AUNI LIYANA terus
tersenyum memerhatikan gelagat dua ekor harimau di dalam kandangnya itu. Dia
agak terleka memerhatikannya. Keletah mereka yang bercakaran dan berguling di
atas tanah membuatkan dia tersenyum. Nampak kasar tapi begitulah cara mereka
bermain. Ramai juga kanak-kanak di sisinya yang turut memerhatikan raja rimba
itu.
Sempat Auni Liyana mengerling melihat apa yang
dilakukan emak dan adik-adiknya. Naufal sibuk menekan punat kamera yang
dipinjamkannya. Emaknya pula bersama Nufail sedang memerhatikan harimau bintang
tak jauh dari situ. Auni Liyana tersenyum sahaja melihat mereka semua.
“Best jugak ya datang Zoo Negara ni. Dah lama
sangat tak pergi mana-mana zoo,” ujar Naufal di sebelahnya.
“Hemm, tu pun tadi semua kata tak nak datang sini.
Bosanlah kononnya,” perli Auni Liyana sambil tersenyum sinis. Naufal hanya
tersengih mendengarkannya.
“Yalah! Dah akak cakap nak ke zoo. Tak terlintas
langsung di otak Naufal ni yang akak nak ke sini. Tapi.... okaylah. Teringat
pulak zaman kecik-kecik dulu. Kita banyak juga ya bela haiwan peliharaan,”
sahut Naufal.
Ya, mereka memang pernah mempunyai banyak haiwan
peliharaan ketika mereka kecil dahulu. Mereka ada membela arnab, kucing dan
juga pelbagai jenis ikan. Tapi sekarang, semuanya sudah tiada lagi.
Haiwan-haiwan itu kebanyakannya diberikan sahaja kepada kawan-kawan dan
saudara-mara yang mahukannya. Banyak juga yang mati. Auni Liyana tersenyum
sahaja mengenang zaman kecilnya. Dia memang suka dikelilingi haiwan. Sebab
itulah, dia membela seekor kucing di sini.
“Bestlah akak kamera ni. Cantik saja shoot dia,”
puji Naufal seterusnya sambil mengambil beberapa keping gambar lagi.
“Pandai guna ke?” sengaja Auni Liyana menduga.
“Eleh, ingat Naufal tak pandai ke guna kamera dlsr
macam ni. Dekat universiti tu, ada jugaklah kawan Naufal yang guna kamera macam
ni. Naufal pun belajar sikit-sikitlah dari dorang tu,” jelas Naufal sambil
tersenyum megah. Auni Liyana hanya tersenyum mendengarkannya.
“Kalau macam tu, Naufal ambillah kamera tu. Akak
hadiahkan,” ujar Auni Liyana.
“Eh, akak ni biar betul? Mahal tau kamera ni.
Dahlah yang ni model terbaru pulak tu. Takkan senang-senang saja nak bagi dekat
Naufal?” tanya Naufal sedikit kelam kabut. Dia seperti tak mempercayai apa yang
dikatakan kakaknya. Memang dia selalu berhajat untuk memiliki kamera seperti
itu suatu hari nanti tapi tak sangka pula kakaknya dengan senang sahaja ingin
menyerahkan kamera itu kepadanya.
“Akak seriuslah,” tekan Auni Liyana menegaskan
katanya. “Kalau Naufal tak kisah dengan kamera yang tu, Naufal ambillah,”
ujarnya lagi sekali.
“Serius?!”
“Ya, serius!” tegas Auni Liyana.
Naufal terdiam seketika. Kemudian, dia melonjakkan
tangannya ke udara dan tersenyum kegirangan. Dia memeluk erat kakaknya sambil
terus mengucapkan terima kasih beberapa kali. Auni Liyana tertawa kecil melihat
gelagat adik di bawahnya itu. Seperti kanak-kanak baru mendapat gula-gula
sahaja keletahnya.
“Naufal janji akan jaga kamera ni sebaik yang
mungkin!” janji Naufal. Auni Liyana hanya mengangguk mendengarkannya.
“Ni kenapa ni? Mak tengok, bukan main suka lagi
kamu dari sana tu,” tanya Puan Musliha yang baru menyertai mereka bersama
Nufail.
“Akak bagi kamera ni dekat Naufal,” jawab Naufal
sambil menunjukkan kamera yang dipegangnya. Nufail sedikit terlopong mulutnya
mendengarkannya.
“Tak apakah Nana bagi dekat adik kamu kamera yang
nampak macam mahal ni?” tanya Puan Musliha sangsi.
“Tak apa mak. Lagi pun, Nana bukannya guna sangat
pun kamera tu. Dah dia suka, Nana bagilah. Lagi pun, bukannya siapa pun. Adik
Nana jugak,” akui Auni Liyana. “Dahlah mak! Kita pun dah pusing berapa kali dah
pun zoo ni. Dah nak dekat tengah hari dah ni. Jomlah, kita pergi cari makan.
Lepas tu, Nana nak bawa mak pergi shopping pulak. Belikan mak, barang yang mak
nak nanti,” ajaknya kemudian.
“Yalah! Mak pun dah tak larat nak berjalan,” akur
Puan Musliha. Kemudian, mereka pun beriringan ke parkir. Sebelum keluar, sempat
Auni Liyana membelikan sedikit cenderahati yang dijual di pintu keluar zoo itu.
DOKTOR HAZIM
mempercepatkan langkahnya. Tak sudah-sudah dia mengerling jam di tangan. Hampir
sejam dia terlewat. Dia sedikit kesal dengan kelewatan yang tak dapat dielakkan
itu. Sampai sahaja di restoran yang dijanjikan, terus sahaja dia menuju ke meja
yang ditempah. Sempat dia menenangkan dirinya seketika sebelum menegur mereka
yang ada di meja itu.
“Assalamualaikum...” ucap Doktor Hazim sopan.
“Oh, Hazim! Sampai jugak akhirnya. Duduklah,”
jemput Dato' Daud sambil tersenyum menyambut kedatangan anak muda itu. Doktor
Hazim pun bersalaman dengan lelaki itu sebelum duduk di kerusi kosong untuknya.
“Maaflah ibu, ayah, auntie, uncle. Saya lewat,”
pinta Doktor Hazim mengakui salahnya datang lewat ke pertemuan itu. Memang
mereka semua telah berjanji untuk makan tengah hari bersama hari ini tapi ada
kesulitan yang tak dapat dielakkan.
“Tak apalah Hazim. Nak buat macam mana kalau ada
hal yang tak boleh nak dielakkan. Yang penting, kamu datang jugak! Dah lama
sangat auntie tak jumpa kamu,” ujar Datin Naurah pulak sambil memotong daging
di dalam pinggannya. “Macam mana kamu sekarang? Sihat?” tanyanya lagi.
“Alhamdulillah... saya sihat saja auntie,” jawab
Doktor Hazim sambil tersenyum.
“Tapi tulah kak Naurah. Dia makin sibuk pulak
sejak dia mula bertugas dekat hospital tu. Sampaikan balik ke rumah pun dah
makin jarang,” adu Puan Arifah perihal anak tunggalnya itu.
Doktor Hazim sekadar tersenyum nipis
mendengarkannya. Memang tugasan di hospital semakin banyak memakan masa
lapangnya. Tapi dia tak pernah kesalkan pilihannya. Dia sentiasa tenang dan
gembira menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor.
“Alah, biasalah tu Ifah. Dah mula kerja tu memang
sibuk saja mereka ni semua,” balas Datin Naurah sambil terus menyuap
makanannya. Anak-anaknya juga seperti itu. Kesibukan kerja selalu sahaja
dijadikan alasan untuk jarang balik ke rumah ibu bapa.
“Sorry papa. Kawan yang telefon tadi,” ujar
seorang gadis yang baru tiba di situ. Doktor Hazim sekadar tersenyum nipis memandang
gadis itu. Mungkin anak bongsu Dato' Daud yang selalu diceritakan ibunya.
“Oh ya Hazim! Kenalkan, anak uncle yang kedua dan
paling bongsulah. Kamalia...” ujar Dato' Daud memperkenalkan anak gadisnya itu.
“Kamalia, nilah Hazim! Satu-satunya anak uncle Hazwan kamu ni,” perkenalnya
lagi.
Kamalia tersenyum memandang Doktor Hazim. Dia
sengaja memandang lama wajah doktor muda itu membuatkannya serba salah. Kamalia
tertawa kecil bila Doktor Hazim beralah dengan pandangannya.
“Hemm, tak pernah berubah anak mama ni. Nakal dari
dulu lagi,” ujar Datin Naurah sambil tersenyum nipis dengan keletah anaknya
itu.
“Hai!” sapa Kamalia kemudiannya. Doktor Hazim pun
mengangkat pandangannya memandang gadis itu.
“Hai,” balas Doktor Hazim ringkas. Kali ini,
barulah dia tersenyum manis memandang gadis itu. Sekadar beradab sopan di
hadapan orang tuanya.
“Leeya nak tahu. Hazim ni seorang doktor tau,”
beritahu Datin Naurah.
“Saya masih lagi doktor pelatih auntie,” tegur
Doktor Hazim sengaja merendah diri.
“Oh yakah? Mama pernah ceritakan pasal awak tapi
mama tak pernah pulak beritahu Leeya yang awak ni doktor,” ujar Kamalia lalu
menyedut minumannya. Doktor Hazim tak berkata apa. Dia sekadar tersenyum
sahaja.
“Leeya ni pulak kerja dekat syarikat papa dia
saja,” tambah Datin Naurah lagi. Doktor Hazim hanya mengangguk sahaja.
“Awak pulak yang lebih Naurah? Mereka berdua ni
diam saja,” sampuk Dato' Daud yang diam dari tadi. Encik Hazwan tersenyum
mendengarkan kata-kata kawannya itu.
“Yalah abang. Sebab tulah saya yang beritahu.
Kalau tak, memang macam nilah mereka. Diam saja,” tingkah Datin Naurah.
“Betul tu,” sokong Puan Arifah. “Macam dah tak
tahu nak bercakap pulak.”
“Alah, mereka ni segan lagi. Ni kan baru pertama
kali jumpa,” sahut Encik Hazwan pulak.
“Ha’ah, biarkan sajalah mereka berdua ni
berkenalan sendiri,” sokong Dato' Daud pulak.
Kemudian, mereka semua pun berbual seketika
sebelum menghabiskan makanan tengah hari mereka. Setelah itu, mereka pun
beredar dari restoran itu. Sengaja ibu bapa mereka menyuruh Doktor Hazim
menghantar Kamalia pulang. Mereka mahu kedua-dua anak muda itu selesa sesama
sendiri.
“So, awak nak balik sekarangkah?” tanya Doktor
Hazim bila tinggal dia dengan Kamalia. Gadis itu diam seketika.
“Awak sibukkah?” tanya Kamalia kembali tanpa
menjawab pertanyaan mula tadi.
“Saya tak sibuk sangat. Masih ada masa sebelum
saya kena balik ke hospital,” jawab Doktor Hazim jujur.
“Kalau macam tu... temankan saya shopping!” ajak Kamalia sambil tersenyum
riang. Dia pun mula melangkah dari situ.
“Eh, saya....” Doktor Hazim tak sempat untuk
menghalangnya. Dia terpaksa akur dengan ajakan gadis itu. Sebenarnya, memang
dia tak mempunyai sebarang urusan ketika itu tapi dia sedikit kekok untuk
menghabiskan masanya bersama gadis yang baru dikenalinya itu. Dia mengeluh
perlahan. Kali ini, dia terpaksa mengikut kata ibunya untuk berkenalan dengan
anak kawannya.
Di sepanjang berada di dalam pusat beli-belah itu,
Doktor Hazim banyak mendiamkan diri. Dia lebih senang memerhatikan sahaja
suasana sekeliling.
“Hazim!” panggil Kamalia bila lelaki itu tampak
sedikit mengelamun.
“Ya?” pantas Doktor Hazim kembali menumpukan
perhatiannya kepada gadis itu.
Kamalia tertawa kecil melihat reaksinya. Doktor
Hazim sekadar tersenyum nipis dan segan kerana agak mengelamun sebentar tadi.
Gadis itu memang seorang yang manja sikapnya. Rupa parasnya pulak, tak perlulah
nak dipersoalkan lagi. Dia memang seorang gadis yang cantik. Rambutnya yang
dilepaskan juga tampak sedikit keperangan walaupun tidak terlalu ketara.
Kamalia memang seorang perempuan yang moden dan mengikuti fesyen terkini.
Begitulah tanggapan Doktor Hazim pada gadis itu.
“Kenapa panggil saya? Macam ada sesuatu saja,”
tanya Doktor Hazim bila tawa gadis itu mulai kendur.
“Hemm, memang saya ada sesuatu nak cakap,” akui
Kamalia. Doktor Hazim diam menanti bicaranya. “Saya cuma nak tahu... apa
pendapat awak tentang kita?” tanya gadis itu.
“Maksud awak?” Doktor Hazim kurang mengerti.
“Awak tahu kan yang parents kita nak kita berkenalan. Mereka nak jodohkan kita. Jadi,
apa pendapat awak tentang tu? Awak tak kisahkah?” tanya Kamalia lagi
menjelaskan soalannya mula tadi.
Doktor Hazim terdiam. Tak sangka gadis itu akan
membicarakan perihal itu. Sejujurnya, memang dia tak bersetuju dengan cadangan
ibunya itu tapi dia terpaksa akur jua kali ini untuk menjaga hati ibunya. Lagi
pun, dia sendiri pun masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga. Tambah
lagi, kehadiran Auni Liyana dalam hidupnya tambah mendesak hatinya untuk
menolak saranan ibunya itu. Tapi dia sudah pun berjanji dengan ibunya. Jadi,
dia serba salah bagaimana untuk menyatakannya pada Kamalia.
“Saya....” Doktor Hazim tak pasti bagaimana untuk
berkata. Melihatkan Kamalia hanya mengingatkannya kepada Auni Liyana. Kenapalah
wajah gadis itu begitu kuat melekat pada fikirannya ketika ini.
Kamalia hanya diam menanti jawapan Doktor Hazim.
Sengaja dia ingin mengetahui reaksi lelaki itu di atas soalannya. Sebenarnya,
dia juga tak bersetuju di atas perjodohan yang diaturkan keluarga mereka ini.
Tapi, sengaja dia akur dengan kata-kata mamanya. Dia ingin melihat bagaimana
lelaki pilihan mamanya untuk dirinya. Tambah lagi, mamanya juga tidaklah begitu
mendesak supaya terjalin jodoh ini. Sekadar memintanya memberikan peluang. Dia
boleh menolak pilihan ini bila-bila masa saja.
“Maaf! Saya sebenarnya tak berapa setuju dengan
aturan keluarga kita ni. Tapi, saya ikutkan juga sebab saya tak nak ibu saya
berkecil hati pulak dengan saya,” akur Doktor Hazim berterus terang.
Kamalia terdiam mendengarkannya. Tak sangka lelaki
itu berani untuk berterus terang dengannya. Dan Doktor Hazim tampak tegas
menyatakannya. Gadis itu mengetap bibirnya. Agak menarik doktor ni. Getus hati
kecilnya.
“Walaupun pilihan ibu awak, gadis macam saya?”
sengaja Kamalia menduga.
“Hah?” Doktor Hazim tampak terpinga-pinga. Kamalia
tertawa kecil melihatkannya. Lelaki itu memang seorang yang jujur dan baik.
Sedikit lurus juga. Tambah hati kecil Kamalia.
“Sorry!
Saya bergurau saja,” pinta Kamalia. “Terus terang cakap, setakat ni tak pernah
ada lelaki yang menolak saya,” tambahnya lagi.
“Oh... maaf,” kata Doktor Hazim serba salah.
“Oh tak! Jangan salah faham pulak. Saya tak kisah
pun. Saya pun sama juga macam awak. Saya masih tak bersedia untuk semua ni.
Mungkin kita boleh cakap elok-elok dengan keluarga kita supaya mereka tak
adalah berharap sangat dengan semua ni,” ujar Kamalia. Doktor Hazim tersenyum
lega mendengarkannya. Mujur gadis itu sependapat dengannya. “Awak seorang yang
berterus terang. Saya suka tu. It’s kind
of cute!” sambung gadis itu.
Doktor Hazim terdiam mendengarkannya. Ini kali
kedua dia menerima pujian itu. Tapi, berbeza perasaannya bila Kamalia
mengatakannya. Tiada rasa segan dan suka. Sekadar senang menerimanya.
“Jadi.... awak dah ada awekkah? Mungkin sebab tu
awak tolak pilihan ni,” tanya Kamalia ingin tahu.
“Tak adalah. Cuma saya nak fokuskan dekat kerjaya
saya dulu. Saya nak cuba bina hidup sendiri dulu sebelum saya cari seorang
suri,” jawab Doktor Hazim jujur. Kamalia tersenyum nipis mendengarkannya.
Lelaki yang komited dengan kerja. Getus hati Kamalia terus membuat penilaian
terhadap lelaki itu.
Untuk seketika, Doktor Hazim lebih selesa untuk
berbual dengan Kamalia. Rasa kekoknya mulai hilang. Gadis itu rupanya senang
dibawa bicara. Dia seorang yang mudah memahami.
Doktor Hazim gembira kerana mereka mencapai kata
sepakat dalam hal itu. Nampaknya tidak kesampaianlah hajat ibunya untuk
bermenantukan anak kawannya ini. Mungkin ibunya akan membebel dengannya
kemudian tapi tidak mengapalah. Asalkan dia sudah mengambil peluang untuk
berkenalan dengan gadis ini. Bukannya dia tidak berkenan tapi hatinya begitu
kuat menolak. Ada bayangan gadis lain yang mengaburkan pandangannya dengan
kecantikan dan tingkah manja Kamalia. Baginya, cantik semata-mata tidak
menjanjikan kebahagian. Perlu ada persefahaman dan keserasian di antara
pasangan untuk benar-benar bahagia.