Rahsia Inas & Rafie
Pancaran cahaya menerangi wajah. Perlahan-lahan saya membuka mata. Saya menoleh, lemah. Mahu memandang asal cahaya itu. Rupa-rupanya Cikgu Shuna menyelak langsir, dia mahu membuka tingkap.
Pada ketika itulah saya sedar. Saya berada di dalam sebuah bilik, terbaring di atas katil. Lemah dan tak bermaya.
"Syukurlah, akhirnya awak bangun juga. Awak okay, Inas?" Cikgu Shuna menghampiri saya.
"Cikgu... sa... saya dekat mana ni?" soal saya lemah.
"Awak dalam bilik kesihatan sekarang. Tadi awak pitam tau. Nasib nurse ada. Kalau tak, tak tahu apa jadi dengan kamu."
Mata saya melihat siling. "Ya ke."
Saya cuba untuk bangun tetapi tidak berdaya. Rasa macam... penat.
Cikgu pantas menghalang. "Jangan paksa diri, Inas. Berehatlah dulu. Cikgu tahu, awak mesti penat sekarang ni."
"Tapi bilik tu nanti tak siap. Macam mana kalau-"
"Tak mengapa Inas. Tak mengapa" Cikgu Shuna pantas memotong percakapan saya.
"Lupakan pasal bilik tu sekejap. Hari lain kan kita boleh siapkan. Buat masa sekarang awak berehatlah dulu, ya," nasihat guru ini. Dengan perlahan dia merebahkan kembali tubuh saya. Saya tidak membantah. Mungkin kerana rasa penat menguasai diri.
"Baik cikgu."
Tidak lama kemudian bunyi tapak kaki mula kedengaran. Muncullah Rina bersama-sama rakan-rakan.
"Cikgu! Macam mana dengan Inas sekarang ni?" tanya Rina yang sudah berada di muka pintu bilik.
"Oh, sampai pun kamu, tengoklah sendiri," pelawa cikgu sambil menerling ke arah saya. Rina masuk ke dalam bilik diikuti dengan yang lain.
"Cikgu tunggu di luar ya. Mesti ada banyak persoalan korang ni," ujar cikgu kepada Rina.
Lantas Cikgu Shuna berjalan keluar dari bilik tersebut. Tanpa berlengah, Rina mendekati saya lalu memegang erat tangan saya yang lemah ini. Wajahnya begitu risau. Kelakar, sepanjang saya mengenali Rina, ini kali pertama saya melihat wajahnya begitu.
"Rina." Saya memanggilnya dengan suara lemah.
"Inas, kau okey tak?"
"Saya okey je. Awak janganlah risau. Saya cuma penat je."
"Baguslah kalau awak okey. Semua orang risau fasal awak tau," kata Yusri lalu dipersetujui oleh mereka yang lain.
Melihat wajah mereka, sama sekali menimbulkan rasa bersalah. "Korang. Maafkan saya sebab buat korang risau."
"Inas, tak perlulah you meminta maaf." Celah Mei yang kemudian menghampiri saya yang terlantar di atas katil. Sama dengan Rina, dia juga mencapai tangan saya.
"Listen, you tak buat salah apa-apa pun. Cukuplah bila I nampak yang you dah awak okey. Tahu tak I dan Rina really worried about you. Lain kali kalau you tak mampu, jangan paksa diri. Kami ni rasa bersalah dekat you tau." Hampir teresak suara gadis cina ini. Seketika pula dia mengusap perlahan kepala ini.
Mata saya memandang satu per satu rakan-rakan yang berada di bilik ini. Begitu ramai yang menampilkan wajah risau. Terharunya rasa. Mereka begitu prihatin.
"Syukurlah korang berdua risaukan tentang saya. Maaf sekali lagi, Rina, Mei." kata saya perlahan.
Sedang kami bercereka, ada sesuatu yang mengganggu saya. Mata saya sekali lagi memandang rakan-rakan yang berada di bilik kesihatan. Mencari kelibat seseorang.
Mana Rafie?
Kenapa dia tidak ada di sini? Dahi saya mula berkerut.
"Hmm... Rina, Mei, mana Rafie? Kenapa... dia tak ada dekat sini?" Masing-masing tertunduk sugul terutamanya Rina. Yusri dan pelajar lelaki yang lain hanya memandang sesama mereka.
Timbul rasa musykil dalam diri ini. Apa yang sudah berlaku dengan Rafie? Kenapa mereka semua berdiam diri? Banyak persoalan yang bermain dalam fikiran.
"Tentang tu... urrmm..." Mei cuba memberikan jawapan. Namun, ia tersekat dikerongkongnya.
"Kenapa dengan dia? Korang?" Berkali-kali saya bertanyakan soalan sama. Tetap tiada yang menjawab.
"Rafie... dah balik," ujarnya Mona.
"Eh! Balik? Kenapa? Kenapa tiba-tiba dia balik?"
Berat hati mereka untuk menceritakan apa yang telah berlaku. Tidak mahu pertanyaan saya tergantung tanpa sebarang penjelasan, Yusri pun memberi jawapan.
"Rafie balik sebab dia rasa bersalah dekat kau."
"Eh, kenapa dia yang rasa bersalah? Dia tak buat apa-apa pun dekat Inas."
"Dia merajuk sebab aku marah dia," jawab Rina dengan pantas.
"Tapi itu memang salah dia, kan Inas? Kalau dia tak paksa kau untuk berubah, mesti tak akan jadi macam ni?" terang Rina yang cuba menyalahkan Rafie.
"Apa maksud awak?" Saya semakin keliru. Jujurnya saya tidak faham apa yang Rina katakan.
"Maksud Rina, awak dan Rafie kan berjanji nak atasi masalah awak tu. Jadi, bagi Rina janji tu membebankan awak sampai awak pengsan macam ni," terang Mei kepada saya.
Bingung saya dibuatnya. Sejak bila pula Rafie memaksa saya untuk atasi ketakutan saya. Padahal saya yang mengajaknya.
"Apa korang ni? Iya, memang Inas ada janji dengan Rafie tapi Inas yang paksa dia untuk terima. Bukan dia yang paksa Inas. Kelakar pula bila Inas dengar." Secara tidak sengaja saya mula tertawa.
Rina memandang pelik. "Kau boleh ketawa dalam keadaan macam ni, Inas. Aku makin risau dengan kau tahu tak."
"Awak janganlah risau. Saya mungkin tak biasa sekarang ni tapi lama-lama nanti mesti saya okey semula. Lagipun itulah janji saya dengan Rafie."
"Kitaorang bukan apa Inas. Cuma makin risau lagi-lagi bila dah dengar cerita di sebalik trauma kau tu?" Pernyataan Wani menarik perhatian saya.
"Trauma saya?" Saya memberi riak hairan.
"Ya, tadi Rafie ada cerita tentang punca kau takut dengan lelaki. Kau dah lalui perkara yang menakutkan, Inas. Pasti ia menghantui kau, kan?" Mendengar penerangan Wani itu membuatkan saya mulai faham akan situasi yang telah berlaku. Mereka sudah ketahui kisah silam saya rupanya. Patutlah masing-masing risau semacam.
"Nampaknya korang semua dah dengar segalanya, ya?"
"Betul tu Inas. Segalanya," balas Rina bersama anggukan.
"Macam tu ke." Hanya senyuman kecil yang mampu saya berikan. Rafie akhirnya menceritakan segalanya. Tak mengapalah. Mereka berhak tahu. Lagipun, mereka juga kawan saya.
"Nasib kau memang baik sangat waktu tu. Kalau lah Pak Guard tu tak lalu kat situ mesti kau kena pukul dengan lagi teruk, kan." Kata-kata Rina itu membuatkan saya keliru.
"Pak guard? Apa yang awak maksudkan ni Rina?"
"Kenapa? Bukan ke Pak Guard yang tolong kau sewaktu peristiwa tu berlaku?" Rina membuat muka keliru.
Sekali lagi saya menjadi musykil. Mengapa semua terkejut? Adakah itu tanda mereka masih belum ketahui cerita sebenar? Saya pandang rakan saya yang lain. Ternyata semuanya berkerut dahi. Saat itu saya mulai faham akan apa yang sudah berlaku.
"Macam tu ke. Rafie tak beritahu perkara yang sebenar dekat korang rupanya."
"Hah?" Serentak mereka bersuara.
"Apa maksud awak tu, Inas?" tanya Yusri yang seperti ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi.
"Sebenarnya... bukan Pak Guard yang tolong saya waktu tu."
"Eh! Habis tu siapa?" Rina mula terkejut. Bukan dia seorang sahaja malah rakan-rakan saya yang berada dalam bilik ini.
"Rafie. Dia yang tolong saya untuk lari dari situ."
Itulah pengakuan saya di depan mereka semua. Benar, orang yang menolong saya pada hari itu ialah Rafie. Tergamam lagi terkaku. Itulah yang ada pada wajah rakan-rakan saya sekarang ini.
"Tak... tak mungkin. Tapi kenapa? Apa yang sebenarnya berlaku pada hari tu, Inas?" Rina mahukan penjelasan.
"Sewaktu saya dipukul. Kebetulan Rafie ada berdekatan di tempat kejadian. Melihatkan situasi itu, dia cepat-cepat menghalang. Dia tak ada pilihan melainkan membelasah ketua diorang dan suruh saya untuk larikan diri," jelas saya lagi.
Rasa sesal mula menerjah hati Rina. "Takkanlah. Rafie... alamak... Apa yang saya dah buat?"
"Lepas tu apa yang jadi, Inas?" Mei mahu mengetahui selanjutnya.
"Keesokannya saya tak hadir ke sekolah sampailah waktu ambil keputusan UPSR tapi ponteng semula untuk beberapa hari sehinggalah hari terakhir persekolahan. Tapi sebaliknya bagi Rafie."
Saya berjeda seketika.
"Dia digantung sekolah sebab bergaduh. Saya ada terdengar yang arwah ibunya terpaksa menahan malu dengan tindakan Rafie tu. Padahal semua tu bukan salah dia."
"Jap! Jadi yang kes pengawas sekolah yang pukul pelajar waktu sekolah rendah dulu, kes Rafie lah?" Rina meminta kepastian.
"Iya, betul tu. Pelajar yang dia pukul tu kawan-kawan dia. Akibat dari kejadian tu, dia dipinggirkan kecuali kawan baik dia, Ammar. Dan sebab itulah dia..."
"Dia menyendiri sampai dan tak nak berkawan." Hairi menyambung ayat saya. Dia mulai faham akan sebab Rafie tidak mempercayai dirinya dahulu.
"Ya, itulah ceritanya. Disebabkan saya, dia kehilangan kawan. Keseorangan sampai dipandang serong. Semua ni takkan terjadi kalau saya terima luahan lelaki tu." Suara saya berubah serak.
"Sebab itulah saya berjanji untuk tolong dia. Saya nak dia faham erti persahabatan. Jika dia kehilangan sahabat, dia perlu tahu sahabat ini juga ada gantinya." Hiba hati ini hingga terluah setitis air mata.
Tanpa disangka tubuh saya masuk ke dalam dakapan Mei. Dia memujuk. Dalam masa yang sama dia mengurut belakang tubuh.
"Mei." Sebaik namanya dipanggil. Air mata saya mengalir deras.
Rina diam seribu bahasa. Barangkali berasa bersalah kerana menuduh Rafie. Harap pada esok harinya Rafie dan Rina akan berbaik semula.
*****************************
Kesan peristiwa semalam, badan saya menjadi lebih penat. Disebabkan itu, hari ini saya tidak hadir ke sekolah. Mahu berehat. Itupun atas nasihat ibu.
Kalau cerita reaksi ibu semalam, boleh kata agak teruk juga. Hampir semalaman juga dia membebel. Nasib hari ini ibu kerja, kalau tidak mesti hari ini telinga saya masih mendengar bebelannya.
Sedang saya berehat di atas sofa. Kedengaran bunyi ketukan pintu dari luar rumah. Ia diiringi dengan laungan nyaring seorang perempuan. Saya kenal suara itu. Siapa lagi kalau bukan kawan baik saya, Rina.
Memandangkan seharian saya berehat, tenaga badan pun sudah kembali pulih. Saya pun bangkit dari duduk. Sehelai tudung pantas dicapai lalu dipakai.
"Sekejap ya, Rina! Tengah pakai tudung ni." Jerit saya di hadapan pintu.
Apabila selesai, saya pun membuka pintu.
Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bukan Rina seorang yang datang. Mei, Yusri dan Irwan turut ada. Sudahlah datang beramai, siap bawa buah tangan lagi. Boleh kata hampir setiap orang menjinjing dua beg plastik. Gayanya macam baru balik dari membeli belah.
"Eh, korang? Kenapa ramai-ramai datang ni?" soal saya yang masih terkejut.
Rina menyengih sebelum tertawa perlahan.
"Biasalah kitaorang ni nak melawat kau lah. Aku ni risau sangat dengan kawan baik aku yang comel ni," katanya dengan nada mengusik.
Tiba-tiba Mei menyiku tubuh Rina. Riak muka Mei begitu serius. Saya memandang yang lain. Masing-masing diam membisu. Pelik macam ada sesuatu yang sudah berlaku antara mereka.
"You cerita je lah perkara yang sebenar. Tengok Inas tengah confuse tu," ujar Mei. Bibirnya dijuih ke arah saya.
"Entah kau ni, Rina. Dekat sekolah kemain kasar. Tapi bila nak pergi minta maaf, perangai jadi malu-malu pula," sampuk Irwan.
Okey, sekarang saya makin keliru. Minta maaf kata mereka? Apa yang perlu dimaafkan? Ada apa-apa salah yang mereka buat ke sebelum ini?
"Inas, aku tahu kau mesti confuse sekarang ni. Dengan kitaorang datang ke rumah kau secara tiba-tiba. Lepas tu siap bawa banyak buah tangan." Rina cuba menerangkan situasi kepada saya.
"Sebenarnya... aku ada hajat nak minta dekat kau."
Dahi saya berkerut. "Hajat? Apa dia?"
"Sebenarnya..." Suara Rina perlahan-lahan diberhentikan.
Mei mengeluh panjang.
"Ish kau ni, buang masa je lah. Let me tell her la." Tubuh Rina ditolak perlahan. Mei datang mendekati jeriji pintu rumah lalu mencapai tangan saya.
"Inas, boleh awak ikut kitaorang tak?"
"Eh, ke mana?"
"Ke rumah, Rafie. Hanya awak je yang boleh tolong kami."
Hanya saya yang boleh tolong? Kenapa Mei kata begitu?
"Apa maksud awak tu?"
Persoalan saya dijawab Yusri. "Kitaorang tak dapat call dia. Rafie tak datang ke sekolah hari ni."
Tangan saya menekup bibir. Rafie tak hadir ke sekolah?
"Semua ni, salah aku. Aku yang tuduh dia bukan-bukan." Rina menggumam. Nada kesalnya itu memanggil hati saya untuk menerima permintaan mereka.
"Please Inas. Tolong aku? Aku tahu kalau kitaorang pergi tanpa kau, Rafie mesti takkan akan terima maaf aku. Kalau kau ada, okeylah sikit. Dapatlah lembutkan hati dia."
Begitu yang terjadi rupanya. Tidak mahu mereka menunggu lama, saya terus bersetuju. Ikutkan, saya juga ingin berjumpa dengan Rafie. Ada satu hutang yang belum saya langsaikan. Ucapan terima kasih. Terima kasih kerana membawa saya ke bilik kesihatan semalam.
"Baiklah, saya ikut. Kita pergi ke rumah dia sekarang."
Bersambung...