Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,391
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

9

NASREEN mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Baru beberapa jam Shasha dibawa pergi, dia sudah merasai kehilangan yang amat sangat. Rumah besar itu menjadi sunyi tiba-tiba. Tidak ada suara Shasha atau alunan piano yang dimainkannya bergema di tengah ruang. Dia hendak menghubungi Zarul sekali lagi. Tetapi dia baru sahaja menghubungi lelaki itu dan Zarul memberitahu Shasha sedang bermain ombak di taman tema.

“Awak tak payah bimbangkan dia. Saya jaga dia elok-elok. Awak ni apa hal asyik telefon?” Zarul naik marah kerana dia kerap menelefon. “Kalau Shasha dengan saya, awak sibuk telefon. Kalau dia dengan awak, ada saya asyik telefon?”

Kecut juga hati Nasreen untuk menelefon lagi. Bukan dia hendak sangat mendengar suara Shasha sebaliknya memang dia ingin bercakap dengan Zarul. Suara Zarullah yang dirinduinya.

“Yalah…I tak telefon you lagi! Tapi ingat, Shasha kena ada di rumah ni sebelum pukul enam petang. Jangan lupa pulak,” Nasreen juga terpaksa berkasar.

Bukan hendak memarahinya sangat, tetapi sekadar menunjukkan dia juga boleh berkasar dan pura-pura menunjukan dia juga ada rasa benci dan kemarahan.

Biar Zarul tahu cinta mereka sudah lama berkubur sedangkan pada hakikatnya rindunya juga semakin subur. Kalau bukan kerana papanya, tidak mungkin dia terseksa oleh rindu itu. Dia mungkin selalu marahkan Zarul kerana kegagalan demi kegagalan perniagaannya. Tetapi tidak pernah dia terfikir untuk mengakhiri perkahwinan mereka. Dia sayangkan Zarul. Bagaimana mungkin dia meminta perpisahan sedangkan berenggang sekejap sahaja dia tidak tahan. Namun, amukan papanya petang itu membuatkan kemarahannya juga meledak terhadap Zarul.

“Kurang ajar punya menantu. Dia boleh buat laporan kat Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah sebab papa ambil alih projek dia yang dah dibatalkan tu. Dia kata papa bagi rasuah, sebab tu papa dapat projek tu. Polis, pegawai pencegah rasuah penuh kat pejabat papa pagi tadi. Laki kau tulah, tak ada otak. Sedap mulut saja tuduh bapak mentua dia!” merah padam wajah Datuk Rahim menahan marah.

Nasreen tidak pernah nampak papanya semarah itu. “Dia tak balik ke papa?” soalnya.

“Kalau nak mati… hah, cubalah balik! Beranilah dia balik sini, aku tembak dia nanti!”

“Cuba papa bagitahu Erin, betul ke papa tak rasuah pegawai kerajaan negeri untuk tender tu? Mana Zarul dapat info?” soal Nasreen sambil menahan perasaan.

“Erin, gila ke papa nak rasuah orang? Papa dapat tawaran mengemukakan tender baru selepas timbul masalah dengan Zarul. Kerajaan negeri tak mau tangguh projek tu. Syarikat mana yang ada dana lebih, yang cukup modal, yang boleh mulakan projek segera, yang boleh siapkan projek awal, syarikat itu yang akan dapat projek tu. Zarul bukan tak tahu syarat kerajaan negeri. Papa cuba saja hantar tender baru. Mana papa tahu yang nasib kita baik dapat projek tu? Si Zarul pulak tak usul periksa, terus tuduh papa rasuah pegawai kerajaan negri. Menantu tak guna,”

Nasreen menundukkan kepala mendengar cemuhan papanya terhadap Zarul.

Kemarahan papanya lebih memuncak apabila beberapa orang pegawai SPRM datang ke rumah dan meminta apa sahaja dokumen tender atau syarikat yang disimpan di rumah itu. Sekali lagi papanya naik angin. Tidak cukup pejabatnya di geledah, kini rumah pula.

“Aku bunuh laki kau kalau dia berani balik ke sini!” Papanya memberi amaran selepas pegawai-pegawai tersebut pergi dengan membawa beberapa fail.

Nasreen serba salah. Mana Zarul? Kenapa dia tak balik-balik lagi walaupun sudah menjelang malam? Dia takut nak balik agaknya sebab dia tahu papa tengah marah. Nasreen terkedu melihat papanya ketika dia melintas di bilik orang tua itu. Papa nak bunuh Zarul?

“Erin! Kemas baju kita. Saya nak bawa awak pindah dari rumah tu. Kita balik ke kondo!” Suara Zarul agak sayup menghubunginya jam 12.30 malam itu.

“Kenapa awak tak balik? Rumah kecoh hari ni, awak tau tak!” Nasreen cemas.

“Saya tau! Nak balik macam mana kalau papa tak bagi saya balik ke rumah dia. Awak kemas, lima belas minit lagi saya sampai. Saya ambil awak dengan Shasha!”

Nasreen keliru mendengar kata-kata Zarul.

Zarul takut balik atau papa tak bagi dia balik? Nasreen termenung panjang memikirkan arahan Zarul. Pindah dari rumah papa. ‘Sekarang? Apa pula kata papa nanti. Mesti papa sedih aku menyebelahi Zarul. Tapi dia suami aku. Aku kena ikut dia ke mana sahaja dia pergi!’

Belm pun sempat dia mengangkat bag, papanya sudah menjenguk masuk ke dalam bilik dan menegah.

“Papa tak izin Nasreen ikut Zarul keluar dari rumah ni. Dia dah malukan keluarga kita, Erin masih nak ikut dia? Nasib baik papa tak kena lokap kat balai tau? Kalau papa kena bawa ke balai, mesti reporter datang. Lepas tu, muka papa terpampang kat mana-mana. Pemilik Rahim Corporation ditangkap kerana rasuah! Mana kita nak letak muka?”

“Pa, dia suami Erin. Erin kena ikut ke mana saja dia nak bawa Erin.” Nasreen cuba memujuk Datuk Rahim.

“Kalau kau ikut dia, kau bukan anak papa lagi!”

Nasreen terkejut mendengar kata-kata papanya. Beg yang dipegang terlepas dari tangan. Dia harus menyebelahi siapa? Zarul atau papa? Kalau Zarul, bermakna dia sudah tersingkir daripada keluarga. Kalau papa, Zarul akan terkapai-kapai sendirian. Tetapi Zarul memang sudah cukup menyusahkan sepanjang perkahwinan mereka. Banyak perkara yang membuatkan dia marah kepada Zarul. Tindakan Zarul melaporkan papa kepada PSRM adalah kemuncak kemarahannya. Sehinggalah apabila bapanya memberi cadangan bercerai.

Dia nekad menyebelahi keluarga. Anehnya Zarul begitu mudah memenuhi kehendaknya. Malah ketika hak penjagaan secara bersama diputuskan hakim, Zarul membenarkan Shasha menghabiskan lebih masa bersama ibunya. Nasreen melepaskan nafas panjang.

Apa Zarul buat di Port Dickson malam-malam dengan Shasha? Ada orang lainkah menemani mereka? Walaupun Shasha jujur memberitahu tidak ada, namun hatinya dijentik cemburu. Mustahil selepas hampir dua tahun Zarul masih bersendiri. Mesti Zarul ajar Shasha untuk berbohong. Kalau ada, siapa orang yang bakal mengambil alih tempatnya?

Bosan memikirkan hal Zarul, Nasreen bergegas ke biliknya. Malam mula mendatang. Malam mungkin boleh memberikan ketenangan. Dia menukar pakaian. Mungkin menyertai kawan-kawan di kelab ekslusif kegemaran mereka boleh menenangkannya.

Nasreen menghubungi Elisa dengan Wendy. Kedua-duanya sudah ada di tempat mereka selalu melepak. Namun belum sempat kaki melangkah meninggalkan bilik, dia terserempak dengan Datuk Rahim yang baru pulang dari pejabat.

“Nak keluar?”

“Yalah, pa. Nak ke mana? Shasha pun tak ada,”ujar Nasreen selamba.

“Jadi dia ambik Shasha? Ingatkan dah tak ingat anak,” ujar Datuk Rahim melangkah ke biliknya.

Nasreen menjeling. Kebencian papanya belum pudar. Malah semakin bertambah. Sesekali bila tersebut nama Zarul di depannya, pasti Datuk Rahim melenting. Tiada lagikah kemaafan papanya untuk Zarul?

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem