Home Novel Cinta Cinta Atas Kertas
Cinta Atas Kertas
Sharifah Abu Salem
18/5/2015 15:04:06
58,231
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

1

ZARUL memberhentikan kereta agak mengejut di depan bangunan pejabatnya. Dia segera menyerahkan kunci kereta kepada pemandu syarikat, Osman untuk membetulkan kedudukan keretanya. Osman yang saban pagi menunggu kedatangannya, menerima kunci dengan ucapan selamat pagi. Zarul melangkah pantas ke pintu utama. Hari ini banyak urusan syarikat yang harus diselesaikan. Ketika memasuki lif, telefon bimbitnya berdering. Zarul menjeling telefon bimbitnya. Hmm... perempuan gila ni nak apa cari aku pagi-pagi buta ni? Lantas Zarul tidak mahu menjawab panggilan itu. Perempuan gila itu memang sudah cukup memeningkan kepala. Dengan tidak menjawab panggilan itu, Zarul berharap awal paginya hari ini tidak diganggu. Tetapi sangkaan meleset. Melangkah sahaja masuk ke bilik, satu lagi kejutan menanti.

“Siapa bagi bunga ni?” soal Zarul sebaik sahaja masuk ke biliknya.

Matanya merenung jambangan bunga yang besar dan cantik di atas meja. Setiausahanya Nadia teragak-agak untuk menjawab.

“Perempuan gila tu yang bagi, kan?” Nadia mengangguk.

Pantas Zarul mengambil bunga tersebut dan mencampakkannya ke bakul sampah.

Nadia terkejut. “Encik Zarul!” Dia terus mengambil bunga yang baru dibuang majikannya itu.

“Sayang! Mahal bunga ni,” ujar Nadia sambil membetulkan bunga yang patah. “Kalau encik tak nak, saya ambillah. Boleh juga buat hiasan meja.” Dia ketawa kecil.

Perkara ini bukan luar biasa bagi setiausaha berumur 26 tahun itu. Malah masuk kali ini, sudah 11 kali majikannya membuang bunga ke dalam bakul sampah.

“Bagitahu perempuan tu, dia tak boleh beli maruah saya dengan sejambak bunga!” Lelaki itu berkata. Langsung tidak memandang wajah setiausahanya.

Nadia mengangguk sambil memandang jambangan bunga yang sebahagiannya tercabut dan bersepah di atas lantai.

Tiba-tiba Zarul merampas bunga itu dari tangan Nadia. “Orang gila saja nak letak sampah atas meja.” Sekali lagi dia melemparkan bunga itu ke dalam bakul sampah.

Nadia terpana. Keras sungguh hati lelaki di hadapannya ini.

“Nanti saya belikan awak bunga yang lain,” ujar Zarul lalu mengarahkan Nadia keluar.

Nadia meninggalkan bilik majikannya dengan persoalan yang sama. ‘Mengapa puan bersusah payah nak pikat hati Encik Zarul semula? Kalau aku, baik aku cari saja orang lain. Buat penat badan saja kejar bekas laki macam ni ke sana sini!’omel hatinya.

Dia duduk di mejanya. Seketika itu juga telefon bimbitnya berdering. Nasreen menghubunginya. Dia menjeling dan melepaskan nafas berat. ‘Mesti dia nak bertanya bekas laki dia dengan pasal bunga ni,’ rungutnya di dalam hati.

“Assalamualaikum, Nadia.”

“Waalaikumussalam, puan.”

“Macam mana, Nadia? Dia terima bunga saya?” soal Nasreen dengan perasaan tidak sabar. Ingin tahu reaksi bekas suaminya apabila menerima jambangan bunga yang dihadiahkannya pagi tadi.

“Macam biasalah, puan. Puan buang duit saja beli bunga tu,” jawab Nadia dengan tenang.

Nasreen tidak mahu mendengar hujah Nadia lama-lama. Dia terus memutuskan talian.

“Marahlah tu,” rungut Nadia sambil meletakkan semula telefon bimbitnya di sisi. Belum sempat dia memulakan tugas, Zarul keluar dari biliknya membawa briefcasedan sekeping fail.

Nadia bingkas bangun.

“Saya tak masuk hari ni. Mesyuarat sampai petang. Kalau perempuan tu datang, pastikan dia tak masuk ke bilik saya.” Zarul memberi arahan.

Nadia hanya mengangguk. Dia menghantar majikannya dengan pandangan sehingga Zarul keluar. ‘Kesian Encik Zarul. Sejak bercerai dengan puan, hidup dia macam tak tenang. Tiba-tiba saja puan nak pikat dia balik? Apa hal?’

Zarul melangkah terus ke lif dengan hati yang kian membengkak. Apalagi perempuan tu hendak dari aku? Tak faham bahasa agaknya? Susah nak berurusan dengan orang gila talak ni!

ZARUL melangkah masuk ke dalam lif. Hanya beberapa saat selepas itu, dia sudah sampai ke lobi. Langkahnya pantas menuju ke pintu utama. Mesyuarat akan bermula jam 10.00 pagi. Masih ada satu jam lagi. Dia tidak mahu menjadi orang terakhir tiba ke bilik mesyuarat. Harap-harap perjalanan ke Bank Permata berjalan lancar.

“Sayang!” Panggilan manja yang sangat dikenali itu membuatkan Zarul terkejut.

“Sayang! I nak bercakap dengan you. Sekejap saja. Please…”

Zarul tidak menoleh langsung ke arah bekas isteri yang sedang mengekorinya. Apa lagi yang perempuan ini hendak daripadanya? Yang lepas, lepaslah!

“Zarul! I ada benda penting nak bagitahu you! I cuma perlukan lima minit!” Nasreen terus mengejar bekas suaminya. Tidak menghiraukan pandangan orang sekeliling.

Zarul tidak hirau langsung rayuan Nasreen. Apa yang dia hendak bincang dalam masa lima minit? Selama dua tahun ini, pelbagai pekara yang mereka bincangkan, tetapi semuanya berakhir dengan pertengkaran dan pergaduhan. Baginya, bercerai tetap bercerai. Tidak ada lagi perbincangan selepas mahkamah mengesahkan perceraian talak satu.

“Susahlah I nak bercakap dengan you.” Tiba-tiba Nasreen memekik di belakang Zarul. Dia tetap mengejar bekas suaminya itu hingga ke basement. Namun, Zarul langsung tidak mempedulikannya.

Zarul masuk ke dalam kereta lalu menghempas pintu dan terus menghidupkan enjin kereta. Nasreen sempat menendang bahagian belakang kereta sekuat hati melepaskan geram sebelum kereta Zarul meluncur pergi.

“Zarul!!”

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sharifah Abu Salem