Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
121,675
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

PALUAN kompang bertubi-tubi mengiringi langkah gemalai pasangan pengantin baru yang duduk bersanding sopan di atas pelamin. Pasangan pengantin tampak sama cantik sama padan dirias di dalam busana tradisional Melayu berwarna hijau muda lembut.

“Tak sangka antara kita bertiga dulu, Kamal yang kahwin dulu,” ujar Fitri sambil tersenyum memandang kawan baiknya yang sedang bersanding itu.

“Ha’ah, lepas ni kaulah pulak agaknya,” gurau Rifdi Riyadh.

“Huh, banyaklah aku? Entah-entah kau tu yang dah ada rancangan agaknya,” tempelak Fitri. Rifdi Riyadh ketawa mendengarkannya. Sejujurnya dia sendiri pun belum memikirkan perihal itu lagi. Dia lebih senang hidup sendiri lagi dalam masa ini.

“Urm, aku pun belum terbuka lagi hati aku ni. Biasalah kan, belum sampai seru lagi,” balas Rifdi Riyadh bergurau. Fitri ketawa sahaja mendengarkannya.

“Eh, kau dah jumpa belum bekas awek lama kau?” tanya Fitri kemudiannya.

“Siapa?”

“Siapa lagi... Hafeeza lah!” kata Fitri. Rifdi Riyadh terdiam mendengarkan nama itu. Sudah lama tidak mendengar nama gadis itu.

“Dia ada datangkah?” tanya Rifdi Riyadh pula.

“Ada! Aku nampak dia tadi bersembang dengan mak Kamal. Dia datang dengan laki dia rasanya,” beritahu Fitri.

“Oh, dia dah kahwin. Aku tak taulah pulak,” sahut Rifdi Riyadh.

“Tak tau ke saja tak nak ambil tau,” perli Fitri kemudiannya. Rifdi Riyadh menyiku Fitri bila lelaki mentertawakannya.

“Betullah! Memang aku tak tahu. Kalau aku tahu dan dia jemput aku pergi kenduri dia tu. Aku tak ada masalah untuk pergi,” ujar Rifdi Riyadh. “Lagi pun, tu semua kisah lamalah. Aku dah tak ada perasaan macam tu dah dekat dia. Tu semua cinta monyet saja tu dulu,” sambungnya lagi. Fitri sekadar tersenyum mendengarkannya.

“Aku pun baru tau jugak dari kawan-kawan lain yang datang kenduri ni. Dia kahwin tahun lepas. Tak buat kenduri dekat sini. Dia buat dekat kampung dia. Sebab tu, ramai yang tak tahu dan pergi,” tambah Fitri lagi. Rifdi Riyadh sekadar mengangguk sahaja.

Selepas itu, mereka menjamu selera seketika. Fitri sibuk mengambil gambar dan Rifdi Riyadh pulak sekadar meliarkan pandangannya mencari kalau ada lagi kawan-kawan sekolah yang dikenalinya. Sempat juga dia bersembang dengan kawan-kawan yang lain. Cikgu dari sekolah mereka juga ada yang datang.

“Abang Rifdi,” panggil seorang gadis. Rifdi Riyadh pun berkalih memandangnya. Dia terus tersenyum memandang gadis itu.

“Feeza...” sebut Rifdi Riyadh. Gadis itu turut tersenyum memandangnya. “Lama tak dengar khabar Feeza. Macam mana sekarang? Sihat?” tanya Rifdi Riyadh. Dia tampak tenang berhadapan dengan gadis itu. Kisah lama antara mereka langsung tak mencacatkan adab antara mereka. Mereka tampak seperti kawan biasa yang lama tidak berjumpa.

“Alhamdulillah abang Rifdi. Feeza sihat saja. Abang pulak macam mana? Dah kahwin?” terus sahaja Hafeeza bertanyakan perihal lelaki itu.

“Abang pun sihat jugak tapi belum kahwin lagilah,” jawab Rifdi Riyadh. “Mana laki Feeza? Abang tak kenal lagi dengan dia,” tanyanya kemudian.

“Ada dekat khemah hujung sana tu. Dia bersembang dengan tuan rumah kejap,” tunjuk Hafeeza ke satu khemah yang terletak di hujung sekali. Suami Hafeeza perasan yang mereka sedang memandangnya. Rifdi Riyadh pun mengangkat tangan bersapa secara tak lisan dengan lelaki itu. Suami Hafeeza juga berbuat demikian.

“Feeza dah mengandung ke? Berapa bulan?” tanya Rifdi Riyadh lagi bila dia perasan gadis itu memegang perutnya.

“Baru tiga bulan,” jawab Hafeeza sambil membelai perutnya yang sudah tampak kandungannya sedikit. Dia kelihatan gembira dengan keadaannya sekarang. Rifdi Riyadh senang melihat gadis itu bahagia dengan kehidupannya.

“Urmm, abang Rifdi,” panggil Hafeeza lembut. Dia tampak serba salah untuk meneruskan kata-katanya.

“Ada apa? Cakap sajalah,” pinta Rifdi Riyadh.

“Abang Fitri ada beritahu Feeza tadi yang... abang ada jumpa dengan Nana balik ya?” tanya Hafeeza ingin memastikannya.

Rifdi Riyadh tersenyum tawar mendengarkan nama itu. Mengapa dia perlu mendengar nama gadis itu walaupun datang sejauh ini. Dia mengeluh perlahan sambil tersenyum memandang gadis yang masih menanti jawapannya itu. Dia sekadar mengangguk sahaja mengiyakannya. Hafeeza tersenyum manis mendengarkannya. Rifdi Riyadh mengerutkan dahinya kurang mengerti akan reaksi gadis itu. Bukannya gadis itu rapat pun dengan Auni Liyana ketika mereka bersekolah dulu walaupun mereka sama kelas.

“Kenapa tanya pasal dia?” kali ini Rifdi Riyadh pula berminat untuk tahu.

“Entahlah abang. Sejak Feeza mengandung, banyak hal yang Feeza fikirkan. Terutama sekali pasal hal-hal yang lalu. Kalau boleh, Feeza nak jumpa Nana balik walaupun sekali saja. Ada benda yang perlu Feeza selesaikan dengan dia,” akui Hafeeza sambil tersenyum nipis. Sedikit sebanyak kenangan lalu hadir di ingatannya ketika itu.

“Benda yang perlu diselesaikan? Pasal kisah lama kita ke? Kalau pasal tu, rasanya tak ada apa dah nak diselesaikan. Bukankah semuanya memang dah selesai dulu?!” tingkah Rifdi Riyadh.

Hafeeza terdiam seketika. Dia memandang lelaki itu. Semakin kacak lelaki itu di pandangannya tapi dia masih waras untuk mendahulukan suaminya di dalam hati dan ingatan. Lelaki di hadapannya ketika ini hanyalah kawannya sahaja yang pernah mempunyai sejarah lama dengannya. Tapi itu semua kisah lalu. Kisah ketika mereka masih belum matang.

“Feeza masih tak mampu nak beritahu abang cerita sejujurnya. Kalau boleh, Feeza nak jumpa Nana dulu sebelum beritahu abang,” ujar Hafeeza.

Rifdi Riyadh mengeluh perlahan. Entah apa lagi yang dimaksudkan gadis itu tapi dia sudah tak kisahkan hal itu lagi. Semuanya hanyalah sejarah lalu di dalam hidupnya. “Nana sekarang kerja arkitek. Kami pernah sama-sama terlibat dalam satu projek. Abang pun tak pasti macam mana nak hubungi dia,” beritahu Rifdi Riyadh terus-terang.

“Oh yakah?” Hafeeza tampak sedikit kecewa dengan kenyataan itu. Sangkanya, Rifdi Riyadh mungkin mempunyai nombor telefon Auni Liyana. Jadi, dapatlah dia menghubungi gadis itu sebagai langkah permulaan.

“Hemm, tengoklah nanti macam mana. Kalau abang terjumpa dengan dia, abang sampaikan pesan Feeza dekat dia,” akur Rifdi Riyadh akhirnya walaupun dia berat hati untuk menolong gadis itu. Semuanya kerana Auni Liyana.

Hafeeza tampak gembira dengan janji yang diberikan itu. Dia pun menyerahkan sekeping kertas bercatat nombor telefonnya kepada Rifdi Riyadh. Dia berharap dia dapat berjumpa kembali dengan bekas kawan sekelasnya itu.

“MACAM mana Rifdi dengan majlis kahwin kawan kamu tu? Okay semuanya?” tanya Puan Hayati sebaik sahaja anak lelakinya itu melabuhkan duduk di ruang tamu.

“Okay sajalah mama. Meriah jugak tadi. Ramai kawan-kawan lama yang datang ke majlis Kamal tu. Cikgu masa sekolah dulu pun ada yang datang jugak. Biasalah tu, dah dia buat dekat kampung kan,” jawab Rifdi Riyadh sambil meniup wap air tehnya yang panas itu.

“Okaylah macam tu! Kalau buat kenduri, kenalah meriah dan ramai orang datang. Barulah seronok,” sahut Puan Hayati sambil tersenyum. Dia sendiri juga mula membayangkan keriuhan kenduri yang mungkin ada di rumahnya. Sekilas dia mengerling memandang anak lelakinya itu. “Hah, kawan Rifdi tu dah kahwin. Yang Rifdi pulak, bila?” tanya Puan Hayati membuatkan Rifdi Riyadh tersedak sedikit.

“Isyy, mama ni! Tanya macam tu pulak,” tukas Rifdi Riyadh.

“Dah tu, nak tanya macam mana? Ya tak abang?” Puan Hayati cuba memancing sokongan suaminya.

“Hemm...” hanya itu dikatakan Encik Mukhriz. Suaminya leka melihat berita di televisyen. Puan Hayati mencebikkan bibirnya melihat reaksi suaminya.

“Sabarlah dulu mama. Rifdi tak puas lagi hidup membujang,” balas Rifdi Riyadh selamba.

“Banyaklah kamu punya puas. Kamu tau tak, hidup lepas kahwin ni lagi seronok dari hidup bujang. Tak percaya, tanya abah kamu,” tingkah Puan Hayati. Rifdi Riyadh mengerling memandang abahnya sambil mengangkat keningnya menanti pendapat abahnya.

“Hemm... seronok sangat,” balas Encik Mukhriz kedengaran sinis.

“Amboi abang! Lain macam saja bunyinya,” kata Puan Hayati.

“Eh, taklah! Kalau dapat bini macam awak memang seronok. Tak bosan duduk rumah. Dari pagi sampai malam, tak pernah sunyi rumah,” jawab Encik Mukhriz sengaja bergurau sambil menyindir isterinya yang suka berleter. “Tapi, kalau Rifdi dapat yang tak banyak cakap. Nanti dia bosan pulak. Biarlah dia pilih elok-elok dulu sebelum kahwin,” sambungnya lagi.

“Isyy abang ni! Saja nak sindir saya tau. Dahlah! Malas nak cakap dengan abang. Saya nak cakap dengan Rifdi saja,” tingkah Puan Hayati. Rifdi Riyadh tertawa kecil melihat perbalahan kecil mama dan abahnya.

“Mama serius tau Rifdi! Mama nak Rifdi bawa balik seorang calon menantu jumpa mama tahun ni. Mama tak kira!” putus Puan Hayati. Rifdi Riyadh terpana mendengarkan kata-kata tegas mamanya.

“Mama ni biar betul! Tahun ni, memang tak adalah. Ni dah bulan berapa? Mengarut sajalah mama ni,” tempelak Rifdi Riyadh pulak.

“Mama tak mengarut! Mama serius. Kalau mama ikutkan sangat perangai lewa kamu tu, entah bilalah kamu nak serius dalam hal ni,” tegas Puan Hayati. Nampaknya, dia sudah nekad dalam hal ini. “Sekarang ni bulan Julai. Rifdi ada lagi setengah tahun lebih lagi nak cari calon seorang,” sambungnya lagi.

Rifdi Riyadh terdiam mendengarkannya. “Setengah tahun lebih mama. Mana cukup! Mama ingat nak cari bini macam cari ikan dekat pasar ke?” tingkah Rifdi Riyadh enggan mengalah. “Abah! Cakaplah sesuatu,” pintanya cuba memancing abahnya untuk menyokongnya.

“Hemm...” Encik Mukhriz diam memikirkan sesuatu. “Rifdi...” dalam suara lelaki separuh abad itu menyebut nama anak sulungnya. “Kalau nak cari bini tu carilah perempuan yang baik-baik, elok perangainya. Ada adab dan santunnya. Tak cantik sangat pun tak apa. Asalkan kamu boleh tatap muka dia. Cari yang hormatkan orang tua. Paling penting, kalau boleh biarlah pandai masak. Untung kamu, kalau dapat bini yang pandai masak macam mama kamu ni. Tak payah sibuk nak makan dekat luar. Masakan bini lagi sedap,” pesan Encik Mukhriz panjang lebar.

“Hah?!” Rifdi Riyadh mengerutkan dahi mendengarkannya. “Abah setuju dengan mama?” dia seperti kurang percaya dengan apa yang dikatakan abahnya. Sangkanya, abah akan menyokong dia dalam hal itu kerana abahlah orang yang paling memahami dan tak pernah mengongkongnya. Apa yang buatkan abah dia menyokong mamanya? Pelbagai persoalan bermain di benak Rifdi Riyadh.

Puan Hayati tersenyum mendengarkannya. Tambah lagi bila suaminya memuji masakannya. Mujur sahaja, dia berjaya memenangi hati suaminya dengan air tangan sendiri. Berbangga juga rasanya.

“Entahlah Rifdi. Abah dah tua dah pun. Lagi pun, mama kamu suruh kamu cari seorang calon. Bukannya kata kamu kena kahwin tahun ni. Benda ni semua tak cepat. Kamu kena kenal dengan dia dulu. Kenal dengan keluarga dia lagi. Lama sebenarnya, sebelum kamu akan ambil keputusan nak kahwin nanti. Rifdi pun dah 26 tahun sekarang. Dah boleh kahwin sangat dah pun,” ujar Encik Mukhriz. Dia diam seketika sebelum menyambung bicaranya. “Lagi pun, abah teringin nak timang cucu. Seronok pulak tengok kawan-kawan sebaya abah semuanya dah ada cucu.”

Rifdi Riyadh terus mati akal mendengarkan kata-kata abahnya. Cucu pulak? Aku kahwin pun belum, abah dah fikir pasal cucu. Haihh.... apa aku nak buat ni? Tu lah, sebelum ni aku tak pernah serius fikirkan hal ni. Dah jadi macam ni, barulah aku nak tergapai-gapai. Getus hati Rifdi Riyadh.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati