14
“PAPA tengok Erin bukan main sibuk seminggu dua ni?” |
Soalan papanya tidak terus dijawab oleh Nasreen. Dia selamba
menuangkan teh O untuk Datuk Rahim yang masih merenung ke arahnya.
“Jangan malukan papa.”
Kata-kata Datuk Rahim mengejutkan Nasreen.
“Jangan ingat papa tak tau
Erin kejar Zarul siang malam.”
Nasreen menjeling. Dia menghulurkan cawan kepada Datuk Rahim.
“Siapa cakap Erin kejar Zarul?” soalnya. Hatinya berdebar. Dia mengambil dua
biji telur, memecahkannya ke dalam mangkuk dan meletakkan sedikit lada dan
kicap.
“Papa ada spy. Papa tau apa saja
yang Erin buat.” Datuk Rahim menarik mangkuk telur yang disediakan Nasreen.
“Rugilah papa upah spy buta.” Datuk Rahim
menjeling sekilas.
Nasreen mengambil dua keping roti bakar dan menyapu jem pula.
Roti diletakkan di dalam piring dan ditolak di depan papanya.
“Sebab dia tak buta, dia nampak Erin depan pejabat Zarul,” ujar
Datuk Rahim.
Nasreen menahan geram. ‘Papa memang dah melampau. Mana dia tahu
aku nak ke pejabat Zarul sampai upah spy ikut aku?’
“Dia tahu ke apa urusan Erin dengan Zarul?” soal Nasreen pula
cuba mengelakkan diri.
Datuk Rahim seperti berminat untuk mengetahui tetapi Nasreen
lebih pantas membohongi bapanya.
“Papa tau tak Zarul mungkir janji? Dia janji nak bagi Erin 25%
keuntungan syarikat setiap tahun. Papa tau berapa saja dia boleh bagi? 18%!
Papa ingat Erin tak angin ke bila dia tipu Erin macam tu?!” Nasreen sengaja
menghentak meja menunjukkan perasaan marah dan geramnya.
“Ya ke pasal saham syarikat?” Datuk Rahim cuba memancing kata-kata
anaknya.
“Habis pasal apa? Erin tak mau dia permainkan Erin, pa. Saham
Erin, saham Shasha... walaupun tak banyak, tapi Erin tetap nak hak Erin.”
Datuk Rahim mengangguk. Dia mula percaya kata-kata Nasreen.
“Habis, Zarul bagi ke baki 25% tu?”
“Dia kata syarikat tak untung.”
“Apa yang dia tau pasal bisnes? Orang macam Zarul tu buat apa pun
lingkup. Nasib baik Erin cepat bercerai dengan dia. Kalau tak, dengan syarikat
papa dia lingkupkan sekali.”
Nasreen tersenyum sinis. Bukan kerana menyokong kata-kata itu
tetapi kerana berjaya juga memperdayakan papanya. Dia sendiri hairan
perasaannya terhadap Zarul. Sejak tiga, empat bulan yang lalu, tiba-tiba
kebencian dan kemarahannya pada Zarul bagai berakhir. Selepas dua tahun
bercerai, perasaan pada zaman percintaan mereka bagaikan berulang. Dia rindukan
Zarul. Dan asyik teringat kenangan lama antara mereka. Timbul penyesalan kerana
bercerai. Setelah berminggu-minggu berfikir, akhirnya dia nekad untuk kembali
kepada bekas suaminya. Mana tahu Zarul juga masih cintakan dia? Buktinya,
sampai sekarang Zarul belum ada penggantinya.
“Tengku Irfan dah balik Malaysia. Erin tau kan?” Datuk Rahim
tiba-tiba bersuara.
Nasreen hanya mengangguk. Soalan itu memutuskan lamunannya.
“Ayah Engku bagitahu, Irfan pun belum kahwin sampai sekarang.
Rasanya, dia masih tunggu Erin.”
Nasreen mencemik mendengar kata-kata Datuk Rahim. Lagi-lagi
Tengku Irfan! Lagi-lagi Tengku Irfan! Memang mereka pernah bercinta tetapi
cinta monyet tidak pernah membawa ke mana.
“Erin tak mau kahwin dengan Irfan!” Dia membentak. Dia bingkas
bangun, meninggalkan meja makan.
Datuk Rahim menahan sabar dengan kerenah Nasreen. Dari kecil
sampai dewasa, sikap Nasreen tidak pernah berubah. Degil dan suka melawan.
Laporan-laporan yang diterima daripada orang suruhannya
betul-betul membuatkan darahnya naik. Nasreen ke pejabat Zarul. Nasreen makan
bersama Zarul. Nasreen keluar dari bank dengan Zarul. Nasreen melawat tapak
projek dengan Zarul. Apa yang digambarkan para pelapornya menunjukkan Nasreen
dengan Zarul sudah berbaik-baik. Itu bukan petanda yang bagus untuknya.
Kepulangan Tengku Irfan sudah cukup menggembirakanya. Ada
peluang dia boleh meneruskan rancangan yang diatur dengan Tengku Malik. Kalau
mereka berbesan, dua syarikat akan bergabung menjadi satu. Dan peluang masuk
senarai bursa begitu cerah. Keuntungan yang bakal dikaut juga pasti mencurah
tetapi dengan syarat, Nasreen mesti berkahwin dengan Tengku Irfan.
Andai Nasreen menolak, harapannya akan lebur! Nasreen dengan
Tengku Irfan mesti kahwin!