berani nak call ke? Biar aku
dailkan,” ujar Zara menawar bantuan. Dia mencapai telefon bimbit Adira namun
dihalang oleh.
“Tak payah, Zara! Aku takkan telefon dia.”
Zara terkejut. “Habis, kau tak suka dia ke? Kau kata dia budak
baik… bersopan santun, kenapa tak nak pulak?” Ditenung wajah Adira dalam-dalam.
Apa lagi yang dicari Adira? Dalam usia 37 tahun, Adira tidak sepatutnya
memilih. Mahu sahaja Zara memberitahu Adira begitu. Tetapi wajah Adira yang
tenang membuatkan dia tidak sampai hati.
“Zara, aku belum bersedia nak berkahwin.”
Zara mengerutkan dahi. Kenapa Adira takut? ‘Mungkinkah kerana
aku banyak bercerita yang buruk-buruk tentang kegagalan perkahwinan aku yang
gagal? Agaknya Adira takut menjadi janda macam aku. Sebab tu hatinya
berbolak-balik.’ Hatinya menduga.
“Di, aku minta maaf kalau selama ini cerita-cerita aku menakutkan
kau. Aku lain, Di. Kau lain. Rumah tangga aku hancur sebab Johari tak jujur
dengan aku. Aku pulak kurang sabar. Tapi Insya-ALLAH, bakal suami kau takkan
macam Johari. Rumah tangga kau mesti bahagia, Di.”
Adira menoleh ke arah Zara.
Dia tersenyum pahit. “Apa pulak ada kena-mengena hal kau dengan hal aku, Zara?
Tak adalah! Sikit pun aku tak terfikirkan hal kau. Kau pun tau jodoh kita ni
dah ditentukan ALLAH. Aku tak takut apa-apa cuma aku belum bersedia.” Dia cuba
menjelaskan keadaannya kepada Zara. “Sebenarnya, Zara… aku dah buat keputusan.
Aku tak perlu nak bercakap dengan dia. Aku kena terus bercakap dengan keluarga
aku.” Dia mengambil telefon bimbitnya.
“Kau nak telefon siapa?” tanya Zara, ragu-ragu.
“Mak. Mesti mak tertunggu-tunggu panggilan aku. Aku dah janji nak
bagitau mak keputusan aku hari ni.” Adira tahu kerisauan Zara terhadapnya.
Sebagai teman sekerja dan teman serumah, pasti Zara juga mengharapkan
kebahagiaannya. “Zara, aku rasa ini keputusan terbaik aku. Macam mana aku nak
kahwin dengan orang yang aku tak cinta?” Perlahan suaranya meluah perasaan.
“Kau belum jumpa dialah, Di! Cuba jumpa dulu. Ini dengar suara
pun belum, kau dah nak tarik diri. Agaknya betul kata kawan-kawan kita, kau ni
kena mandi bunga,” bebel Zara, tidak puas hati dengan keputusan Adira.
Adira hanya menggeleng. Zara takkan faham apa sebenarnya yang
berlaku. Dia takkan mengerti kerana ini adalah soal pengorbanan. Hatinya akan
lebih terluka mengenangkan kehampaan Mia selepas Qhalif menjadi abang iparnya.
Kalau hal lain dia boleh menghadapinya, tetapi bukan hal-hal yang melibatkan
perasaan Mia.
Adira mengambil juga telefon bimbitnya. Dia menekan nombor rumah
di kampung. Zara terus meninggalkannya lalu masuk ke dalam bilik. Kehampaan
Zara juga ketara. ‘Agaknya Zara tak sampai hati nak dengar aku bercakap dengan
mak pasal Qhalif.’
“Assalamulaikum, mak. Di ni…” Dadanya berdebar mendengar suara
Hajah Salbiah menjawab salamnya.
“Hmm… waalaikumussalam. Ingat juga nak telefon mak hari ni, Di?”
“Takkan tak ingat, mak. Kan hari-hari Di telefon mak?”
“Yang hari-hari tu lain. Yang hari ni lain sikit,” balas Hajah
Salbiah. “Macam mana, dah ada keputusan?”
Soalan Hajah Salbiah umpama pisau yang menikam diri Adira.
Peritnya hendak menyampaikan khabar yang tidak menggembirakan itu. Ia bagai
satu hukuman berat, tetapi dia terpaksa meluahkan enggan membiarkan emaknya
menunggu.
“Di minta maaf, mak.”
“Minta maaf pasal apa?” Soalan yang diajukan Hajah Salbiah penuh
ketakutan dan kebimbangan
Suara Adira tersekat. Tidak sampai hati untuk terus bercakap. Tetapi
Mia?
“Mak, Di rasa…Di tak boleh terima Qhalif. Maafkan Di, mak.”
Hajah Salbiah senyap di hujung talian. Adira dapat merasakan
kehampaan emaknya. Jangan-jangan emak pengsan.
“Mak! Mak! Helo, mak!” Dia cemas apabila Hajah Salbiah terus
membisu di hujung talian. Dia kelam-kabut. Macam mana kalau tidak ada sesiapa
di rumah saat itu? Kalau emak pengsan, siapa yang akan tolong emak? Bagaimanpun
Adira mendengar geseran di hujung gagang.
“Sampai hati Di buat mak macam ni.”
Adira ternganga mendengar suara sebak emaknya. Diikuti dengan
esakan.
“Mak…”
“Suka hati Dilah!” Hajah Salbiah tidak mahu bercakap apa-apa lagi
dengan Adira.
Adira begitu sedih mendengar kemarahan dalam suara emaknya.
Tiba-tiba dia menangis. Tangisannya bukan dibuat-buat. Tangisan yang lahir dari
hati yang amat luka. Tetapi emak tak tahu mengapa dia membuat keputusan itu.
Dia dapat merasakan hati emak seperti dihiris sembilu. Harapan emak begitu
tinggi kepadanya. Emak sangat mengharapkan agar dia segera berkahwin dan
membina keluarga. Tetapi hari ini dia menolak lagi permintaan emak.
“Kak Di, kau cakap apa dengan mak?”
Tiba-tiba Adira terkejut mendengar suara Mia di hujung talian.
Emak belum memutuskan talian? Kenapa Mia berada di rumah pula? Mia balik
senyap-senyap ke sanakah?
“Mia! Mia balik kampung ke?” soal Adira. “Tak bagitahu Kak Di
pun?” Dia agak kesal.
“Mia memang tak mau balik. Tapi Mia tertinggal barang dalam
bilik. Mia nak balik sekejap aje semalam, mak pulak tahan tidur kat rumah,”
ujar Mia, membohongi kakaknya.
Adira menelan kesedihannya.
“Kakak dah bagitahu mak. Mak marah!” Adira tersedu di hujung
kata-katanya. “Mak tak mau cakap dengan Kak Di lagi, Mia.”
“Itulah, Kak Di. Mia dah agak dah. Mak mesti sedih Kak Di tak
terima Qhalif,” ujar Mia. “Mak terus nangis masuk bilik, kak! Kesian, mak.”
Tangisan Adira semakin kuat. Zara menghampiri dan memegang
bahunya. Adira memutuskan talian.
“Aku dah hampakan mak aku, Zara.”
Zara tidak menjawab. Dia menepuk-nepuk bahu Adira. Bagaimana
hendak pujuk emak selepas ni? ‘Ya ALLAH hanya ENGKAUlah yang dapat membantu
aku. Permudahkanlah, Ya ALLAH.’
QHALIF bergegas masuk ke rumah dengan wajah yang begitu
cemas. Adiknya, Syaqila menunggu di muka pintu sambil mendukung anak bongsunya.
Wajah Syaqila juga begitu cemas.
“Kenapa dengan mak?” soal Qhalif sebaik sahaja melihat wajah
adiknya.
“Tak tau! Bibik telefon, kata mak tak keluar bilik sejak pagi.
Mak dapat call, entah dari siapa. Lepas tu mak masuk
bilik tak keluar-keluar. Dah nak maghrib dah ni,” beritahu Syaqila.
“Kenapa tak pecah saja pintu?” Dia berlari naik ke bilik Hajah
Hafsah.
Syaqila termangu-mangu. Dia mengikut abangnya sambil menahan
berat mendukung anak bongsunya.
“Mak! Mak! Buka pintu mak! Qhalif ni, mak.”
Hajah Hafsah masih tidak menyahut. Qhalif semakin cemas.
“Pecah sajalah, bang,”
cadang Syaqila.
Qhalif memang hendak melakukan hal yang sama. Dia menghentak
pintu dengan tubuhnya berkali-kali namun binaan kayu jati berusia lebih seratus
tahun itu sangat teguh membuatkan pintu itu sukar dipecah.
“Jangan-jangan mak pengsan, bang,” ujar Syaqila semakin cemas.
Mendengar kata-kata adiknya, Qhalif terus menendang pintu sekuat
hati. Masih tidak juga terbuka. Dia menghentakkan tubuhnya ke pintu sehabis
daya. Akhirnya, pintu terbuka. Tombol tercabut dan terjatuh di lantai. Dia
terus masuk ke dalam bilik.
Hajah Hafsah terbaring di atas katil sambil merenung lelangit
kelambunya. Qhalif menerpa ke arah ibunya.
“Mak! Mak! Mak kenapa ni, mak?” Qhalif menggerakkan tubuh Hajah
Hafsah.
Hajah Hafsah masih
membisu. Qhalif naik bingung melihat keadaan emaknya
Syaqila pula masuk. Dia melihat kesan tangisan di mata Hajah
Hafsah.
“Mak ada masalah ke mak?” tanyanya.
Hajah Hafsah menggeleng.
Qhalif berfikir sesuatu. Mindanya cepat mengatakan semua ada
kaitan dengan Adira. Dia memberi isyarat kepada Syaqila supaya keluar. Dia
menutup pintu. Kemudian menghampiri Hajah Hafsah dan memegang tangan emaknya.
“Adira tak setuju kahwin dengan Qhalif kan, mak?” Dia menduga
dalam senyuman. “Kalau dia tak setuju, tak apalah. Tak payahlah sedih sampai
macam ni. Sudahlah, mak. Dia tak setuju tak apa. Qhalif tak kisah, mak,”
pujuknya bagai mengetahui punca kesedihan ibunya.
Dia juga sudah meneka. Dalam seminggu ini perkara Adira menjadi
kerunsingan ibunya. Semua petanda menunjukkan seolah-olah dia memang tidak ada
jodoh dengan gadis itu. Adira gagal dihubungi. Berkali-kali dipesankan agar
menghubunginya semula, pun Adira tidak melakukannya.
Mungkin jodoh yang diaturkan oleh keluarganya menjadi kejutan
besar pada Adira. Yang lebih menguatkan keyakinanya, Adira sudah ada pilihan
lain.
Hajah Hafsah bangun perlahan-lahan. Dia mengesat matanya yang
masih basah.
“Mak minta maaf, Qhalif! Mak tak dapat pujuk Adira,” ujarnya
sambil mengusap pipi Qhalif. “Mak suka sangat dengan Adira. Mak terkilan sebab
dia menolak,” sambungnya sambil terus teresak.
Qhalif tersenyum sambil menggenggam tangan ibunya. “Mak, semua ni
mesti ada hikmahnya. Dah memang bukan jodoh Qhalif dengan dia.” Dia redha.
Kekecewaan hadir juga di sudut hati. Tetapi dia menerima segala-galanya dengan
tabah dan pasrah.
“Mak Cik Biah kata, Adira ada pilihan lain. Agaknya dia orang pun
dah nak kahwin, tapi Mia sanggup berkorban untuk emak dengan ayah dia. Dia
terima Qhalif kalau Qhalif boleh terima dia,” ujar Hajah Hafsah merenung
anaknya.
Qhalif tersenyum sinis. Mia? Mungkin dia lebih mengenali Mia
kerana mereka pernah berutus-utus surat, tetapi dia terasa lebih dekat dengan
Adira. Bolehkah dia menerima Mia selepas Adira menolak dirinya?
Dia merenung wajah Hafsah yang hampa. Dia tahu Hajah Hafsah
memang teringin berbesan dengan keluarga Haji Ismail. Mereka bersahabat sejak
sekian lama. Sejak arwah bapanya bekerja bersama-sama di sebuah syarikat milik
lelaki berbangsa Inggeris di Tapah.
“Qhalif setuju ke?” soal Hajah Hafsah menatap wajah anaknya.
Qhalif tergamam. Bolehkah dia menjadi suami yang baik kepada Mia?
Mia sanggup menerimanya kerana Mia pernah meluahkan perasaan hatinya kepada
Qhalif. Agak lucu juga gadis berusia 15 tahun meluahkan perasaan cinta
kepadanya. Sudah tentu dia tidak mampu membalasnya kerana perasaan cinta itu
memang tidak ada untuk Mia. Mungkinkah Mia masih menyimpan perasaan yang
sama,kerana itu dia sanggup menjadi pengganti kakaknya?
“Mak, Qhalif ikut saja cakap mak.” Dia tidak sampai hati
menghampakan emaknya. Kalau dia menolak, kesedihan Hajah Hafsah bertambah
parah. Diapun tidak ada alasan untuk menolak kerana dia setuju siapa sahaja
pilihan emaknya.
Hajah Hafsah mencium kening Qhalif dengan deraian air mata.
Kemudian dia memeluk anaknya dengan erat. Beban berat yang ditanggung sepanjang
hari bagaikan telah pergi. Beban itu ibarat batu berat yang terletak di atas
kepalanya. Sebaik sahaja dia menerima panggilan Hajah Salbiah tadi, dunia
menjadi kelam. Hanya Qhalif yang menerpa dalam fikiran. ‘Kasihannya anakku! Dia
ditolak mentah-mentah begitu sahaja oleh Adira.’
Dia semakin sebak kerana Adira menolak Qhalif. Buruk sangatkah
anak lelakinya sehingga Adira tidak sudi? Rendah sangatkah taraf Qhalif
sehingga Adira tidak mahu menimbangkan lagi hasrat hatinya.
Tak apalah. Adira tak salah. Siapa pun tak salah. Ini adalah
takdir. Dia akur dengan suratan yang dilukis oleh takdir.
Qhalif membalas pelukan emaknya dengan penuh kasih.
‘Bahagia itu bukan ditentukan oleh cinta semata-mata. Aku boleh
bahagia dengan restu emak dan izin-NYA. Cukuplah kalau Mia masih cintakan aku
dan aku akan membalas cintanya dengan rasa hormat dan kasih sayang.’ Hatinya
berbisik ketika meninggalkan Hajah Hafsah di dalam bilik.