Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 4

Masa Kini....

Sarapan pagi disediakan di atas meja. Roti bakar telah disapu dengan kaya, air milo pula sudah siap dituangkan pada cawan masing-masing. Begitulah keadaan saya ketika menyiapkan sarapan untuk anak-anak.

Itulah tanggungjawab sebagai seorang ibu. Walaupun ada masa Kak Jemah ada untuk membantu, tetapi tidaklah seharusnya saya terlalu mengharapkan dia seorang sahaja. Maklumlah, saya juga mahu menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak, memandangkan suami saya kini berkerja di luar negeri.

TV yang berada di ruang tamu dibuka, bukanlah untuk ditonton, hanya sekadar memecahkan kesunyian ruang tamu. Sekarang ini di TV telah berlangsungnya satu program wawancara yang menampilkan seorang hos rancangan lelaki yang berpakaian segak. Izwan Ahmad, itulah nama pengacara itu.

Saya bukanlah meminati hos ini, cuma seorang penggemar informasi dan berita yang dia sampaikan. Selain membaca buku, mendengar wawancara pada waktu pagi juga merupakan salah satu rutin yang paling penting bagi saya.

"Pada hari ini pihak produksi telah menjemput Encik Fahim atau lebih dikenali sebagai Fadil Halim, penulis terkenal yang telah memenangi pelbagai anugerah selepas debut pertamanya. Antara karyanya yang paling memberangsangkan semestinya novel "Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu" yang berjaya mencetuskan fenomena pada suatu ketika."

Habis sahaja penerangan itu, kamera mula fokus ke arah seorang lelaki. Itulah Fahim, seperti biasa dia berpenampilan misteri.

Kenapa misteri?

Jawapannya ialah wajah sebenarnya tidak pernah ditunjukkan di khalayak ramai. Tiap kali Fahim dijemput untuk menghadiri wawancara, mukanya selalu disembunyikan disebalik topeng muka yang berwarna hitam. Sudahlah topeng itu berwarna hitam, cermin matanya juga berwarna hitam.

Itulah identiti Fahim yang sangat misteri. Alasannya dia begitu kerana tidak mahu orang awam ketahui wajahnya, bagi Fahim statusnya sebagai seorang selebriti mampu mengganggu privasi kehidupan, dia juga manusia seperti kita, tidak mahu diganggu, terutamanya gangguan daripada media.

Fahim pernah berkata, kemahsyuran hanyalah ujian serta membebankan. Walaupun begitu, dirinya tetap komited dengan kerjanya, sekalipun kemahsyuran semakin mengejar dirinya.

"Mama." Anak lelaki saya yang berusia 12 tahun memanggil saya. Fatih namanya. Nampaknya dia baru turun dari atas. Wajahnya saya pandang, dia mengusap-usap matanya dengan tangan. Mungkin masih mengantuk agaknya.

"Mengantuk ya sayang mama ni," sapa saya manja.

"Ya mama. Mengantuk sangat."

"Kalau macam tu Fatih sarapanlah dulu, nanti barulah ada tenaga," kata saya sambil melipat kedua-dua belah lengan. Mahu menunjuk gaya perkasa di depannya. Fatih tertawa kecil, dan dia aku dengan kata saya itu.

Kerusi ditarik lalu dia duduk.

"Kak Long mana?" soal saya yang mahu tahu persiapan anak sulung saya yang bernama Khalis.

"Tak tahulah mama. Dari tadi dalam bilik je," jawab Fatih sambil mengambil roti bakar yang sudah pun terhidang.

"Iya ke. Tak apa biar mama panggil dia." Saya berjalan ke arah tangga. Nafas ditarik sedalam mungkin.

"Khalis! Khalis! Dah siap ke belum? Dah pukul 7 lebih dah ni, nanti tak sempat makan pula."

Tidak lama selepas itu, bunyi pintu bilik Khalis terdengar dari bawah. "Kejap mama! Dah nak siap ni. Nanti Khalis turun ya."

Saya mengangguk faham, lantas kembali menghampiri Fatih. "Fatih makan la dulu. Kalau tunggu Kak Long nanti tak sempat."

"Baik mama," jawab anak kecil ini hingga tersenyum menunjuk gigi.

"Ingat! Jangan lupa baca bismillah. Fatih dah besarkan."

Fatih mengangguk faham. Lantas dia pun menadah tangannya untuk membaca doa sebelum mula menyantap roti bakarnya. Dan ketika itulah Khalis menuruni tangga dan dia bergegas ke meja makan.

"Hah... hah... sempat!" gumamnya dalam keadaan tercungap-cungap.

"Lambat la akak ni. Adik dah nak habis dah ni," omel Fatih.

"Alah, akak makan lagi laju daripada adik. Buek!" Khalis menjelirkan lidahnya. Akibat geram Fatih pun menurut sama perbuatan itu.

"Buek!"

Saya menggelengkan kepala. Awal pagi begini pun hendak bergaduh. Apa lagi, membebellah saya terhadap dua beradik ini.

"Ish, korang ni! Pagi-pagi macam ni pun nak bergaduh. Apalah," Seperti emak-emak yang memarahi anak, itulah personaliti saya di depan mereka. Kena bertegas, barulah mereka ini mendengar kata.

Khalis menyengih. Entah apalah yang membuatkan dia terasa lucu. "Mana ada bergaduh mama. Tengok ni kami bergurau je."

Tubuh adiknya dipeluk lalu pipinya dilagakan.

"Ish, akak ni! Tak selesa lah." Fatih merungut. Muka kakaknya ditolak sungguh. Sekali lagi saya menggeleng kepala.

"Ada-ada je kamu berdua ni."

Walaupun ditolak, Khalis mencium pipi Fatih kerana sayang akan adiknya itu. Kemudian, dia pun berjalan ke arah saya untuk mengambil sarapan yang terhidang di atas meja.

Namun begitu, pandangan matanya terlekat pada televisyen, dia mengenali gerangan yang berada dalam TV tersebut. Terloponglah mulut gadis ini tatkala melihat wajah personaliti jemputan itu.

"Eh! Tu... tu bukan ke Fahim? Penulis novel terkenal dekat Malaysia. Wah, dia memang betul-betul pakai topenglah!"

Kejutan Khalis itu menimbulkan rasa minat saya untuk mengetahui lebih lanjut. "Oh, Khalis kenal ke Fahim ni?"

"Mestilah kenal mama, Khalis kumpul kot novel dia ni. Cerita dia menarik tau."

"Iya ke? Kenapa mama tak tahu pun?"

Khalis terkedu akan pertanyaan itu. Dia menyeringai lalu meggaru kepalanya yang bertudung litup. "Erk! Ehehehe. Khalis ingatkan mama dengan papa marah kalau tahu Khalis kumpul buku dia. Maklumlah buku dia bukannya buku belajar pun."

Mengeluh panjang saat mendengar responnya itu. "Tak adanya mama dan papa nak marah, Khalis. Selagi Khalis membaca, selagi itulah mama dengan papa tak marah. Membaca kan jambatan ilmu."

Raut wajah lega diiringi dengan nafas. "Leganya Khalis rasa. Ingatkan mama marah."

Saya hanya mampu tersenyum. Kemudian, saya terpandang pada jam yang tergantung di dinding rumah. Hampir menunjukkan jam 7.30 pagi.

"Alamak, dah nak 7.30 pagi lah. Cepat sikit makan tu. Kalau lambat, mama dan papa yang susah nanti. Papa kamu tu dah lah kerja outstation. Nanti bertambah serabut pula."

"Okey mama. Tapi... hari ni mama tak kerja ke?" tanya Khalis setelah melihat saya tidak memakai baju kurung seperti hari kebiasaannya.

"Hari ni mama cuti, Khalis. Mama ada hal nak buat hari ni."

"Iya ke. Okeylah mama, kitaorang gerak dulu ya. Fatih, jom gerak. Nanti lambat pula."

"Sepatutnya Fatih yang cakap dekat kakak." Garang benar suara budak lelaki ini. Akan tetapi, kegarangan itu reda apabila Khalis meminta maaf lalu memeluknya. Kata orang, air dicincang tidak akan putus. Begitulah hubungan dua beradik ini.

Sementara mereka bersiap untuk pergi ke sekolah, saya pun memberikan bekalan makanan kepada anak-anak kesayangku ini.

"Nah bekal anak-anak kesayangan mama ni." Tersenyum mereka sebelum mengambilnya.

"Terima kasih mama. Sayang mama," ucap mereka serentak.

Melihat mereka berdua berjalan menuju ke sekolah, mengingatkan diri saya ketika berada di zaman persekolahan.

Burung-burung mula berkicauan. Siulannya yang merdu itu berjaya menusuk hati ini sehingga mengenangkan kisah zaman persekolahan. Fikirank saya sedang memikirkan tentang seseorang.

"Fahim ya," ucap saya perlahan.

"Impian awak dah tercapai, tuan putera."

*****************************

28 tahun yang lalu...

Bunyi kicauan burung mengindahi suasana keheningan pagi. Ada pun kicauan itu, ia turut diiringi bersama bayu pagi yang meniup tenang. Udara segar dihirup. Rasa segarnya hingga terasa di kepala, langsung ia membuat bibir terukir senyuman. Rasa semangat pula nak ke sekolah hari ini.

"Inas," sapa Rina berlagu. Siapa jangka kami boleh terserempak dalam perjalanan. Alang-alang sudah terserempak, maka berjalanlah kami beriringan menuju ke sekolah.

Di Putrajaya, waktu paginya tidaklah sesibuk Kuala Lumpur, yang selalu sesak dengan kereta, yang selalu bising kerana bunyi hon kereta, malah mendatangkan stres bagi pemandu. Putrajaya ini sangat berbeza. Jalan sangatlah jarang untuk sibuk. Kalau sibuk pun hanya kerana ibu bapa menghantar anak mereka pada sebelah pagi.

Nasib rumah saya dekat. Tak perlulah keluarga saya menghantar saya ke sekolah. Cukupklah hanya sekadar berjalan kaki.

"Inas, kau dah siap ke kerja biologi yang Cikgu Hana bagi tu." Rina bertanya mengenai kerja sekolah. Dari cara dia bertanya seperti dia tidak menyiapkan kerja itu.

"Of course la sudah, kacang je."

"Wow! Nak tengok! Nak tengok! Mesti betul semua, kan?" pinta Rina dengan kuatnya. Seperti yang saya agak, dia memang tidak siapkannya.

"Ish, buatlah sendiri! Buat penat je tenaga dan otak Inas nak siapkan."

"Ala... tolonglah Inas. Nanti Cikgu Hana marah aku kalau tak siap," rungutnya bersama rayuan.

Pada waktu inilah saya gunakan kesempatan untuk mengusiknya. Maklumlah kawan baik saya ini memang suka sangat mengusik. Apa salahnya kalau saya mengusiknya sekali-sekala. Balas dendam katakan.

"Kalau takut, kenapa Rina tak buat? Jangan bagi alasan ya. Inas tahu perangai Rina ni macam mana," balas saya dengan nada sinis.

"Alaa... Inas... tolonglah... Please," rayunya lagi. Kali ini dia buat-buat comel dengan matanya berkelip-kelip.

"Tak boleehhh." Lantas saya meninggalkan dia di belakang.

Rina mencebik lalu menghentak-hentak kakinya. Tiba-tiba, mata Rina terpandang ke arah seseorang yang berada tidak jauh dihadapan kami.

Rafie, lelaki yang sedang hangat digosipkan dengan saya pada waktu itu. Rina tersenyum lebar. Inilah masanya untuk dia kenakan saya semula.

"Rafie!" Pantas dia berlari lalu menolak saya ke tepi sebelum meninggalkan saya di belakang.

"Eh, apa ni Rina?" Namun, suara itu tidak didengari olehnya kerana Rina telah pun berlari jauh ke hadapan.

Apabila gadis yang ceria itu mendekati Rafie, dia pun mengadu mengenai saya kepadanya.

"Rafie, tahu tak kawan baik awak ni tak nak bagi saya pinjam kerja sekolah biologi dia. Saya dahlah tak siap lagi. Kalau saya pinjam awak punya boleh kan? Kan? Kan?"

Terpinga-pinga jejaka itu yang cuba memahami akan apa yang telah berlaku. "Eh? Errr... Urmm... mungkin."

"Mungkin? Lah... jangan cakap awak pun tak siap juga? Aduh, putus harapan saya," keluh Rina sambil tertunduk.

"Awak tahu tak, awak ni dah bagi harapan dekat saya tau tadi. Saya dah agak, lelaki semua sama." Rungutan Rina itu dibuat-buat dengan wajah sedih. Biasalah nak ambil hati lelaki kenalah  berpura-pura.

"Eh? Urmm... bukan tak siap cuma... aku tak pasti yang jawapan aku ni betul atau tak. Kalau kau nak, ambillah." Sejurus itu jejaka yang berambut sedikit ikal ini mengeluarkan sebuah buku dari begnya.

"Eh, seriuslah! Hehehe. Baguslah dari tak ada langsung." Baru sahaja Rina mahu mengambil buku itu, saya datang mencelah.

"Eh, jangan lah tiru dia punya. Penat tau dia buat semua kerja tu." .

"Tak apa Inas." Rafie mencelah.

"Aku okey je. Lagipun kawan kau ni mesti ada alasan tersendiri kenapa dia tak siapkan kerja sekolah, betul tak?" terang Rafie yang nampaknya kasihan akan Rina.

Makin terharu jadinya gadis lincah ini setelah mendengar keprihatinan Rafie terhadapnya.

"Awwhhh... thank you Rafie. Tengok kawan baik kau ni, Inas. Dahlah baik, memahami pula tu."

"Ish! Rina ni, janganlah sampai macam tu. Yalah, yalah nah ambillah buku Inas ni. Awak boleh simpan balik ya Rafie. Maaf ya."

"Oh, okey." Rafie pun menyimpan kembali bukunya. Rina memandang saya dengan muka sinisnya.

"Eh! Eh! Ubah fikiran pula ya. Bila dah bagitau boyfri... Ehem! Kawan baik kau ni baru nak bagi ya."

Bibir saya dimuncungkan dan tangan pula memeluk tubuh. "Inas gurau je tadi. Ingat nak kenakan Rina. Sekali Inas pula yang terkena."

"Iyalah tu gurau. Ke... awak malu sebab saya mengadu dekat Rafie ni."

Terus bahu gadis ini dipukul perlahan. "Ish, Rina ni kan! Memang sengaja nak kenakan Inas, kan?"

Marahnya saya dicampur perasaan malu. Mana tidaknya usikan Rina itu langsung tidak berlapik, lagi-lagi usikan itu dihamburkan di hadapan Rafie. Ia seolah-olah seperti sengaja mahu kenakan saya dihadapannya. Namun begitu, lain pula reaksi lelaki pendiam ini, dia mula tertawa setelah menyaksikan kemesraan kami sekawan.

"Hahaha. Korang ni memang rapat, kan?" Suaranya bagai cuba untuk menahan ketawa.

"Eh?" Serentak riak itu diberi oleh kami berdua. Tidak lama kemudian, Rina pula menggetus tawaannya.

"Hahaha. Betul tu. Kitaorang memang rapat. Sebab itulah kitaorang masih lagi jadi kawan baik, kan Inas?"

Saya mengiyakan sahaja.

"Macam tu ke. Okeylah korang. Kalau tak ada apa-apa, aku gerak dulu." Rafie melambaikan tangannya.

"Okey Rafie, nanti kita jumpa kat kelas ya," ucap Rina dan diikuti olehku.

"Alright, jumpa lagi Rafie."

Setelah Rafie beredar, Rina memandang saya dengan wajah tersengih sinis.

"Wei, Inas. Aku tak nak cakap banyak, cuma nasihat aku supaya kau dapat teruskan usaha untuk tegur Rafie ya. Mana tahu nanti dia sangkut dekat kau."

Terkesima saya saat mendengarnya. Dia sengaja mengusik saya.

"Me... merepeklah Rina ni. Sa... saya dengan Rafie tak ada apa-apa la. Ki... kitaorang cuma kawan je."

"Alalala... tak apa, Rina faham. Sifat malu Inas tu ada lagi. Apa yang penting, harap Rafie sangkut dekat kau ya, Inas."

Rina menggetus tawaannya lalu meninggalkan yang sedang menahan malu. Apabila malu itu tidak tertahan, langsung saya menjerit namanya.

"Rina!"

Sungguh tidak disangka bahawa diri ini tertewas dengan usikan gadis lincah itu. Tak mengapalah, asalkan saya mampu hadapnya setiap hari, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hubungan saya dengan Rafie.

Ikutkan sekarang sudah hampir dua  bulan berlalu sejak saya menegur Rafie di pusat beli belah. Semenjak hari itu, saya dan Rafie sudah mula menyapa sesama sendiri setiap kali kami terserempak di sekolah.

Ia kedengaran positif, bukan?

Sebenarnya tidak bagi saya. Sebaik kami menyapa, kejanggalan antara kami masih ada, mulut kami kelu untuk memulakan perbualan, kerana malu sesama sendiri. Mungkin ini baru permulaan.

*****************************

Sebuah kereta mewah, berhenti di hadapan pagar sekolah. Kereta itu ditahan oleh pengawal keselamatan untuk melihat sticker yang dilekatkan pada cermin depan. Terpampang tulisan 'Presiden PIBG Sekolah' pada sticker itu. Setelah berpuas hati, pengawal keselamatan tersebut membenarkan kereta tersebut untuk memasuki kawasan sekolah.

Saat kereta mewah itu berhenti di foyer sekolah, mata para pelajar yang lalu lalang mula tertumpu pada kereta itu. Mereka ternanti-nanti akan gerangan yang bakal keluar dari kereta tersebut.

Apabila pintu kereta dibuka, terlihatlah akan figura seorang remaja lelaki yang memiliki wajah rupawan. Rambutnya diselakkan dengan menggunakan jari. Siapa yang melihatnya pasti akan tertawan.

Dialah pelajar paling popular di sekolah, juga pelajar yang terkaya di sekolah. Disebabkan status ayahnya yang merupakan Presiden PIBG sekolah, namanya sentiasa menjadi bualan hangat orang ramai.

Siapakah dia?

Yusri Iqmal, itulah nama pelajar tersebut.

Bersambung...

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk