Balik Kampung
Masa Sekarang...
Kereta yang dipandu saya memacu laju di atas lebuhraya. Memandangkan musim cuti persekolahan sudah bermula, saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama anak-anak. Pembantu rumah saya juga turut mengikut sama. Dia duduk di bahagian belakang bersama-sama dengan Fatih.
Bagaimana pula suami saya?
Seperti biasa, dia masih sibuk. Apa boleh buat, keadaan tidak mengizinkan. Tambah lagi suami saya ini bekerja di luar negeri.
"Mama! Mama!" Suara kecil Fatih memanggil dari belakang.
"Ya, Fatih. Ada apa?" tanya saya. Sempat juga saya mengerling cermin pandang belakang.
"Bila papa nak balik ya?" Soalannya begitu naif. Barangkali dia sudah naik rindu akan bapanya.
"Betul tu mama. Papa tak balik ke? Khalis rindulah dia." Kini anak sulung saya pula yang bersuara.
Saya tersenyum. "Sabarlah sayang. Sekarang ni kan papa sibuk, tambah lagi dia tak dapat peluang nak berehat. Papa kan outstation, itupun sebab nak cari rezeki untuk kita sekeluarga," jawab saya. Saya faham mereka rindu akannya. Namun, apa boleh buat, kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan segalanya.
Ternyata jawapan itu membuatkan mereka sedih. Segalanya tertulis pada wajah mereka. Tidak mahu anak-anak saya terus berduka, lebih baik saya bercerita. Biasanya kalau saya sudah bercerita, mesti anak-anak saya ini akan mendengar.
"Alang-alang tu, nak tak mama cerita pengalaman mama dekat kampung waktu sebaya Khalis?" Wajah Khalis dan Fatih berubah teruja.
"Nak! Nak!" jerit Khalis dan Fatih, serentak
Melihatkan gelagat mereka, menimbulkan kegelian di hati. Comel betul perangai mereka.
"Baiklah. Ceritanya begini..."
*****************************
28 tahun yang lalu...
Salah faham antara Rafie dan Rina berjaya dileraikan. Hubungan kami sekawan kembali utuh. Lantaran itu, proses pembersihan bilik dapat diteruskan setelah ia tergendala. Hasil dari titik peluh kami, bilik itu berjaya dibersihkan.
Bilik inilah yang akan menjadi wadah rehat bagi memori kami sebagai pelajar senior. Bilik Impian. Namanya agak generik. Namun, nama itu yang kami pilih. Ia unik, selari dengan hasrat kami sebagai pelajar yang mahu menggapai impian di masa hadapan.
Tahukah anda, masa bergerak dengan agak pantas. Tahu-tahu sahaja, cuti akhir tahun menjelang tiba. Perkara yang selalu terlintas dalam fikiran kami sebagai pelajar sekolah, pastinya mengenai kemeriahan pulang ke kampung.
Dan itulah yang berlaku kepada saya sekarang. Setelah sekian lama tidak berjumpa dengan atuk dan opah, keluarga saya memutuskan untuk pulang ke kampung di Ipoh.
Nek Mah yang tinggal bersama dengan kami turut mengikut sama. Kami tak mahu tinggalkan dia seorang diri di rumah. Nanti kalau apa-apa terjadi kepadanya, kami juga yang susah.
Satu jam berubah ke dua jam. Dan tiga jam menjadi empat jam. Akhirnya, kami tiba ke destinasi. Saat kereta ini berhenti di halaman rumah, berpusu-pusu saya dan Kak Iman keluar dari kereta, semata-mata berebut untuk bersalaman dengan Tok Wi dan Opah Min.
Antara saya dan kakak, saya lebih pantas. Lantas tubuh tua milik Opah Min dipeluk saya. "Assalamulaikum, tok, opah. Tok dan opah sihat?" Saya bertanya khabar.
Opah Min tersenyum gembira. Seraya itu, tubuh ini dipeluknya. "Alhamdulillah, kami sihat je," balas Opah Min. Pelukan kami dileraikan. Tangan tuanya saya kucup sebelum diikuti Kak Iman.
"Tok dan opah buat apa je dekat kampung?" tanya kak Iman selepas selesai bersalaman.
Pertanyaan Kak Iman dibalas Tok Wi. "Tak ada apa sangat pun. Cuma duduk rumahlah. Kalau ada pun, atuk cuma jaga tanaman atuk je, Iman."
"Assalamualaikum mak, ayah. Maaflah baru sekarang kami balik. Maklumlah banyak kerja kami dekat bandar. Kami pun sibuk, sama la dengan budak-budak ni," celah ibu. Dia datang menghampiri kami bersama-sama dengan ayah.
Sekali lagi tangan tua atuk dan opah disalam. Maklumlah ibu kami merupakan anak kepada Tok Wi dan Opah Min.
"Tak apalah. Asalkan kamu semua dah balik sekarang," jawab Opah Min, mesra. Mana tidaknya, anak dan cucunya datang melawat. Mana tak gembiranya dia.
Sedang kami berbasa basi, datanglah Nek Mah, ibu kepada ayah, yakni besan kepada Tok Wi dan Opah Min.
"Assalamulaikum, Min," sapa Nek Mah.
"Waalaikumussalam, Mah. Lama tak jeguk kamu ni ya."
"Itulah. Diorang ni semua sibuk sangat, sampai kadang-kadang aku ni pun kadang terasa bosan duduk sorang-sorang dekat rumah. Nak juga ada kawan menyembang," seloroh Nek Mah lalu tertawa.
Tawaannya diiringi opah. Kedua-dua mereka saling berpelukan. Ternyata hubungan mereka begitu akrab. Sudah macam adik beradik.
Setelah itu, kami sekeluarga mula masuk ke dalam rumah. Beg-beg yang dibawa disusun ke dalam bilik. Sebaik selesai, saya dan kakak mula berehat di atas sofa.
Ibu dengan ayah masih lagi berada dalam bilik. Mahu melepaskan lelah kata mereka. Begitu juga dengan Nek Mah yang kini berada dalam biliknya.
Memandangkan tiada apa yang hendak saya lakukan sekarang, sengajalah mata ini melilau ke sekeliling. Kebetulan mata saya tertumpu pada TV. Hairan, TV itu tidak sama dengan TV yang pernah saya lihat sebelum ini. Dahulunya ia sebesar kotak, tetapi kali ini TV ini sudah nipis. Sudahlah nipis, siap tergantung pada dinding lagi. Ia seperti baru dibeli.
Alang-alang sudah perasan, saya pun memulakan perbualan. "Wah, opah! Ini TV baru ke?"
"Ha'ah Inas. Pak cik kamu la yang belikan, tak tahulah kenapa dia belikan opah TV ni. Opah bukan selalu tengok pun."
"Tapi tok selalu tengok." Tok Wi mencelah. Mukanya begitu selamba.
Opah Min pula mencebik.
"Tengok, banggalah tu. Awak ni bukannya nak tolong saya. Kerja-kerja rumah ni sayalah yang buatkan," omelnya tanpa henti.
"Alah, awak ni. Janganlah nak bergaduh depan cucu-cucu kita ni. Kan saya ada tolong juga. Tengok beras tu. Siapa yang beli? Saya juga yang beli." Tok Wi cuba mempertahankan dirinya.
Ah, sudah. Mesti mereka mahu bergaduh. Tapi saya dan kakak tidak risau pun. Walhal, kami berdua hanya mampu ketawa. Comel bila tengok gelagat mereka. Kata orang gaduh-gaduh manja. Semuanya secara seloroh dan sindir menyindir.
"Atuk dengan opah kalau bergaduh mesti nampak comel, kan," ujar Kak Iman. Saya bersetuju dengan kakak.
"Betul tu, lagipun bukan selalu nak tengok atuk dengan opah macam ni. Teringin pula nak jadi macam atuk dan opah ni.".
"Kamu tu muda lagi. Belum tahu macam mana rasa orang yang dah berkahwin ni. Jangan nak memandai-mandai pula." Tahu-tahu sahaja, ibu sudah muncul di ruang tamu. Dia terdengar perbualan kami.
Ibu sudah bercekak pinggang. "Tahu tak, mak. Si kakak ni dah pandai buka langkah. Jenuh saya nasihatkan dia ni tapi degil," sindir ibu.
Kak Iman terseringai. "Hehehehe... jangan marah ibu. Lagipun, ibu dah jumpa dia kan."
Ibu mengeluh perlahan. "Haih... nasib orangnya sopan je. Kalau tak, ibu tak benarkan dia jumpa kamu tau, Iman."
Wajah Opah Min dan Tok Wi berubah terkejut. Mereka sempat memandang sesama sendiri. "Atuk dah terasa tua pula. Nampaknya gayanya dalam masa beberapa tahun ni kita akan dapat cicit lah, Min," seloroh Tok Wi sebaik mendengar perkhabaran itu. Suka betul atuk sampai senyum ke telinga dia.
"Nampaknya macam tu lah tuknya oi." Tangan opah memukul manja bahu suaminya. Mereka teruja dengan perkhabaran itu.
"Atuukk, Opaahh... janganlah macam tu. Iman belum lagi fikir fasal kahwin. Nanti ibu marah kalau kahwin awal." Kak Iman buat-buat malu. Tangannya pula menutup muka. Siap digeleng-geleng lagi.
"Biarkan je ibu kamu tu. Dulu dia juga yang kahwin awal." Pernyataan opah itu buatkan saya dan Kak Iman terkejut. Opah... sindir ibu? Tanpa sengaja saya dan kakak tergetus tawa.
Ibu pula sudah merona merah. Malah dia kelu hendak berkata.
"Oh ya Iman, umur kamu dah berapa ya. Opah dah tak berapa nak ingat dah." Secara tiba-tiba opah bertanya.
"21 tahun, opah."
"Oooo... dah besar rupanya cucu kita ni. Dengar sini, Iman. Sebelum kamu berfikir untuk berumah tangga, ingatlah yang pelajaran itu penting. Belajar la rajin-rajin dekat universiti tu. Banggakan mak dan ayah dulu, ya. Yang penting jangan jadi macam atuk kamu ni." Nasihat Opah Min.
Mendengar namanya diseru, atuk pun terlatah. "Eh, eh, apa salah saya pula yang kena?"
"Eh, suka hatilah tuknya."
Saya tergelak kecil. Comel sungguh kerenah mereka walaupun sudah berumur.
Jadi, begitulah kisah saya sekeluarga di kampung. Ikutkan saya berada di sini selama dua minggu. Aduhai, waktu-waktu beginilah terbit rasa rindu dekat kawan-kawan. Apa khabar mereka agaknya.
Lagi-lagi...
Rafie.
Apalah yang dia buat sekarang ini. Harap dia baik-baik sahaja.
*****************************
Matahari tegak di atas kepala, tanda waktu tengahari. Panas dan mendatangkan dahaga. Alangkah indahnya kalau dapat meneguk air sejuk. Tambah lagi air manis. Bukan setakat air, jika mendapat sebatang aiskrim juga sudah cukup untuk melegakan tekak. Itulah yang bermain di fikiran seorang remaja lelaki yang bernama Rafie.
Dia tidak berbuat apa-apa, melainkan terbaring di gazebo yang terletak di halaman rumah neneknya.
Sama seperti Inas, dia juga menghabiskan musim cuti persekolahannya dengan pulang ke kampung. Itupun setelah diajak bapanya. Sebagai seorang anak, dia perlu bersetuju walaupun terpaksa menghadapi kebosanan.
Bukanlah dia tidak suka akan kampungnya, cumanya tiada perkara menarik yang boleh dilakukan, sudahlah dia tiada kawan, saudara-maranya pula sibuk, tambah pula kebanyakan mereka sudah dewasa, ada hal sendiri, ada hal masing-masing.
Sepanjang Rafie terbaring, terdetik di fikiran akan sahabatnya. Dia tertanya-tanya akan apa yang dibuat oleh mereka. Lebih-lebih lagi seorang gadis yang selalu muncul dalam fikirannya, Inas.
"Apalah yang diorang semua buat waktu cuti ni? Bosan betul aku rasa," rungut hatinya.
Telefonnya dicapai lalu diangkat tinggi, maklumlah bermain telefon sambil terbaring. Aplikasi Whatsapp dibuka. Seperti dijangka, tiada satu pun mesej baru yang masuk. Jejaka ini mengeluh panjang.
"Diorang sibuk agaknya," gumamnya.
Ketika jarinya sudah sedia menekan butang keluar daripada aplikasi Whatsapp, matanya secara tidak sengaja terpandang nama Inas. Baca sahaja namanya, timbullah rasa rindu. Kali terakhir mereka bersembang hampir dua minggu yang lalu.
'Agak-agak dia tengah buat apa ya?' getus hatinya.
Tanpa berfikir panjang dia menekan nama itu dengan harapan mahu memulakan perbualan. Berkali-kali dia menaip, namun setiap huruf yang ditaip pasti dipadam kembali.
Rasa gelisah, rasa risau semuanya bertamu di hati. Bukan apa, dia takut jika gadis yang bertakhta di dalam hatinya itu memandang pelik terhadap dirinya. Rafie terlalu berfikir jauh. Walhal fikirannya itu tidak semestinya benar-benar berlaku.
Akibat terlalu banyak berfikir akan sebarang kemungkinan, Rafie memilih jalan selamat. Skrin telefon ditutup, lalu dia meletakkan telefonnya di sebelah.
"Bosannya hari ini." Begitu meleret keluhannya. Nyaring. Nasib tidak sampai oktaf kelapan.
"Apa yang kau mengeluhkan ni, Rafie?" Datang satu suara seorang lelaki yang menegurnya. Dalam dirinya terbaring, sempat jua dia mengerling seketika.
Muka jengkel diberi oleh Rafie. Langsung dia kembali baring. "Jangan kacau aku!"
Bersambung...